Kisah Kak Nora

Aku berkerja sebagai seorang jururawat. Ha, mesti ramai yang sangka aku ada koleksi cerita menakutkan yang banyak. Jawapannya, ya dan tidak. Sebab selalunya, apa yang menyeramkan pada orang lain, pada aku dan kawan-kawan yang sama kerjaya, dah lali. Tapi aku cakap ni bukan berlagak tau, cuma aku nak cakap, yang tahap penerimaan dan penghadaman aku terhadap benda-benda paranormal ni mungkin lebih tinggi dan terbuka.

Masa mula-mula kerja hampir 10 tahun dulu, berdasarkan hierarki kerja dalam sesebuah wad untuk team jururawat, paling atas adalah seorang Sister. Kalau dalam bahasa mudah faham, dia ketua jururawat untuk satu wad tu lah. Ini cerita ketaua jururawat wad aku, kita panggil dia Kak Nora. Kak Nora ni, garang orang dia.

Kalau stereotaip biasa nurse gomen muka masam, garang tu semua ada dalam kamus, muka Kak Nora ni mesti ada sebelah perkataan tu untuk jadi contoh. Dia tegas dalam kerja. Sebenarnya, aku dengan kawan-kawan aku tak de hal pun dengan Kak Nora. Sebab kitorang tahu dia garang, jadi kitorang cuma pastikan kerja tu buat elok-elok lah, itu je. Dia marah pun tak pernah tak bertempat.

Sampai satu ketika, ada sorang Doktor ni datang melawat wad kitorang. Doktor tu dulu kerja di hospital tu, kemudian berhijrah ke luar negara. Lama lah dia duduk dan berkerja di luar negara, dalam 20 tahun macam tu. Dia datang lawat wad tu, dan orang pertama yang dia cari ialah Kak Nora. Masa tu, Kak Nora cuti. Bila kami beritahu, muka doktor ni serta-merta kecewa, tapi dia kata tak pe, dia cuti lama, dia nak jugak jumpa Kak Nora. Doktor ni pulak jenis ramah tamah, so kitorang pun berboraklah. Entah macam mana, laju je mulut aku ni ala-ala mengadu, Kak Nora tu garang. Doktor tu diam. Lama dia diam sambil angguk-angguk. Dan dia pun mula buka cerita…

Doktor Faizal ni masuk kerja hospital tu sekali dengan Kak Nora dan Kak Tim, kawan baik Kak Nora. Kebetulan mereka kenal antara satu sama lain, kawan atas kawan macam tu lah. Pernah satu ketika ni, tiga-tiga kerja shift yang sama dan masuklah seorang patient ni, transfer daripada hospital swasta. Waktu tu dalam pukul 10 malam.

Dia dah tidak bertindak balas (non-responsive), kaedahnya dah macam koma lah. Perempuan, umur dalam 80++ tahun, kurus sangat, tinggal tulang dan kulit. Kulit pun dah menguning, tanda hati dia dah tak berfungsi dengan baik. Sebaik selesai proses ‘check-in’, anak-anak dia yang ada 3 orang bersama suami isteri masing-masing, terus balik dan tak de sorang pun yang tinggal untuk jaga (sebenarnya benda ni tak pelik pun, selalu je jadi kat hospital ni, anak-anak tinggalkan mak bapak uzur di hospital).

Yang pelik waktu tu, mereka seakan-akan terkocoh-kocoh, macam tak sabar-sabar nak balik. Nak suruh tinggalkan nombor telefon pun Kak Tim terpaksa kejar dan minta.

Malam tu, tugas diteruskan seperti biasa. Dalam pukul 12 lebih macam tu, keadaan dah settle down banyak dah. Pesakit-pesakit pun macam senyap je, ada lah dua, tiga yang mintak tolong itu ini. Tapi masih boleh handle.

Nak dijadikan, pada satu ketika ni, memang tak de apa-apa nak buat, jadi Kak Nora dan Kak Tim duduk di stesen jururawat dan borak-borak sambil kemas kini carta pesakit. Tengah borak-borak, Kak Nora terdengar bunyi macam banyak burung terbang sekaligus.

Kuat. Kak Nora terus diam dan tengok kiri kanan, tengok Kak Tim yang tak de respon apa-apa. Kak Nora tanya, “tak dengar apa-apa ke?” Kak Tim menggeleng. Bunyi tu masih kuat di telinga Kak Nora. Masa tu jugak, Dr F datang (dia kan ramah, suka borak, bosanlah tu duduk sorang-sorang). Dr F tengok Kak Nora melilau tengok kiri kanan tapi tak ada apa-apa.

Tiba-tiba, Makcik yang baru masuk tu macam respiratory distress, macam susah nak bernafaslah. Dari meja tu boleh dengar, “hekkk hekkk” dia tarik nafas macam tersangkut-sangkut. Jadi mereka bertiga terus bergegas pergi ke katil Makcik tu dan apa yang diorang nampak masa tu ialah Makcik tu dah terduduk dan tengah tarik-tarik segala tiub dan wayar pada badan dia. Kak Nora terus meluru ke Makcik tu dan cuba tenangkan dia.

“Jangan sentuh dia!” Makcik tu jerit. Kak Nora terperanjat. ‘Dia’ mana pula? Yang Kak Nora sentuh Makcik tu lah. Masa tu, Dr F dah syak ada unsur mistik di sini. Makcik tu terus meronta-ronta dan mendengus-dengus.

“Jangan sentuh dia, tangan kau kotor. Jangan sentuh aku cakap. Sentuh jugak, tahulah kau nanti!” Makcik tu terus marah, tapi nak buat macam mana, Kak Nora, Kak Tim dan Dr F perlu menjalankan tugas mereka. Dr F cucuk ubat penenang pada Makcik tu, tapi macam tak jadi apa-apa. Nak cucuk lagi, Makcik tu ada masalah jantung dan mungkin masa tu Dr F pun baru lagi jadi dia sendiri macam kurang confident.

Tiba-tiba Makcik tu menganga luas dan menjerit nyaring “Aaaaaahhh!!!” lepas tu terus jatuh dan berhenti bernafas. Lagi sekali diorang bertiga kelam-kabut cuba nak selamatkan Makcik tu tapi sayangnya dia dah tak boleh nak diselamatkan lagi.

Selesai uruskan Makcik tu, Dr F suruh Kak Nora call family dia. Kak Nora call salah satu nombor telefon yang ada, tapi tak berbunyi lansung. Cuba nombor yang kedua pun tak berjawab. Yang ketiga, masuk pesanan suara.

Yang keempat baru ada orang jawab. Masalahnya yang jawab suara budak, mungkin bawah lima tahun. Masa tu dah dekat nak pukul 2 pagi. Dan budak tu, macam cuma ulang balik soalan Kak Nora. “Mama ada?” “Panggil Mama!” “Papa mana?” ulang balik apa yang Kak Nora cakap. Kak Nora masa tu dah mula tension dan terus marah, “Janganlah main-main, panggil Mak awak sekarang!” Lepas je Kak Nora cakap tu, budak tu pun jawab, “Mak? Mak aku dah pergi. Dah tak ada. Tak adaaaaaaaaa…!” berlagu-lagu disambung dengan satu gelak yang nyaring.

Kak Nora panik, terus letak telefon dan serentak dia letak telefon, bunyi sayap burung tadi serta-merta kedengaran semula. Masa tu Dr F cakap, muka Kak Nora pucat lesi, toreh pun tak berdarah. Tapi sekurang-kurangnya, masa tu, kedua-dua Dr F dan Kak Tim dengar bunyi sayap burung tu.

Mulai malam tu, Kak Nora mula diganggu. Macam-macam hal. Ada hari ‘dia’ baik, dia nampakkan kelibat je. Ada hari ‘dia’ tak berapa nak baik, Kak Nora dapat fast-to-fast. Dapat panggilan telefon suara budak-budak gelak. Kena tindih. Mimpi bukan-bukan. Macam-macam hal. Masa tu Dr F cerita, Kak Nora sangat tertekan sampai mengganggu kerja. Kak Tim masa tu, sebagai kawan baik, selalu nasihatkan Kak Nora dan cuba cover kerja-kerja Kak Nora yang terganggu. Sampai satu tahap, Kak Tim bawak Kak Nora balik kampung dia di utara tanah air untuk berubat.

Masa berubat, barulah pasangan Ustaz Ustazah yang mengubat buka cerita. Yang mengganggu ialah saka Makcik 80++ tu. Makcik tu sebenarnya dah lama tak ada dan kalau diikutkan, jasad dia dah lama tak berfungsi macam manusia biasa.

Cuma, saka tu tiada tempat nak dituju, sebab anak-anak makcik ni, tak seorang pun nak jadi waris, jadi jasad Makcik tu diduduki oleh saka tu. Nak dijadikan cerita, masa Kak Nora sentuh Makcik tu, Kak Nora dalam keadaan berwudhu dan mungkin itu maksud ‘dia’ bila ‘dia’ marah jangan sentuh lah, tangan Kak Nora kotor lah. Jadi sekarang, saka tu berlegar-legar tak ada arah tujuan dan dia berdendam dengan Kak Nora, sebab pada dia, Kak Nora bertanggungjawab di atas kem4tian Makcik tu.

Pasangan Ustaz dan Ustazah tu pun usahalah nak tolong Kak Nora. Masalahnya, kalau ‘dihantar’ mungkin boleh dipulangkan. Kalau ‘dirasuk’ boleh diminta keluar. Kak Nora ni pulak, lebih kepada, disakat. Jadi yang terbaik boleh Ustaz dan Ustazah ni buat ialah bagi Kak Nora ni pendinding. Dan selepas tu Kak Nora dan Kak Tim balik dan teruskan kerja macam biasa.

Ingatkan dah habis cerita ni? Belum lagi. Sekembalinya dua orang ni ke tempat kerja, Kak Nora dah hampir tidak diganggu lagi. TAPI, Kak Tim pula kena tempias. Kak Tim takdelah berubat dengan Ustaz Ustazah tu sebab dia tak kena kacau apa-apa pun sebelum tu. Nak balik kampung lagi sekali untuk berubat, diorang baru masuk kerja balik, jadi nak tak nak, Kak Tim dan Kak Nora bersejutu untuk tangguh dulu balik kampung.

Satu hari, Kak Nora perasan Kak Tim perangai lain sangat. Tak bercakap dan marah-marah. Menghadap senja, Kak Tim mula tinggi suara. Menengking pesakit, keluarga. Even Dr F pun kena tengking. Kak Nora dan Dr F (yang tahu scerita) dah mula pandang-pandang satu sama lain. Habis shift mereka hari tu, Kak Nora minta Dr F bawak mereka berdua balik kampung Kak Tim. Mula-mula Kak Nora pujuk Kak Tim ajak balik kampung, dia menengking-nengking tak nak.

Jadi Kak Nora pun tipu, kata Dr F ajak keluar makan. Masuk je kereta, Dr F pasang ayat al-Quran dan memulakan perjalanan. Sepanjang perjalanan mereka, Kak Tim diam tapi muka merah tahan dan menggeletar tahan marah. Sikit-sikit dia garu telinga.

“Kau nak bawak aku pergi jumpa Ustaz dan Ustazah kan? B*bi.”

Dr F terus bawa kereta selaju yang boleh. Dia sendiri dah kecut perut tak tahu nak cakap macam mana. Sambil tu macam-macam caci maki yang keluar dari mulut Kak Tim. Maki Dr F, Kak Nora, Ustaz dan Ustazah tu, even anak-anak arwah Makcik tu pun dia maki. Sampai satu tahap, Kak Nora tak boleh tahan lagi, dia melawan.

“Kau ni tak sedar diri kan? Jangan kacaulah kawan baik aku. Tim kawan aku dunia akhirat, kau tahu tak? Jangan kacau dia. Jangan kacau kami semua.”

Sebaik sahaja Kak Nora cakap macam tu, Kak Tim diam. Lama dia diam. Lepas tu dia senyum. Senyum meleret-leret. Dengan suara separuh berbisik, ‘Kak Tim’ cakap, “Kawan baik kau? Kawan dunia akhirat? Kau takkan ada kawan lagi selepas ni. Kau takkan ada siapa-siapa lagi lepas ni.” Lepas tu dia gelak nyaring dan serta merta dia buka pintu kereta dan terjun keluar daripada kereta yang tengah bergerak.
Dr F terus pijak brek kecemasan dan berhenti tapi dah tertulis ajal Kak Tim di situ hari tu. Dia meninggal di tempat kejadian akibat dilanggar kereta yang tak sempat mengelak Kak Tim yang muncul tiba-tiba. Kak Nora rasa bersalah sangat dan dia terus sambung berubat dan belajar sikit-sikit dengan Ustaz dan Ustazah di kampung Kak Tim tu.

Tapi nak buat macam mana, janji ‘dia’, ‘dia’ tunaikan. Selepas peristiwa tu, Kak Nora tak boleh rapat dengan siapa-siapa. Orang yang rapat dengan Kak Nora akan diganggu. Lelaki ke, perempuan ke. Jadi Kak Nora ambil keputusan untuk jadi orang yang sukar didekati. Bukan sebab dia nak jadi orang yang macam tu, tapi pada Kak Nora, itulah jalan penyelesaian yang terbaik bagi situasi dia, daripada sampai jadi apa yang terjadi pada Kak Tim jadi pada orang lain.

Dia selalu pesan Dr F, jauhkan diri daripada dia, tapi Dr F bertegas nak terus berkawan. Kawan aje kan? Lagipun Allah kan ada. Dan Dr F kata, masa dia masih kerja dekat hospital tu, Dr F pun ada kena kacau. Tapi dia tak cerita pada Kak Nora. Sambung Dr F lagi, Kak Nora pernah berkahwin, tapi tak lama lepas kahwin, suami dia disahkan menghidap kanser pankreas dan meninggal tak lama lepas didiagnos.

Lama kitorang se-geng termangu dengar cerita Dr F. Macam terjawab segala persoalan pasal Kak Nora selama ni. Patutlah itu, patutlah ini, macam-macam keluar daripada mulut kitorang. Dan sejak itu, kami lebih hormat dan sayang pada Kak Nora. Semoga Kak Nora terus tabah dan semoga Allah terus melindungi dan memberkati dia.

Nasihat aku, tolonglah jangan berjinak-jinak dengan dunia ghaib ni. Nasib kita esok lusa, kita tak tahu lagi. Semoga korang semua juga dilindungi dan diberkati Tuhan.

23 thoughts on “Kisah Kak Nora”

  1. Gulp! Dalam byk2 kisah di FS, kisah ni yg paling menyeramkan. Tak sangka sampai ke tahap tu “benda” tu mampu bertindak. Berdiri segala bulu roma, serius! Semoga Kak Nora tabah. Terima kasih kepada penulis, teruskan berkongsi kisah-kisah seram sepanjang anda menjalankan tugas.

    Reply
  2. Ada hari ‘dia’ tak berapa nak baik, Kak Nora dapat fast-to-fast.
    fast to fast ke face to face ke fast and furious? curious aku

    Reply

Leave a Comment