Assalamualaikum wbt kepada semua pembaca. Pertama sekali, aku ingin ucapkan terima kasih kepada admin FS kerana sudikan kongsikan kisah aku ini kepada pembaca-pembaca. Aku tak pasti seram atau tidak, tapi aku harap pembaca ‘enjoy’ kisah ini. Aku digelar oleh orang yang mengenali aku sebagai Din dan aku lahir dan membesar di Pahang. Seperti yang kebanyakan daripada pembaca tahu, kebanyakan kawasan selain Bandar-bandar di Pahang terdiri daripada hutan, ladang kelapa sawit dan rumah aku juga berada berhadapan dengan ladang kelapa sawit. Hendak dikatakan di sini, kawasan rumah aku sangat sunyi dan jalan besar pula lebih kurang 500 meter daripada rumahku. Kawasan kejirananku terdiri daripada lebih kurang sepuluh buah rumah yang kebanyakkannya berjarak agak jauh antara satu dengan yang lain kecuali rumahku yang dibina berkembar oleh bapaku dan rumah sebelahku disewakan kepada satu keluarga yang sejak 2005 telah berpindah ke tempat lain. Rumah itu kini kosong dan dijadikan stor simpanan oleh bapaku. Hanya satu dinding kayu sahaja yang memisahkan antara rumahku dan rumah kosong itu.
Kejadian awal berlaku pada tahun 2010 semasa aku sedang belajar di sebuah matrikulasi di Selangor. Seperti biasa, selepas selesai satu semester, cuti tiga minggu akan diberikan dan aku bukan jenis kerja part-time, jadi aku selalu menghabiskan masa di rumah bersama keluarga semasa tiga minggu itu. Kedua abangku dan kakakku sedang mengambil ijazah juga di Selangor dan mereka tiada di rumah. Yang tinggal hanyalah kedua ibubapaku, adiku perempuanku dan aku. Pada satu malam, sedang aku asyik bermain permainan video, aku terdengar bunyi salakan anjing di depan rumahku. Aku melihat jam tanganku. Jarum panjang dan pendek tepat pada nombor dua.
“Eh, ada pencuri ke? Apa pasal anjing ini tiba-tiba menyalak?” benak hatiku.
Aku memberanikan diri membuka tingkap rumahku dan mencari kelibat anjing tadi. Aku ternampak anjing itu sedang menyalak tepat ke arah rumah itu sambil melompat-lompat seolah-olah ia terlihat sesuatu. Aku mula tidak sedap hati. Aku menyangka bahawa mungkin ada pencuri atau sesiapa yang sedang bersembunyi di rumah sebelah itu untuk mengambil peluang masuk ke rumahku. Aku baru sahaja ingin berganjak daripada tingkap tersebut untuk mengejut kedua ibubapaku dan memberitahu mereka tentang sangkaanku itu sebelum anjing itu tiba-tiba berhenti menyalak dan merenung ke arahku sebelum menghilangkan diri dalam kegelapan malam. Aku tergamam sebentar. Untuk seketika, bulu romaku mula meremang dan badanku mula seram sejuk. Tambahan aku terdengar bunyi seolah-olah seseorang sedang ketawa kecil betul-betul di sebelah luar tingkapku itu. Entah kenapa, badan aku seolah-olah terpaku di situ, tidak mampu bergerak. Aku perlahan-lahan cuba menutup tingkap itu, tetapi tingkap itu tersekat. Aku ternampak tangan yang sangat pucat sedang memegang penyelak tingkap itu dari luar.
“HAHAHAHAHAHAHA…..”
Dengan tidak semena-mena, seekor makhluk berwajah buruk, berambut panjang, mata putih kemerahan-merahan dengan ketawa yang sangat menggerunkan muncul di hadapan tingkapku tepat merenung pada wajahku. Jantungku bagai hendak tercabut, aku menjerit sekuat hatiku dan berlari ke bilikku. Tingkap itu aku biarkan terbuka sahaja. Aku menutup pintu bilikku serapat-rapatnya, kuncinya dan berbaring di atas katilku dalam keadaan berselubung dengan selimut. Selama ini, aku tak pernah percaya dengan perkara-perkara seumpama ini. Aku tak sangka aku sebegini penakut apabila berhadapan dengan situasi seperti ini.
Tidak sampai seminit kemudian, pintu bilikku diketuk,
“DIN!! DIN!! Kau kenapa ni din? Menjerit tengah malam. Engkau okay tak ni?”
Terdengar suara ibuku dari luar.
Aku bangun dari katilku secepat mungkin lalu membuka pintu.
“INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAAJIUN…..” perkataan pertama yang keluar dari perkataanku apabila aku lihat keadaan luar bilikku. Aku betul-betul berada di dalam rumah kosong sebelah rumahku. Keadaan gelap, sekadar sedikit suluhan cahaya daripada lampu luar rumahku yang membolehkan aku melihat sekeliling rumah itu. Aku mula takut, tapi mulutku tidak henti-henti menyebut nama Allah. Yalah, masa keadaan macam inilah baru nak ingat Allah, kalau tak, tak habis-habis dengan permainan video.
Aku berjalan perlahan-lahan dengan meraba-raba hadapanku, takut terlanggar barang-barang simpanan ayahku. Akalku masih buntu, mungkinkah ini sekadar mimpi ngeri? Macam mana aku boleh termasuk dalam rumah ini? Siapa yang panggil aku tadi kalau bukan ibuku? Segala persoalan ini buat aku jadi lebih takut.
“Pssstt….pssttt…”
Aku terdengar bunyi bisikan kecil seolah-olah memanggilku dari bilik belakang rumah itu. Aku terkedu sebentar, cuba untuk tidak melayan perasaan. Aku terus berjalan ke hadapan menghiraukan bisikan yang aku dengar tadi.
“HEYYYYYYY!!! KAU TAK DENGAR KE AKU PANGGIL NIIII!!!???”
Suara berbisik tadi bertukar menjadi suara jeritan garau yang memecahkan kesunyian luar biasa rumah itu. Aku terkejut dan air mataku mula mengalir deras dengan mulutku terus terkumat-kamit meminta perlindungan daripada Allah. Suara tadi berbunyi semula,
“APA YANG KAU BUAT DEKAT RUMAH AKU NIIII HAAAAA??”
“Aku tak tahu macam mana aku boleh sampai sini. Aku di bilikku tadi. Tiba-tiba termasuk sini.” Aku memberanikan diri menjawab soalan daripada makhluk misteri yang tidak dapat aku lihat. Tetapi tiada jawapan yang aku dapat.
“tap…” aku merasakan sesuatu memegang bahuku dari belakang. Jantungku seolah berhenti berdegup. Aku memberanikan diri memandang ke belakang. IBU!?
“IBUUUU!!!”. Aku memeluk ibuku. Apabila aku melepaskan dakapan itu, aku melihat sekelilingku. Aku berada di dalam rumahku semula.
“Kau kenapa ni Din? Apa pasal kau jerit-jerit tengah malam ni? Kau mimpi buruk ke?” ibuku bertanya soalan bertubi-tubi. Ayahku pun memandangku dengan pandangan yang sangat pelik.
Aku menceritakan segala apa yang berlaku tadi. Ibuku dan ayahku ketawa kecil mendengar ceritaku tadi.
“Kau mimpi pun sampai macam ni Din. Dah besar panjang pun takut hantu ke? Adik perempuan kau pun….” ayahku berhenti berkata-kata apabila adik perempuanku berlari-lari keluar dari bilinya dalam keadaan menangis. Wajahnya pucat lesi seolah baru selepas melihat hantu.
“Emakk…emakk..ada benda dalam bilik adik. Ada benda…adik takut..”
Ayahku segera masuk ke bilik adikku dan kelihatan barang-barangnya permainannya bersepah. Ayahku yang tadi ketawa mula kelihatan serius. Aku sangka aku sahaja yang ternampak benda bukan-bukan, adikku pun sama. Tambahan pula bilik kami berdua betul-betul bersambung dengan rumah sebelah itu sedangkan bilik ibu dan ayah pula di sebelah yang lain. Aku tidur di bilik abangku di sebelah bilik ibuku dan adikku tidur bersama ibuku.
Keesokan harinya, ayah bawa seorang ustaz kenalannya bernama Ustaz Azman yang memang mahir dalam bab-bab seumpama ini. Setelah mendengar ceritaku dan adik perempuanku, Ustaz Azman masuk ke dalam rumahku. Kemudian dia masuk ke dalam bilik adikku dan bilikku. Malu aku bilik bersepah. Bilik adikku bersepah pasal jin lain, bilik aku pula bersepah pasal ‘gene’ pemalas dalam badan aku ini haaa. Selepas itu, Ustaz pun minta kebenaran untuk masuk ke rumah kosong di sebelah.
Bunyi pintu lama itu terbuka sudah cukup menakutkan. Ustaz Azman masuk ke dalam rumah tersebut. Dia memandang sekeliling rumah usang itu dan menggeleng-gelengkan kepala setiap kali dia masuk ke dalam bilik-bilik di rumah itu. Rumah itu tetap kelihatan gelap dan sunyi pada siang hari walaupun tidak gelap gelita seperti waktu malam. Sedang ustaz berjalan-jalan di dalam rumah itu, tiba-tiba barang-barang simpanan ayahku mula jatuh dengan sendiri.
“SIAPA KAU!? KAU INGAT KAU PAKAI KOPIAH AKU TAKUT KE!!!?? JANGAN KACAU TEMPAT TINGGAL AKU!!!”
“SIAPA KAU?? INI BUKAN TEMPAT TINGGAL KAU. KAU GANGGU KEHIDUPAN MANUSIA DI SINI! TINGGALLAH DI HUTAN BELAKANG SANA!” ustaz Azman begitu berani menjawab . Bapaku dan ibuku terkejut mendengar suara tersebut. Baru mereka tahu bahawa aku menceritakan perkara benar semalam.
“INI RUMAH AKU DAH BERPULUH TAHUN!!!!!” jawab makhluk tersebut yang tidak kelihatan pun tubuh badannya. Aku yakin, inilah dia makhluk yang aku nampak di tingkap semalam.
Tiba-tiba kami terdengar suara dua budak kecil bermain di dalam rumah. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Aku dan adikku tergamam. Kedua suara itu amat kami kenali. Suara itu milik suara anak-anak kepada jiran kami yang menyewa di rumah itu lebih kurang 5-6 tahun lepas.
“AZIZUL!!! AWIN!! MASUK DALAM SEKARANG!!!” Suara garau tadi menjerit memanggil kedua budak kecil tadi untuk masuk dan tiba-tiba suara Azizul dan Awin hilang bersama-sama suara garau tadi. Aku menceritakan kepada ustaz Azman tentang Azizul dan Awin yang merupakan rakan sepermainan kami semasa kecil. Kami mencari nombor telefon Encik Azim, bekas penyewa rumah kami itu dan panggilan diangkat oleh seorang pegawai polis. Pegawai polis itu berkata bahawa Encik Azim telah membunuh isteri dan kedua anaknya sebelum membunuh diri baru malam kelmarin. Ustaz Azman mula memahami apa yang berlaku. Dia mencadangkan bapaku untuk memecahkan rumah kosong itu dan menyambung sahaja rumahku itu dengan rumah kosong itu.
“InshaAllah, amalkan bacaan al-Quran dan ayat-ayat pelindung sunnah Nabi, benda-benda macam ini tidak boleh kuasai kita. Yang tinggal di rumah itu bukanlah roh Encik Azim atau anak-anaknya, sebaliknya jin-jin jahat yang sedang cuba menipudaya kita. Mereka sekadar berpura-pura menjadi Encik Azim untuk membuatkan kita terpedaya dengan helah mereka. nasihat Ustaz Azman sebelum meninggalkan kami.
Bapa mula membuat usaha memecahkan rumah itu dan menyambung rumahku dan rumah kosong itu untuk membesarkan rumah kami. Pada mulanya, ibu dan kami adik beradik tidak setuju, tetapi akhirnya kami akur kerana itu tanah kami sendiri.
Beberapa tahun selepas rumah kami disiapbaik, masih ada gangguan-gangguan kecil. Tetapi tidak ada yang serius dan lama-kelamaan, gangguan itu pun mula hilang. Sudah 5 tahun sejak rumah kami disiapbaik, dan sejak itu sudah tidak ada masalah. Pengajarannya rakan-rakan, yakinlah bahawa semua jin ini tidak mampu berbuat apa-apa tanpa izin Allah. Jadi mintalah perlindungan daripada Allah sepanjang masa dan jangan takut dengan mereka, tapi takutlah akan Allah Taala. Terima kasih.
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
rumah mmg tak boleh dibiarkan kosong tanpa penghuni lebih dari 3 hari….makhluk halus akan buat rumah kosong jadi perumah mereka…
Bukan ke lebih dari sebulan ?
Seramnya baca! Rasa boleh terbayang situasi penulis tu mcm mana.
Seram x tau nak habaq…cerita betoi ka..
Oooo dh berpuluh tahun duduk ekkk…
Free free jer ko duduk anak beranak…
Bayor ar sewa…
Cukai pintu ke…
Sebarang2 jer dok free, toilet pon kena bayor ar skrg…
Ok seram…sbb aku terbayang aku dlm situasi tu…seb bek mlm ni tdo ngan mak aku..fuhhh…
kenapa bekas penyewa tu bunuh family dia pastu bunuh diri? saiko ke?
rumah kalau kosong, benda2 mcm ni suka pahtu claim lak kita ganggu rmh diorg. ewah. mcm dia lak yg bayar cukai pintu, bil letrik, bil air.