Hijab Dr. Albert

Hi. Nama aku Si Mayat. Aku pernah bercerita tentang #kisahadikadam (insert link here). Kali ni aku nak bercerita tentang kisah seseorang yang aku kenal, Dr. Albert. Kisah ini mungkin tidak seram sangat, tetapi bolehlah dikatogeri sebagai #mistik. Lagipun, jarang aku jumpa dan dengar ‘first hand’ cerita dari orang putih yang hijabnya terbuka. Jadi aku kongsi di sini…

Aku kenal Dr. Albert dalam satu perjumpaan penulis dan penggiat seni persembahan lebih kurang tiga tahun lalu. Lelaki Inggeris ini memiliki PHD dalam bidang seni dan dia juga seorang pemain boneka (puppeteer). Mengajar di Taiwan, dia boleh berbahasa Mandarin dan juga boleh bertutur dalam Bahasa Indonesia. Bilik kami bersebelahan di sebuah rumah tetamu yang disediakan penganjur. Setiap malam, aku akan melepak minum kopi atau membaca di balkoni sampai lewat pagi. Pintu utama yang mengunjur ke balkoni, adalah ‘sliding door’ tembus pandang. Jadi kau boleh tahu orang di dalam bilik hidupkan lampu atau tidak. Setiap malam sampai lewat pagi sehinggalah nak masuk tidur, aku perasan yang Dr. Albert tak pernah matikan lampu biliknya. “Berjaga sampai lewat Dr. ni!”, aku mengagak.

Esoknya sewaktu bersarapan, aku memulakan perbualan dengan Dr. Albert dan sengaja mengaju soalan berkenaan hal lampu biliknya yang terpasang sepanjang malam itu. Lelaki berumur lebih dari 50an itu menjawab; sudah 30 tahun dia tidur dengan lampu yang terpasang. Dia bercerita yang dia boleh melihat semangat (spirit) semenjak dia kecil lagi. Tetapi sejak 30 tahun lalu, penampakannya semakin jelas dan semangat itu akan mengganggu tidurnya jika dia tidur dalam keadaan gelap.

Semangat yang Dr. Albert maksudkan ini bukanlah berbentuk hantu macam yang kita faham. Dia kata, ia lebih kepada jelmaan berbentuk aura. Bentuknya tak jelas dan mempunyai pelbagai-bagai warna. Semangat yang dia nampak ni ada juga pada orang hidup dan ‘attached’ pada badan seseorang individu itu jika auranya kuat. Semangat dengan aura positif katanya biasa berwarna putih atau kuning terang. Yang jahat dan selalu mengganggu pula biasanya bewarna hitam. Yang bewarna hitam inilah kata Dr. Albert yang selalu terbang melayang-layang tanpa arah dan suka mengacau manusia.

Contohnya apabila dia terbang dan hinggap di bahu seseorang, tiba-tiba orang itu akan pegang bahu dan terasa sakit seperti ada beban. Kalau orang kita mungkin panggil jin, orang Jepun panggil Yokai… Tapi Dr. Albert gelarkannya ‘spirit’. Semangat-semangat hitam ni mula mengacau Dr. Albert sejak 30 tahun lalu apabila mereka seakan-akan tahu dia boleh nampak mereka. Setiap kali nak tidur, mereka akan terbang berlegar-legar dalam bilik dan mencuit-cuit kakinya. Sebab itu dia tidur dengan lampu terbuka.

Pengalaman seram Dr. Albert? Sewaktu dia di Bali dan melawat sebuah kedai menjual patung dan boneka, dia terasa seperti ada sesuatu yang tak kena dengan kedai tersebut. Seperti ada satu aura negatif menyelubungi sewaktu dia melangkah masuk. Ada satu patung ukiran kayu yang dia tengok di situ betul-betul tak suka dengan kehadiran Dr. Albert. Daripada wajah biasa, patung kayu itu bertukar kepada riak marah dan ada aura hitam keluar di sekeliling patung tersebut. Semakin Dr. Albert merenung, patung itu tiba-tiba bergetar.

Makin lama makin kuat sehingga bergegar rak di kedai tersebut. Akhirnya semua patung-patung kecil di rak lain jatuh dengan sendirinya. Tuan kedai yang menyaksikan keadaan itu menyangka ada gempa bumi kecil atau ribut. Kata Dr. Albert, kebanyakan patung-patung yang dijual di Bali mempunyai semangat yang tidak baik. Mungkin ada yang telah dipuja hingga masuk semangat jahat. Jadi berhati-hati kalau nak membelinya. Pekedai barangan antik atau cenderahati biasanya tidak tahu hal ini dan asal-usul patung yang dijual mereka.

Pengalaman itu sebenarnya tidaklah seram baginya berbanding pada suatu hari apabila dia bangun tidur, dia dikelilingi lima hingga tujuh semangat bewarna hitam, berbentuk seperti manusia yang besar seolah-olah merenung dia tidur. Semangat tersebut mengikuti ke mana sahaja dia pergi selama seminggu dan akan mengacaunya dengan membuat kejutan. Mereka akan bersembunyi di mana-mana kawasan gelap atau tersorok dan menyergah Dr. Albert sampai satu tahap di mana dia tidak boleh bersabar.

Dia kejar semua semangat tu dan memaki hamun menjerit-jerit macam orang gila. Habis satu pejabat terkejut dengan perbuatan Dr. Albert. Semangat tu hilang sekejap, esoknya salah satu daripada mereka datang balik dengan menyorok di sebalik pam tandas sewaktu Dr. Albert sedang buang air besar. Semangat itu berbisik-bisik halus bahasa yang tak difahami dan kadang kala ketawa kecil. Bunyinya sangat menyeramkan.

Aku terangkan pada Dr. Albert yang mungkin hijabnya dah terbuka dan bercerita panjang lebar tentang hijab – walaupun pada mulanya dia sangka hijab yang aku maksudkan tu kain tudung. Selepas mendengar penerangan aku, Dr. Albert bersyukur. Katanya, mujur hijabnya tak jelas sampai boleh melihat perincian muka semangat-semangat tu semua!

4 thoughts on “Hijab Dr. Albert”

  1. “Aku terangkan pada Dr. Albert yang mungkin hijabnya dah terbuka dan bercerita panjang lebar tentang hijab – walaupun pada mulanya dia sangka hijab yang aku maksudkan tu kain tudung…”

    Hahahahahah…
    Part ni kelakar…

    Klu boleh detailkan lg antara contoh2 asal usul aura negatif patung2 cenderahati kt Bali tu mesti lg menarik…

    Reply

Leave a Comment