ANGERIK
“Bila cinta jin tak mengenal batas, manusia jadi korban”
Anggerik nama perempuan itu seindah bunganya. Lemah lembut, jarang berkata kasar, dan wajahnya bersih tanpa celah. Namun kecantikan begitulah yang menarik perhatian sesuatu yang tidak sepatutnya: jin asyik bernama Jayuh, makhluk halus yang terkenal dengan sifat obsesif dan cemburu membuta.
Cerita bermula di sebuah kampung yang sunyi di pinggir hutan Simpang Kesuma. Di situ, setiap malam jam dua, Anggerik selalu terdengar bunyi geseran seperti seseorang mengusung kaki di luar tingkapnya. Pada mulanya dia fikir angin atau kucing liar. Tetapi beberapa kali, dia terlihat bayang tubuh yang panjang terlalu panjang untuk manusia biasa berdiri meninjau dari balik kelambu.
Setiap kali dia membaca doa tidur, bayang itu bergerak pergi. Tapi kembali lagi pada malam berikutnya. Anggerik mula berubah. Dia sering letih, wajahnya pucat, rambutnya kusut bagaikan disentap ketika tidur. Kawan-kawan menegur, namun dia cuma senyum tawar. Hakikatnya, dia sudah pun mula bermimpi tentang seorang lelaki tinggi, kurus, bermata redup hitam yang berdiri di sisinya sambil menyebut namanya dengan suara berdengung,
“Anggerik… kaulah kesempurnaan.”
Jin itu, Jayuh, tidak lagi sekadar mengintai. Dia jatuh hati. Hatinya gelap, tapi cintanya lebih gelap lagi.
Suatu malam Jumaat, Anggerik pengsan ketika sedang solat. Ketika ibunya cuba memanggil, tubuh Anggerik tersentak-sentak seperti digerakkan tali halimunan. Dari mulutnya keluar suara yang bukan suaranya.
“Jangan ganggu dia. Dia milik aku.” Keluarga Anggerik panik. Mereka memanggil seorang ustaz tua bernama Ustaz Nurhalim. Rumah itu segera dipenuhi bacaan ruqyah, namun pada setiap ayat, lampu berkelip-kelip seakan hendak pecah. Anggerik menjerit, tubuhnya bangun sendiri seperti ditarik dari belakang.
Tiba-tiba angin sejuk menerjah ruangan. Ustaz terhenti. Di tengah bilik, kelihatan jelmaan Jayuh bentuknya seperti manusia tetapi tangannya terlalu panjang, kepala senget, dan matanya berkilat tanpa kelopak.
“Dia milik aku! Aku menyayanginya sejak dia kecil! Aku memerhati!”
Jayuh mengaum, dan semua cermin di rumah retak serentak. Ustaz melaungkan azan dan membaca ayat perlindungan, namun Jayuh ketawa sambil menutup telinga seolah-olah bacaan itu cuma angin lalu.
Malam itu, rawatan ruqyah gagal sepenuhnya. Anggerik tetap kerasukan. Lebih merisaukan, bangsanya mula bergerak menghampiri tubuhnya seolah-olah mahu memeluknya.
Keesokan malamnya, Ustaz Nurhalim mencuba cara yang lebih keras. Dia mengikat Anggerik pada tiang kayu, memenuhi lantai dengan garam dan ayat suci. Bacaan ayat ruqyah dimulakan. Anggerik menjerit, meronta, menangis tetapi suara itu berubah-ubah antara suara perempuan dan suara lelaki yang berat.
Tiba-tiba seluruh rumah bergegar. Dari celah lantai, tangan-tangan kecil kehitaman muncul, cuba mencapai garam. Dari tingkap, bayang Jayuh melintas dan dalam sekelip mata menembusi garisan suci, membawa bersama angin yang menggugurkan kelopak bunga di meja.
Jayuh menjerit marah, menggoncang dinding.
“Kau mahu memisahkan kami? Dia sudah pilih aku!”
Ustaz membaca lebih lantang. Jayuh menjerit tinggi, tubuhnya memanjang seperti asap hitam yang cuba melilit Anggerik. Tetapi bacaan ustaz itu melemahkannya hingga Jayuh terkulai, bentuknya retak seperti kaca.
Anggerik tiba-tiba sedar. Dengan nafas tercungap, dia memohon ustaz untuk menghentikan bacaan.
“Ustaz… jangan sakiti dia,” katanya lemah.
Itu membuat semua orang kaku.
Ustaz menjerit, “Itu bukan Anggerik! Jangan percaya!”
Tapi Anggerik memandang mereka sambil menangis. “Aku… aku sayang dia. Dia selalu lindungi aku. Dia tak pernah biar aku seorang…”
Dan pada masa itulah kisah sebenar tersingkap.
Jayuh tidak menguasai Anggerik sepenuhnya. Anggerik sebenarnya sudah mula mengasihi makhluk itu. Jin asyik hanya obses kerana cinta yang Anggerik sendiri… balas sedikit demi sedikit dalam mimpinya. Bersatu di dalam mimpinya.
Bacaan ayat ruqyah terhenti kerana ustaz dan keluarga angerik terkejut. Dalam kelengahan itu, Jayuh menyambar peluang. Dia mengembang seperti asap pekat dan terus menyelubungi tubuh Anggerik.
Jeritan Anggerik hanya terdengar sekali sebelum suara itu tenggelam.
Tubuhnya menjadi kaku.
Mata terbuka luas.
Tetapi yang bangun bukan Anggerik lagi.
Itu… Jayuh dalam jasad manusia.
Dia memandang ustaz, menyeringai dengan senyuman yang terlalu lebar untuk wajah manusia.
“Sekarang… kami benar-benar bersatu.”
Dengan suara Anggerik tetapi bergetar dua lapis, dia menambah,
“Dan kami takkan berpisah sampai dunia hancur.”
Ibu Anggerik menjerit lantang,
“Ya Allah, hentikan, Anggerik! Manusia dan jin takkan pernah bersatu!”
Kreeettt… bunyi cakaran memecah udara. Kemudian, seluruh rumah tenggelam dalam sunyi … sunyi yang membunuh, tanpa satu pun suara berani menyusul.
Keesokan pagi, rumah itu kosong. Tiada mayat, tiada tanda pergaduhan hanya kelopak bunga anggerik bertaburan, semuanya layu seolah-olah diremas oleh tangan yang tidak kelihatan.
Sejak hari itu, sesetengah penduduk mengaku pernah melihat seorang perempuan berwajah Anggerik tetapi berjalan terlalu perlahan, terlalu senyap, dan setiap kali dia tersenyum… kelihatan sepasang mata lain berkelip dari balik anak matanya.
Itulah harga cinta jin asyik,
Jika dia tak dapat memilikimu sebagai kekasih… dia akan memilikimu sebagai jasad.
Surah Al-Baqarah 2:102
“…padahal sesungguhnya syaitan itu mengajar mereka perkara yang membawa mudarat…”
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit