Petang Rabu itu, langit agak mendung sewaktu kami pulang dari sesi amali pertanian di ladang kolej. Sejak pagi, kami menjalankan pelbagai aktiviti seperti merumput, menyiram pokok, dan memeriksa serangan perosak. Walaupun penat, kami semua seronok kerana dapat keluar dari kelas dan belajar secara praktikal. Kawan saya, jah(bukan nama sebenar), antara yang paling bersemangat ketika di ladang. Dia tidak menunjukkan sebarang tanda pelik sepanjang berada di sana.
Namun, sebaik sahaja kami tiba di asrama, jah mula berubah. Dia menjadi sangat pendiam dan seolah-olah hilang semangat. Saya yang sebilik dengannya menyangka dia keletihan, jadi saya biarkan dia berehat. Tetapi tak lama kemudian, saya terdengar dia menangis teresak-esak dalam bilik air. Bila saya ketuk pintu dan tanya, dia tidak menjawab. Bila dia keluar, wajahnya pucat dan matanya kelihatan kosong – bukan seperti jah yang saya kenal.
Keadaan menjadi lebih tegang apabila dia mula menjerit tanpa sebab. Suaranya tiba-tiba bertukar garau, dan dia mengulang-ulang kata-kata yang tidak masuk akal. Dia menolak rakan-rakan yang cuba menenangkannya dan mula mencakar dinding serta meracau seperti dalam ketakutan yang amat sangat. Kami semua panik. Beberapa pelajar lain menangis kerana terkejut dan takut.
Lebih mengejutkan, dua orang lagi pelajar yang turut berada di ladang bersama kami turut mengalami kejadian yang sama – menangis, ketawa sendiri dan kemudian menjerit-jerit sambil memeluk diri. Keadaan di asrama menjadi huru-hara. Warden segera dipanggil dan pelajar-pelajar lain diarahkan untuk berkumpul di dewan bagi mengelakkan perkara yang lebih buruk berlaku.
Pihak kolej segera mengambil tindakan memanggil seorang ustaz untuk membantu. Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran mula bergema di seluruh blok asrama. Saya masih teringat bagaimana suasana ketika itu sangat hening, hanya kedengaran tangisan dan suara bacaan al-Quran. Ustaz yang datang memberitahu kemungkinan kami telah ‘terlanggar’ atau ‘mengganggu’ sesuatu di ladang yang tidak sepatutnya.
Ada kemungkinan tempat yang kami lalui ketika sesi amali itu merupakan kawasan ‘keras’. Mungkin tanpa sedar ada antara kami yang tertawa terlalu kuat, bercakap kasar, atau tidak menjaga adab di tempat yang sepi seperti ladang. Ustaz juga mengingatkan kami bahawa di tempat seperti itu, kita perlu membaca doa, sentiasa menjaga mulut dan hati.
Selepas sesi rawatan dan bacaan ruqyah dilakukan, keadaan jah dan pelajar lain beransur pulih. Mereka kelihatan sangat lemah dan tidak mampu bercakap banyak. Jah hanya diam dan memeluk saya sambil menangis perlahan. Dia tidak ingat apa yang berlaku, hanya merasa seperti dirinya ‘ditarik’ ke tempat yang gelap dan sunyi.
Keesokan harinya, pihak kolej memberikan cuti rehat kepada pelajar yang terlibat dan mengadakan sesi kaunseling bagi mereka yang trauma. Ramai antara kami yang masih terkejut dengan kejadian tersebut, termasuk saya sendiri. Sebelum kejadian ini, saya hanya mendengar kisah histeria dari cerita orang, tetapi kini saya menyaksikannya di depan mata.
Pengalaman ini benar-benar memberi pengajaran kepada saya dan rakan-rakan. Ia menyedarkan kami bahawa dunia ini bukan hanya dihuni oleh manusia. Kita perlu sentiasa menjaga adab di mana saja kita berada, membaca doa sebelum memasuki kawasan sunyi atau asing, dan menjaga tingkah laku agar tidak mengganggu makhluk lain yang kita tidak nampak.
Peristiwa ini bukan saja membuka mata kami tentang hakikat kewujudan alam ghaib, tetapi juga menguatkan lagi kebergantungan kami kepada Allah. Moga kejadian ini menjadi pengajaran dan peringatan untuk semua, agar sentiasa berwaspada dan tidak lalai, walau dalam keadaan apa sekalipun.