Kisah ini berlaku sekitar tahun 2020 di Perak, ketika negara sedang dilanda wabak Covid-19. Ia bermula pada satu pagi di bulan Ramadan, selepas Subuh, apabila keluarga saya dalam perjalanan ke kebun. Abang saya yang ketiga, saya panggil Abang Cik, memandu kereta membawa emak, abah dan adik saya.
Perjalanan pada awalnya berjalan seperti biasa, tiada sebarang petanda aneh.
Namun ketika melalui kawasan berbukit, secara tiba-tiba Abang Cik hilang arah dan tidak dapat melihat jalan di hadapan. Dalam sekelip mata, satu kemalangan berlaku apabila kenderaan mereka berlanggar dengan sebuah van yang entah datang dari mana. Emak dan abah dikejarkan ke hospital. Syukur, emak hanya mengalami patah tangan kanan, tetapi abah mengalami kecederaan lebih serius apabila tulang pehanya patah dan perlu dirawat di Hospital Ipoh.
Ketika itu, saya dan dua abang berada di Shah Alam. Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, hanya seorang sahaja dibenarkan pulang ke kampung. Beberapa hari kemudian, abah dibenarkan pulang dengan keadaan kaki bersimen. Saya, kakak dan adik bergilir menjaga mereka. Abang Cik pula tidak henti menyalahkan diri atas apa yang berlaku.
Suatu hari, abah mengadu sakit badan dan meminta saya mengurutnya. Saya menuruti permintaan itu tanpa berfikir panjang. Namun pada malamnya, badan saya mula sakit tanpa sebab. Ketika tidur lena, saya terasa seolah-olah diserang oleh satu lembaga besar berwarna hitam. Ia datang dengan perasaan marah, seolah-olah tidak suka saya membantu mengurut abah. Saya terjaga dalam ketakutan. Keesokan harinya, peha saya lebam seperti dipukul.
Sejak kejadian itu, setiap kali saya mengurut badan seseorang, saya turut merasa sakit pada bahagian yang sama. Pernah juga suatu malam, saya melihat bayangan suami masuk dan berbaring di sebelah saya, namun apabila saya tersedar sepenuhnya, rupa-rupanya suami saya baru sahaja masuk ke bilik. Saya menganggapnya sekadar mainan tidur dan cuba melupakan semuanya.
Beberapa tahun kemudian, saya dikurniakan seorang anak. Segalanya kelihatan baik sehinggalah anak saya berusia dua tahun. Ketika pulang ke kampung, abah sekali lagi meminta saya mengurut tangannya yang bengkak. Saya turuti.
Namun pada malam itu, anak saya tiba-tiba menggigil ketakutan ketika tidur. Matanya terbeliak besar seolah-olah melihat sesuatu yang sangat menakutkan.Apabila saya bertanya, anak saya terus menunjuk ke arah satu sudut bilik. Firasat saya kuat mengatakan lembaga itu adalah makhluk yang sama pernah menyerang saya dahulu.
Sehingga kini, setiap kali anak saya hendak tidur malam, dia sering ketakutan seperti melihat sesuatu yang tidak kelihatan pada mata kasar. Hingga hari ini, kewujudan lembaga tersebut masih menjadi tanda Tanya dalam hidup saya.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit