Jangan Tegur

Masih ingat cerita “Jangan Balik”? Maaf jika cerita itu kurang seram tapi itulah kejadian yang berlaku pada aku. Cerita aku kali ini masih berkisar dalam rumah aku di kuaters ini.

Seperti kebiasaan, berdasarkan kisah sebenar yang aku olah serba sedikit, dan inilah cerita aku.

Seperti sedia maklum, kuarters yang kami diami ini sedikit sunyi dan sedikit seram dengan suasana yang gelap serta agak keras kawasannya dengan gangguan mistik. Kami ketika itu bertiga aku, abangku yang dua tahun lebih tua sedang bersiap menghadapi peperiksaan SPM, manakala aku bakal menduduki PMR, dan adikku pula UPSR.

Kami ada tabiat untuk tidur awal dan akan bangun pada satu pertiga malam untuk menelaah pelajaran, memandangkan kami masing-masing akan menduduki peperiksaan besar ketika itu. Malam itu, seperti biasa, kami bangun dalam keadaan yang masih mamai namun bersemangat. Rumah sunyi sepi, hanya kedengaran bunyi cengkerik di luar tingkap. Setelah beberapa jam menelaah buku dan latih tubi, jam di dinding menunjukkan pukul 3:00 pagi.

Tok… Tok… Tok…

Dengan nada yang naif, adikku mengerutkan dahi.

“Dengar tak?” bisiknya perlahan.

Aku dan abangku saling berpandangan. Pada mulanya, kami tidak perasan apa-apa, tetapi setelah diam sejenak, jelas kedengaran bunyi ketukan halus pada pintu rumah. Kami pasti bukan ketukan biasa bunyi itu perlahan tetapi berirama, seolah-olah seseorang mengetuk dengan hujung kuku.

“Jangan tegur,” abangku berbisik tegas.

Kami diam membisu, tapi malangnya ketukan itu semakin kuat, berubah menjadi gegaran kecil. Aku dapat merasakan jantungku berdegup kencang manakala adikku menelan liur, matanya membulat dalam ketakutan.
Sekali lagi Abang segera memberi isyarat. “Jangan tegur,” katanya dengan suara berbisik tetapi tegas. Aku dan adik hanya mengangguk, cuba mengabaikan bunyi yang semakin menggila. Tanpa dijangka, pintu bergegar kuat, seolah-olah ada sesuatu yang sedang cuba masuk.

BAM! BAM! BAM!

Abangku menggenggam bahuku dan adik dengan erat. “Jangan tegur… jangan buka pintu.”
Kami berdiam diri, berharap ketukan itu akan hilang, namun, ketukan semakin kuat, dan kini disertai dengan bunyi cakaran di permukaan kayu. Adikku menutup telinga, menggigil ketakutan. Aku hanya mampu menelan air liur, tubuh terasa kaku.

“Ya Allah…” Adikku menutup mulut dan cuba menahan nafas.

Abang yang memang berani dan bingkas bangun, berjalan perlahan ke arah jendela sebelah pintu dan mengintai melalui lubang kecil. Aku lihat badannya menegang, nafasnya tertahan.

“Apa kau nampak?”

Abang berpaling ke arah kami. Wajahnya ketakutan tetapi tetap tenang dalam memberi respon pada kami.

“Tak ada sesiapa.”

Skreek… skreek… skreek…

Bunyi cakaran itu semakin lama semakin kuat, seolah-olah sesuatu sedang mencuba untuk masuk. Lampu di ruang tamu tiba-tiba berkelip-kelip sebelum padam sepenuhnya. Rumah kami gelap gelita, hanya diterangi cahaya bulan yang malap dari tingkap. Aku dapat merasakan sesuatu. Kehadiran yang menekan dan seperti ada mata yang sedang memerhati kami.

“Korang buat apa dalam gelap ni?” Satu suara garau memecah kesunyian dari arah pintu.

Jantungku berdegup kencang. Aku memandang abang dan adik, cuba mencari kepastian. Tetapi riak wajah mereka mencerminkan ketakutan yang sama.

Langkah perlahan kedengaran seperti mendekati ruang tamu. “Oi, aku tanya ni, korang buat apa?”

Suara itu semakin dekat. Aku tidak berani menoleh. Nafasku sesak, kemudian, bunyi nafas kasar kedengaran di belakangku. Aku memejam mata, berdoa sekuat hati.

Kami duduk diam untuk beberapa minit, cuba memahami apa yang baru berlaku, tetapi sesuatu membuatkan bulu romaku kembali berdiri. Di atas meja tempat kami belajar, ada sehelai kertas. Kertas itu bukan milik kami dan di atasnya, tertulis dengan tulisan kasar dan senget

“Kenapa tak tegur aku?”

Kami terpaku. Abangku, yang selama ini berani, kelihatan pucat dan terperanjat. Kertas itu ada di tempat yang seharusnya hanya buku telaah kami sahaja dan kami pasti tidak ada sesiapa yang menghampiri meja itu selain kami bertiga sahaja.

dan!! Suara itu kedengaran lagi dari ruang tamu yang gelap.

“Aku ada sesuatu untuk korang..”

Kami cuba berpaling, tetapi sejurus itu, pintu utama terbuka sendiri dengan bunyi yang menakutkan. Lampu tiba-tiba menyala, tetapi yang lebih mengejutkan di pintu depan, hanya ada kegelapan yang pekat, tidak terlihat apa-apa kecuali bayang-bayang yang bergerak perlahan. Badan aku mengeletar manakala adik aku masih menahan dari menitis air matanya. Abangku hanya mampu menggenggam tangan kami lebih kuat, walaupun dia kelihatan seolah-olah terperangkap dalam ketakutan yang sama. Dada kami berombak, dan aku hampir menjerit apabila melihat lebih jelas bayang hitam tinggi berdiri di ambang pintu, tidak mempunyai wajah, dan hanya sosok gelap dengan dua mata merah menyala.

“Abang… apa yang kita nak buat?” Suaraku bergetar, namun aku tahu tiada jawapan akan datang bukan dari abang, apatah lagi adik kerana dalam ketakutan yang mencengkam ini, otakku gagal berfungsi dengan waras, dihantui kejadian yang begitu menakutkan.

Tiba-tiba…

“Allahu Akbar!” Satu suara kuat berkumandang dari bilik utama.

Papa dan Umie!

Papa menerpa ke arah kami dengan wajah serius, tangannya menggenggam surah Yasin yang selalu dibaca setiap malam. Umie pula membawa sebotol air yang aku tahu sudah diruqyah. Dengan serta-merta, Papa membaca ayat suci dengan lantang, dan sebaik sahaja kalimah itu kedengaran, makhluk itu mengeluarkan bunyi mengerikan seperti kesakitan yang amat bercampur dengan raungan yang amat berdensing telinga.
Mata merahnya berkelip-kelip, tubuhnya bergetar seperti asap yang mahu berkecai. Bayangan hitam itu mundur, cuba menghilangkan diri ke dalam kegelapan pintu, tetapi Papa terus membaca ayat-ayat suci dengan lebih kuat.

Pintu utama yang tadi terbuka luas, tertutup sendiri dengan bunyi dentuman yang kuat. Lampu yang tadi kelap-kelip kini menyala terang. Rumah kembali normal, seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Kami bertiga masih terduduk dengan nafas tersekat-sekat, Umie segera mendapatkan kami, mendakap kami erat. “Ya Allah, Allhamdulillah, Allah masih lindungi kita”, Umie bersyukur dalam suara bergetar.
Tidak semena mena, air mata kami masing masing gugur.

Papa menghembus nafas panjang, memeriksa setiap sudut rumah sebelum berkata, “Benda tu takkan ganggu lagi namun tidak pasti berapa lama”.

Aku memandang meja belajar. Kertas yang tadi bertulis “Kenapa tak tegur aku?” kini hilang, seolah-olah tidak pernah wujud.

Selepas kejadian, kami tidur di dalam bilik ibu bapa kami dan tidak ada yang berani tidur bersendirian. Ketika aku melelapkan mata sementara menunggu subuh dan bersiap ke sekolah, aku terasa sesuatu yang dingin merayap ke telingaku. Suara itu berbisik yang serak dan menyeramkan menggetarkan seluruh tubuhku.

“Aku akan kembali menghantui mu”

Aku tersentak, tubuh menggigil. Kejadian itu mungkin berakhir, tetapi aku tahu…

Mimpi ngeri ini baru bermula…

Sesungguhnya yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya. Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu jika betul kamu orang-orang yang beriman. (Ali Imran, 3:175)

Langkah Sufi
25 Februari 2025 (Selasa)

Langkah Sufi

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.