#AbamKiko – JANGAN CAKAP ABANG TAK PAYUNG (ABAM & PERISTIWA DI SEBUAH BANGLO TINGGAL)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera semua. Terlebih dahulu abam nak mengucapkan terima kasih kepada admin FS kerana telah menyiarkan cerita-cerita abam sebelum ini iaitu siri JANGAN CAKAP ABANG TAK PAYUNG (ABAM & PEAH) & (ABAM TERSESAT MASUK KE KAWASAN BUNIAN). Untuk yang belum mengenali siapakah empunya cerita ini, abam perkenalkan semula diri ini sebagai #AbamKiKo. Ada banyak peristiwa seram yang pernah menimpa diri abam sepanjang hidup ini. Abam akan berlagak selamba walaupun dihimpit ketakutan apabila bersua dengan mereka semua (Hantu Puaka). Prinsip abam adalah kita semua haruslah sentiasa berada di dalam keadaan selamba walaupun tengah bersedih, sakit hati, seram, takut, ataupun panik. InsyaAllah kita semua akan selamat. Abam bukanlah seorang hero, abam cuma ingin hidup gembira seperti orang lain, selamat, dan aman tenteram. Adakalanya abam nampak akan kehadiran mereka, adakalanya haram tak nampak, dan adakalanya nampak sepanjang masa. Jom layan cerita terbaru dari #AbamKiko OK?

ABAM KIKO & PERISTIWA DI SEBUAH BANGLO TINGGAL

Apa khabar korang semua? Abam harap korang semua berada dalam keadaan sihat sejahtera dan gembira hendaknya. Kali ini abam ingin bercerita tentang sebuah misi penyiasatan yang pernah abam dan beberapa rakan yang lain kendalikan pada suatu ketika dahulu. Subjek siasatan adalah sebuah banglo tinggal yang terletak berhampiran dengan sungai di sebuah negeri di selatan tanah air. Pada mulanya abam tidak ingin melibatkan diri dalam misi itu tetapi terpaksa akur juga selepas puas dipujuk rayu oleh sahabat abam sendiri.

Pada awalnya tujuan kami berada di situ adalah untuk memukat ikan dan udang di sepanjang sungai itu tetapi ketika bot kami sedang menghampiri sebuah jeti kecil yang hampir runtuh di situ, sahabat abam iaitu Rozzi ternampak sebuah banglo besar terlindung di sebalik pokok-pokok tembakau yang tumbuh melata di sepanjang muara sungai itu. Daripada jauh banglo itu kelihatan begitu suram dan daripada pengalaman terdahulu abam tahu bahawa banglo itu mempunyai penghuni-penghuninya sendiri.

Rozzi: Korang nampak tak apa yang aku nampak?

Abam: Nampak apa?

Rozzi: Cuba korang perhatikan betul-betul apa yang ada kat belakang pokok-pokok tembakau tu.

Duan: Wah…

Abam: Aku nampak macam rumah orang. Kenapa?

Rozzi: Cuba kau fikir secara logik. Situ kan kawasan semak samun, itu bukan rumah biasa, itu banglo tinggal. Aku confirm takde orang yang tinggal kat situ.

Duan: Mana kau tau?

Rozzi: Guna akal bro. Apa pulak pendapat kau Halim?

Halim: Aku pun rasa banglo tu kosong. Aku pernah dengar yang tu banglo bekas pegawai British masa zaman sebelum merdeka lagi. Itu yang aku pernah dengarlah.

Abam: Ya je kau ni.

Halim: Ya. Atuk aku pernah cerita dulu. Ada sebuah banglo besar tepi sungai. Banglo pegawai kolonial. Lebih kurang macam tulah. Aku rasa banglo tulah yang dimaksudkan oleh dia.

Rozzi: Menarik tu. Untuk mengesahkan lagi teori kau tu Halim, apa kata kita semua buat sedikit kajian kat banglo tu. Barulah kita tau samada atuk Halim ni kaki sembang ataupun memang pakar sejarah. Camne kawan-kawan?

Halim: Wah mulut kau Rozzi. Tak makan saman. Respek sikit atuk aku!

Rozzi: Takdelah aku just cakap je. Camne? Adakah kita sekadar pulang seperti biasa ataupun kita buat lawatan sambil belajar ke situ?

Duan: Aku on je.

Halim: Aku beres, takde masalah.

Abam: Abam tak setuju. Hari dah nak lewat petang ni. Kalau jadi apa-apa susah kita semua.

Rozzi: Abam. Kau ni selalu je buat hal. Kau tak payah bimbanglah. Aku ada kat sini. Aku boleh jaga korang semua. Siapa yang tak kenal aku. Ini Rozzi. Ini Rozzi der.

Abam: Abam nak balik jugak. Kalau korang nak ikut dia korang ikutlah. Kau hantar abam balik sekarang Rozzi!

Duan: Chill bro. Kita tengok-tengok sekejap pastu blah. Ok?

Abam: Abam tak kira jugak, tolong hantar abam balik sekarang.

Rozzi: Macam budak-budak kau ni. Bukannya selalu aku ajak kau datang sini. Apa jenis kawan kau ni abam?

Halim: Abam. Kita gi sekejap je. Kalau jadi apa-apa kat kau si Rozzi ni tanggung nanti. Setuju?

Abam: Hmmm…

Rozzi: Kita punyalah nak tengok kawan happy. Siap pinjam bot pak sedara lagi. Tapi dia. Malas nak cakaplah…Sedih aku…

Abam: Ok fine. Abam ikut. Sekejap je. Kalau jadi apa-apa kau jawab nanti Rozzi.

Rozzi: Yahoo. Yabedabedu. Jom!

Kawasan tersebut dipenuhi dengan semak samun yang tinggi melalang. Entah macam mana cuaca tiba-tiba sahaja berubah. Awan tebal mula kelihatan, angin bertiup kencang disusuli pula dengan hujan yang lebat. Nak tak nak kami semua terpaksa meredah masuk ke dalam banglo itu untuk berlindung daripada dibasahi hujan. Ketika menjejakkan kaki ke dalam banglo itu, abam ternampak beberapa orang wanita tua yang berkelubung hitam sedang berdiri memerhatikan gerak-geri kami semua.

Mata mereka berwarna hitam pekat, masing-masing memegang sebatang tongkat. Penampilan mereka adalah sama seperti sekumpulan ahli sihir wanita dari negara barat. Sahabat-sahabat abam tidak sedar bahawa mereka semua sedang diperhatikan. Rozzi pula dengan berani matinya bercakap besar seakan-akan mencabar makhluk di situ untuk memunculkan diri mereka di situ. Abam hanya mendiamkan diri sambil membaca ayat Qursi dan surah 3 kul di dalam hati sebagai perlindungan.

Rozzi: Aku pelik betul. Banglo ni punyalah besar gedabak. Sekor hantu pun takde kat sini. Pelik aku.

Abam: Jaga mulut tu. Jangan cabul. Jangan berlagak sangat. Kang mendapat baru kau tahu.

Rozzi: Setahu akulah, tempat kosong macam banglo ni biasanya ada benda yang duduk. Ini takde langsung. Itu yang membuatkan aku pelik.

Abam: Huh. Tak ada? Lantak kaulah Rozzi. Abam dah pesan awal-awal, mulut tu jaga sikit.

Rozzi: Kau ni penakut sangatlah abam. Rilek sudahlah.

Halim: Weh korang…Cepat naik atas, ada benda yang menarik ni.

Jantung abam tiba-tiba sahaja berdegup laju apabila Halim menjerit memanggil kami dari tingkat atas. Rozzi pantas berlari menaiki tangga di situ. Abam pula terkial-kial keseorangan menaiki tangga dengan agak perlahan. Ketika abam melintasi tiang yang berhampiran dengan tangga itu, abam nampak salah seorang daripada wanita tua itu terbang dengan lajunya menuju ke tingkat atas.

Rozzi: Woi abam. Lambatnya kau, terkedek-kedek.

Abam: Wei. Agak-agaklah bila bercakap tu. Abam ni special, bukan macam korang, halus macam lidi. Lain kali fikir dulu sebelum bercakap. Otak tu taruk kat kepala bukan kat lutut! Cakap main lepas je!

Ketika abam sampai di tingkat atas, abam ternampak pelbagai jenis hantu puaka sedang berkeliaran di situ. Jumlahnya dalam berbelas-belas ekor. Wanita tua itu juga berada di situ. Pada firasat abam, wanita tua itu mungkin adalah penjaga ataupun penunggu banglo itu. Rozzi, Duan, dan Halim pula berada di dalam bilik tengah. Mereka terjumpa fosil rangka tulang seekor haiwan yang tidak diketahui jenisnya.

Rozzi: Aku rasa ni rangka harimau. Tengok rupa pun dah tahu. Sini kawasan hutan memang logiklah ada harimau.

Abam: Kau ni agak-agaklah. Takkanlah harimau kecik macam tu? Dah tu melengkung sangat tulang belakang dia. Abam rasa bukan harimau ni.

Rozzi: Ini anak harimau der. Kau tengok tengkorak muka dia tu. Muncung ke depan tu. Harimaulah tu. Harimau hutan.

Abam: Harimau hutan? Memang diorang duk dalam hutan. Ada ke harimau bandar?

Rozzi: Kau diamlah abam.

Duan: Kalau harimau, Kenapa dia takde ekor? Tulang jari kaki pun takde?

Rozzi: Korang pernah tengok tak anak harimau ekor kudung?

Abam: Ha? Harimau ekor kudung? Biar betul?

Rozzi: Harimau ekor kudunglah. Diorang lahir cacat sebab tak cukup bulan. Diorang takde ekor. Alah macam kucing jugak.

Abam: Habis tulang jari dia?

Rozzi: Itu mungkin semut dah bawak lari makan.

Abam: Macam tak logik je jawapan kau ni. Habis tu sisa tulang yang lain kenapa diorang tak makan?

Rozzi: Tulang yang lain tu besar. Kena ada semut yang besar untuk makan tulang tu.

Abam: Hahaha. Bodohnya jawapan kau. Nak sembang dengan budak kecik bolehlah. Kau ni dah mengarut sangat ni.

Duan: Aku setuju abam. Memang tak logik langsung. Aku tak rasa binatang ni harimau. Kau tengok taring bawah dia tu. Lain macam je. Aku rasa kau ni main taram je Rozzi.

Rozzi: Terpulanglah kalau korang nak percaya atau tak. Aku dah jelaskan apa yang patut.

Abam: Hahaha. Abam dah tahu menatang apa ni. Kau jangan berlagak pandailah Rozzi.

Rozzi: Apa dia kalau kau bijak sangat?

Abam: Ni rangka tulang babi tunggal. Kau tengoklah gigi taring bawah tu. Tajam melengkung ke atas. Harimau mana ada taring tirus melengkung macam tu.

Rozzi: Bapaklah…

Duan: Yelah. Aku pun rasa macam tu. Nasib baik aku tak pegang tadi.

Abam: Pandai-pandailah kau samak nanti ya Rozzi. Hahaha. Babi tunggal dikatanya harimau.

Rozzi: Tapi macam mana babi ni boleh ada kat dalam bilik ni?

Abam: Dia masuk dalam banglo nilah sengal.

Rozzi: Aku tahu. Tapi macam mana dia boleh naik ke tingkat atas dan masuk dalam bilik ni? Cuba kau fikir betul-betul.

Abam: Itu pun kau tak boleh fikir? Dia naik tangga pastu masuk dalam bilik ni. Nak dijadikan cerita dia terbunuh dalam bilik ni. Mungkin sebab heart attack ataupun benda lain.

Duan: Kau pun mengarut jugak abam. Kaki babi dahlah pendek, macam mana dia naik tangga?

Abam: Ok, babi ni melompat-lompat pastu masuk dalam bilik ni dan menemui ajalnya akibat keletihan. Itu jawapan muktamad.

Duan: Boleh jadi jugak. Terima kasih abam. Otakmu sungguh bergeliga.

Ketika kami sedang bergelak ketawa abam terdengar tangisan yang agak kuat dari bilik sebelah. Abam mengajak mereka untuk meninjau ke bilik sebelah pula. Abam hendak melihat gerangan makhluk apakah yang sedang menangis itu.

Abam: Allahuakbar!

Rozzi, Duan, & Halim: Kenapa? Kenapa Abam?

Abam: Ermm. Takde apa.

Abam nampak seorang budak perempuan yang berumur dalam lingkungan 8-9 tahun sedang menangis di dalam tandas bilik itu. Kulitnya pucat lesi, mukanya agak cengkung, berbadan kurus, berambut tocang, dan dia sedang berdiri di atas mangkuk tandas sambil menangis bersendirian. Mukanya nampak comel tetapi kulitnya terlampau pucat seperti mayat. Tak lama kemudian dia menghalakan tangannya ke arah abam.

Sedang abam asyik memerhatikannya muncul pula seorang lelaki tua yang memakai baju kot memasuki bilik itu. Wajahnya saling tak tumpah seperti orang Inggeris. Dia memegang sebatang kayu baton di tangan kanannya dan duduk di atas kerusi di hadapan abam. Lalu dia mengeluarkan sebatang pen dan menulis sesuatu di atas kertas yang berselerakan di atas meja kerja di situ. Abam mendekatinya kerana ingin tahu apakah yang sedang ditulisnya. Apa yang abam nampak hanyalah contengan-contengan buruk. Tiada sebarang ayat ataupun tulisan yang ditulis olehnya.

Tiba-tiba kepalanya berpusing 180° ke belakang. Badannya di depan manakala kepalanya berada di belakang merenung abam sambil menjelirkan lidahnya. Abam menggigil keseorangan. Rozzi, Duan, dan Halim pula sedang ralit dengan aktiviti menyelongkar sebuah gerobok lama yang berada di hujung bilik itu. Abam berganjak dan menghampiri mereka bertiga.

Duan: Pucat semacam muka kau abam. Apa hal?

Halim: Yelah. Dah macam nampak hantu. Ke kau takut?

Abam: Diamlah korang.

BERDEPUP. Bunyi kepala lelaki tua itu terjatuh di atas lantai. Kepalanya mula bergerak dan memasuki gerobok lama itu. Badannya masih berada di atas kerusi itu. Dalam masa yang sama budak perempuan itu masih lagi menangis di situ. Duan pula telah masuk ke dalam bilik air itu untuk melepaskan hajatnya. Suara tangisan budak perempuan itu semakin lama semakin kuat. Mungkin budak perempuan itu terkejut dan trauma akibat ternampak barang peribadi milik Duan ataupun dia terlampau sedih kerana Duan telah terkencing ke atasnya. Sungguh malang nasib yang menimpa budak perempuan itu.

Rozzi: Aku rasa kita bawak balik gerobok ni. Kita jual dalam ebay ataupun amazon. Mesti kaya punya. Barang rare ni.

Abam: Tak payah. Biarkan saja ia di situ.

Rozzi: Takpe abam. Aku sorang pun dah boleh angkat gerobok ni. Bukan berat pun.

Abam: Bukan masalah berat. Gerobok ni bukan hak kita. Kau nak mencuri ke apa? Niat kita nak masuk dalam banglo ni dan tengok-tengok saja. Kau jangan buat kerja gila ya.

Rozzi: Habis tu kalau aku tak ambik nanti mereput jugak gerobok ni.

Abam: Jangan. Abam cakap jangan.

Rozzi: Huish…Kau ni!

Entah kegilaan apakah yang terjadi pada Halim pada waktu itu. Halim dengan bodohnya telah menendang gerobok itu dengan kuat. Abam lihat kepala lelaki tua itu melantun-lantun di dalam gerobok itu. Badannya terus bangun dari kerusi itu lalu ia menuju ke arah Halim dan menghantuk kepala Halim dengan kuatnya di sisi gerobok itu.

Halim: Aduh! Sakitnya. Aduh…Pecah kepala aku.

Abam: Kenapa bro?

Halim: Kepala aku terhantuk dowh. Macam ada orang tolak je aku rasa tadi.

Abam: Kau tergelincir kot. Tak pun kau pening pastu kepala kau terhantuk kat situ.

Halim: Mungkin jugak. Benjol kepala aku. Gilalah. Rozzi, kau tengok dahi aku ni. Benjol tak?

Rozzi: Alah benjol sikit je. Yang kau terhantuk pehal? Mabuk ke apa?

Halim: Aku tak taulah. Aku tergelincir pastu terhantuk. Sakit macam nak pecah kepala rasa.

Rozzi: Lain kali hati-hatilah.

Abam lihat Halim menahan sakitnya sambil mengeluh bersendirian. Abam agak geli hati sebenarnya tetapi abam tidak memberitahu perkara sebenar kepada mereka. Apa yang berlaku adalah pengajaran buat mereka. Jangan sesekali melawan nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman. Rozzi pula telah ditarik kaki dan tersembam di atas lantai akibat meludah di tepi gerobok itu.

Rozzi: Ada benda kat sini. Aku rasa macam ada benda yang tarik aku tadi. Banglo ni berhantu. Jom blah.

Halim: Aku pun sama jugak. Macam orang tolak kepala aku tadi. Ini semua kau punya pasal.

Rozzi: Aku pulak? Kau ni apa hal? Aku tak bersalah apa-apa pun.

Halim: Mulut kau tu celupar sangat tadi. Blahlah dowh.

Kami bertiga terus turun ke bawah. Abam tidak nampak sebarang hantu puaka berada di bahagian bawah. Mungkin mereka semua telah berkumpul di tingkat atas. Kami bertiga pun keluar dari banglo itu dan terus menuju ke arah bot. Cuaca kembali cerah. Jam sudah menunjukkan ke angka 6:30 petang. Ketika berada di atas bot abam berasa seperti kehilangan sesuatu. Seperti kekurangan sesuatu. DUAN! Ya Allah kami bertiga telah meninggalkan Duan di dalam banglo itu.

Abam: Rozzi, Halim. Wei kita kena masuk balik ke dalam banglo tu sekarang.

Rozzi: Kau gila ke apa? Tak nak aku. Dah nak Maghrib ni.

Abam: Wei bahalol. Kau dah nyanyuk ke apa? Kita datang berempat pastu balik bertiga? Duan ada kat dalam banglo tu gila!

Rozzi: Allahuakbar. Ya tak ya jugak. Aku ingat dia ada kat belakang kau tadi.

Abam: Celah mana pulak dia duk belakang aku. Dah. Jom kita ke sana balik. Merajuk pulak budak tu nanti.

Halim: Jomlah.

Abam: Kau ni senyap je dari tadi Halim. Kenapa?

Halim: Takde apa.

Abam menunggu di tingkat bawah sahaja kerana malas untuk naik ke atas. Rozzi dan Halim ditugaskan untuk membawa Duan turun.

Rozzi: Abam. Parah. Duan takde kat situ, kat dalam bilik lain pun takde. Camne ni?

Abam: Kau biar betul? Jangan main-main…

Rozzi: Sumpah. Kau tanya Halim…Eh Halim…

Abam: Mana Halim?

Rozzi: Tadi dia ada dengan aku. Aku turun sama-sama dengan dia. Sumpah!

Abam: Abam dah cakap siang-siang tadi. Kau degil. Nak jugak datang ke sini. Sekarang tengok apa yang dah jadi. Duan dah hilang. Pastu Halim pun sama. Sekarang kita cari kat bilik-bilik area sini pulak.

Abam dan Rozzi melakukan pencarian dari bilik ke bilik tetapi kelibat Duan mahupun Halim langsung tidak kelihatan. Apa yang ada hanyalah hantu-hantu puaka yang menjadi residen tetap di situ. Abam terpaksa menggunakan alternatif lain untuk mencari mereka berdua. Abam harus berkomunikasi dengan hantu puaka untuk bertanyakan tentang kejadian yang telah berlaku kepada mereka berdua. Risiko harus diambil memandangkan hari sudah semakin gelap ketika itu.

Abam: Rozzi kau tunggu kat luar sekejap.
Rozzi: Kau nak buat apa? Jangan buat gila. Aku tak nak balik sorang-sorang.

Abam: Alah. Cepatlah. Kau tunggu kat luar. Sekejap je.

Rozzi: Tak nak aku. Kau nak buat apa sebenarnya ni?

Abam: Adalah. Banyak soal pulak. Keluarlah!

Rozzi: OK! 5 minit paling lama. Kalau tak aku masuk balik.

Abam: Keluar cepat!

Abam berjalan menuju ke bahagian dapur. Lalu abam mendekati seorang wanita tua yang juga berkelubung hitam itu. Daripada pengamatan abam, terdapat 4 orang wanita tua yang berkelubung hitam di dalam banglo itu. Salah seorangnya berada di bahagian dapur itu.

Abam: Nek…Ermm…Nenek.

Hantu Wanita Tua: Haaa Haaaaa Haaaa

Abam menggigil dan hampir terkucil ketika itu. Tindakan yang dilakukan oleh abam ketika itu adalah sangat gila dan tidak bertamadun kerana bertanyakan pada hantu puaka tentang nasib yang sedang menimpa Halim dan Duan. Walaubagaimanapun abam cuba untuk berlagak selamba walaupun seramnya hanya Allah yang tahu.

Abam: Nek, saya abam…

Hantu Wanita Tua: Haaa Haaa Haaa

Abam: Saya nak tanya ni…Nek tengoklah saya ni…

Hantu Wanita Tua: Haa Haaa Haaa

Abam: Nek, tadi ada 2 orang kawan saya dalam rumah ni. Nek tahu tak diorang ada kat mana sekarang ni?

Hantu wanita tua itu terbang menuju ke arah abam. Matanya yang pada mulanya berwarna hitam pekat kini telah bertukar menjadi warna merah saga. Dia menjegilkan matanya sambil meraba-raba muka abam. Abam hampir terkucil di situ tetapi berbekalkan semangat selamba itulah abam masih dapat lagi mengawal emosi walaupun hakikatnya abam sedang menggigil ketakutan. Dia memegang tangan kanan abam lalu cuba untuk terbang tetapi gagal kerana faktor berat abam yang menidakkan keupayaannya untuk memikul beban tambahannya.

Bayangkan, abam tidak berganjak walau seinci pun dari tempat yang abam berdiri itu. Untuk tidak membuang masa lagi abam melakukan eksperimen lain. Abam memeluknya seerat mungkin dari belakang. Dengan cara itu abam fikir mungkin dia mampu untuk membawa abam terbang bersama kerana beban yang ditanggung olehnya telah diagihkan secara sama rata di bahagian belakangnya. Bau jubah kelubungnya begitu hapak dan tengik. Abam terpaksa bernafas melalui mulut untuk mengelakkan daripada tercium bauan yang kurang menyenangkan itu. Eksperimen abam berjaya.

Abam dapat rasa bahawa kami berdua telah mula terapung dari lantai. Kami terapung pada paras ketinggian 7 kaki dan mula bergerak menuju ke ruang hadapan. Kami terbang dengan agak laju namun malang tidak berbau. Dia telah merempuh pintu depan dan menembusi pintu itu tanpa sebarang masalah tetapi abam tidak dapat menembusi pintu itu. Abam terlanggar pintu itu lalu terjatuh ke atas lantai seperti sebiji nangka busuk yang gugur ke tanah.

Dalam kesakitan itu abam membuka pintu untuk keluar. Pada masa yang sama Rozzi sedang duduk menyandar di gazebo yang terletak berhampiran dengan pintu rumah itu. Hantu wanita tua itu seperti ingin menunjukkan sesuatu kepada abam. Lalu abam berjalan menuju ke arahnya.

Rozzi: Hoi abam kau buat apa tu?

Abam: Adalah. Kau lepak dulu kat situ.

Sekali lagi abam mengulangi proses yang sama seperti sebelumnya iaitu dengan memeluknya seerat mungkin dari belakang. Kami berdua terapung dan terbang semula seperti tadi. Dia membawa abam ke bahagian belakang banglo itu lalu berhenti di tepi sebuah perigi tinggal di situ. Ketika itu abam terdengar suara Duan dan Halim sedang menjerit meminta tolong. Abam tercari-cari dari mana datangnya suara mereka sambil memanggil nama mereka.

Abam: Duan, Halim korang kat mana?

Duan & Halim: Tolong, tolong…

Abam: Korang kat mana? Abam ada kat sini.

Duan: Abam! Kitaorang kat bawah ni. Dalam lubang perigi.

Suasana gelap yang telah menyelubungi atmosfera cukup menyukarkan pandangan abam untuk melihat dengan lebih jelas di dalam perigi itu.

Abam: Abam kat atas ni. Korang ke yang ada kat bawah tu?

Duan: Abam tolong kitaorang. Air kat sini dahlah kotor, busuk pulak tu. Tolong keluarkan kami dari sini.

Seperti biasa abam akan menguji mereka terlebih dahulu untuk memastikan bahawa mereka adalah manusia dan bukannya hantu puaka.

Abam: Duan. Kau dengar tak ni?

Duan: Ya aku dengar. Kenapa?

Abam: Cuba kau laungkan azan dengan sekuatnya. Takut ada hantu jembalang dalam tu.

Duan: Mana ada hantu jembalang.

Abam: Kau nak laung azan ke tak ni?

Duan: Ok. Kejap. Allahuakbar Allahuakbar…

Abam: Sekarang turn kau pulak Halim.

Bahu abam ditepuk dari belakang. Muka abam disuluh dengan cahaya lampu suluh. Abam hampir pengsan akibat terkejut ketika itu.

Rozzi: Kau buat apa kat sini? Kitaorang cari kau macam orang gila tadi.

Abam: Ha???

Duan: Kau punya pasal aku pun dapat susah. Mula-mula korang tinggalkan aku kat dalam tu. Pastu aku pergi ke bot sorang pun takde kat situ. Haram jadah betul. Kawan tinggal kawan!

Abam: Ha? Apa ni?

Halim: Kau buat apa kat sini abam? Bapak ngeri seram kawasan ni.

Abam: Habis tu…Siiiaaaapaa kat dalam tuuuu?

Halim: Dalam mana?

Abam: Dalam perigi tu…

Halim: Mana ada apa. Kosong je.

Rozzi: Kau ni abam! Nasib baik aku dengar suara kau. Kalau tak aku tak taulah apa yang akan jadi kat kau.

Abam: Taaadiii…Abaaamm denggarrrr suara Duan dan Halim panggil abam kat dalam tu.

Duan & Halim: Ha?

Abam: Ya. Abam dengar tadi…

Duan: Astafighullahalazim. Bawak mengucap abam. Dah jom kita balik dulu. Papehal cerita kat rumah. Aku dah tak sedap hati ni.

Abam: Kejap! Rozzi, tadi kau yang lepak kat gazebo tu kan?

Rozzi: Apa pulak? Aku, Duan, dan Halim ada kat dalam tadi. Aku dengar suara kau kat tingkat atas pastu kitaorang naik…Cari punyalah cari langsung tak jumpa. Last last kitaorang cari kat kawasan luar. Pastu aku terdengar suara kau menjerit-jerit tadi. Tup tup nampak kau kat sini.

Abam: Tadi masa kita bertiga masuk semula kat dalam tu kau hilang ke mana Halim?

Halim: Apa pulak aku yang hilang? Kau tu yang hilang. Aku dengan Rozzi tengah kalut cari Duan tiba-tiba kau pulak yang buat hal. Si Duan pulak boleh tahan jugak bengap. Boleh pulak dia tertidur kat atas bot tu.

Abam: Abam nak korang bertiga baca ayat Qursi kuat-kuat sekarang jugak!

Rozzi: Kenapa pulak?

Abam: Baca sekarang jugak. Kalau tak jangan mengaku abam ni kawan korang.

Syukur Alhamdulillah kerana mereka bertiga adalah sahabat abam yang sebenar. Peristiwa itu boleh diibaratkan sebagai peristiwa yang agak seram dan mengerikan buat abam kerana abam telah dipermainkan dan diperdayakan secara mental dan fizikal daripada hantu-hantu puaka yang merupakan residen asal banglo tersebut.

Hantu wanita tua itu juga berperanan besar di dalam memporak porandakan keadaan ketika itu. Kejadian tersebut menjadi sebuah iktibar buat abam bahawa sebagai seorang manusia kita jangan sesekali memohon bantuan dan bergantung kepada mereka kerana mereka adalah makhluk durjana yang hina lagi keji dan seharusnya kita harus berdoa dan memohon bantuan daripada Allah SWT.

Abam harap korang terhibur dengan kisah di atas. Banyak lagi kisah yang abam ingin kongsikan dengan korang semua. InsyaAllah abam akan berkongsi lagi kisah-kisah seram abam di sini. Semoga kita semua beroleh rahmat dariNya, InsyaAllah. Sekian, Assalamualaikum WBT.

14 thoughts on “#AbamKiko – JANGAN CAKAP ABANG TAK PAYUNG (ABAM & PERISTIWA DI SEBUAH BANGLO TINGGAL)”

    • Seram / Tak (2 marks) = 2
      Gaya bahasa (2 marks) = 2
      Penyampaian (2 marks) = 2
      Real / Fake (2 marks) = 2
      Whole story (2 marks) = 2
      Comment : Siapa cakap aku kejam, kalau cerita macam ni. Boleh je dapat full mark. 10/10. Teknik penceritaan yg selamba. Gaya bahasa yang baik. Ada seram, ada komedi, secukup rasa. Takda la mcm satu cerita tu, cerita sikit, masuk lirik lagu bagai. Sampah ! Whole story sangat menarik, ada plot twist kat situ, last2 invat plot twist lagi. Rupanya betul kawan2 abam. Takda la meleret sngt. Ngam2. Memang best cerita ni ! Teruskan menulis

      Reply
  1. Seram / Tak (2 marks) = 2
    Gaya bahasa (2 marks) = 2
    Penyampaian (2 marks) = 2
    Real / Fake (2 marks) = 2
    Whole story (2 marks) = 2
    Comment : Siapa cakap aku kejam, kalau cerita macam ni. Boleh je dapat full mark. 10/10. Teknik penceritaan yg selamba. Gaya bahasa yang baik. Ada seram, ada komedi, secukup rasa. Takda la mcm satu cerita tu, cerita sikit, masuk lirik lagu bagai. Sampah ! Whole story sangat menarik, ada plot twist kat situ, last2 ingat plot twist lagi. Rupanya betul kawan2 abam. Takda la meleret sngt. Ngam2. Memang best cerita ni ! Teruskan menulis

    Reply

Leave a Comment