Histeria Di Rumah Sewa

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pembaca-pembaca semua. Terima kasih Fiksyen Shasha jika cerita saya diterima untuk disiarkan kepada umum.
Kisah ini bukanlah kisah saya sebaliknya ibu saudara saya yang mengalaminya. Kisah ini bermula ketika beliau masih belajar di Politeknik. Apabila belajar di sana beliau seharusnya menyewa rumah supaya dapat berteduh dan bermalam di situ buat sementara waktu. Rumah itu kecil saja. Ruang tamu, dapur dan bilik tidur digabungkan menjadi satu. Faham, bukan rupa rumah itu?..

Rumah sewa ibu saudara saya berada berdekatan kedai runcit. Beliau sewa rumah di sana bersama seorang rakan karibnya, Zura. Semuanya baik-baik sahaja selepas duduk di sana dalam seminggu.

Pada minggu kedualah situasi ini terjadi. Ibu saudara saya sedang mandi dalam pukul 12 lebih, begitu. Zura pula sedang berbual-bual dengan teman lelakinya melalui telefon bimbit. Zura pada ketika itu tengah duduk di atas lantai.
Lama juga ibu saudara saya mandi ketika itu. Seusainya beliau siap mandi, beliau pun keluar dari tandas. Kelihatan pintu utama terbuka. Dia hairan “Memang pintu itu terbukakah tadi?” Katanya di dalam hati. Ibu saudara saya pun segera menutup pintu tersebut.

Setelah itu, dia pun pergi ke katil ingin memakai baju. Dia nampak Zura sedang baring mengiring menghadap dinding. Ibu saudara saya sempat mengintai muka Zura ingin melihat sama ada Zura sudah tidur atau belum. Tampaknya, Zura sedang termenung melihat dinding.
Ibu saudara saya tidak menghiraukannya. Setelah dia siap memakai baju dan menyikat rambut, beliau mengelihkan matanya kearah Zura semula. Zura masih begitu, termenung sambil baring mengiring menghadap dinding.
Tiba- tiba telefon bimbit ibu saudara saya berbunyi minta diangkat. Teman lelaki Zura rupanya. “Helo?” Ibu saudara saya menyapa.

“Helo, Kema. Zura okey tak tu?” Soal teman lelaki Zura secara tiba-tiba. Ibu saudara saya berasa hairan.
“Zura okey saja. Kenapa?” Tanya ibu saudara saya semula.
“Bukan apa, tadi.. ketika kami sedang berbual, Zura tiba-tiba bercakap bahasa yang pelik. Saya tak dapat faham apa yang Zura cakap.”
Perasaan hairan tadi mula bertambah. Zura cakap bahasa yang pelik? Biar benar?
“Saya Tanya Zura apa yang dia cakap sebab saya memang tak faham. Tiba-tiba Zura tamatkan panggilan.” Sambungnya lagi.
“Eh? Macam mana boleh jadi macam tu?” Soal ibu saudara saya.
“Entahlah. Cuba awak tengok-tengokkan Zura dulu. Kalau ada apa-apa, bagitahu saya dan saya akan datang.”
“Okey.”
Teman lelaki Zura menamatkan panggilan. Ibu saudara saya mengelihkan matanya kearah Zura yang masih menenung dinding.

“Zura..” Panggil ibu saudara saya.

Tiada sahutan.
Beliau cuba memanggil Zura lagi.

Tiada sahutan juga.
Ibu saudara saya tetap memanggil buat kali ketiga.
“Zura tiada.” Itu jawapan Zura.
Ibu saudara saya mula rasa tak sedap hati. Dia mula mendekati Zura dan duduk di atas bucu katil.
“Zura..” Panggil beliau lagi.
“Zura tiada..” Balas Zura.
Memang sah ini bukanlah Zura. Ibu saudara saya terus bangun dan mencari Al-Quran di setiap sudut rumah. Dia mencari di merata-rata tempat tapi tidak jumpa.
“Tak payahlah cari, bukan jumpa pun. Hehehe..” Tiba-tiba Zura menegur. Sempat dia sengih nakal.
Ibu saudara saya jadi hairan. Bagaimana ‘Zura’ tahu aku tengah mencari Al-Quran sedangkan aku tak cakap apa-apa pun.

“Kau tahu ke aku cari apa?” Tanya Ibu saudara saya.
“Kau cari Al-Quran, ‘kan?” Jawab ‘Zura’.
Baru dia teringat, Zuralah yang kemas rumah pagi tadi. Makcik saya semakin bingung. Dia tidak tahu ingin buat apa sekarang. Jika mahu meminta bantuan jiran, jiran pula dengan rambut hijaulah, seksi pula tu. Bimbang nanti, jiran pula terkena histeria. Beliau menjadi buntu.

Akhirnya dia cuba memberanikan diri, mendekati Zura yang sedang baring itu. Beliau menggosok kaki Zura dengan lemah lembut sambil membaca Ayatul Kursi, 3 Qul dan surah-surah yang terlintas di kepalanya. Dalam 20 minit dia menggosok-gosok kaki Zura, tiba-tiba Zura menepis tangan makcik saya.
Makcik saya agak terkejut tapi dia tetap membaca surah-surah yang sepatutnya sambil menggosok kaki Zura. “Panaslah..” Ujar Zura. Makcik saya tidak menghiraukannya. Dia terus menggosok-gosok kaki Zura. Dalam 1 jam lebih menggosok kaki Zura, tiba-tiba Zura menangis. “Huhuhu… panaslah.. sudah-sudahlah tu..” Tampak seperti Zura menangis olok-olok iaitu berpura-pura menangis.

Makcik saya tidak menghiraukannya dan terus menggosok-gosok kaki Zura walaupun banyak kali ditepis. “Kau ni kejam!” Ujar Zura lagi. “Kalau kau rasa panas, keluarlah dari badan ni.” Balas ibu saudara saya. Zura diam. Makcik saya tetap menggosok-gosok kaki Zura sambil membaca ayat sepatutnya.
“Panas…” Zura merengek lagi. Dia menepis dan menolak tangan makcik saya banyak kali. Makcik saya tetap menggosok. “Keluar.. Tuan punya badan ni tak kacau kau pun..” Balas beliau. Setelah banyak kali Zura merengek dan diminta untuk keluar, makcik saya pun kata “Aku tak akan berhenti membaca sehinggalah kau betul-betul keluar.”
Zura mendengus. Mendengus banyak kali. Tiba-tiba lampu bilik terbuka dan tertutup. Seluruh badan makcik saya jadi meremang tapi dia tetap teruskan menggosok kaki Zura. Semakin lama semakin meremang. Tiba-tiba lampu bilik terbuka semula. Makcik saya juga sudah tidak meremang lagi.
Zura tiba-tiba menggeliat dan menguap seperti baru bangun tidur. Zura memandang wajah makcik saya. “Eh, tadi aku rasa aku duduk dekat lantai. Macam mana boleh ada atas katil pula?” Tanya Zura.

“Esoklah aku ceritakan, kau minum air ni dulu.” Makcik saya menghulurkan air mineral yang pakciknya iaitu atuk saudara saya berikan. Zura pun minum. Makcik saya berasa lega kerana Zura sudah pulih. Esokkan harinya, makcik saya menceritakan segalanya kepada Zura. Zura terkejut mendengar cerita makcik saya. Teman lelakinya juga ada ceritakan apa yang berlaku semalam.

Itu saja kisah seram yang dialami oleh ibu saudara saya. Minta maaf jika cerita ini tidaklah seseram seperti yang diimpikan ataupun sukar untuk difahami. Assalamualaikum….

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Adlyna Afza
Rating Pembaca
[Total: 17 Average: 3.6]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.