Est. 2015 Fiksyen Shasha Kisah Benar

Obsesi Memakan Diri

Tahun 2016, aku sambung belajar di sebuah universiti. Aku baru nak berjinak-jinak dengan page Fiksyen Shasha. Bagi aku, masa tu tak banyak lagi platform yang mengumpulkan cerita-cerita seram dan misteri yang diambil daripada kisah benar. Aku pula memang gila dengan cerita-cerita bergenre seram. Masa lapang yang ada sementara kuliah belum bermula atau sebelum tidur, aku gunakan untuk baca beberapa cerita seram. Aku jadi obses.

Habis satu cerita, aku sambung cerita lain. Sehari dalam 4 atau 5 cerita dari Fiksyen Shasha tu biasa. Tapi, aku lupa pesan orang tua-tua. Bila kita banyak sangat baca/tengok cerita pasal ‘dia’, sebenarnya secara tak sengaja kita dah ‘panggil’ dia. Betul tak? Jadi, satu malam tu rupanya aku dah ‘terpanggil’ dia.

Jam menunjukkan pukul 12 malam. Mata aku segar lagi, sebabnya dah terbiasa tidur lewat. Sambil-sambil tu, aku tunggu burger yang aku kirim daripada kawan aku untuk sampai. Dah nak masuk pukul 1 pagi, burger yang aku pesan pun sampai. Aku makan sambil tonton rancangan Korea dengan penuh berselera. Roommate aku pula dah lama lena.

Selesai makan, aku tengok jam. ‘Pukul 2.30 pagi. Lambat dah ni.’ Laju-laju aku naik ke katil, bersedia untuk tidur. Layout bilik aku lebih kurang macam ni. Bilik asrama tu untuk dua orang saja. Jadi, perabot-perabot terbahagi kepada kiri dan kanan bilik. Kalau dari pintu di tengah-tengah bilik akan jumpa almari dan cermin dulu, kemudian katil, meja belajar, akhir sekali tingkap, bertentangan dengan pintu masuk. Kalau aku tidur, aku akan menghadap pintu, membelakangkan tingkap dan meja belajar. Tingkap jenis awning window tapi luas. Bila tidur, aku akan nampak cermin di almari tapi aku tak boleh nampak kawasan meja belajar atau tingkap di belakang sebab headboard katil aku agak tinggi.

Sambung semula cerita. Malam tu, aku baru nak lena. Mata dah pejam, dah hampir nak ke alam mimpi dah pun. Tiba-tiba, Tum! Aku terdengar bunyi dentuman guruh yang sangat kuat dengan pancaran cahaya kilat. Satu dentuman saja. Lepas tu, senyap. Aku dapat rasakan cahaya tu masuk ke ruang bilik aku walaupun dengan mata yang masih terpejam.

Terkejut, aku buka mata dan pandang roommate aku, ‘Eh? Lenanya tidur. Dia tak dengar ke bunyi tadi?’ Aku dah terkebil-kebil atas katil. ‘Hujan ke?’. Aku pun bangkit dan berjalan menuju ke tingkap. Tingkap bilik memang sengaja kami buka bila nak tidur, kalau tak, berkuap bilik tu. Pemandangan dari bilik kami tak ada apa yang seram pun sebab menghadap jalan yang sibuk. Aku terus menjengah ke luar tingkap. Kering. Setitik air pun tak ada dekat luar. Aku dongak pula ke atas. Langit malam tu taklah gelap sangat. Cuaca pula agak panas. Aku yang tersilap dengar mungkin. Aku pun balik semula ke katil dan sambung tidur.

Tak sampai 5 minit aku pejam mata, aku diganggu lagi. “Hahaha!” bunyi ketawa yang kuat dan nyaring dari bilik mana entah. ‘Siapa pula yang tak tidur lagi ni?’. Aku bangkit lagi dari katil dengan perasaan tak puas hati. Iyalah, dari tadi tak dapat tidur. Aku ingatkan suara student perempuan yang selalu lepak berjemaah di bilik atau kafe asrama. Aku diam dan tunggu lagi apa-apa bunyi lain selepas tu. Suara orang berbual atau bunyi ketawa lagi ke.

Tapi, senyap. Pun sama. Sekali tu saja. Aku jadi tak senang duduk. Aku bangkit lagi sekali menuju ke tingkap. Nak tengok bilik mana yang belum light off. Aku selak langsir. Gelap. Tak ada tanda-tanda ada student yang masih berjaga. Kawasan asrama pun sunyi sepi. Ha sudah. Silap dengar lagi ke? Ah, malaslah aku nak layan. Dahlah tak tidur lagi ni. Aku pun sambung baring.

Akhirnya aku lena. Tapi tak lama. Aku terjaga balik sebab aku dengar bunyi lagi. Macam bunyi plastik sedang dironyok-ronyok. Aku tak terus bangun macam sebelum ni. Aku kerling ke roommate aku. Masih lena. Srap! Srap! Bunyi tu semakin kuat. Aku cuba pasang telinga. Ya, tak salah lagi. Ada ‘sesuatu’ tengah bermain-main dengan plastik burger atas meja belajar aku. Asrama aku tak ada haiwan perosak. Kesan-kesan haiwan perosak pun tak ada. Jadi aku yakin itu bukan tikus atau kucing atau apa-apa yang sewaktu dengannya. Bunyi dia pula bukan sikit-sikit. Macam sengaja dikuat-kuatkan nak bagi aku dengar. Hilang terus ngantuk aku. Segar bugar mata. Tapi badan aku kaku.

Disebabkan kepala katil bersambung dengan meja belajar, aku tak dapat tengok makhluk yang bermain dengan plastik tu melainkan aku sendiri bangkit dan toleh ke belakang. Yang anehnya, aku cuba untuk bangun, tapi badan aku rasa berat sangat. Seinci pun tak boleh gerak, kecuali mata aku. Aku cuba intai dengan ekor mata, tapi masih tak nampak.

Aku dapat rasakan makhluk tu macam sengaja mengusik aku. Plastik tu sengaja dironyok kuat-kuat dekat telinga aku. Jantung aku berdegup laju. Aku pejam mata sambil baca doa dan surah yang aku ingat. Berpeluh-peluh aku atas katil tu. Setelah beberapa minit yang menyeksakan, makhluk tu pun senyap. Aku pun tak tahulah ayat yang aku baca tu betul ke tak. Tapi, aku lega. Dah boleh sambung tidur. Aku tak teringin pun nak tengok rupa makhluk tu, yang aku tahu aku nak pejam mata dan tidur.

Aku pun pejamlah mata untuk kali yang ke berapa. Ingatkan dah habis. Rupanya belum ya. ‘Dia’ belum puas mengusik. Kali ini, ‘dia’ semakin dekat dan berani. Aku tersedar semula bila terasa helaian rambut aku macam ditarik-tarik manja. Satu-satu dia tarik. Tak adalah sampai tercabut.

Tapi memang aku boleh rasa sampai ke kulit kepala rambut aku dimain-main. Mata aku terbuka luas. Aduh, lagi dekat rupanya. Jantung aku kencang balik. Aku cuba kerling kiri, kanan, atas, bawah tapi aku tak nampak langsung kelibat atau tanda-tanda adanya ‘dia’. Sebab, iyalah, ‘dia’ sangat dekat dengan aku dan ingat tak aku cakap headboard katil aku tinggi?

Jadi sepatutnya aku boleh nampak mungkin tangan dia ke atau baju ke dari ekor mata aku ni. Sebab, by logic, kalau ‘dia’ menyorok belakang headboard tu pun, tangan tu takkan dapat sampai kepala aku. Melainkan kalau tangan dia panjang. Kalau ‘dia’ berdiri pula, memang aku boleh nampak muka sepatutnya sebab mata aku tengok ke arah siling. Aku cuba juga nak kalih dan tengok, tapi macam yang sebelum ni, badan aku kaku. Tak boleh bergerak langsung. Nak jerit, kejut roommate pun tak boleh. Tak boleh jadi ni. Aku cuba lawan rasa berat. Entah berapa kali aku baca ta’awudz dalam hati. Nak baca kuat-kuat, mulut terkunci.

Setelah beberapa kali percubaan, aku berjaya gerakkan tangan aku. Terus aku capai handphone aku. Ingat nak pasang surah dekat Youtube. Masa tu jugalah phone aku mati. Aduh. Seingat aku, aku tak pernah off phone sebelum tidur. Bateri pun penuh lagi. Aku pun tak setting phone aku ke mod update secara automatik. Gelabah aku. Jantung ni tak tahu nak kata macam mana dah. Cepat-cepat aku on balik dan pasang surah dekat Youtube. Tak lama lepas tu ‘dia’ pun berhenti kacau. Hilang macam tu saja. Aku pun tak sedar bila yang aku terlena. Sedar-sedar dah subuh.

Esoknya, aku cerita semuanya pada roommate aku. Respons dia aku boleh agak. Dia tak sedar apa. Lepas daripada kejadian tu, aku jadi serik nak baca cerita-cerita seram Fiksyen Shasha. Tapi, beberapa minggu selepas tu, aku mula baca balik cerita-cerita seram yang best sampailah hari ni. Bezanya, aku tak adalah taksub sangat dengan cerita yang aku baca. Cukuplah aku ambil sekadar untuk hiburan dan pengajaran semata-mata.

Cik Pungguk
Cerita Berkaitan
Ada kisah sendiri?

Kongsi pengalaman seram anda.

Hantar Kisah

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Nak cerita baru kami hantar terus ke Telegram anda? Jom Join 👻 Join Telegram