Aku seorang tenaga pengajar di sebuah sekolah berasrama yang boleh dikatakan berprestij. Kelas tamat seperti biasa pada hari itu, aku kembali ke bilik guru untuk menyiapkan tugasan yang belum selesai. Menjadi kebiasaan untuk para guru sekolah itu balik lewat. Manakala untuk murid, mereka beransur-ansur ke dewan makan untuk menikmati makan tengah hari. Ada juga yang langsung ke asrama bersiap untuk prep petang.
Terdengar bunyi pintu bilik guru di buka. ”Izati hilang lagi,” kata Kak Z seorang guru lama di sekolah itu memecah kesunyian bilik guru. Aku memandang ke luar jendela, hujan renyai-renyai menjentik perasaan kurang enak dalam hati. “Akak dan beberapa pengawas dah cuba cari di tempat biasa dia ditemui sebelum ni, tapi tak jumpa,” sambung Kak Z lagi. Memang jelas bunyi kerisauan dalam nada suaranya. Mana taknya, dia ialah guru subjek terakhir kelas Izati hari tu. Selepas loceng bunyi sengaja dia stay di kelas menanda buku sebelum dua orang muridnya tercungap-cungap datang memberitahu Izati hilang.
Tentang Izati, dia ialah seorang murid yang mewakili sekolah dalam hafazan hingga ke peringkat negeri dan kebangsaan. Boleh dikatakan pelajar cemerlang dan berdisiplin. Apa yang aneh tentang Izati ialah dia kerap hilang dengan tiba-tiba. Tetapi sebelum ini apabila hilang, dia akan ditemui semula sebelum azan asar berkumandang. Rakan-rakan mula kaitkan dengan perkara mistik kerana tempat Izati dijumpai memang tak terjangkau dek akal. Atas alang stage utama sekolah, dalam stor dewan sekolah yang berkunci, belakang surau asrama perempuan, itu adalah tempat-tempat biasa dia ditemui. Kadang-kadang Izati boleh tiba-tiba berada di atas katilnya sedang tidur nyenyak. Sedangkan memang jelas rakan di sebelah tidak ‘nampak’ langsung keberadaan dia di situ.
Kak Z mengarahkan rakan dorm Izati untuk memeriksa lokernya. Bimbang dia melarikan diri, segala kemungkinan perlu difikirkan dalam situasi itu. Kak Z, aku dan seorang ustazah turut bantu mencari. Kami berpecah dan aku ke kawasan dewan sekolah. Habis segenap dewan aku cari, memang tak ada, auranya tak kuat di situ. Pencarian berhenti seketika selepas azan asar berkumandang. Aku yang pulang ke rumah berasa tidak sedap hati. Aku ni memang senang ada link dengan benda-benda mistik macam ni.
Usai membersihkan diri aku membaca diari Izati yang diberi oleh rakannya. Hati menjadi semakin gusar. Terngiang-ngiang nama Sirih Aksa, yang mula muncul sejak Izati di tingkatan 1. Menurut Izati, Sirih Aksa mula hadir dalam hidupnya memberi harapan akan menjadi ‘sahabat’ untuk dia yang selalu dilihat kesepian. Izati diuji dengan masalah sering ternampak benda-benda mistik sehingga mejadi tekanan yang amat dahsyat untuknya. Ringkasnya, Sirih Aksa menjadi pengganti rakan yang mempercayai semua cerita mistiknya, yang berada di sisinya di kala susah, sedih dan sunyi. Izati merasakan bebannya berkurang kerana banyak ‘benda-benda’ yang ada di kawasan sekolah itu tidak lagi menunjukkan diri sejak kehadiran Sirih Aksa. Sejak Izati memberi ruang kepadanya, Sirih Aksa selalu menemani Izati ke dewan makan dan prep malam. Pernah Izati menyoal kenapa Sirih Aksa tidak ke masjid dan solat bersama, dia hanya menjawab ibunya tidak mengizinkan. Apabila ditanya ke mana Sirih Aksa menghilang semasa majlis-majlis bacaan yasin, Sirih Aksa malah mengugut akan berhenti berkawan sekiranya disoal tentang itu lagi. Di sudut yang lain, Sirih Aksa sering menunjukkan dirinya sebagai sahabat perempuan yang baik dan solehah, selalu mengingatkan Izati tentang solat tepat waktu dan al-quran. Izati yang terlalu naif tanpa sengaja mengikat janji dengan syaitan.
Masa berlalu sehingga Izati menjangkau umur 17 tahun, Sirih Aksa setia menghasut Izati untuk tidak berkawan dengan sesiapa. Semua yang cuba merapat dan menolong akan difitnah sebagai bermuka-muka dan tidak ikhlas. Izati yang sering merasa dirinya beban untuk orang lain mula termakan dengan hasutan itu. Ada senior yang cakna pernah memanggilnya untuk berbincang tentang masalah mistik yang di alami dan mengajaknya berjumpa Ustaz Abu untuk berubat. Sirih Aksa yang turut hadir dalam perjumpaan itu melihatnya dengan muka bengis. Izati yang takut kehilangan Sirih Aksa hanya mengabaikan nasihat rakan-rakan. Lama kelamaan Sirih Aksa semakin berani ‘melarikan’ Izati ke dunianya. Sehingga di muka surat terakhir diari Sirih Aksa memberitahu Izati, ‘jika tak ada yang pisahkan kita dalam tempoh ini, maka kita akan bersama untuk selama-lamanya.’
Tersentak dengan kata-kata itu, aku langsung bersiap untuk menyambung misi pencarian Izati. Jam menunjukkan tepat 6.30 petang semasa aku tiba di sekolah. Aku langsung ke kawasan padang. Kak Ramlah dan Ustaz Abu warden bertugas pada hari itu sedang mencari di kawasan surau aspuri. Aku yang lebih tertarik dengan kawasan hutan di belakang aspuri meninjau di balik pagar besi bersama doa yang tidak henti. Aku tahu, jika aku memilih untuk menolong maka aku perlu bersiap untuk hilang energi dan segala kemungkinan lagi. Sambil berdoa meminta pertolongan dari Allah SWT, mata aku tertancap pada sebatang pokok sebesar pemeluk dewasa. Ada kesan seseorang pernah duduk bersandar di pokok dan bermain-main dengan daun. Serentak dengan itu ada bayangan merah dan kuning bergerak dengan sangat laju. Setelah diperiksa Ustaz Abu, memang jelas ada kesan seseorang pernah duduk di kawasan pokok tersebut. Menurut Kak Ramlah, bayangan merah kuning yang aku nampak ialah baju PJ yang dipakai Izati pada hari itu. “Saya rasa kita kena minta bantuan orang yang lebih arif tentang ini, kata Ustaz Abu.” Pencarian bersambung selepas solat maghrib.
Ustaz Abu meminta bantuan Yusuf, technician sekolah yang tinggal di kuarters guru. Malam itu, aku hanya melihat dari jauh upacara ‘menarik’ Izati dari pokok besar itu. Memang sah pokok besar itu ialah rumah Sirih Aksa. Namun, Sirih Aksa enggan menyerahkan Izati pulang kerana menurutnya Izati sudah pun menjadi miliknya memandangkan tiada siapa yang berjaya memisahkan mereka sebelum tempoh. ‘Aku nak kahwin dengan dia, dia milik aku!!! Jerit Sirih Aksa.’ Setelah puas berikhtiar dan berunding Yusuf terpaksa berhelah membunuh Sirih Aksa. Sirih Aksa yang ketakutan semasa ‘pedang’ diletak di leher berjanji untuk menyerahkan semula Izati. Suasana menjadi sepi dan ‘ringan’ setelah usai upacara. Tiada tanda-tanda Izati akan muncul di pokok besar itu. Kami mengambil keputusan untuk berpecah kepada beberapa kumpulan dan mencari Izati. Puas kawasan aspuri kami terokai. Kak Zu penyelia asrama melewati rumah warden yang tidak diduduki dan berkunci. Tiba-tiba terdengar sayup-sayup suara tangisan. Aku yang berada beberapa langkah di belakangnya turut terdengar bunyi esakan. Kami mencungkil tingkap dan suara tangisan semakin jelas. Kak Zu melompat masuk diikuti oleh aku. Dengan kudrat yang ada kami mengangkat Izati dari tandas bilik tidur utama ke atas katil.
Izati menangis sambil menutup muka dengan kain tudung hitam yang dipakainya. Tangisannya kedengaran sayu seperti kematian kekasih. Pakaiannya penuh lumpur dari atas ke bawah. Entah ke mana Sirih Aksa membawanya lari sehingga anjing K9 polis pun tidak dapat mengesan. Aku memicit-micit kaki Izati, kasihan dengan nasib menimpa dirinya. Dia murid yang cerdik dan tinggi ilmu agama. Namun, akibat kurang kasih sayang kerana berasal dari broken family akhirnya dia diambil kesempatan oleh iblis laknatullah dengan pelbagai helah. Ustaz Abu dan Yusuf berusaha memulihkan semangat Izati. Ustaz Abu bertanya ke mana dia hilang seharian. ‘Tak tahu, jawab Izati perlahan.” Setelah semangatnya pulih dia dihantar ke hospital kerana dehydration. Khabarnya selepas peristiwa itu, nenek Izati telah mengeluarkannya dari sekolah berasrama. Dia mengambil peperiksaan SPM di sekolah yang berdekatan dengan rumah mereka.
Picitan kaki Izati pada tengah malam itu akhirnya memberi akibat buruk untuk diri sendiri. Akan aku ceritakan di lain hari jika diberi peluang. Maaf jika bahasa dan jalan penceritaan kurang menyenangkan kerana ini kali pertama aku menulis. Segala kebaikan berasal dari Allah, segala keburukan dari aku sendiri.
Kepada Izati, semoga kekal berjaya di dunia dan akhirat. Terima kasih Fiksyen Shasha.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit