Salam sejahtera buat para pembaca FS dan ribuan terima kasih kerana sudi menyiarkan kisah saya yang tak seberapa ini. Kisah ini merupakan sambungan kepada cerita terdahulu, Seseorang Menyerupai Saya, dan masih berkisar tentang kejadian-kejadian pelik yang saya dan rakan serumah alami sepanjang menyewa di rumah tersebut.
1. Bunyi Cakaran di Pintu
Peristiwa ini berlaku sekitar semester 1, jika saya tidak silap. Rumah sewa kami mempunyai dua bilik. Satu bilik dikongsi oleh tiga orang senior, manakala bilik satu lagi dihuni oleh saya dan roommate saya.
Malam itu hujung minggu. Kami berdua tidur lewat kerana tiada kelas keesokan paginya. Saya melayan anime manakala roommate saya menonton Running Man – rancangan yang sangat popular pada waktu itu. Masing-masing menggunakan laptop dan memakai headphone agar tidak mengganggu sesiapa.
Kakak-kakak senior sudah lama tidur. Jam menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam. Tiba-tiba, saya terdengar seperti bunyi cakaran di luar pintu bilik kami. Saya segera menoleh ke arah pintu, membuka headphone, dan cuba memasang telinga. Namun, tiada apa-apa yang kedengaran. Roommate saya bertanya:
“Kenapa?”
Saya hanya menggeleng dan menyambung semula menonton. Namun tidak sampai lima minit kemudian, bunyi cakaran itu kedengaran sekali lagi – dan kali ini, roommate saya turut mendengarnya. Kami saling berpandangan dan segera menanggalkan headphone.
Bunyi cakaran itu semakin jelas – seolah-olah sesuatu sedang mencakar pintu kami dari luar.
Tanpa berkata apa-apa, kami segera menutup laptop, menarik selimut, dan berpelukan kerana terlalu takut. Tidak seorang pun antara kami berani membuka pintu untuk melihat apa yang ada di luar.
Keesokan paginya, kira-kira jam 8 pagi, barulah kami memberanikan diri keluar selepas terdengar suara senior di ruang tamu. Saya memeriksa pintu, tetapi tiada sebarang kesan cakaran. Kami berdua memilih untuk berdiam diri dan tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa kerana bimbang tidak dipercayai.
—
2. Langkah Misteri di Tengah Malam
Kisah ini pula berlaku sekitar tahun 2017. Ketika itu, rumah sewa kami dihuni oleh lapan orang. Disebabkan hanya terdapat dua bilik, saya, bekas roommate saya, dan seorang junior tidur di ruang tamu.
Sepanjang kami menyewa di situ, bunyi-bunyi pelik seperti kerusi diseret, bunyi orang memasak di dapur pada waktu malam, dan tandas yang flush sendiri sudah menjadi perkara biasa bagi kami.
Namun, malam itu berbeza. Malam itu terlalu menakutkan.
Seperti biasa, saya tidur berhampiran tangga menuju ke dapur – satu kawasan yang selalu dielakkan oleh yang lain kerana dikatakan ‘seram’. Sebagai yang paling tua, saya terima saja posisi itu asalkan ada tempat tidur.
Awalnya saya tidur nyenyak. Namun, saya terjaga secara tiba-tiba. Jam menunjukkan pukul 3.16 pagi. Saya cuba melelapkan mata semula, tetapi gagal.
Posisi saya ketika itu membelakangkan dapur. Tiba-tiba, saya terdengar dan terasa ada orang berjalan menaiki tangga. Bunyi papan lantai yang berkeriuk jelas kedengaran. Perlahan-lahan, langkah itu bergerak dari dapur ke ruang tamu… kemudian kembali semula ke dapur.
Ia berulang-ulang… semakin lama, semakin laju. Di akhir-akhirnya, ia kedengaran seperti berlari.
Saya pejamkan mata rapat-rapat, pura-pura tidur. Jantung saya berdegup kencang, bulu roma meremang. Saya menangis dalam diam – suara tidak mampu keluar kerana terlalu takut. Saya tidak sedar bila akhirnya saya terlelap semula.
Sehingga hari ini, kejadian itu saya simpan sendiri dan tidak pernah saya ceritakan kepada housemate saya. Saya tidak mahu mereka takut seperti saya. Tapi jujur saya katakan – itulah antara pengalaman paling menyeramkan sepanjang hidup saya.