Kamsan terdiam pucat. Kunci pintu hadapan rumah itu tiba-tiba berkeletuk terbuka. Daunnya terkuak perlahan. Doktor Zainal pantas mencapai pistolnya.
Sesusuk lembaga berbulu lebat melangkah perlahan memasuki ruang itu ditemani oleh bau yang meloyakan. Bentuk tubuh lembaga itu kelihatan seperti seekor mawas yang besar. Namun, wajahnya mirip manusia. Langsung tidak kelihatan warna putih pada anak matanya. Mata sehitam kumbang itu membuatkan makhluk itu kelihatan tidak berperasaan jika tidak kerana senyuman yang luar biasa lebar terukir hodoh pada wajahnya.
“Anna!” Ujar Kamsan terkejut. Tanpa teragak-agak, Doktor Zainal melepaskan berdas-das tembakan ke arah makhluk itu. “Zainal, jangan!” Kamsan menarik kasar lengan Doktor Zainal.
Tembakan Doktor Zainal langsung tidak mencederakan makhluk itu. Senyuman hodoh tadi mulai pudar. Wajahnya bertukar bengis. Rahangnya dibuka luas, menampakkan gigi-gigi belakangnya yang bertaring. Satu raungan dahsyat menggegarkan seluruh rumah itu, mengatasi bunyi derakan tembakan tadi.
“Kenapa kau bawa makhluk ni ke sini?!” Laung Doktor Zainal. Tangannya masih membidik setiap pergerakan makhluk itu.
Kamsan menggeleng tidak percaya.
“Aku… aku tak perasan, Nal!”
“Mustahil kau tak perasan makhluk sebesar ni dalam kereta kau! Dengan bau busuk ni lagi! Kau nak bunuh keluarga aku ke?!” Sekali lagi Doktor Zainal melepaskan tembakan ke arah makhluk itu. Walaupun dia tahu tembakan itu langsung tidak membantu, namun itu sahaja yang mampu dilakukannya.
“Dia… aku rasa dia tutup minda aku sepanjang perjalanan tadi.”
“Dia anak kau, Kamsan! Dia dengar cakap kau. Suruh dia pergi!” Ujar Doktor Zainal sambil berundur ke belakang tubuh Kamsan. Kamsan teragak-agak melangkah ke hadapan. Makhluk itu mendengus kuat. Dadanya turun naik. Matanya tidak lekang mengekori setiap gerak geri Doktor Zainal.
“Anna… Anna… jangan buat macam ni. Keluar dari sini. Pergi masuk kereta.” Arah Kamsan takut-takut. Namun Anna sekadar memandang bapanya itu tanpa ekspresi. “Anna… Kau kenal aku, kan? Aku…”
“Kamsan… kau pasti ke anak kau ni faham apa yang kau cakap?” Tanya Doktor Zainal. Kamsan diam tidak menjawab. Dia tidak pernah lihat wajah anaknya itu sekosong itu. Langsung tidak terlihat sedikit pun riak kemanusiaan pada wajahnya.
Anna yang tadinya berdiri tegak, mulai membongkok dengan gaya tidak ubah seperti seekor monyet besar. Sekali lagi dia mendengus kuat, membuatkan Kamsan melangkah kecut ke belakang. Giginya diketap-ketap, mengeluarkan bunyi yang menggerunkan. Kaki belakangnya dibengkokkan, bersedia untuk menerkam. Dengan satu tujahan, tubuh besar makhluk itu meluru ke hadapan Kamsan.
BAMMM!
Tiba-tiba pintu bilik bawah tanah rumah itu berdentum terbuka. Seekor makhluk kurus kering berlari keluar lalu menerkam Anna, menghayunkan tubuh besar itu menjauhi Kamsan dan Doktor Zainal.
“Sarah!”
Tubuh Anna tersungkur menghentam beberapa buah kotak yang penuh berisi barang perhiasan kaca. Bertaburan serpih-serpih kaca ke satu sudut ruang itu. Sarah bernafas tercungap-cungap. Dia kelihatan luar biasa tingginya berbanding kali terakhir Doktor Zainal melihatnya dahulu. Matanya tidak putus merenung Anna yang cuba untuk bangun. Doktor Zainal dan Kamsan kaget, tidak mampu berkata apa-apa. Tiba-tiba…
“Kakak?!” Siti berlari menuruni anak tangga. Wajahnya kelihatan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Kakaknya yang selama ini dianggapnya sebagai khayalan, sedang berdiri di hadapannya. Halimah terkejar-kejar di belakangnya, cuba untuk menarik anaknya itu kembali ke tingkat atas. Langkah Siti terhenti sebaik terlihat Anna yang kini berdiri mendada dengan rahang yang dibuka luas. Halimah rebah terjelepok sebaik terlihat kedua-dua makhluk itu yang kini sedang berdiri janggal di ruang tamu rumahnya.
“Siti, pergi!” Arah Doktor Zainal.
Kini renungan bengis Anna beralih kepada Siti yang sedang berdiri kaki di hujung tangga. Kemudian, kembali kepada Sarah. Anna menderam bengis. Sarah menderam kembali, menampakkan batang-batang giginya yang panjang, namun tidak bertaring. Dia kelihatan terlalu kecil untuk menjadi lawan Anna. Namun, langsung tidak terlihat kegerunan pada wajahnya. Tidak seperti Anna, masih terlihat sifat kemanusiaan pada wajah Sarah.
“Sarah! Tolong Siti!”
Sarah diam, berpura-pura tidak mendengar arahan bapanya itu. Namun dia tetap melangkah perlahan, berdiri membelakangi Siti. Matanya masih tetap pada Anna yang sedang cuba mencari jalan untuk menerkam Siti.
“Ka… kakak…” panggil Siti. Air matanya berlinangan membasahi pipi. “Mana kakak pergi selama ni?..”
“Sekarang bukan masanya, Siti.” Sarah bersuara dengan suara seorang wanita. Tidak ubah seperti suara Siti, cuma nadanya kedengaran sedikit dalam dan kasar. Doktor Zainal terpegun mendengar anaknya itu berkata-kata buat pertama kali. Namun, Siti langsung tidak kelihatan terkejut dengan kebolehan Sarah itu.
Tanpa sebarang amaran, Anna menujah kuat kedua-dua kaki belakangnya lalu menerkam ke arah Sarah. Sarah yang sudah bersedia menerima serangan dari lawannya itu, menerkam kembali. Tubuh Sarah tercampak ke tepi dihentam tubuh besar Anna. Belakang badan Sarah menghentam kuat kerusi lengan yang tadinya menjadi tempat duduk bapanya. Kerusi itu bersepai patah. Anna menayang taringnya ke arah Sarah, seolah-olah memberi amaran. Sarah mengerang kesakitan.
Kini, Anna berdiri tinggi di hadapan Siti. Cukup hampir untuk dia menghayunkan lengannya yang besar itu ke arah Siti. Siti kaku, tidak mampu bergerak. Sebelum sempat Anna berbuat begitu, Doktor Zainal melepaskan dua das tembakan ke arah makhluk itu. Tepat mengenai belakang kepalanya. Itu peluru-peluru terakhir pistolnya itu. Dengan satu raungan dahsyat, Anna berpaling lalu menerkam Doktor Zainal. Kamsan berganjak pantas ke tepi, mengelak terkaman anaknya itu.
“Papa!” Raung Siti.
Gigi-gigi taring Anna terbenam ke dalam bahu Doktor Zainal. Tubuh lelaki itu terhempas ke dinding yang tadinya putih, kini merah pekat dibasahi darah Doktor Zainal. Kamsan terduduk tanpa daya melihat tubuh rakan lamanya itu diratah anaknya sendiri. Tulang bahu dewasa Doktor Zainal dimamah bersahaja oleh rahang besar Anna. Otot-otot lelaki itu dikunyah rakus, memercikkan darah-darah merah ke sekelilingnya. Doktor Zainal yang meraung penuh derita, kini diam tidak sedarkan diri. Nafasnya tersekat-sekat. Urat urat besar lehernya terjuntai, memancutkan darah tidak henti-henti. Dengan satu bahaman lagi, kedengaran pula derakan tulang-tulang rusuk lelaki malang itu dimamah Anna.
Kamsan tahu, itulah pengakhiran bagi rakannya itu. Dadanya berdegup kencang. Di menoleh ke arah Siti dan Halimah. Siti masih meraung derita, namun kini tanpa suara. Melihat bapanya diratah hidup-hidup. Tiada siapa yang layak untuk melihat perkara sekejam itu. Halimah masih tidak sedarkan diri. Sarah pula masih mencuba untuk bangun. Namun gagal setiap kali. Postur tubuhnya kelihatan terpusing janggal. Mungkin hentaman kuat tadi mematahkan beberapa batang tulangnya. Sarah terlalu kurus. Seakan-akan seekor rusa betina yang kebuluran. Matanya memandang sayu ke arah bapanya kini terkulai di atas lantai, tidak lagi bernyawa. Anna masih meratah rakus tubuh Doktor Zainal. Tidak ubah seperti seekor haiwan karnivor pemangsa yang berjaya menjatuhkan mangsanya.
Kamsan mendapat akal. Takut-takut, dia melangkah mengahampiri Sarah yang masih mengerang kesakitan. Cuba untuk tidak menarik perhatian Anna yang masih ralit menikmati makan malamnya.
“Sa… Sarah, kan?” Bisik Kamsan berhati-hati. Sarah mengangguk lemah. Dia hanya mampu menongkat separuh tubuhnya dengan siku. “Mari, saya bantu.” Kamsan mengangkat perlahan lengan panjang Sarah lalu diletakkannya ke atas bahu. Untuk tubuh Sarah yang sekurus itu, Kamsan tidak percaya beban yang ditampung di atas bahunya. Mungki tidak seberat Anna, tetapi masih terlalu berat. Perlahan-lahan Sarah bangkit, cuba untuk melangkah.
Siti berpaling ke arah kakaknya itu, cuba untuk bersuara. Namun Kamsan cepat meletakkan jari telunjuknya pada bibir sendiri, lalu menggeleng-geleng. Siti mengangguk. Dengan sedaya-upayanya cuba untuk tidak memandang ke arah bapanya yang masih diratah, Siti bangun membantu Kamsan memapah Sarah.
“Peti kamu di dalam bilik tu, kan Sarah?” Bisik Kamsan lagi. Sarah mengangguk. Darah mulai mengalir keluar dari tepi bibirnya. “Siti, kamu papah ibu kamu boleh? Bawa dia masuk ke dalam bilik tu.”
Siti mengangguk lalu melepaskan lengan Sarah, membuatkan lutut Kamsan bengkok sedikit menampung berat tubuh yang kurus itu. Kamsan melangkah perlahan menuruni anak tangga ke tingkat bawah tanah itu. Dia tahu, makhluk seperti Anna dan Sarah boleh sembuh dengan cepat. Mereka hanya perlu masa. Hanya Sarah yang mampu melawan Anna. Dia perlu masukkan Sarah ke dalam petinya buat beberapa minit untuk mempercepatkan penyembuhan tubuh Sarah. Di belakangnya, Siti sedang mengheret tubuh ibunya yang masih longlai tidak sedarkan diri.
“Hati-hati Siti.” Ujar Kamsan.
Sesampainya mereka ke tingkat bawah tanah, Kamsan menoleh ke kiri dan kanannya. Tidak terlihat peti besi besar yang dicari-carinya itu.
“Da… dalam tu…” Beritahu Sarah lemah sambil menuding ke arah pintu kolong yang terbuka luas.
“Okay, Sarah, kamu masuk ke dalam peti kamu. Mungkin beberapa minit dah cukup untuk mempercepatkan kamu sembuh. Siti, kamu bawa ibu kamu turun ke sana sekali. Kalau ada kunci dari dalam, kuncikan pintu itu.” Arah Kamsan, cuba untuk menyedapkan hati mereka. Dia tahu, tiada kunci yang mampu menghalang Anna.
“Uncle nak pergi mana?” Tanya Siti dalam nada merayu.
“Jangan risau. Uncle nak ke kereta ambil pistol. Uncle akan tarik perhatian Anna untuk keluar dari sini. Lepas Sarah masuk dalam peti besi tu, Siti buka satu hac yang tertulis ‘Do Not Open’. Dalam tu ada butang merah. Tekan butang tu.” Arah Kamsan pantas. Sarah dan Siti mengangguk faham. Sebaik Kamsan sampai ke anak tangga paling atas, Siti berpaling memandang Sarah. Kelihatannya, keadaan Sarah sudah tidak seteruk tadi. Namun masih terlihat lekuk-lekuk pada rusuknya, menandakan rusuk kakaknya itu masih belum sembuh sepenuhnya. Tersedar Siti sedang merenungnya, Sarah berpaling memandang adiknya itu kembali. Dia tersenyum halus, dengan penuh rasa kasih.
“Siti dah besar…” ujarnya lemah. Siti tersenyum menangguk-angguk. Air mata mengalir tidak tertahan pada pipinya. “Jom. Bawa mama sekali.”
“Tapi kak… papa?” Tanya Siti penuh berharap. Sarah sekadar menggelengkan kepalanya. Air mata Siti berderai semakin deras, namun langkahnya tetap diteruskan. Tubuh ibunya diseret perlahan menuruni anak tangga ke bilik rahsia itu.
Betul-betul di tengah ruang itu, kelihatan sebuah peti besar setinggi tujuh kaki. Dengan langkah terhencut-hencut, Sarah berjalan memasuki peti itu. Sebaik seluruh tubuhnya disandar kemas pada kusyen yang melapisi ruang dalam peti itu, pintunya tertutup sendiri. Siti membaringkan ibunya di satu sudut ruang itu. Dia mencari-cari hac yang disebut oleh Kamsan tadi. Terus dibukanya hac itu, lalu menekan kasar butang merah di dalamnya. Berharap sesuatu yang ajaib berlaku. Namun, selain lampu merah yang berkelip perlahan dari butang itu, langsung tiada apa yang berlaku. Dia berlari semula mendaki anak tangga tadi lalu dengan pantas menarik pintu kolong tadi. Menjadikan ruang itu gelap gelita tanpa sebarang cahaya. Terdapat selak tidak bermangga. Dia menyelak pintu kolong itu.
Kini, Siti beseorangan. Ibunya masih terkulai tidak sedarkan diri. Kakaknya pula masih di dalam peti besi besar itu. Yang menemaninya hanyalah lampu merah yang berkelip lemah dari butang yang ditekannya tadi. Dia duduk memeluk lutut. Menantikan Kamsan. Dia separuh ragu bahawa Kamsan akan kembali mendapatkan mereka.
Sejenak kemudian, terdengar beberapa das tembakan dari tingkat atas. Kamsan!
“Mari kejar aku pula, makhluk hodoh!” Laungan Kamsan kedengaran sayup-sayup. Kemudian terdengar pula raungan dahsyat Anna. Siti menangis teresak-esak. Berpuluh-puluh persoalan bermain-main di dalam mindanya. Siapa Kamsan? Makhluk apa pula yang menyerang bapanya itu tadi? Mengapa ada bilik rahsia di dalam rumah baharunya itu? Dirasakannya sudah berjam-jam dia duduk di sudut tepi pintu kolong itu, walaupun dia tahu sebenarnya baru beberapa minit Kamsan melangkah keluar tadi.
Tiba-tiba, peti besi besar tadi mengeluarkan bunyi dengusan wap. Dia langsung tidak dapat melihat apa sebenarnya yang berlaku. Kedengaran bunyi berkeletak kuat dari arah peti itu. Siti merasakan ada sesuatu sedang melangkah ke arahnya.
“Siti…” kedengaran suara Sarah. Lengan Siti disentuh oleh satu tangan hangat yang berjari panjang.
“Kakak… macam mana kakak boleh nampak Siti?” Soal Siti hairan. Sarah memetik suis lampu di atas kepala Siti. Seluruh bilik itu diterangi cahaya putih terang benderang. Sarah menghulurkan tangannya, membantu Siti bangun. Tubuh Sarah kelihatan pulih seperti sediakala. Langsung tidak terlihat sedikit pun calar pada tubuh tinggi lampai itu. Namun, entah kenapa wajah Sarah kelihatan lebih seperti seekor rusa berbanding tadi. Sepasang tanduk pendek memahkotai kepalanya yang kini berbulu halus rapat.
“Banyak lagi yang kakak mampu buat. Cuma papa tak pernah beri peluang pada kakak.” Sarah terdiam sejenak, menoleh memandang ibunya yang sedang terlantar di hujung ruang itu.” Jangan risau, Siti. Kakak sanggup berkorban demi keluarga kita.” Sarah tersenyum mesra. Siti yang wajahnya masih berlinangan air mata, tersenyum kembali.
“Mari… Siti kena jaga mama. Kakak nak pergi bantu Uncle Kamsan.”
Siti mengangguk lalu bingkas bangun, menghampiri ibunya. Dia menjeling ke arah butang merah yang ditekannya tadi. Butang itu tidak lagi berkelip.
Perlahan-lahan Sarah melangkah kaki panjangnya mendaki anak-anak tangga menghampiri pintu kolong tadi. Tanpa menyentuh pintu kolong itu, Sarah menerbangkan daun kayunya yang bersepai terbuka. Dengan kelajuan yang luar biasa, Sarah menghilang dari pandangan.
Dengan pistol di tangan, Kamsan sedang mengacah-ngacah Anna yang masih sedang meratah saki-baki daging kemerahan yang sudah tidak kelihatan seperti seorang manusia. Sarah menjeling sebentar ke arah mayat bapanya itu, kemudian ke arah Kamsan. Kamsan membalas jelingan Sarah. Memberi isyarat agar menyerang Anna dari belakang. Sarah mengangguk faham. Dengan satu tujahan kaki belakangnya, Sarah menerkam belakang badan Anna. Gigi-gigi panjang tumpulnya dibenamkan ke dalam bahu Anna. Anna meraung kesakitan. Kamsan pula tidak putus-putus melepaskan tembakan ke arah Anna. Ada yang mengena, ada yang tidak. Sebaik pelurunya habis, Kamsan mengeluarkan satu lagi magazine peluru dari kocek belakangnya lalu mengisi semula pistol itu. Tembakan dilepaskan berdas-das. Dia tahu tembakan itu tidak akan membunuh Anna, namun apa sahaja yang dapat menyakitkan makhluk itu, membuatkan hatinya puas.
Anna memusing-musingkan tubuh besarnya ke kiri dan kanan, membuatkan Sarah berhayun beberapa kali hampir terlepas. Namun rahangnya masih mencengkam erat bahu Anna. Anna menghayun tangannya ke belakang, lalu menangkap kaki Sarah. Direntapnya kaki lawannya itu lalu dihayunkan tubuh kurus itu sekali lagi ke dinding. Namun kali ini Sarah sempat memutarkan tubuhnya supaya kakinya menghentam dinding.
Dengan satu tujahan, Sarah kembali mederu ke arah tubuh Anna. Sarah menujah tanduk pendeknya ke dada Anna. Anna tersungkur ke belakang. Nafasnya tersekat dek kerana tujahan kuat itu. Dengan satu lolongan dahsyat yang tidak ubah seperti bunyi seekor rusa, Sarah menghenyak-henyak dada Anna. Lengan Anna dihayunkan tanpa sasaran. Beberapa kali Sarah menendang hayunan lengan besar Anna. Kamsan yang kini sudah benar-benar kehabisan peluru, sekadar memerhati pertarungan itu.
Tiba-tiba kedengaran bunyi deruan helikopter yang terbang rendah di atas rumah itu. Bunyi-bunyi decitan brek kenderaan juga kedengaran di luar rumah itu. Polis! Fikir Kamsan. Namun langsung tidak kedengaran bunyi siren.
Sedozen lelaki berpakaian tentera berwarna hitam dengan senjata berat melangkah masuk ke dalam rumah itu. Berdas-das tembakan dilepaskan ke arah Sarah dan Anna dari senjata-senjata automatik mereka. Senjata-senjata yang tidak pernah Kamsan lihat sebelum ini. Ini bukan Angkatan Tentera Malaysia!
Darah-darah merah memercik ke seluruh ruang rumah itu. Lolongan dan raungan kesakitan haiwan-haiwan besar itu menambahkan lagi kebingitan pada telinga Kamsan. Seorang lelaki berpakaian tentera bergegas ke arah Kamsan lalu menarik lengannya, membantu dia bangun.
“There are two women in the basement! Help them! Please!” Beritahu Kamsan. Lelaki tadi mengisyaratkan ke beberapa orang rakannya. Dua orang rakannya mengangguk lalu bergegas ke arah bilik bawah tanah itu.
“Don’t worry, sir. We will bring them out safe. Now, you have to be by my side. Do not go near the firing zone.” Arah lelaki itu dalam loghat Russia yang pekat. Kamsan mengangguk lalu merapatkan langkahnya ke belakang lelaki itu. Tidak jauh dari mereka, Sarah dan Anna masih cuba melawan tentera-tentera tadi. Namun, senjata-senjata yang mereka gunakan terlalu berkuasa untuk tubuh mereka tampung. Sebelum melangkah keluar, Kamsan terlihat Sarah tercampak ke belakang, dengan dada yang berlubang besar dihentam peluru-peluru besar. Anna meraung kuat, menghanyun buta kedua-dua belah lengannya. Tanpa disedarinya, air mata Kamsan mengalir ke pipi.
Halimah terjaga di dalam sebuah bilik rehat yang dindingnya putih bersih. Mimpinya itu terasa cukup pelik. Seekor monyet besar sedang berlawan dengan seekor rusa yang berdiri dengan dua kaki belakangnya. Rupa rusa itu tidak ubah seperti Sarah. Tapi tak mungkin anaknya itu masih hidup. Dia rindukan Sarah.
Halimah terasa bingung. Dia menggosok-gosok belakang lehernya yang terasa tegang. Di memandang ke sekeliling bilik itu.
“Ini bukan rumah aku…” getus hatinya. Dia bingkas bangun dari katil itu, lalu melangkah ke arah sebuah pintu kaca yang memantulkan kembali imej dirinya. Pintu itu tidak berkunci.
Alangkah terkejutnya Halimah bila didapatinya di liar pintu itu, beberapa buah helikopter dan berdozen kereta-kereta berperisai diletakkan berderet. Beberapa orang dalam pakaian tentera melangkah laju ke sana dan ke mari. Langsung tiada siapa yang mengendahkan kehadirannya di situ. Terasa cukup janggal untuk dia berdiri di tengah-tengah ruang yang kelihatannya seperti sebuah markas tentera luar itu.
“Mama!” Terdengar suara Siti dari kanannya. Sebaik menoleh, hatinya terasa lega melihat Siti yang tersenyum berjalan ke arahnya. “Mama dah bangun!”
“Siti. Kita dekat mana ni? Mana papa?” Tanya Halimah pelik. Siti sekadar menunduk diam. “Siti? Kenapa ni?”
Dari jauh Halimah terlihat Kamsan sedang berjalan menghampiri mereka. Tanpa berfikir panjang Halimah bergegas ke Kamsan yang sedang tersenyum lebar lalu melepaskan satu tumbukan padu tepat ke muka lelaki itu. Hidung Kamsan patah, darah mengalir dari luban hidungnya.
“Pengkhianat!” Jerkah Halimah. Siti menarik ibunya, cuba untuk menghalang sedas lagi tumbukan yang dengan sedaya upaya cuba dilepaskan oleh Halimah. “Kau pengkhianat! Apa kau dah buat pada suami aku?!”
“Nal… Zainal dah tak ada Halimah.” Jawab Kamsan perlahan, membuatkan Halimah semakin naik gila, cuba untuk melepaskan dirinya dari rangkulan Siti.
“Kau pembunuh! Aku akan pastikan kau meringkuk dalam penjara! Pembunuh!”
“Mama! Sabar mama! Bukan Uncle Kamsan yang bunuh papa! Uncle Kamsan yang tolong kita!”
Kamsan dan Siti menceritakan segalanya kepada Halimah. Halimah mendengar sambil menangis teresak-esak.
“Maafkan aku Halimah. Sumpah, aku tak tahu yang Anna ikut aku. Minda aku dikawal.” Itulah ayat yang asyik diulang-ulang oleh Kamsan sejak mula dia bercerita tadi.
Beberapa das tumbukan juga dilepaskan oleh Halimah kepada seorang pegawai tentera Russia yang terpinga-pinga tidak faham akan ap sebenarnya yang berlaku.
“Bukan mereka ni yang jalankan eksperimen tu, Halimah. Mereka ni tentera yang kerajaan Russia hantar untuk hapuskan Anna dan Sarah. Yang jalankan eksperimen tu adalah orang-orang bawahan sebuah kementerian yang korup. Langsung tak dapat kelulusan dari Presiden Putin. Mereka ini datang ke sini bawah arahan presiden sendiri. Operasi mereka dijalankan secara rahsia bersama pihak kerajaan Malaysia. Demi menjaga hubungan baik antara kerajaan kita dengan mereka, mereka berjanji untuk menyelesaikan perkara ini sendiri.”
“Tapi… macam mana mereka tahu Anna dan… dan kakak saya berada di situ?” Tanya Siti.
“Butang yang Siti tekan tu.” Jawab Kamsan. “Uncle ingat butang tu akan panggil pihak yang jalankan eksperimen tu. Uncle tak sangka pula hal ini dah diambil alih oleh pihak tentera Russia sendiri. Panggilan yang uncle buat untuk cari lokasi ayah Siti petang semalam rupanya mereka ni yang terima. Bukan saintis-saintis gila ang bekerjasama dengan Tan Sri dahulu.”
“Tapi mereka lambat! Sebab merekalah suami aku mati dibaham anak kau!” Jerkah Halimah.
“Ibu… tolonglah.” Rayu Siti lemah. Kamsan tersenyum hambar dengan rasa penuh bersalah. Dia menunduk, tidak sanggup memandang wajah Halimah mahupun Siti.
“Siti… hati kamu suci. Mungkin sebab tu Sarah tak jadi seperti Anna. Mungkin kerana kasih sayang yang kamu berikan masa kamu kecil dulu.” Ujar Kamsan sedih.
Siti terdiam. Air matanya mengalir membasahi pipi.
“Maafkan mama, Siti. Mama tak mampu buat apa-apa. Kau… kau tahu papa macam mana, kan?”
Siti mengangguk. Dia tidak perlukan apa-apa alasan dari ibunya mahupun sesiapa. Dia cuma lega bahawa kenangan manis bersama kakaknya selama ini adalah benar, dan bukan sekadar khayalan. Itu sudah cukup untuk membuatkan rasa kasihnya terhadap kakaknya itu kekal buat selama-lamanya.
-Tamat-
P/s: Baiklah. Tamatlah sudah siri Diari Siti ini (4 bab). Terima kasih kepada semua yang sudi membaca. Terima kasih tidak terhingga juga kepada admin Fiksyen Shasha yang mem-publish cerita-cerita saya selama ini.
Semua yang dikisahkan dalam siri ini adalah rekaan semata-mata.
P/ss: Kalau masih terdapat typo nama-nama watak tu, saya susun 10 jari mohon dimaafkan. Sekali lagi, terima kasih kerana membaca.
- hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Good fiction!!
best tapi ending kurang element ‘umph’
btw, best baca. tak perlu lagi beli buku/novel untuk baca cerita hebat macam ni.
TQ Ahmad Rusydi
Best sgt. Hope lepas ni ada fiksyen yg lg menarik. Kipidap!!! ????
sedihnya..sarah boleh ckp rupanya..
saya kasi 10 HA! hope to read more fictional stories from you in the future!
best cite ni!!!!tapi sedih sarah matikan..pape pun gud luck
setuju..cite ni best tp sedih tang part sarah mati
#AR, please buat lagi cerita..aku dh jd peminat kau dah ni..:)
sarah… T_T
Fuh…lega! Terima kasih AR
Sian sarah,. Sedih plk tetiba. X kisah la ko reka ke ape, Tapi,… we want more!! we want more!!… buku kan la. plisssss. Buat lg la citer k. ko dah ade peminat nih. hehe
Bestnya, sampai terbayang2 sarah dan anna bergasak dalam minda ni
ko mmg best.. otak ko mmg pandai reka cite.. walaupon ending dia buat aku kecewa tapi best.. aku harap ending dia sarah tu hidup.. masuk dalam jiwa tau watak sarah tu.. walaupon diperlakukan camtu hati dia masih penuh gn kasih sayang.. sedihnyaaaaa..
terbaik
Nak lagiiiiiiiii ?
cerita ni best. aku bca smpai habis. tahniah penulis, jln cerita kau menarik. hope ada lg nnti.