Est. 2015 Fiksyen Shasha Kisah Benar

Jemaah Tak Kelihatan Di Pulau Terpencil

Assalamu’alaikum dan salam sejahtera buat semua. Aku taknak perkenalkan diri panjang-panjang, cukuplah aku katakan aku ini cuma seorang anak muda yang selalu bertugas sebagai bilal di masjid kampung kami. Kisah yang aku nak kongsikan hari ini bukan pengalaman aku sendiri, tetapi kisah yang pernah diceritakan oleh Imam masjid kami sekarang, Imam Jauhar namanya.

Waktu itu, lepas Asar, aku ada lepak kejap di luar masjid, di satu pondok kecil tempat orang kampung biasa berteduh sambil borak-borak sebelum masuk waktu Maghrib. Tengah aku sendirian memerhati langit yang mula kemerah-merahan, tiba-tiba datang Imam Jauhar. Dia duduk sebelah aku, senyum sikit, Panjang juga cerita kosong-kosong sehinggalah dia kata, “Nak, kau tahu tak dulu pakcik pernah ada pengalaman yang sampai sekarang pakcik tak lupa-lupa.”

Aku yang memang suka dengar cerita-cerita begini terus beri perhatian penuh. Panjang jugalah cerita kami sampailah Imam Jauhar mulai kongsikan kisah seramnya yang berlaku lebih dua puluh tahun yang lalu, sekitar tahun 2004.

Kata Imam Jauhar, ketika itu dia perlu ke satu pulau kecil atas urusan kekeluargaan. Bukan pulau yang terkenal atau sering dilawati pelancong, cuma pulau kecil, penduduknya tidak ramai, kebanyakannya nelayan dan keluarga mereka. Oleh sebab urusan itu mengambil masa lebih seminggu, Imam Jauhar terpaksalah menginap di rumah saudaranya di situ.

“Surau kat pulau tu kecil je, nak. Dan yang paling pakcik ingat, memang sangat sikit orang nak singgah solat berjemaah. Mungkin sebab penduduknya memang tak ramai, atau mungkin ada sebab lain yang pakcik sendiri tak pasti,” kata Imam Jauhar, suaranya mula perlahan macam dia sedang mengimbau sesuatu yang berat.

Pada malam ketiga dia berada di situ, Imam Jauhar berazam nak solat Isyak berjemaah di surau tersebut, walaupun dia dengar daripada saudaranya yang biasanya memang tiada orang datang. Selesai saja azan dilaungkan, dia menunggu. Lima minit berlalu, tiada seorang pun kelihatan datang. Sepuluh minit, masih sunyi. Akhirnya terpaksalah dia iqamatkan sendiri dan bersolat seorang diri di dalam surau yang agak usang itu.

“Pakcik dah biasa solat sorang-sorang, nak. Tapi malam tu lain sikit rasanya. Suasana dia memang sunyi sangat, angin pun tak berbunyi,” katanya.

Baru sahaja Imam Jauhar takbiratul ihram, tiba-tiba dia rasa ada tepukan di bahu kanannya. Macam seseorang baru sampai dan nak ikut solat berjemaah sebelah dia. Imam Jauhar cuba tak ambil kisah, fikirnya mungkin ada jemaah yang baru sampai lewat. Tetapi hatinya mula tidak sedap, sebab dia tahu, di dalam solat, dia tidak boleh menoleh atau berpaling untuk sahkan siapa yang menepuk bahunya tadi.

Rakaat kedua, ketika dia membaca surah Al-Fatihah, sampai ke bahagian akhir ayat, iaitu waliddollin, tiba-tiba kedengaran seakan ramai suara mengaminkan sekali. Bukan satu suara, bukan dua, tetapi macam berpuluh-puluh suara serentak. Imam Jauhar mula menggigil, peluh dingin mula membasahi tengkuknya, tetapi dia tetap gagahkan diri meneruskan bacaan tanpa tersasul sedikit pun.

“Pakcik dalam hati masa tu baca doa je, minta Allah lindungi. Pakcik tak berhenti solat, sebab pakcik rasa kalau berhenti, lagi teruk jadinya,” ujar Imam Jauhar, matanya memandang jauh ke arah laluan masjid seolah-olah mengimbau kembali detik itu.

Selesai sahaja solat, Imam Jauhar terus berdoa dengan lebih khusyuk daripada biasa, memohon supaya tiada apa-apa yang berlaku kepadanya pada malam tersebut. Selesai berdoa, dia segera bangun, mengemas sejadah, lalu keluar dari surau untuk pulang.

Sewaktu dia hendak menutup pagar surau tersebut, tiba-tiba pintu depan surau yang baru sahaja dia kunci terbuka sendiri dengan bunyi berdenyit yang panjang. Imam Jauhar terkejut besar, tetapi dia cuba tenangkan diri, fikirnya mungkin anginlah yang menggerakkan pintu tersebut, walaupun malam itu langsung tiada angin bertiup.

“Pakcik dah mula rasa tak sedap hati waktu tu, nak. Tapi pakcik gagahkan jugalah, pakcik sambung berjalan nak balik ke rumah saudara pakcik,” katanya.

Namun, belum sempat dia melangkah jauh, satu bunyi hentakan yang sangat kuat kedengaran di telinganya. Bunyi itu jelas datang daripada arah pagar surau tadi, seakan seseorang atau sesuatu menghentak pagar tersebut dengan kekuatan yang luar biasa. Imam Jauhar tidak sempat berpaling untuk melihat apa yang berlaku. Langkahnya terus melaju, jantungnya berdegup kencang, dan dia tidak berhenti berjalan sehinggalah sampai ke rumah saudaranya.

“Sampai sekarang pakcik tak pernah tahu apa benda tu sebenarnya, nak. Pakcik tak pernah cerita pada orang pulau tu pun, takut diorang panik. Tapi dalam hati pakcik, pakcik rasa mungkin ada sesuatu kat surau tu yang memang dah lama menghuni, cuma entah kenapa malam tu baru nak tunjukkan diri pada pakcik,” katanya sambil menarik nafas panjang.

Aku bertanya kepada Imam Jauhar, adakah dia pernah kembali ke pulau itu untuk siasat lebih lanjut atau bertanya kepada penduduk setempat tentang sejarah surau tersebut. Imam Jauhar hanya menggelengkan kepala.

“Pakcik dah tak balik pulau tu sejak itu, nak. Urusan keluarga pun dah selesai. Pakcik serahkan je pada Allah, apa yang jadi malam tu, biarlah jadi rahsia antara pakcik dengan Dia,” ujarnya, lalu dia bangun dan berjalan masuk ke dalam masjid kerana azan Maghrib hampir berkumandang.

Sampai sekarang, setiap kali aku lalu depan surau-surau kecil di kampung-kampung terpencil, aku teringat kisah Imam Jauhar ini. Entah apa sebenarnya yang menghuni surau di pulau itu, entah kenapa ia memilih untuk menunjukkan diri pada malam tersebut, semuanya kekal menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini.

Cerita Berkaitan
Ada kisah sendiri?

Kongsi pengalaman seram anda.

Hantar Kisah

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Nak cerita baru kami hantar terus ke Telegram anda? Jom Join 👻 Join Telegram