Writer’s Block. Ianya sering terjadi kepada seseorang penulis itu apabila ketandusan idea untuk mengarang cerita. Itulah yang terjadi pada aku sekarang.
Manuskrip yang masih belum dikarang dibiarkan begitu saja. Tiba-tiba mood aku untuk mengarang sudah tiada. Aku menepuk-nepuk belakang leher. Cuba untuk mengendurkan urat saraf yang terasa tegang.
“Beb… menulis tu menulislah jugak. Tapi jangan sampai streskan diri.” Fitri menepuk belakang aku. Mug yang berisi teh O panas diletakkan di meja aku.
Aku mengeluh halus. “Thanks…” Aku mencapai mug tersebut dan aku sisipkan sedikit air teh hasil air tangan Fitri. Sedap. Kurang manis. Sesuai dengan selera aku.
“Writer’s block ke?” Fitri mengambil sekeping biskut tiger di dalam balang lalu dimasukkan ke dalam mulut. Matanya pula terpaku di kaca televisyen.
“Macam biasalah…” Aku mengeluh lagi. Badan disandar pada kerusi. Mata merenung siling. Mencari idea untuk jalan cerita seterusnya.
“Relakslah Syer. Deadline kan lambat lagi. Kalau lambat pun Encik Faizal mesti faham punya.” Aku memandang ke arah Fitri. Patutlah suaranya bunyi lain macam. Rupanya bercakap dengan mulut yang penuh dengan biskut.
Aku mula menggigit kuku ibu jari. Satu tabiat buruk yang selalu aku buat apabila kerisauan menerjah dalam diri.
Teringat pula tentang review pembaca yang aku lihat di Facebook semalam. Ada nak yang macam itu. Ada nak yang macam ini. Ada yang kata kurang seram dan ada yang mahukan cerita yang real. Baru ada feel katanya. Huh! Inilah nasib seorang penulis novel seram.
“Beb. Aku rasa macam dah tak nak buat story lagi dah. Lepas ni aku nak rehat.” Aku menyuarakan pandangan.
“Kau gila? Macam mana dengan pembaca yang suka dengan penulisan kau? Takkan kau nak putus asa macam ni kot.” Fitri berang. Tidak setuju dengan cadangan aku.
Aku diam.
“Aku rasa kau kena pergi bercuti. Tenangkan fikiran dulu. Mana tahu lepas ni idea datang mencurah-curah.” Fitri memberikan idea.
“Boleh juga. Tapi kau kena ikut aku sekali.” Fitri mengangguk. Sudah lama rasanya tidak pergi bercuti. Tahun ini rasanya belum pernah walaupun sekali aku pergi melancong ke mana-mana.
Aku dan Fitri berjalan-jalan di sekitar kawasan Kampung Morten. Sudah lama rasanya tidak datang ke Melaka Bandar Bersejarah. Aku lihat sudah banyak penambahan bangunan dan juga hotel-hotel di sini.
Keadaan di shopping complex agak sesak dengan orang ramai. Sememangnya bandar Melaka menjadi tumpuan pelancong sama ada dari dalam dan luar negara. Tambahan pula sekarang adalah waktu cuti sekolah.
“Kita cari hotel kat tempat lainlah. Hotel kat sini banyak yang dah full. Homestay pun sama. Ramai pulak yang datang melancong kat sini hari ni.” Fitri merungut.
Aku tergelak kecil. Fitri ni kalau dah bengang habis semua dibebelnya. Sampaikan ayam di kampungnya pun disalahkan. “Sabar. Mesti ada punya hotel yang kosong. Yang jauh sikit pun tak apa.”
Selesai makan malam, kami mulakan misi pencarian hotel untuk kami bermalam. Mata aku masih celik meskipun tubuh merasa letih. Fitri di sebelah sudah terlentok dengan mulut menganga separuh. Aku menggeleng kepala.
Keadaan jalan raya agak lengang dan sunyi. Tidak ada mana-mana kenderaan lain. Sambil itu aku cuba memanjangkan leher untuk melihat persekitaran. Cuba untuk mencari mana-mana hotel yang ada di sekitar sini.
Aku mengerling ke arah jam di dashboard. Sudah hampir jam 10 malam. Cepat pula masa berlalu. Kereta aku masih lagi menyusur jalan yang sunyi ini. Aku agak pelik kerana sejak dari tadi tiada satu pun kereta yang datang sama ada dari arah belakang mahupun dari arah bertentangan.
“Weh, Fitri. Bangunlah. Teman aku kejap. Aku rasa tak sedap hati ni.” Aku mengejutkan Fitri yang nyenyak tidur. Dia ni kan…
“Hmm… kenapa? Dah sampai ke?” Fitri menggosok mata. Sesekali dia menguap. Amboi! Seronok betul kau tidur ya.
“Dah sampai apanya? Dari pukul 9 lagi dok merayap atas jalan ni tak sampai kat mana-mana pekan or bandar lagi.” Aku meninggikan sedikit suara. Sebenarnya aku sudah mula cuak. Hati pula berdebar-debar dari tadi. Fitri yang mendengar kata-kata aku tadi terus segar mata.
“Okay relaks. Aku yakin nanti kita akan jumpa jalan keluar. InshaAllah.” Fitri cuba menyedapkan hati kami.
“I hope so…” Aku meneruskan pemanduan. Masing-masing senyap tidak terkata. Hanya lagu dari radio saja yang menemani kami.
Aku menguatkan volume radio untuk menghindarkan rasa takut. Aku membawa kereta dengan berhati-hati lantaran jalan yang aku lalui ini agak gelap. Bahkan hanya kereta aku sahaja yang melalui kawasan ini. Kereta dipandu selaju 70km/h.
“On a dark desert highway, cool wind in my hair,
Warm smell of colitas rising up through the air,
Up ahead the distance, I saw a shimmering light,
My head grew heavy and my sight grew dim,
I had to stop for the night,
There she stood in the doorway, I heard the mission bell,
And I was thinking to myself,
This could be Heaven or this could be Hell…”
Damn! Sejak bila Hot.fm rajin putarkan lagu Hotel California? Dengan keadaan kami yang berada di jalan yang sunyi membuatkan bulu roma kami merinding. Aku terus menukar saluran ke Ikim.fm.
Kami agak lega apabila mendengar ayat Al-Quran yang diputarkan. Namun makin lama alunan suara qari berubah. Bukan suaranya yang berubah, tetapi ayat yang dituturkan. Bukan lagi ayat Al-Quran yang kami dengar tapi seperti sedang memuja.
“Ini macam bahasa jawa kuno je…” Fitri bersuara. Fitri yang asalnya berketurunan jawa cepat sahaja dapat membezakan bahasa jawa kuno dan jawa moden.
Aku melihat saluran radio sudah tertukar. Aku cuba mengubah frekuensi, namun hanya kedengaran lagu Hotel California dan suara yang bercakap dalam bahasa jawa kuno itu sahaja. Aku segera menutup radio. Masing-masing senyap.
Aku mengerling ke arah jam di dashboard. Pukul 11 malam! Aku fikir jam itu sudah rosak. Aku melihat jam di telefon bimbit. Sama! Aku makin cuak. Sampai bila nak terperangkap di jalan yang sunyi ni?
Aku mula membaca ayat Qursi. Dari tadi lagi hati aku berdebar-debar. Aku dapat rasakan ada satu perkara buruk akan berlaku.
Tiba-tiba saja speaker berdesir seakan-akan frekuensi terganggu dan lagu Hotel California terpasang. Kami berpandangan. Aku menutup radio. Kami menunggu sekiranya radio terpasang kembali. Senyap.
Baru saja mahu menarik nafas lega, radio kembali terpasang. Kali ini suara yang berbahasa jawa kuno pula kedengaran. Fitri aku lihat seperti mahu menangis. Aku cuba untuk mengawal perasaan kerana aku yang sedang memandu sekarang. Aku segera menutup radio. Kali ini ia tidak lagi berbunyi. Kami lega.
“Aku harap sangat radio kau ni sebenarnya rosak.” Fitri bersuara.
“Aku pun harap macam tu juga.” Aku membalas dengan suara yang agak bergetar.
Dalam beberapa minit pemanduan, tidak jauh dari tempat kereta aku berada, terdapat seseorang berdiri di tepi jalan. Aku memicingkan mata untuk melihat dengan lebih jelas.
Seorang perempuan lengkap memakai baju kebaya berwarna kuning dan berambut hitam panjang paras pinggang sedang berdiri dengan kepalanya tunduk ke bawah dan tangannya melambai ke arah kami. Kedudukannya dengan kereta kami dalam lebih kurang enam meter.
Aku berfikir sendirian. Ada ke orang nak berdiri di tempat yang sunyi sebegini? Kalau memang betul manusia, aku bimbang kalau dia ada muslihat lain. Macam mana kalau dia bukan manusia?
Serta merta bulu roma aku naik. Aku cuba bertanya pada Fitri. “Kau nampak tak tu? Nak berhenti ke?”
“Kau gila? Sekarang ni dah tengah malam. Kau ingat ada ke orang nak berdiri dekat tepi jalan sorang-sorang macam ni?!” Fitri melenting. Silap aku juga pergi tanya soalan bodoh.
Kami melepasi wanita itu. Nasib baik dia tak lompat ke atas kereta atau menerjah masuk duduk di seat belakang. Kalau tidak, mahu melayang kereta ni masuk gaung.
Waktu pula sudah masuk jam 12 tengah malam. Sememangnya waktu-waktu begini orang sering mengaitkan dengan kewujudan makhluk halus. Apabila memikirkan tentang perkara itu, serta merta fikiran mula memikirkan tentang kejadian tadi. Ah! Abaikan. Sekarang ni aku berharap akan ada hotel yang berdekatan untuk kami menginap.
Selang dalam 5 minit kemudian, sekali lagi kami dikejutkan dengan wanita berbaju kebaya kuning tadi. Fitri hampir menjerit. Keadaan wanita itu sama seperti tadi. Tangannya melambai, cuma kali ini kepalanya tidak ditundukkan. Kepalanya terangkat, namun wajahnya tidak jelas.
Aku menekan pedal minyak. Mahu segera melepasi wanita tersebut. Setelah wanita itu tidak kelihatan, kami menarik nafas lega. Tetapi kelegaan kami tidak lama apabila wanita tadi muncul semula. Kali ini dia berdiri di tengah jalan sambil menghulurkan tangannya ke arah kami.
Fitri menjerit ketakutan. Aku memutar stereng mengubah ke arah laluan bertentangan untuk mengelak wanita berbaju kebaya itu. Nasib baik aku sempat mengelak. Kalau tidak, aku tak tahu apa yang bakal jadi nanti. Mulut masing-masing menyebut nama Allah.
Setelah 10 minit memandu, aku terpandang sebuah hotel yang terletak di sebelah kanan. Masing-masing mengucapkan syukur. Akhirnya kami menjumpai apa yang kami hajati. Tidak perlu lagi menempuh perjalanan yang menyeramkan ini.
Aku memberikan signal untuk memasuki lorong. Hotel tersebut agak terperosok ke dalam. Dari luar, hotel tersebut nampak menarik kerana seni binanya seperti bangunan hotel mewah di luar negara.
Aku memakir kereta di ruangan yang tersedia. Enjin dimatikan. Sempat aku melihat pada meter minyak sebelum keluar. Masih banyak lagi. Aku dan Fitri keluarkan barang masing-masing dari bonet dan kami menuju ke pintu hotel.
Kami melihat nama hotel yang terpampang pada atas pintu hotel. Hotel Lived of Luos. Agak pelik namanya. Kami membuka pintu lobi hotel tersebut.
“Selamat datang ke Hotel Lived of Luos.”
Sebaik sahaja kaki menjejak lantai lobi, kami menerima ucapan mesra dari penyambut tetamu dan seorang bell boy. Bell boy itu menghampiri kami lalu mengambil beg-beg kami untuk diletakkan ke dalam troli.
Mata aku terpaku dengan hiasan di lobi hotel ini. Dinding yang dicat berwarna putih dan perabotnya juga putih, seperti tema inggeris. Aku mendekati kaunter untuk membuat pendaftaran.
“Selamat datang ke Hotel Lived of Luos.” gadis di kaunter itu memberikan senyuman. Aku membalas senyumannya.
“Bilik untuk dua orang.” Aku memberikan kad pengenalan pada gadis itu. Sementara menunggu gadis itu mendaftar, mata aku memandang sekeliling. Masih belum puas melihat dekorasi di lobi hotel ini.
“Nombor bilik 202.” Gadis itu menghulurkan kunci bilik dan kad pengenalan aku. Pada masa yang sama dia juga menghulurkan dua kad untuk kami tandatangan. Pen diberi kepada kami seorang satu.
Aku fikir kad ini mungkin kad keahlian atau kad diskaun untuk tetamu yang menginap pertama kali seperti kami. Aku mengambil pen tersebut dan menekan butang untuk mengeluarkan mata pen. Pada saat ini aku dapat rasakan ada sesuatu yang tajam mencucuk ibu jari aku. Fitri juga merasakan perkara yang sama.
Pen terlepas dari tangan dan jatuh ke lantai. Aku dan Fitri mengibas tangan masing-masing kerana pedih. Setitik darah tercalit pada kad. Kami mengutip semula pen yang sudah jatuh ke lantai dan terus menurunkan tandatangan. Kad dikembalikan pada gadis itu.
“Bayaran akan dikenakan selepas anda check out. Selamat berehat.” ujar gadis yang sedari tadi tidak lokek dengan senyuman. Aku memandang tag nama yang dipakai oleh gadis itu.
“Terima kasih… Rose Luos.” Aku dan Fitri bergerak menuju ke lif. Bell boy juga turut mengekori kami bersama troli.
“Sudah lama ke kamu kerja di sini?” Aku cuba berbasa-basi dengan bell boy itu.
“Agak lama. Lebih lama dari apa yang kamu bayangkan.” Bell boy itu tersenyum pada aku. Aku mencuri pandang tag nama yang dipakainya. Alexander Luos. Dahi aku berkerut.
“Kamu dan Rose adik beradik ke? Sebab nama korang sama.”
“Semua pekerja di sini adalah dari keluarga Luos. Kami tidak akan sesekali menerima pekerja dari orang luar.” Aku mengangguk. No wonder la nama hotel ini Lived of Luos. Rupanya ia milik keluarga mereka.
Selepas Alexander meletakkan beg di dalam bilik kami, aku memberikannya tips tetapi dia menolak.
“Saya sudah mendapat bayaran saya.” Dia senyum lalu meninggalkan kami yang terpinga-pinga. Ah! Lantak. Dia sendiri yang tak mahu.
Aku memerhati sekeliling bilik. Meja solek terletak bertentangan dengan katil. Di balkoni pula terdapat dua buah kerusi dan satu meja kopi. Dekorasi yang simple saja. Nama hotel juga tertulis di dinding atas kepala katil. Aku mencapai tuala yang tersangkut di ampaian dan masuk ke bilik air untuk membersihkan diri.
Selesai membersihkan diri, aku mengeluarkan telekung untuk menunaikan solat Isyak. Aku mencari tanda arah kiblat namun tidak dijumpai. Mungkin mereka terlupa. Mujur saja aku tahu bearing arah kiblat Malaysia.
Aku membuka aplikasi kompas di dalam telefon lalu aku meletakkan di atas lantai. Aku cuba mencari sudut bearing namun bacaan asyik tidak tepat. Sekejap pergi ke arah belakang, sekejap ke arah kiri. Aku cuba mengkalibrasi kompas tersebut tapi hampa. Masih juga begitu.
Kali ini aku tawakkal. Bacaan arah yang terakhir aku dapat akan dijadikan sebagai arah kiblat. Aku berdoa semoga amal ibadah aku diterima. Aku mula mengangkat takbir.
Usai saja solat, tiba-tiba aku mendengar Fitri menjerit dari dalam bilik air. Terus aku bangun dan berlari ke sana. Aku mengetuk pintu namun tiada respon. Berkali-kali aku memanggil nama Fitri. Akhirnya pintu bilik air dibuka. Fitri keluar dengan wajah yang agak pucat dan ketakutan.
“Kau kenapa beb?” Aku dudukkan Fitri di atas katil. Kedua belah pipinya dipegang.
“Ada… ada…” Terketar-ketar suara Fitri mahu menjawab.
“Ada apa weh? Kau jangan macam-macam…” Aku menggoncang bahunya pula.
“Ada… Ada… Cacing dalam bilik air.” Aku ternganga. Dia punya menjerit macam ada perogol bersiri dalam bilik air tu. Aku jentik dahinya. Geram.
“Lain kali aku suruh cacing tu telan kau terus. Buat terkejut aku je. Huh!” Aku bangun dan membuka telekung. Sejadah dan telekung aku lipat dan aku letakkan di ampaian yang disediakan.
“Kau macamlah tak kenal aku. Aku geli dengan cacing…” Fitri bersuara serak seperti mahu menangis. Aku nak marah pun tidak sampai hati.
“Dahlah. Jom tidur. Dah nak pagi dah ni.” Aku menghempas badan ke atas katil. Selesa rasanya. Aku menggeliat untuk menghilangkan rasa lenguh. Tidak sampai beberapa minit aku meletakkan kepala, aku sudah terlena.
Aku dan Fitri turun untuk bersarapan di cafe yang terletak di belakang hotel. Kami mengambil tempat berdekatan dengan kolam renang. Komputer riba memang aku sudah bawa siap-siap.
Setelah bersarapan, aku hidupkan komputer riba. Ikon Microsoft Word aku tekan. Hari ini aku sudah mendapat idea untuk mengarang cerita. Aku ingin membuat kisah seram di hotel.
Kali ini kisah yang akan aku kongsikan kepada pembaca adalah dari pengalaman aku sendiri. Aku teringat kembali kejadian yang berlaku pada aku dan Fitri semalam. Terus saja bulu roma mencanak naik. Kalau boleh selepas ini aku tak mahu menghadapi situasi menyeramkan itu lagi.
Jari jemari aku mula menari di atas papan kekunci. Mencurah-curah idea yang datang pada waktu ini. Aku melihat sekilas ke arah Fitri yang sedang bermain dengan telefon pintarnya. Sudah pastinya dia faham, selagi jari aku tidak berhenti menaip selagi itu dia tidak akan mengganggu.
Dalam masa setengah jam saja aku sudah mampu menulis sebanyak 8-10 muka surat. Tapi masih lagi belum disemak tatabahasa dan kesalahan ejaan. Aku menggeliat sedikit untuk menghilangkan rasa lenguh. Aku lihat Fitri sudah hilang dari tempat duduk. Tidak perasan pula dia pergi ke mana-mana.
Aku melihat sekeliling mencari kelibat Fitri. Dari kejauhan aku perhati Fitri sedang rancak berbual dengan bell boy yang mengangkat beg kami semalam. Rancak betul kau ya Fitri. Pantang nampak lelaki kulit licin. Malas mahu mengambil tahu, aku meneruskan kerja aku.
Aku melihat jam di komputer. Sudah satu jam setengah aku habiskan masa untuk mengarang. Selesai sudah untuk bab satu dan dua. Aku mencari Fitri. Hilang pula minah ni. Di tempat dia berborak dengan bell boy tadi juga tiada. Aku membuka telefon pintar dan aku dapati ada satu pesanan di Whatsapp dari Fitri.
~Aku balik ke bilik dulu ya. Lambatlah nak tunggu kau.
Aku terus shut down komputer riba. Setelah memastikan tiada barang yang tertinggal aku terus bergerak menuju ke lif.
Semasa aku sedang menunggu lif terbuka, seseorang menegur aku. Aku menoleh ke belakang. Seorang wanita sedang bercekak pinggang memandang ke arah aku. Dari pandangan aku mengagak wanita ini pelancong dari luar negara kerana pakaian yang dipakainya adalah gaun British. Aku mempamirkan senyuman tetapi wajahnya masam saja.
“Get out from here…” Wanita itu terus berlalu meninggalkan aku. Aku mengerutkan dahi. Apa masalah wanita itu? Apa haknya untuk menghalau aku dari sini? Aku mendengus. Lif terbuka lalu aku masuk ke dalam perut lif.
Sampai saja di tingkat 2, aku terus melangkah keluar dari lif dan menuju ke bilik. Ketika sedang berjalan, aku berselisih dengan seorang lelaki berbaju T dan berhoodie. Aku tidak dapat mengecam wajahnya kerana kepalanya menunduk dan tertutup dengan hoodie.
“Keluar dari tempat ini…” Lelaki itu berkata seakan berbisik pada aku sewaktu kami berselisih.
Kaki aku berhenti melangkah. Sekarang ini sudah kali kedua aku disuruh keluar dari sini. Ada bencana alam yang akan berlakukah?
Aku berpaling kebelakang mahu menegur lelaki tadi, tapi malangnya dia sudah masuk ke dalam perut lif. Laju saja pintu lif itu tertutup sehinggakan aku ingin memanggil lelaki itu pun tidak sempat. Aku mengeluh.
Aku meneruskan langkah menuju ke bilik. Sampai saja di depan pintu bilik, aku mengeluarkan kunci lalu memasukkannya ke dalam lubang kunci. Aku membuka pintu dan masuk ke dalam.
“Fitri… I’m home…” Aku menutup pintu. Senyap. Aku melihat Fitri tiada di katilnya. Aku mencari pula di bilik air, juga tiada. Aku pelik. Rasanya tadi dia bilang mahu balik ke bilik.
Aku menepuk dahi. Baru aku teringat yang kunci bilik ada pada aku. Patutlah dia tiada di dalam bilik. Mungkin dia turun semula ke bawah untuk mencari aku. Aku memberikan pesanan padanya bahawa aku berada di bilik. Nanti pandai-pandailah dia menekan loceng.
Aku merebahkan diri ke atas katil. Mata aku memandang siling sambil fikiran aku ligat untuk mencari idea bagi bab-bab seterusnya. Makin lama mataku makin layu dan akhirnya aku tertidur.
‘Tok… Tok… Tokk…’
Aku membuka mata. Terkejut dengan ketukan pintu yang bertalu-talu. Dalam keadaan mamai aku bangun dan berjalan ke arah pintu bilik. Ketukan masih lagi kedengaran.
“Sabarlah oiii…” Aku mendengus. Ini mesti kerja si Fitri. Apa guna ada butang loceng tapi tak pakai.
Aku membuka pintu. Kosong! Aku menjengukkan kepala ke luar. Di ruangan laluan juga kosong. Kehairanan melanda diri aku. Kalau ada orang di luar pasti aku sempat melihat gerangan yang mengetuk pintu bilik tadi.
Tiba-tiba bulu roma aku mencanak naik. Baru saja aku ingin menutup pintu bilik, kedengaran bunyi dentuman di bilik sebelah. Aku kaku. Berfikir sama ada mahu menjenguk ataupun tidak. Kepala digeleng laju. Tidak mahu ketakutan menguasai diri.
Aku keluar dari bilik dan berjalan ke bilik sebelah. Bilik 204. Aku menekan loceng. Tiada respon. Aku cuba mengetuk pintu pula. Juga tiada tanda-tanda pintu akan dibuka. Mungkin aku salah dengar.
Baru saja ingin melangkah pergi, pintu bilik 204 itu terbuka sendiri. Perlahan-lahan aku menoleh ke arah pintu yang sedikit terbuka itu. Aku menolak pintu itu perlahan. Kepala dijenguk ke dalam. Suara seperti orang yang sedang menangis sayup kedengaran. Aku mengarah kaki untuk melangkah ke arah katil.
Aku melihat ada seorang wanita berpakaian gaun British sedang menunduk sambil memeluk lutut. Teresak-esak wanita itu menangis.
“Miss… Are you okay?” Aku cuba menegur.
“Get out from here… from this hotel.” Wanita itu membalas. Kepalanya masih lagi menunduk.
“What do you mean?” Aku cuba mendekati.
“Get out from here~” Wanita itu mengangkat kepala dan memandang ke arah aku.
Aku terkaku. Wanita itu tidak mempunyai bola mata. Darah pekat mengalir keluar dari matanya yang lopong. Wajahnya pula pucat seperti mayat. Kaki aku menggigil. Tidak pernah walaupun sekali dalam hidup aku pernah melihat makhluk menakutkan seperti ini.
“Help me~” Wanita itu menghulurkan tangan. Seolah-olah mahu aku membawanya pergi dari sini.
Aku jatuh terduduk. Kaki tidak mampu lagi menampung beban badan sendiri. Aku tidak mampu untuk mengeluarkan suara. Hanya air mata saja yang mengalir.
Wanita itu masih lagi menghulurkan tangan pada aku. Mulutnya tidak berhenti meminta tolong. Kemudian perlahan-lahan muncul satu tangan besar berwarna hitam dari dinding lalu mencengkam wanita itu dari belakang. Habis darah terpercik di segenap ruang bilik apabila kuku tajam menembusi tubuh wanita itu.
Wanita itu menjerit kesakitan. Bunyi tulang temulang patah jelas kedengaran. Kemudian wanita itu ditarik menembusi dinding. Wanita itu hilang dari pandangan mata aku.
Aku menggagahkan diri untuk keluar dari bilik itu. Aku berlari tanpa hala tuju. Keadaan ruang laluan juga sudah berubah. Dindingnya sudah reput dan berbau. Sangat meloyakan tekak.
Tiba-tiba bunyi dengung bergema di segenap ruang. Semakin lama bunyinya semakin kuat. Aku berlari lagi. Bunyi itu kedengaran semakin dekat di belakang seolah-olah sedang mengejar aku.
Aku ternampak satu lubang pada dinding yang sudah reput. Tanpa membuang masa, aku terus masuk ke dalam lubang itu untuk menyorok. Bunyi dengung itu semakin hampir. Aku menekup mulut untuk menahan bunyi nafas aku yang kencang. Sedaya upaya aku menahan nafas.
Aku melihat ada satu bayang hitam semakin lama semakin hampir. Hampir gugur jantung aku tatkala melihat satu lembaga berupa serigala hitam setinggi 3 meter. Kedua tangannya besar dan kukunya teramat tajam.
Lembaga itu melepasi aku. Aku meraup wajah dan melepaskan nafas lega. Aku menunggu sehingga bunyi dengunan itu tiada. Tatkala ini, aku terasa seperti ada seseorang membaling batu ke arah aku. Aku memandang ke satu arah. Dalam kesamaran, aku melihat ada seseorang sedang duduk memeluk lutut.
“Alexander?” Dia mengangkat kepala lalu tersenyum pada aku.
Belum sempat aku ingin bertanya lagi, Alexander bangun dan badannya bertukar seperti lembaga berbentuk serigala. Sama seperti makhluk berdengung tadi. Alexander mendekati aku sambil mulutnya senyum menyeringai.
“Siapa kau? Apa yang mahu dari aku?!” lembaga itu tidak menghiraukan soalan aku. Mulutnya dinganga seluas yang mungkin lalu laju saja dia menerkam ke arah aku. Aku menjerit nyaring.
Aku terjaga! Mata aku melilau ke sekeliling bilik. Jantung berdegup dengan kencang seperti baru lepas bermarathon. Dada aku turun naik dengan laju.
“Astaghfirullahal’azim…” Aku bermimpi rupanya.
Aku bangun dan bersandar di kepala katil. Mata bergerak memandang ke arah tingkap. Apa yang aku perasan sekarang ini adalah langit di luar gelap. Maknanya sekarang adalah waktu malam. Begitu lama aku tidur.
Pintu bilik air terbuka. Fitri berjalan keluar dari bilik air sambil mengelap rambutnya yang basah.
“Hah! Dah bangun pun kau. Aku tekan loceng sampai naik lenguh tangan aku. Nasib baik ada Rose, dia yang tolong buka pakai kunci pendua.” Fitri mula membebel.
“Sorry. Aku tak sedar langsung. Tak sangka lama sangat aku tidur.”
“Ya… lama sangat kau tidur. Dari pagi semalam sampai ke malam ni. Mati-mati aku ingat kau dah ‘tak ada’, sebab aku kejut kau tak bangun. Nasib baik si Rose tu bekas jururawat. Dia cuma kata kau tidur je.” ujar Fitri panjang lebar. Aku terkejut. Masakan begitu lama aku tidur? Sampai satu hari?
“Kau lapar tak? Kalau lapar jomlah kita pi turun makan.” aku mengangguk perlahan. Mimpi tadi aku abaikan. Aku anggap ianya sebuah mimpi buruk. Aku cuma bersiap ala kadar. Purse dan smartphone aku capai. Tidak lupa juga dengan komputer riba.
Selesai makan malam, seperti biasa, aku membuka komputer riba untuk meneruskan kerja aku. Ikon Microsoft Words yang telah aku save pagi tadi dibuka. Terus saja jari aku menari di atas keyboard.
Sedang aku khusyuk menaip, tiba-tiba seorang lelaki duduk di hadapan aku. Aku mengangkat kepala. Lelaki berhoodie tu!
“Aku nak bagitahu sesuatu pada korang berdua. Tapi jangan bagi nampak sangat yang kita tengah bincang sekarang.” Lelaki berhoodie itu bercakap dengan suara yang agak perlahan.
Aku dan Fitri saling bertukar pandang. Aku bersuara, “Kau siapa?”
“Aku Idham. Penduduk ‘tetap’ hotel ini. Tapi bukan hal aku yang korang patut tahu. Yang paling penting sekarang ni, korang berdua kena pergi dari sini sekarang juga.” Idham berkata tegas. Sesekali kepalanya memandang sekeliling. Seolah sedang berjaga-jaga dengan sesuatu.
“Apa yang kau cakap ni? Aku tak faham.”
“Hotel ini hotel puaka. Korang masih ingat lagi tentang pen yang mencucuk pada jari korang?” Aku terkejut. Macam mana dia tahu?
Dia menyambung, “Kalau korang nak tahu, darah yang tercalit pada kad tu merupakan satu perjanjian kau dengan syaitan. Bermakna darah itu adalah satu persetujuan kalian untuk menyerahkan jiwa kalian pada mereka.”
“Perjanjian menunjukkan selepas tiga hari kau ada dekat sini, kau takkan boleh keluar lagi dari hotel ni. Bermacam cara yang mereka akan buat untuk mempercepatkan waktu tiga hari tu.”
Aku terkejut. Dalam pada masa yang sama aku tidak tahu sama ada aku perlu percaya pada lelaki ini atau tidak. Tapi ada logiknya juga, sebagai contohnya adalah tempoh waktu aku tidur tadi.
“Aku berharap sangat korang percaya pada aku. Tolong keluar dari sini.” ujar Idham separuh merayu.
“Aku pernah bermimpi… pasal lembaga serigala dekat hotel ni. Besar. Hampir tinggi 2 tingkat bangunan.” aku mula membuka cerita.
“Ya… itu adalah ketuanya. Jiwa yang telah diambil akan dipersembahkan pada ketua mereka. Jiwa itu akan dipuja.”
“Habis tu… kenapa kau tak keluar je dari sini? Dan macam mana kau boleh tahu pasal benda ni semua?” Fitri mula bersuara.
“Sudah setahun aku terperangkap di sini dan aku takkan lagi boleh keluar dari hotel ni. Aku juga seperti korang. Langsung tidak tahu tentang ni. Tahu-tahu saja aku sudah terperangkap.”
“Dan aku memang sudah lama tahu muslihat mereka. Jadi aku nak korang cepat-cepat pergi. Sebelum mereka perasan rancangan korang. Lepas sahaja kaki kalian keluar dari hotel ini, mereka tidak akan ganggu kalian lagi.” Idham bangun dan berlalu pergi.
Aku dan Fitri cepat-cepat berkemas. Kami berjalan seperti biasa, tidak mahu menimbulkan sebarang kegelisahan di hadapan pekerja-pekerja hotel.
Sampai saja di bilik, kami terus menyumbat barangan kami ke dalam beg. Dalam hati aku meminta perlindungan dari Allah.
Sedang kami berkemas, bilik hotel kami bergegar seperti berlaku gempa bumi yang kuat. Kami jatuh terduduk. Tiba-tiba muncul satu bunyi yang dengungan yang kuat. Aku memandang sekeliling bilik. Mulut kami tidak berhenti menyebut nama Allah.
Aku terpandang pada nama hotel yang terpantul dalam keadaan terbalik pada cermin meja solek. Aku amati betul-betul.
“S…O…U…L…”
“F…O…”
“D…E…V…I…L…” Mata aku terbeliak. Badan aku menjadi lemah serta-merta. Kotak ingatan aku mula memainkan semula amaran yang telah diberikan oleh Idham dan wanita bergaun British itu. Aku tidak menunggu masa. Kami terus meninggalkan bilik.
Sampai sahaja di kaunter, aku menyerahkan kunci kepada Rose. Wajah gadis itu masam saja. Matanya tajam memandang kami seolah-olah tahu tentang rancangan kami. Kami sedaya upaya untuk membuat gaya seperti tiada apa yang berlaku.
Setelah membuat pembayaran, kami melangkah laju menuju ke pintu hotel. Namun langkah kami terhenti apabila Alexander, bell boy hotel ini berdiri di hadapan kami dan menahan kami keluar dari sini.
“You can check out anytime, but you can never leave.” Alexander memandang kami tajam. Aku dan Fitri menggelabah. Aku rasa seperti mahu menangis.
Belum sempat Alexander itu melangkah ke arah kami, tiba-tiba Idham datang dan menerkam Alexander. Idham memeluk kejap badan bell boy itu.
“Lari! Cepat!” Aku dan Fitri membuka langkah seribu. Beg pakaian ditinggalkan begitu saja. Hanya beg komputer riba yang tergantung pada bahu aku saja aku bawa.
Sempat aku menoleh ke belakang. Rose yang sedari tadi memerhati tiba-tiba berubah menjadi serigala hitam besar setinggi 2 meter. Kedua tangannya besar, berkuku tajam dan hitam. Alexander juga begitu.
Aku melihat badan Idham dirobek oleh serigala Alexander. Manakala serigala Rose pula mahu menerkam ke arah kami.
“Run… Runn!” aku mendengar suara penginap-penginap hotel yang terperangkap menjerit pada kami.
Aku berdoa pada Allah supaya memberikan pertolongan pada kami. Jarak kami ke pintu hotel hanya tinggal beberapa meter sahaja. Sebaik sahaja sampai di pintu hotel, pintu tidak dapat dibuka.
Aku memandang kebelakang, serigala Rose semakin hampir. Aku membaca Bismillah lalu kami merempuh pintu itu sekuat hati. Laju saja kami berlari ke arah kereta. Serigala hitam itu hanya berdiri di sebalik pintu hotel sambil memandang kami dengan tajam. ‘Dia’ itu menjerit kemarahan. Berdengung bunyinya.
Aku tidak menunggu lama, terus menghidupkan enjin kereta dan meninggalkan kawasan hotel tersebut. Aku melihat hotel itu dari cermin pandang belakang. Keadaan hotel itu nampak suram dan lama. Kemudian hotel itu ghaib begitu saja.
Fitri melepaskan tangisan. Bersyukur kerana dapat terlepas dari cengkaman mereka. Setelah 5 minit perjalanan, barulah kami masuk ke kawasan bandar. Aku menghentikan kereta di tepi jalan. Kami berpelukan. Mahu melepaskan rasa yang terbuku di hati masing-masing.
“Syhh…Kita selamat beb. Kita selamat…” kata aku diselangi dengan esakan kecil.
Jam menunjukkan pukul 11 malam. Kali ini kami tidak mahu lagi menyewa mana-mana bilik hotel. Kami hanya tidur di dalam kereta sehingga keesokkan pagi.
5 bulan kemudian…
Selesai sudah pelancaran novel seram terbaru aku bertajuk Hotel Lived of Luos. Nama yang agak pelik tapi misteri. Kisah ini berdasarkan kisah benar bercampur fiksyen, kerana ada sedikit pengolahan dan penambahan cerita dilakukan. Di dalam buku ini juga aku dedikasikan nama penyelamat kami, iaitu Idham. Semoga rohnya dicucuri rahmat.
~Beb… macam mana dengan fan meeting kau? Wah! Makin famous kau lepas ni.
Aku tersenyum membaca Whatsapp dari Fitri.
~Alhamdulillah. Semuanya berjalan dengan lancar. Baru je habis ni.
~Aku baru sampai ni. Jom lunch sekali.
~Bereh.
Aku mencapai tas tangan. Sempat aku mengucapkan terima kasih pada krew yang menjayakan sesi pelancaran dan perjumpaan dengan pembaca.
“Cik Syer…” aku menoleh kebelakang apabila ada suara yang memanggil.
“Cik Syer tertinggal ni tadi.” Pekerja kedai buku itu menyerahkan kad pada aku. Aku mengucapkan terima kasih lalu meninggalkan kedai buku itu.
Aku membelek kad yang diberikan oleh pekerja kedai buku tadi. Langkah aku terhenti. Rupa kad ini takkan pernah luput dari ingatan aku. Badan aku serta merta menggigil. Aku lihat ada kesan calitan darah pada kad ini. Aku memandang sekeliling mencari tetapi ‘wajah-wajah’ itu tidak kelihatan.
“Jangan risau Syer. Semua ni dah berakhir.” Aku mengoyak kad itu dan aku buang di dalam tong sampah berdekatan. Aku terus mengatur langkah meninggalkan kawasan itu.
-Tamat-
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
wow
wowwww. seken stori. still awezome!!.
terbaikkkk. best. dan yang penting takde sambungan, 5 BINTANG !!
assalamualaikum ciksyer.. best cite yg awq reka ni.. sy suke sgt.. lagi ii part yg idham selamat kan dorang berdua tu.. sy bgi 5 bintang ..
Patotla ko lame xde..hibernate rupenye..pegi holiday tsk hajak..hehe..nice syer..
So is this fiction or true stoy beb…
Overall nice beb..kioidap!
Syer.. cerita best!! Dah tak ada bintanglah.. hihihi
Syer bagi i baca dulu nnti i komen
Patotla ko lame xde..hibernate rupenye..pegi holiday tsk hajak..hehe..nice syer..
So is this fiction or true stoy beb…
Overall nice beb..kipidap!
Best gila cerita ni, terasa cam real pulak
terbaiklah CikSyer… I feel U…
I terbuai dgn penceritaan U tawww.
5 Cumi utk U. Cumi, cumi, cumi, cumi, cumiiii…
Best gilaaaa citer ko syer. Rasa macam aku pulak ada dalam cerita ko.
Btw,mula2 aku ingat fitri tu lelaki.kehkehkehkehkehh
macam kisah buku novel hotel,cuma kt novel tu diorg x boleh keluar ..
‘Tok… Tok… Tokk…’
i assume u still masukkan nama tok dalam setiap setori kau..
cerita yang bagus.. sebagai ketua kampung.. tok bangga..
4 bintang tok bagi (Jari tunjuk 5)
singkong kak mami rindu singkong ni.. gravatar tu tetap comel..
ko tiru cite orang ni.. teruk btol perangai.. tajuk novel tu hotel kompilasi penulis2..
Yeke?
Projek seram hotel kan?
Wehh.AQ dah pernah baca crita ni. Cum a dalam buku. Tajuk buku tu projek seram hotel. Tapi yg dua org tu laki & drng mati dlm hotel tu.dua2 mati.fuhh. ko olah semula ke crita ni? Hebat AQ sendiri x panda I olah2 nie
Syerr i ske cite u
Pak cik suke Nora Danish yg original….huhuhu….
Dari novel ke?????
PROJEK SERAM HOTEL?
Nice great story Syer 👍👍👍
Aku sukaaa hehe
ape niii!? copy cerita orang lain then buat macam idea bernas keluar dari otak sendiri.. shame onnn yaaa babeh..
Best 👍👍👍
Seremm banget!!
Best
# 9/10 #
Xkan olah crita dari novel pun writers block jgk..hahaha. Senang nk jadi penulis rupanya ek,tgu aku olah novel dri RAM,nnti aku sent kat FS.
copy paste , olah sikit2 , hantar FS
Kenape citer ni mcm urban legend lagu Hotel California tu je? Tak berapa nak sherlock sangat.
Ok. Best
makcik baca smbil psang lagu hindustan ‘teri meri’ trbaik. rsa feel
#cumel