Hai, saya Iris. Masih ingat kisah-kisah saya ? Saya pernah menulis kisah Pontianak Bersuara Burung dan Gangguan Jin Tiga Beradik. Jika ada masa terluang memang saya akan menulis kisah seram saya tetapi kadangkala saya sibuk melukis dan uruskan kerja.
Kali ini saya ingin berkongsi kisah berkenaan Pari-pari di kebun. Bukanlah kisah yang terlalu seram tetapi kisah yang diceritakan dari generasi ke generasi. Kisah ini dialami oleh atuk saya. Kisah yang masih menyimpan kenangan dalam dirinya.
Atuk merupakan anak bongsu dalam keluarga dan anak lelaki tunggal. Keluarga atuk kira berharta juga. Zaman dahulu keluarga atuk sahaja ada kereta dalam kampung. Ibu dan ayah kepada atuk ada banyak tanah kebun dan sawah yang diusahakan. Jadi memang keluarga atuk dihormati.
Suatu hari , ayah kepada atuk membawa atuk ke salah satu kebunnya yang terletak agak jauh dari kampung mereka. Mereka pergi bertiga. Atuk, ayahnya dan Ngah Jon iaitu sepupu ayahnya yang diberi tugas sebagai pemandu dan pembantu. Sementara Ngah Jon memandu dan berborak dengan ayahnya , atuk seronok menadah tangan ke luar tingkap dan merasai titis-titis renyai hujan.
Suasana ketika waktu hujan sangat mendamaikan. Tak terasa letih walaupun lama duduk di dalam kereta. Mereka sampai di sebuah rumah papan yang besar dan cantik (rumah orang kaya dulu-dulu). Kedatangan mereka disambut baik oleh sepasang suami isteri separuh usia.
Rumah yang luas itu agak suram kerana tiada remaja seusia atuk yang boleh diajak borak. Jadi , atuk berjalan ke salah satu ruang yang pintunya terbuka luas. Dia malas menyertai ayahnya dan Ngah Jon berborak dengan tuan rumah.
Di luar rumah masih hujan renyai tetapi cuaca panas. Hujan panas. Atuk duduk bersandar di pintu memandang ke arah luar rumah. Pintu itu menghadap deretan pokok getah yang memanjang. Kalau tak hujan sudah pasti atuk keluar untuk mengutip biji getah. Dia memang suka mengumpul biji getah jika mengikut Ngah Jon ke kebun.
Disebabkan bosan menunggu hujan berhenti, atuk mengeluarkan beberapa utas getah dari koceknya. Dia melastik getah ke arah luar rumah.
Zzzpppp! Zzzpppp!
Bunyi seperti serangga terbang. Tetapi kuat bunyinya. Atuk bingkas bangun dan mencari arah bunyi itu. Niatnya mahu menangkap dan dijadikan bahan bermain.
Zzzpppp!!
Rupanya bunyi itu datang dari arah belakang pintu kayu yang atuk bersandar tadi. Mungkin serangga itu tersepit. Atuk cepat-cepat menguak pintu untuk melihat serangga itu.
Alangkah terkejutnya atuk apabila bunyi yang difikirkan datang dari serangga rupanya datang dari makhluk pelik yang dia tak pernah lihat. Makhluk itu mengepak sayapnya tetapi tidak terbang. Hanya diam di celah pintu.
Atuk terkaku. Makhluk itu kecil sangat saiznya. Berwajah seakan manusia tetapi sedikit lonjong, putih dan bermata bundar. Ada beberapa helaian rambut panjang di kepalanya dan bertelinga capang seperti kartun di filem. Makhluk itu juga ada tangan dan kaki seperti manusia biasa serta ada pakaian. Cuma pakaiannya seakan kain nipis. Cukup-cukup untuk menutupi bahagian badan.
Setelah lama atuk diam memerhatikan makhluk itu, akhirnya makhluk itu terbang keluar dari celah pintu. Atuk tidak menangkapnya kerana bimbang binatang beracun atau berbisa. Atuk hanya memandang makhluk bersayap itu terbang keluar. Bunyi sayapnya kuat kedengaran.
Sebaik sahaja hujan berhenti , atuk mengikut ayahnya ke kebun mereka yang terletak tidak jauh dari rumah itu. Hanya berjalan kaki. Turut serta adalah Ngah Jon dan tuan rumah yang dikenali Haji Mail. Sambil berjalan-jalan di kebun getah , atuk menangkap beberapa ekor belalang dan dimasukkan ke dalam plastik.
Zzppp!!!
Atuk terperanjat. Bunyi kibasan sayap itu seperti bunyi yang dibuat oleh makhluk pelik tadi. Atuk menoleh sana sini mencari kelibat makhluk aneh itu. Dia ingin tunjuk kepada Ngah Jon kerana Ngah Jon memang banyak ilmu mengenai hutan, tumbuhan dan serangga.
“Cari apa?” Haji Mail menegur dengan senyuman.
Atuk tak fikir lama. Dia terus ceritakan hal yang terjadi dan bagaimana rupa makhluk itu. Ayahnya dan Ngah Jon agak terkejut tetapi Haji Mail hanya ketawa.
“Bertuah dapat melihat pari-pari. Bukan semua orang dapat jumpa. Dia pemalu dengan manusia.” Kata Haji Mail.
Haji Mail memberitahu bahawa makhluk kecil itu digelar hantu pari-pari oleh penduduk setempat. Tubuhnya kecil bersayap dan tak semua dapat melihatnya. Katanya makhluk itu tinggal jauh di hutan atau gua dan akan muncul ketika hujan panas ataupun di kawasan sunyi. Makhluk itu dipanggil hantu kerana wajahnya yang sedikit menakutkan. Bagi atuk , hantu pari-pari itu berwajah unik, bukan mengerikan seperti di fikiran penduduk kampung.
Disebabkan perjalanan pulang akan mengambil masa yang lama , ayah atuk mengambil keputusan untuk bermalam di rumah Haji Mail. Atuk diberikan sebuah bilik berdekatan dapur manakala ayahnya dan Ngah Jon mahu tidur di ruang tengah sambil bercerita panjang dengan Haji Mail.
Sedang atuk lena dibuai mimpi, tiba-tiba kedengaran bunyi plastik, diselang-seli bunyi seakan suara nyamuk. Berbekalkan lampu minyak tanah, atuk bangun sambil menggosok matanya. Mata atuk melilau mencari arah bunyi itu.
Pandangan atuk jatuh ke arah plastik berisi belalang yang atuk tangkap siang tadi. Ada beberapa ekor belalang di dalamnya. Tetapi plastik yang digantung di paku berdekatan jendela itu sudah sedikit terkoyak dan kedengaran bunyi bising di dalam plastik.
Perlahan-lahan atuk bangun menuju ke arah plastik itu. Belum sempat atuk nak tarik plastik itu, tiba-tiba…
Zupp!!
Seekor binatang kecil terbang keluar dari plastik dengan laju. Sepantas kilat.
Atuk terus terduduk kerana terkejut. Rupanya bising dari dalam plastik belalang itu datang dari bunyi pari-pari. Pari-pari itu menyorok di belakang buku-buku lama yang ada di dalam bilik itu. Seperti biasa bunyi sayapnya kuat kedengaran walaupun tidak terbang ke mana-mana. Tidak lama kemudian, pari-pari kecil itu bergerak di celahan susunan buku dan merayap di dinding kayu bilik.
Baru atuk perasan pari-pari itu tidak berjalan, sebaliknya merangkak merayap seperti cicak. Laju pergerakannya. Atuk hanya diam melihat telatah pari-pari yang sedang merayau di sekitar ruang bilik. Kata atuk , pari-pari itu mengeluarkan satu bau seperti bau rumput selepas hujan. Mungkin kerana dia berasal dari hutan ,jadi bau itu melekat di tubuhnya.
Selepas beberapa minit melilau sana sini , pari-pari itu keluar melalui celahan lubang yang berada di atas jendela. Orang dahulu kala suka buat ukiran kayu berlubang-lubang untuk laluan angin masuk. Jadi, makhluk pari-pari itu keluar dari situ.
Atuk pandang plastik berisi belalang. Betapa terkejutnya atuk melihat hanya kepala belalang dan cebisan kaki yang tinggal di dalam plastik. Kesemua belalangnya habis dimakan oleh hantu pari-pari!
Keesokannya sebelum pulang , atuk menceritakan lagi peristiwa yang berlaku. Ngah Jon begitu bersemangat mahu mencari hantu pari-pari tetapi kata Haji Mail tiada yang berjaya menemuinya kalau niat hendak bertemu. Hanya orang tertentu dapat bertemu dengannya. Namun, itu kali terakhir atuk melihat hantu pari-pari. Atuk tak lagi berkunjung ke sana.
Ketika umur atuk belasan tahun, atuk dihantar belajar ke Brunei dan tinggal bersama saudara ayah atuk di sana. Apabila pulang, atuk mendapat tahu Haji Mail sudah meninggal dan isterinya pulang ke negeri kelahirannya. Jadi , rumah itu dihuni anak saudara Haji Mail.
Sekarang kawasan situ sudah membangun dengan bangunan dan rumah kedai. Mungkin tiada lagi hantu pari-pari dan kewujudannya tinggal kenangan. Mungkin spesies itu telah pupus. Kalau ada , sukar ditemui kerana pembangunan manusia semakin pesat.