#kisahaku Ujian Silat

Assalamualaikum semua pembaca. Aku tertarik untuk berkongsi cerita dengan pembaca di sini selepas membaca cerita-cerita yang hampir sama. Pengalaman aku adalah sedikit sahaja, kerana aku tak boleh melihat mereka, cuma banyak merasa seperti meremang dan sebagainya.

Pengalaman yang di kongsi adalah pengalaman aku sendiri sepanjang aku hidup. Nama karakter terpaksa diubah kerana aku sendiri dah lupa nama sebenar orang yang diceritakan ini kerana aku banyak berpindah sekolah. Cerita mungkin ditambah untuk memudahkan pemahaman dan perjalanan cerita.

Kisah 1
Cerita ini terjadi ketika aku masuk tingkatan satu di sekolah asrama lebih kurang 18 tahun yang lepas. Bagi yang duduk di asrama, kemungkinan sudah faham dengan jadual duduk di asrama. Pagi pergi ke sekolah, petang kelas persediaan (preperation class atau prep) selepas itu waktu riadah, di sambung pergi ke surau untuk Maghrib dan Isyak dan prep malam dari pukul 9 hingga pukul 10 sebelum minum malam.

Bagi memudahkan lagi cerita, asrama aku hanyalah asrama kecik dengan 3 block sahaja. Block lelaki 2 tingkat, block perempuan 2 tingkat dan block dewan makan. Tingkat atas block asrama adalah dorm dan surau, manakala tingkat bawah adalah bilik warden, bilik prep dan perpustakaan.

Masih segar di ingatan aku pada waktu itu, selepas Isyak dan ketika kami semua bersedia untuk pergi prep, seorang kawan aku, Topek dipanggil seorang senior form 5 ‘Kecik’ untuk tolong mengurut kepalanya.

Untuk pengetahuan semua, Topek dan Kecik tu berasal dari Kampung yang sama jadi mereka memang kenal antara satu sama lain. Aku merasakan seperti tiada apa-apa jadi aku teruskan pergi untuk prep. Aku belajar di dalam perpustakaan kerana dalam kelas agak bosan dan aku banyak menghabiskan masa ketika prep dengan membaca buku cerita yang terdapat di dalam perpustakaan tersebut.

Selang setengah jam bermulanya kelas prep tersebut, tiba-tiba ramai orang kecoh di luar perputakaan. aku yang sedang membaca dengan kawan aku terus keluar untuk melihat apa yang berlaku. Ramai senior aku berlari menuju tingkat atas.

Aku pun tanpa membuang masa terus mengikut mereka untuk melihat apa yang berlaku. Sampai sahaja di surau, aku melihat ramai tertumpu di dalam surau. Aku pun terus mengintai di celah tingkap untuk melihat apa yang berlaku. Alangkah terkejutnya aku, melihat Kecik sedang bersilat berseorangan di dalam surau. Topek berada di sebelahnya hanya melihat dan tidak tahu untuk melakukan apa-apa.

Semua yang lain pun hanya mampu melihat kerana takut terkena tumbukan atau tendangan ke atas angin yang dilontarkan oleh Kecik. Ketika itu warden kami tiada di asrama. Jadi ketua pelajar kami terus menyuruh rakannya menelefon Ketua warden yang duduk berdekatan dengan asrama kami.

Sepuluh minit selepas itu ketua warden kami pun sampai. Kecik ketika itu masih kuat bersilat seolah-olah bertarung. Ketua warden kami juga adalah pengajar silat di asrama tersebut. Namun beliau pun tidak dapat berbuat apa-apa melainkan melihat saja. Kecik meneruskan langkah bersilat sehingga terkeluar surau dan menuju ke bilik dorm sebelah surau tersebut.Ketua warden aku masih melihat dengan menggeleng-gelengkan kepalanya.

Selepas lima minit bertarung di dalam bilik dorm yang juga merupakan dorm Kecik, tiba-tiba Kecik seakan tercampak ke lockernya dan terduduk bersandar sambil memegang dadanya. Dia seakan tersedar, terkejut melihat keadaan sekeliling yang ramai orang. Kecik terus duduk bersila sambil mulut terkumat-kamit dan terus pergi ke tandas dan mencuci mukanya. Ketika itu juga ketua warden mengarahkan semua pelajar untuk sambung prep.

Malam itu, aku melepak di bilik senior. Aku adalah antara pelajar junior yang selalu melepak di bilik senior kerana mereka kenal abang aku yang juga bekas pelajar di sekolah itu.

Ketika itu juga Kecik menceritakan apa yang terjadi sebenarnya. Menurut Kecik, dia adalah pelajar silat Serindit (aku tak pasti betul wujud atau tidak) dan telah habis belajar. Ketika hari pengijazahan gurunya pernah berkata yang sepanjang hidup, pelajar silat ini akan diuji sebanyak tiga kali. Jadi dia berkata, tadi adalah ujian pertamanya;

Masa petang itu Kecik berasa berat kepala. Badannya terasa seperti hendak demam. Lalu dipanggil kawanku Topek kerana Topek antara pelajar yang reti mengurut. Topek juga seorang pelajar silat gayung makrifat yang mempunyai pengisian tersendiri.

Ketika Kecik baring di atas riba Topek, tiba-tiba Kecik berasa seperti kabus memenuhi ruang surau. Ketika itu juga Kecik ternampak bayang-bayang seseorang datang kepadanya. Setelah diamati, bayang-bayang itu mirip seperti guru silatnya. Guru silat itu menghulur tangan dan menunjukkan ke arah satu sudut.

Dari sudut itu keluar satu bayang yang amat tinggi. Menurut Kecik, tinggi bayang itu adalah melebihi pintu; dalam 7 kaki. Bayang itu terus menggayakan kuda-kuda dan menyerang Kecik. Kecik mengelak dan memacukan kekudanya sendiri. Bayang itu menyerangnya dan Kecik menyerang balas.

Sampai di satu tahap, kecik berjaya mematahkan serangan dan menyerang bayang itu. Ketika itu juga bayang itu menggapai sesuatu di pinggangnya dan mengeluarkan keris. Kecik cuba menyerang balas untuk merampas keris tersebut dan bayang itu dapat melepaskan satu tendangan tepat di dada Kecik. Ketika itulah kecik mengatakan yang dia tersandar dan terus terjaga melihat dia berada di dalam dormnya.

Kecik bercerita lagi, bahawa jika dia ditikam ketika dalam keadaan itu, pasti dia akan mati kerana luka dalaman. Sakit tendangan itu masih dirasainya, walaupun tiada tanda seperti lebam atau bengkak.

Aku yang walaupun penakut tapi agak skeptik dengan cerita Kecik itu. Tak kan belajar silat sampai hantar pendamping semata-mata untuk menguji ilmu persilatan muridnya sendiri. Namun itu adalah cerita Kecik. Terpulang kepada pembaca untuk menilai sendiri.

Sekian kisah pertama aku untuk dikongsi. Jika masa mengizinkan aku akan berkongsi lagi pengalamanku. Maaf jika tidak menyeramkan.

4 thoughts on “#kisahaku Ujian Silat”

Leave a Comment