Tahun 1986, ketika itu aku berusia 13 tahun. Ayahku seorang anggota polis yang sering berpindah randah kerana tugasnya. Untuk tidak mengganggu pelajaranku, aku dihantar tinggal bersama nenek di utara tanah air.
Rumah nenekku terletak tidak jauh dari sekolah, jadi kehidupan harian aku agak mudah. Pada tahun itu, nenek pula mendapat peluang menunaikan ibadah haji ke Mekah. Dalam tempoh itu, rumah menjadi agak sunyi kerana pakcikku dan isterinya yang sebelum ini tinggal bersama nenek telah pun berpindah ke taman perumahan sebelah selepas membeli rumah baru.
Sebelum mereka berpindah, pakcik dan isterinya ada mengajak aku tinggal bersama mereka.
“Tak elok kau tinggal sorang-sorang kat rumah ni,” kata pakcik aku dengan nada risau. “Kalau apa-apa jadi macam mana?”
Isteri pakcik aku pula menyampuk, “Betul tu. Tinggallah dengan kami dulu, senang kami nak jaga.” Aku hanya senyum kecil. Dalam hati, aku rasa aku boleh uruskan sendiri.
“Tak apa pakcik, makcik. Saya okey je. Lagipun sekolah dekat je dengan rumah nenek ni,” jawab aku sambil cuba meyakinkan mereka.
Pakcik aku tersenyum sambil berkata. “Kau tak takut kalau kena usik?.”
Aku hanya ketawa kecil. Dalam kepala aku masa tu, aku rasa aku cukup kuat untuk tinggal seorang diri macam watak hero dalam cerita MacGyver konon-kononnya.
Akhirnya mereka akur, walaupun masih berat hati.
Aku merasa seronok tinggal seorang diri di rumah nenek. Pada awalnya, aku langsung tidak merasa takut. Malah, aku menikmati kebebasan tinggal seorang diri, tanpa gangguan sesiapa. Hari-hari berlalu seperti biasa, dan aku tidak pernah mengalami apa-apa kejadian pelik.
Sehinggalah pada satu hari, segalanya mula berubah.
Pada sekitar pukul 11 pagi, ketika itu aku bersiap-siap untuk ke sekolah sesi petang, aku menggunakan bilik nenek yang terletak di bahagian hadapan rumah. Ketika aku sedang bersiap siap untuk ke sekolah, aku tiba-tiba ternampak sesuatu yang membuatkan aku terpaku seketika.
Aku terlihat ditingkap bayang seorang wanita memakai tudung berjalan perlahan menuju ke pintu rumah. Pintu rumah ketika itu memang sentiasa terbuka kerana aku seorang sahaja di dalam rumah dan cuaca agak panas.
Aku terkejut, lalu terus berlari ke ruang tamu untuk melihat siapa yang datang. Namun, apabila aku sampai di situ, tiada sesiapa pun. Ruang tamu kosong. Pintu masih terbuka seperti biasa, tetapi tiada tanda-tanda kehadiran sesiapa.
Aku tidak berfikir apa-apa ketika itu. Tidak juga aku merasa takut. Aku hanya menganggap mungkin aku tersilap pandang atau ia hanyalah perasaan sahaja.
Jadi aku meneruskan persiapan seperti biasa dan kemudian terus pergi ke sekolah seperti rutin harian.
Namun, pada malam hari, sesuatu yang lain berlaku.
Ketika aku sedang menyiapkan kerja sekolah di dalam rumah yang sunyi itu, aku tiba-tiba terdengar bunyi air dari bilik air. Bunyi itu jelas seperti seseorang sedang menggunakan paip dan bergerak di dalam bilik air.
Aku terdiam.
Aku tahu dengan pasti bahawa di dalam rumah itu hanya aku seorang sahaja.
Perasaan takut mula muncul, tetapi aku tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Aku hanya duduk kaku, cuba mendengar dengan lebih jelas. Bunyi itu masih berterusan untuk beberapa ketika sebelum akhirnya berhenti.
Aku kemudian mengambil keputusan untuk menghubungi pakcikku. Aku meminta dia datang kerana aku tidak berani berada seorang diri lagi.
Apabila pakcikku tiba, dia memeriksa seluruh rumah termasuk bilik air. Namun, tiada apa-apa yang pelik ditemui. Semua kelihatan biasa sahaja.
Dia ketawa dan berkata, “Eksyen sangat… kata MacGyver berani tinggal seorang.”
Aku hanya diam, walaupun dalam hati aku tahu apa yang aku dengar tadi adalah nyata.
Malam itu, pakcikku dan isterinya bermalam di rumah nenek untuk menemani aku. Aku berasa sedikit lega kerana tidak lagi keseorangan.
Namun, kejadian yang lebih menakutkan berlaku pada malam tersebut.
Ketika aku sedang tidur di bilik nenek, aku tiba-tiba terjaga. Suasana bilik sangat sunyi. Cahaya samar dari luar menembusi tingkap.
Dan pada saat itu, aku melihat sesuatu.
Di pintu bilik aku, ada seorang berdiri.
Sosok itu tidak bergerak. Hanya berdiri diam di hadapan pintu, seolah-olah sedang memerhati aku dari jauh dalam gelap.
Tanpa berlengah, aku mencapai bantal dan selimutku, dan terus berlari keluar dari bilik itu dalam keadaan panik.
Dalam ketakutan, aku mengetuk pintu bilik pakcik dan isterinya sekuat hati. Malam itu, sifat “hero MacGyver” yang aku bangga-banggakan hilang begitu saja. Aku akhirnya tidur sebilik dengan pakcikku dan isterinya, tidak lagi berani berada seorang diri.
Selepas kejadian itu, aku berpindah tinggal bersama pakcik sehingga nenek kembali dari Mekah. Rumah itu ditinggalkan seketika, tetapi rasa seramnya masih aku ingat hingga ke hari ini.
Dan hingga sekarang, setiap kali kami berkumpul sekeluarga, kisah itu pasti akan diungkit semula oleh pakcikku. Aku pula akan menjadi bahan ketawa mereka terutama tentang bagaimana aku lari sambil membawa bantal dan selimut dalam keadaan panik malam itu.
Walaupun mereka ketawa, bagi aku… malam itu tetap sesuatu yang tidak akan pernah aku lupakan.
Hantyar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit