Nama dia Nadia Izzara, tapi kawan-kawan panggil Nad. Seorang barista sepenuh masa di sebuah restoran makanan barat hipster di pekan kecil yang sedang cuba membangun, dengan suasana menarik, kopi premium, dan pelanggan yang lebih suka mengambil gambar makanan sebelum berbanding menikmatinya.
Umur Nad baru mencapai dua puluh satu. Dia tinggal bersama datuk dan nenek di sebuah rumah batu satu tingkat yang baru dibina kira-kira lima tahun lalu. Ini kerana tempat kerjanya lebih dekat berbanding tinggal bersama ibu bapa sendiri. Rumah datuk dan neneknya terletak di hujung kampung, tenang dan terasing. Di belakang rumah, hanya hutan sekunder yang lebat dengan pohon, gelap dan sunyi, seperti menyimpan rahsia yang tidak mahu disentuh.
Malam itu, Nad pulang lewat. Sekitar pukul dua belas tiga puluh. Jam ini walaupun lambat, merupakan kebiasaan bagi bidang ini. Walaupun pelanggan terakhir telah beredar sekitar 10 malam. Jalan sunyi. Langit umpama baldu hitam yang tiada bercorak. Dia turunkan beg, buka kasut, dan terus ke ruang tamu. Air-cond lama yang dipasang di sudut dinding berbunyi perlahan, menghembus udara dingin seperti biasa. Selalunya, datuk tidur di sofa. Tapi malam itu, datuk tidur dalam bilik pula.
Nad ambil posisi di tengah sofa, lutut naik separuh, tangan pegang cawan plastik berisi Spanish Latte sejuk dibawa dari tempat kerja. Kucing-kucing berlonggok di atas kerusi rotan lama beralas bantal, lena. Rumah itu sunyi. Terlalu sunyi, hinggakan Nad mendengar jelas bunyi darah mengalir dalam telinganya.
Ketuk.
Perlahan. Tiada pula yang memberi salam.
Ketuk… ketuk.
Nad toleh ke arah pintu utama. Tidak ada suara. Tidak ada ‘Assalamualaikum’ seperti biasa sekiranya ada jiran mahu menyampaikan perkara penting pada tengah malam.
Ketuk. Ketuk. KETUK.
Kuat. Keras. Semakin kasar. Semakin mendesak.
Nad berdiri perlahan-lahan. Jantungnya bergetar seperti ada sesuatu bergerak dalam dada. Dia pandang ke arah tingkap sliding di sebelah pintu. Langsir yang sepatutnya menutup tingkap itu sudah tercabut, angkara kucing-kucing nakal sejak minggu lepas. Tingkap itu kini jadi satu-satunya layar nipis antara dia dan malam.
Dan di situlah Nad melihatnya.
Sosok itu.
Pocong.
Berdiri tegak. Tubuh dibalut kain kafan kotor, kepalanya terkulai ke sisi. Wajahnya… bukan seperti yang sering digambarkan orang, dengan wajah lebih buruk, lebih hodoh, seperti manusia yang pernah ada muka, tetapi telah dirampas. Matanya dalam, hitam, kosong. Tiada ekspresi. Hanya menatap Nad dari luar cermin dengan wajah yang tidak pernah dilihat, tetapi entah kenapa terasa… dikenal.
Nad terdorong ke belakang, hampir terjatuh. Kakinya beku, tapi nalurinya bergerak dulu. Dia lari ke bilik datuk dan nenek, membuka pintu perlahan tapi panik.
“Nek… … Ada… Ada orang ketuk pintu. Saya nampak… sesuatu…”
Nenek yang sudah tidur membuka mata perlahan dan menoleh sekilas, wajahnya seperti baru diganggu dari mimpi ringan.
“Ohh… dia tu memang suka kacau waktu malam,” jawab nenek tenang, seolah-olah Nad cuma bercakap tentang seekor cicak.
Datuk di sisi bersandar di katil, sambil menarik selimut. “Abaikan saja. Jangan layan. Nanti dia bosan, dia pergi.”
Nad masih terhenyak di tepi pintu. Peluh sejuk mengalir dari tengkuk ke belakang bajunya. “Tapi saya nampak… betul-betul depan pintu. Pocong…”
Nenek senyum kecil. “Makhluk tu bukan nak masuk. Dia cuma nak kita sedar dia ada.”
Tidak lama selepas itu… bunyi ketukan berhenti. Tiada lagi sosok di tingkap. Tiada lagi degup gendang aneh di dada Nad. Tapi bayangan wajah hodoh itu… kekal seolah melekat di hadapan matanya.
Sehingga kini, bila Nad duduk di ruang tamu sendirian, dia tidak lagi memandang ke arah tingkap itu. Biar malam dan luar rumah terus jadi dua dunia yang tak bersentuh. Biar apa pun yang berdiri di sebalik kaca itu, dia tak mahu lihat lagi.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit