Bertunang dengan Ustaz alam bunian

Assalamualaikum semua..aku terpanggil nak cerita kisah hidup aku sebab ada beberapa artikel hampir sama, ada hubungan dengan orang alam sana. Sebenarnya, sebelum berlaku benda-benda ghaib macam ni aku banyak terlibat dengan sihir, santau.Tapi benarlah, selagi belum ajal, teruk macam mana pun Allah akan izinkan sembuh.

Aku perempuan, ibu tunggal anak dua. Berpisah dengan bekas suami pun sebab sihir pemisah. Bab sihir ni macam-macam aku dah kena..Termasuk dari jiran sebelah rumah, kawan-kawan sekerja, sepupu rapat sendiri. Macam aku cakap memang teruk. Kebanyakannnya nak aku m**i. Dan kebanyakkannya tak suka, cemburu.

Aku tak kata aku cantik. Tapi antara asbab itulah aku disihir. Yang perempuan pandang aku jadi cemburu. Yang lelaki tengok aku jadi berkenan, suka..jatuh cinta. Sampai ustaz-ustaz di darussyifa nasihatkan aku berniqab. Tapi bidang kerja aku ni bukan senang nak berniqab. Aku gunakan fask mask untuk cover muka. Alhamdulillah,membantu.

Berbalik kepada cerita bertunang tadi. Benda ni bermula bila aku buat rawatan, ajak makcik pakcik yang merawat tu datang rumah, bersihkan rumah sekali. Dah jadi mak ayah angkat aku dah. Berpuluh perawat, ini last. Paling serasi.

Masa berubat malam tu baru tahu belakang rumah mak abah aku ni perkampungan bunian. Dah bersih apa semua, long to short, orang-orang kampung belakang ni dah bebas sampai ke depan, maksud aku dah bebas ke dalam rumah aku, halaman rumah..Ada yang dah bina perumahan..pondok..madrasah..masjid kat kawasan rumah mak abah aku ni.

Diorang kata kawasan rumah ni bersih, diorang suka. Kat ruang tamu rumah mak abah ni Ustaz- Ustaz dari alam sana buat madrasah. Sebab dalam rumah ni mak abah, aku..suka berzikir. Mak abah aku pulak jenis berkemas..rumah tak bersepah. ni bukan nak riak.. Suka berzikir pun asbab dari aku sakit teruk. Dah jadi kelaziman yang dulu jarang nak sebut. Syaiton kan aku ni..huhu. Kira ada hikmah Allah nak bagi. Bagi lagi dekat dengan Dia. Tapi makhluk ghaib dari sana pun berminat juga masalahnya. Haha

Aku cuma orang biasa.Tak ada tittle ustazah ke apa, tapi selalu mintak doa kat Allah, nak suami Ustaz. Mungkin sebab aku selalu sakit, nak suami yang boleh baca ayat-ayat syifa’…tak payah susah-susah nak cari perawat kan..

Tapi sebab niat aku dah ke situ, tambah pulak orang-orang kampung belakang tu kebanyakannnya alim-alim kata ayah angkat aku, ada sorang Ustaz ni berkenan. Aku tak boleh nampak, tapi aku boleh rasa dari gerak hati. Kadang-kadang melalui mimpi..atau bayangan dalam kepala.. Kadang-kadang juga bila aku sakit Ustaz ni dengan kawan-kawan dia bantu tarik benda yang ganggu.

Aku tak pernah tengok muka dia, tapi dari bayangan orangnya putih, tinggi, kulit bersih, jubah putih. Kadang-kadang selempang hijau kat bahu kanannya. Selalunya dia datang dengan kawan-kawannya, 2-3 orang. Juga Ustaz yang mengajar di madrasah tu.

Pernah selepas Asar aku solat, ada sekilas bau wangi. Selalunya aku berkomunikasi dari gerak hati bila dalam keadaan berwuduk, atau lepas solat dhuha.

Nama Ustaz tu Ustaz Muhammad Syah Zulkarnain (bukan nama sebenar) Imam kampung belakang, Kampung Sinaran Cahaya ( bukan nama sebenar juga). Nanti korang cari pulak Ustaz tu dengan kampung dia…memang tak akan jumpa sebab mereka orang ghaib.

Raja bunian, atau penghulu kampung belakang ni pulak buat aku anak angkatnya..Aku diberi nama Puteri Mayang Sari. Diorang berkenan kat aku sebab mungkin aura yang aku ada. Bila aku tanya aura apa kat mak ayah angkat aku, diorang tak nak cakap..takut aku jadi lupa diri..hehe. Yela.Manusia kan..Aku faham bila mak ayah cakap ini anugerah Allah bagi. Baik. Aku stop tanya kat situ.

Masa tu aku seronok sangat, walau tak pernah nampak, tak pernah jumpa. Mak ayah angkat aku selalu nasihat, jangan terima apa-apa pemberian. Bahaya…walaupun mereka baik, Islam..tapi kita tak tahu. Kampung mereka pun ada orang baik,orang jahat..macam manusia. Hubungan aku dengan Ustaz tu cuma macam tu.

Pernah sampai bertunang. Lepas solat dhuha, aku spontan angkat tangan kanan, terbayang macam ada orang sarung cincin. Tapi cincin tak nampak. Kiranya aku dah jadi tunangan Ustaz tu.

Dalam 6-7 bulan juga..Dalam pada itu aku tetap sakit. Masih disihir. Mak ayah angkat nasihatkan putuskan. Sebab ada juga yang sihir datang dari kampung belakang..perempuan tu cemburu Ustaz pilih aku, bukan pilih dia.

Benda ni menyebabkan mak ayah aku anak-anak aku sekali kena tempias.

Lepas aku fikir panjang, aku baca semula hukum-hukum, kita tak akan boleh bersatu di dunia nyata, plus mak ayah angkat pun bagitahu risikonya, orang akan kata kita gila bila bercakap sorang-sorang..Aku solat aku berdoa..bantu aku..dah la sakit ..bercinta pulak dengan orang yang kita tak nampak sekalipun baik kat alam dia, aku ambil keputusan putus.

Kesekian kalinya aku berubat dengan mak ayah, aku cakap kat Ustaz tu, aku nak putus. Dia terima walaupun sedih. Aku pulangkan semula cincin yang tak nampak tu.

Begitu juga tittle anak angkat Raja bunian, ayahanda Tengku Ariffuddin ( bukan nama sebenar) aku pulangkan juga sepersalinan pakaian ghaib yang dayang-dayang pakaikan kepada aku. Sebab aku cakap, aku tak layak. Dan aku tak mampu nak sarung pakaian istana ni..badan berat, aku bertambah sakit.

Waktu aku pejam mata aku nampak bayangan dayang-dayang bukakan persalinan yang aku pakai. Baju macam pengantin, ada mahkota, eksesori leher rantai batu-batu permata..Memang cantik. Lepas buka badan jadi ringan. Aku cakap aku bukan nak bermusuh…Cuma aku tolak nak jalin hubungan dengan alam sana. Sebab aku tak mampu. Aku cuma nak cari jodoh dalam kalangan manusia alam nyata sahaja.

Alhamdulillah, diorang hormat pendirian aku. Walaupun selepas tu masih ada lagi yang cuba nak rapat, hulubalang dia pun ada berkenan, kawan-kawan Ustaz tu pun ada berkenan juga, aku tolak cara baik. Kita tak boleh bersatu. Alam kita berbeza. Alhamdulillah lerai juga.

Walaupun selepas itu gangguan dari orang kampung tu ada tapi tak ekstrem masa aku bertunang dengan Ustaz Syah dulu…

Untungnya orang-orang kampung belakang ni orang baik-baik. Macam masyarakat Melayu kita juga. Tapi ada yang baik hati ada alim ada juga yang oku dan sebagainya..

Aku pesan kat mak abah aku, diorang pesan jangan buat kotor busuk kat belakang rumah kita ni..sebab ada rumah Ustaz tu..ada masjid..ada pasar..istana..

Lepas putus tu mak ayah angkat aku arahkan diorang balik semula tapak tanah diorang kat belakang. Jangan lagi buat madrasah, penempatan kat tanah mak abah. Diorang setuju.

Kini dah hampir setahun. Ustaz tu pun dah kahwin, ada anak-anak dia. Cuma sesekali kalau aku sakit,dia bantu juga. Cuma jarang dah nampakkkan fizikal dia walau dalam fikiran aku. Sebab dia tahu, aku memang tak nak dah berhubung dengan orang kampung belakang.

Cuma aku selalu ingatkan pada keluarga. Tak nampak mereka tapi mereka ada. Sesekali akan datang depan melawat kita. Jaga kelakuan, jaga solat, jaga zikir, hanya kerana Allah. Bukan sebab makhluk lain.

Setakat ni aku cerita. Nanti ada masa lain aku cerita lagi pengalaman lain kat tempat kerja, disihir..bukan niat nak riak, tapi hanya untuk pengajaran. Setiap yang Allah izinkan berlaku ada hikmah Allah nak bagi.

Satu yang aku bersyukur, dulu aku selalu tinggal solat, jarang zikir, selawat jauh sekali. Tapi bila sakit, Alhamdulillah Allah izinkan kita sembuh dengan usaha kita sendiri.

Jangan tinggal selawat, zikir, istighfar, AlQuran..solat terutamanya.

Dan biasakan diri setiap kali keluar bilik air walaupun lepas mandi, membuang ke..ambil wuduk selepas itu. Korang akan jadi lebih tenang walau ada masalah..Allah akan bantu selesaikan. Bergantung sepenuhnya pada Allah. Bukan makhlukNya..

Sekian

-Puteri Mayang Sari

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Puteri Mayang Sari

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 45 Average: 3.9]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.