#SiCelupar: Aku Budak ‘90s

Assalamualaikum semua warga FS. Semua sihat? Ada rasa sengal-sengal bahu? Kalau ada, jangan nak acah-acah ‘penat study’ atau ‘penat berkerja’. Percayalah sememangnya atas bahu korang tu ada benda bertenggek. Comel budak perempuan tu. Kulit licin. Putih. Senyum menyeringai. Tunggu masa je nak gigit telan kepala korang tu. Terutamanya kau! Haa, kau la! Yang lambat solat subuh pagi tadi.

Rumah keluarga aku ni dua tingkat. Aku duduk bilik depan. Kalau ada benda berlaku dekat luar rumah, memang aku akan dengar dulu.

Pagi ini suasana agak riuh dekat depan. Siap ada bunyi karaoke lagi. Lagu Fattah Amin kesukaan DeeFee pula tu. Aduh, aku nak tidur lebih sikit di hujung minggu ni pun tak boleh. Aku menapak turun dari katil, aku selak langsir, keluar ke beranda dan aku nampak khemah terpacak tiga biji. Cis, camane aku boleh lupa jiran aku kahwin hari ni.

Majlis bermula pukul 12. Tapi, baru pukul 10.30 aku dah family dah terhegeh-hegeh keluar pergi menyenduk nasi. Makcik sebelah rumah buat kenduri gotong-royong. Tapi, family dia dah ramai sangat. Dah tak ada apa yang nak ditolong oleh kami jiran-jiran. Kami jiran-jiran ni memang dia nak kitorang datang makan je. Jadi jangan kecam kami. Breakfast ada, lunch karang pun ada.

Lepas aku ambik semua makanan yang aku nak makan, masalah pertama lone ranger macam aku ni apabila berada di tempat kenduri adalah, nak duduk mana? Bapak ngan Mak aku dah duk huhahuha dengan kawan-kawan sama level umur dengan diorang dah. Adik-adik aku mandi pun belum, tak keluar rumah pun lagi. Jadi, aku nak duduk mana ni? Takkan aku nak lari bawa pinggan ni masuk dalam rumah pula. Tau la rumah sebelah je. Tak payah la kurang ajar sangat.

Dan, mata aku terpandang sekumpulan anak muda yang duduk berborak dekat hujung khemah sana. Aku tersengih. Diorang adalah kawan-kawan hingusan aku masa kecik dulu. Kena pula masa tu ramai cuti. Yang belajar tengah cuti, yang kerja pula tengah balik kampung hujung minggu. Jarang dapat jumpa diorang ni berkumpul ramai-ramai. Sedang elok pula hari ni ada majlis, diorang ni ada berkumpul ramai-ramai. Aku rasa macam miracle.

Bila dah berkumpul. Ada aku pula part of the geng, memang tak sah kalau tak buka cerita hantu zaman kecik-kecik dulu. Dan, memori tentang benda bodoh yang kitorang buat dulu, kini terimbau. Kisah kami budak-budak 90’s yang nakal.

“Ingat tak kisah dekat rumah doktor yang tak siap tu?” soal Hamid sambil tergelak.

……….

IMBAUAN SATU: JANGAN ANGKAT JARI

Setiap hari kecuali hari khamis, aku and the geng akan pergi mengaji dekat rumah seorang ustazah ni, tak jauh dari pun rumah, selepas maghrib. Dalam pukul 7.45 tu aku akan gerak ke sana. Settle mengaji semua, biasanya dalam 8.30 ke 9.00 malam, tamat la sesi mengaji.

Budak-budak bila dapat keluar malam, takdenye nak balik rumah terus. Komfem main dulu. Pukul 10 bila mak atau abah datang bawak hanger baru pandai cari jalan balik rumah.

Satu hari, member aku yang perempuan ni, nama dia Nurul, dia ajak kitorang pergi dekat sebuah rumah besar dekat tepi tanah lapang. Ada sebuah rumah besar kat situ tapi rumah tu macam terbengkalai (Sekarang dah siap dan lawa, dah ada orang duduk).

Rumah tu je ada sebiji dekat situ. Tak ada rumah lain. Dengan tak ada atap, dinding belum plaster, rumah tak siap la. Rumah tu dah lama terbengkalai sampai ada semak samun naik tinggi dah. Memang scary juga la bila tengok rumah tu. Bila malam rumah tu memang gelap dalamnya. Boleh pula si Nurul ni bawa lilin siap-siap. Lepas tu di ambik kertas macam kertas lukisan lepas tu bentang atas lantai rumah tak siap tu. Aku nampak ada huruf A-Z, nombor 0-9, YES dan NO. Semua lukis guna tangan. Buruk pula tu!

“Apa benda ni?” aku tanya.
“Coin Spirit.” Jawab Nurul.
“Untuk apa?” soal member aku, Hamid.
“Panggil hantu la. Kau tak baca Mastika ke?”
“Bongok la kau. Kenapa nak panggil hantu pula?”
“Apsal? Kau takut?”
“Macam mana nak main?” aku mencelah.
“Senang je, letak jari atas duit lima posen ni lepas tu tanya la soalan apa-apa. Nanti hantu tu jawab la.”
“Jawab macam mana? Kita boleh dengar suara dia ke?” Liyana yang bengap pula bertanya.
“Bukan lah bodoh. Dia akan gerakkan duit ni pergi ke huruf-huruf ni. Kita kena eja la apa dia tulis. Dah, jom main!”

Nurul keluarkan pula sebatang jarum. Dia bawak sekotak jarum yang bekas bulat tu. Sah-sah kebas mak dia punya jarum dekat rumah. Dia cucuk jarum tu dekat jari telunjuk dia sampai berdarah. Lepas tu, dia sapu darah dia pada duit syiling tu. Gila. Sumpah dia ni psiko gila. Bila fikir balik macam mana budak seusia 10 tahun ketika tu ada idea nak buat macam ni.

“ee! Taknak aku pegang darah kau ni.”
“Kau nak main ke tak? Taknak kau boleh blah.” Ujar Nurul. Dia ni memang tomboyish sikit.

Semua pakat redho. Semua letak jari dekat duit syiling tu. Kitorang bertujuh masa tu. Aku, Nurul, Liyana, Syura, Hamid, Amar dan Ateh. Dengan bersongkok, beg ada muqaddam tu la kitorang duk main Spirit of The Coin. Pengaruh tv betul la.

“Jong li jong, tali kecapi….” Nurul mula baca mantera apa entah. Aku lupa dah. Dulu aku hafal mantera bodoh yang Nurul ajar ni, hahahaha. Dia dapat mana pun aku tak tau, tapi aku rasa dia cedok dari movie Indonesia rasanya. Sebab dalam mantera tu ada perkataan-perkataan melayu juga. Aku ingat last sekali ada “…kau pergilah ke tempat asalmu.”

Syura dah takut-takut. Dia ajak adik kembar dia, Hamid balik. Bagi alasan takut mak diorang marah balik mengaji lewat. Yang lain pun ada yang kecut perut. Hati kering masa tu cuma aku dan Nurul.

“Ingat, jangan angkat jari!” Nurul cakap lepas habis baca mantera tu.

“Ada sesiapa dekat sini? Kalau ada tolong jawab.” Nurul mulakan soalan pertama. Gila keras hati betul minah ni. Tapi, tak ada apa-apa pergerakkan pun yang berlaku.

“Ada sesiapa tak dekat sini? Kalau ada, gerakkan lah duit ni.” Nurul cakap lagi tapi duit syiling tu masih tak bergerak.

“Jari semua debab-debab, berat duit ni. Hantu tu nak gerakkan pun tak larat. Kalau aku jadi hantu tu, baik aku sebut ‘Ya’ je, kan senang.” Elok sahaja aku habis ayat aku tu.
“Yaaa!!” satu suara garau nak mampos bergema dalam rumah kosong tak siap tu.

Apa lagi, lintang pukang semua berlari sambil menjerit balik ke rumah masing-masing. Kertas lukisan spirit entah ke mana. Duit lima puluh sen Nurul entah ke mana. Semua tinggal macam tu je.

Aku tak cerita kat abah dengan mak apa jadi. Kalau diorang tahu, konfem kena libas.

……….

Semua yang ada dekat meja tu masa tu tergelak besar. Makcik-makcik yang satu lorong taman ngan kitorang ketika tu pun ada yang curi-curi dengar.

“Dah besar dah korang semua. Jarang dah nampak korang berkumpul macam ni. Dulu kecik-kecik geng-geng ni lah buat bising satu lorong ni. Sekarang dah besar, semua duk terperap dalam rumah.”

Aku and the geng hanya mampu berhuhu. Betul apa makcik tu cakap. Masa berubah, keadaan berubah, suasana berubah dan manusia juga berubah.

“Bila petang pula, muka korang-korang ni la duk memekik main kat tanah lapang ngan bukit kat belakang tu dulu.” Sambung makcik tu lagi.

Tergelak aku dibuatnya. Memang nostalgik betul tanah lapang dan bukit tu. Sekarang tempat tu dah jadi rumah orang.

“Sebut pasal tanah lapang tu, ingat tak kes kepala Ateh berlubang tu?”
“Gila tak ingat. Sampai sekarang ada parut lagi.” Ujar Ateh sambil menunjukkan bekas parut pada kepalanya.

……….

IMBAUAN DUA: NYOROK-NYOROK

Satu petang tu aku and the geng memang tak ada apa-apa idea nak main apa. Semua dah bosan. Permainan-permainan banyak yang bermusim. Musim layang-layang, ramai lah yang nak main layang-layang. Seminggu dua main, bosan dan habis lah musim tu. Masuk pula musim rounders, musim polis sentry, musim lumba basikal, musim guli, musim bola sepak, musim badminton dan musim gasing. Semua bermusim. Seminggu dua duk pulun main tu je tiap petang. Sampai satu tahap kitorang tak tau nak main apa dah.

Belakang rumah kitorang ni ada satu kawasan tanah lapang yang diturap untuk tujuan pembinaan rumah baru. Di tengah-tengah tanah lapang tu pula, ada sebuah bukit. Kalau tengok dari jauh, nampak macam tanah lapang tu ibarat laut, bukit kat tengah-tengah tu ibarat pulau.

Bukit kat tengah-tengah lapang yang luas tu bukan setakat sebuah bukit biasa yang bulat atau petak macam tu je. Bukit tu ada bentuk. Bukit-bukit tu tak tinggi mana pun. Tetapi bukit-bukit tu berbentuk-bentuk. Ada tinggi, ada rendah, ada rendah lagi, ada macam berlubang, ada yang melandai sebelah sana, ada yang macam tangga sebelah sini, ada bukit besar tu pula terdapat bukit kecil di atasnya, ada juga bukit-bukit kecik yang rapat-rapat membentuk laluan atau maze. Lebih kurang macam Grand Canyon. Ada yang macam landai tu, kitorang siap buat main gelongsor lagi. Cari kotak besar buat alas, lepas tu meluncur turun macam gelongsor. Bila balik rumah, kaki berdebu semua, kena la libas. Hahahaha. Kenangan semua tu.

Sekali lagi aku tekankan, bukit-bukit tu tak tinggi dan selamat untuk budak-budak sebaya aku main dekat situ. Terjatuh tergolek dari bukit tu dah macam benda biasa. Tak ada lagi yang mati. Patah kaki atau patah tangan tu ada la. Tapi, kalau budak-budak 10,11 tahun zaman sekarang main kat bukit-bukit macam tu, mesti menjerit mak bapak diorang. Hahahahaha.

Ada dua persoalan pasal bukit kat tengah-tengah lapang tu.
1. Kenapa bukit tu tak ditarah habis jadi landai macam tanah lapang sekeliling bukit ni?
2. Kenapa tanah lapang ni bertahun-tahun tak berusik? Tanah lapang mula dibangunkan semula ketika aku tingkatan empat.

Itu persoalan aku ketika tu la. Macam-macam teori keluar. Lori rosak masa nak tarah bukit tu la. Boss pemaju bunuh diri la, hantu dia tak bagi majukan tanah tu. Tanah lapang tu ada penunggu la. Macam-macam teori seram tetapi kitorang langsung tak endahkan. Tanah lapang tu dah jadi macam pusat rekreasi dah ketika tu. Geng-geng orang besar yang main kereta control kat situ la, yang main layang-layang pun kat situ juga. Yang main motorcross pun kat situ juga. Belajar bawak kereta pun ada. Tanah lapang dan bukit tu memang multipurpose. Ada yang nak cuba buat ‘projek’ kat belakang bukit tu tapi tak jadi sebab ada banyak ‘pencegah maksiat’ terutamanya geng kitorang la. Jadi, tempat tu memang bebas dari anasir negatif. Yang kelakarnya, sampai sekarang aku ingat muka akak tembam tu. Setiap kali terjumpa dia kat pasar malam ke, kat kedai tengah beli sayur ke, mesti aku akan bermonolog “ni la akak tembam yang nak buat projek kat belakang bukit dulu.”

Tapi, kesibukan dekat tanah lapang dan bukit tu ikut musim jugak. Ada masa kawasan lapang tu akan ramai orang, ada masa nampak macam padang tanah yang luas dan kosong, tak ada orang datang. Terutamanya musim hujan atau musim panas.

Panjang gila cerita pasal tanah lapang je. Ok lets start the story.

Pernah tak korang main sembunyi-sembunyi. Kitorang panggil main Nyorok-nyorok. Kalau tak pernah, mohon belajar jadi kanak-kanak. Korang dah terlepas satu daripada keseronokkan permainan kanak-kanak di dunia ni.

Banyak cerita seram berkaitan nyorok-nyorok ni mesti dikaitkan dengan hantu kpk. Kat tempat aku orang tak sebut ttk sebab sopan sangat. Kitorang sebut kpk baru umph! Kahkahkah. Tapi, cerita aku ni tak ada kena mengena pun dengan hantu ni.

Aku and the geng ni sukakan sesuatu yang rare dan adventure. Kitorang nak main nyorok-nyorok tapi taknak main yang original version punya. Setakat kira tutup mata, lepas tu yang lain pergi menyuruk, si tukang cari akan cari sampai habis, dan orang yang pertama yang dijumpainya akan take turn untuk jadi si tukang cari pula. Original version yang bosan.

Jadi aku dapat satu idea yang agak rare, aku yakin ramai orang tak pernah main nyorok-nyorok versi macam ni. Kalau pernah, maybe kita pernah berjumpa dalam mimpi dan discuss pasal game ni dalam mimpi bersama dan realisasikannya di alam nyata tetapi tempat yang berbeza. Seriously, aku tanya ramai kawan aku, pernah tak main sembunyi-sembunyi macam ni, semua kata tak pernah. This is super rare.

Kitorang main game ni dekat kawasan lapang bersebelahan betul-betul dekat bukit yang berbentuk-bentuk kat tengah tanah lapang tu tadi. Bukit-bukau tu akan jadi tempat kitorang menyorok.

Ideanya simple. Masukkan batu-batu kecil dalam botol plastik. Separuh je. Buat satu bulatan atas tanah. Kemudian, baling botol tu sekuat hati ke tanah lapang tu. Si Tukang Cari akan berjalan untuk kutip botol itu, ibarat dia sedang mengira dalam old version of this game. Ketika Si Tukang Cari ini berjalan, yang lain-lain akan pergi menyorok di kawasan bukit-bukit tadi. Seperti yang aku cerita lebih awal, bukit-bukit tu berbentuk-bentuk. Jadi, ada banyak tempat-tempat yang best untuk menyorok.

Kalau balingan botol itu kuat dan jauh sasarannya, maka Si Sembunyi ada masa lebih untuk menyorok sebab Si Tukang Cari perlukan lebih masa untuk berjalan ke arah botol. Kalau dekat, akan tergesa-gesalah nak pergi sembunyi. Di situ keseronokkannya. Nerves itu best.

Apabila Si Tukang Cari kembali ke arah bulatan, dia akan letakkan botol tersebut di dalam bulatan. Dan barulah dia boleh mula mencari. Tapi, dia pun kena berjaga-jaga. Dia tak boleh biarkan sesiapa pun yang belum disebutkan nama, sepak botol tersebut keluar dari bulatan. Jika tidak, dia perlu ulang menjadi Si Tukang Cari. Kiranya, Si Tukang Cari ada mission untuk mencari Si Sembunyi dan jaga botol. Si Sembunyi ada mission untuk menyepak botol tersebut.

Kisah seramnya bermula apabila aku sendiri kena jadi Si Tukang Cari. Hamid lontarkan botol coca-cola berisi batu itu cukup kuat dan mendarat sangat jauh. Aku mulakan langkah berjalan menuju ke arah botol. Apabila sudah dapat, aku toleh ke belakang, semua orang sudah hilang bersembunyi di bukit-bukit. Suasana bukit jadi sunyi sepi. Aku letakkan semula botol ke dalam bulatan khas. Kemudian, aku menapak naik ke atas bukit.

Aku tinjau-tinjau dari atas bukit yang tak berapa tinggi tu, aku cari kot-kot ada kelibat kepala yang tertelek-telek nak jenguk aku. Langsung tak ada kepala yang menjenguk.

“Kkcaakk!!” tiba-tiba botol di dalam bulatan disepak seseorang. Aku terus berlari ke tebing bukit dan nampak botol tersebut sudah tumbang dan berada jauh di luar bulatan. Tapi, siapa yang sepak? Satu bayang orang pun tak ada dekat situ. Biasanya, bila ada sesiapa yang berjaya sepak botol tu, masing-masing keluar bersorak beramai-ramai sebab Si Tukang Cari kena mencari lagi sekali. Ini tidak, senyap je. Yang sepak botol itu pun tak nampak bayang. Kalau tidak mesti dialah orang pertama yang menjerit bersorak suruh semua keluar dan start new round.

“Korang! Botol dah kena sepak! Siapa yang buat?!” aku jerit. Semua yang tengah bersembunyi, keluar dari persembunyian. Masing-masing terpinga-pinga. Bila ditanya, semua tidak mengaku. Pelik. Nak tak nak, aku kena jadi Si Tukang Cari lagi.

Kali ini, Ateh yang baling. Dia baling lagi kuat, lagi jauh botol tu mendarat. Aku mulakan langkah menuju ke arah botol. Selepas aku patah balik dan letak semua botol ke bulatan, aku mulakan pencarian. Semua sudut pandang aku jaga elok-elok. Pastikan semua side aku nampak. Jangan ada sebarang pergerakan mencurigakan menuju ke arah botol. Kalau tidak, memang aku kena jadi Si Tukang Cari lagi sekali. Aku pun nak menyorok juga woi!

“Kkcaakk!!” botol tersebut disepak lagi. Aku terus menoleh ke arah botol yang ada di tanah lapang. Botol tersebut sedang bergolek keluar dari bulatan. Tapi, siapa yang menyepaknya langsung tak kelihatan.

“Woi! Taknak main la macam ni!” aku mula bengang.
“Aphal?” Ateh keluar dari persembunyi diikuti yang lain-lainnya.
“Siapa sepak botol tu?” soal aku lagi.
Dan macam tadi juga. Tak ada sesiapa yang mengaku. Pelik. Sumpah pelik.

Dan proses yang sama berlaku sampailah pusingan keempat. Akhirnya di pusingan keempat ini tak ada sesiapa yang berjaya menyepak botol tersebut. Aku berjaya cari semua orang sebelum ada sesiapa yang berjaya menjatuhkan botol berisi batu-batu kecil tu.

Sekarang, giliran Ateh pula menjadi Si Tukang Cari. Aku yang tadinya tak ada mood, dah dapat semula mood nak main. Aku baling botol tu sekuat hati nun jauh ke tengah lapang sana. Ateh berjalan pergi dekat botol tu selepas botol tu mendarat. Aku terus berlari menyorok di sebalik bukit- bukit kecik yang ada. Dari satu port ke satu port. Yang mana orang lain dah cop, aku kena cari port lain. Tiba-tiba aku terdengar bunyi suara Ateh menjerit.

“Aphal tu?” aku soal Hamid.
“Entah.” Jawab Hamid sambil angkat bahu.
“Korang! Kepala Ateh berdarah!” Nurul jerit dari jauh.

Apa lagi. Menciput aku dan Hamid berlari ke tanah lapang sana. Sampai dekat situ aku nampak Ateh menangis sambil pegang kepala dia. Darah mengalir ke muka. Apa lagi terus kitorang bawa dia balik. Mujurlah rumah tak jauh mana pun. Kecoh juga la manusia dekat lorong rumah kitorang tu bila nampak Ateh berdarah-darah.

Ateh di bawa ke hospital. Luka kat kepala dia tu kena jahit. Menurut cerita Ateh, masa dia berjalan menuju ke arah botol tu, bila dia sampai, dia tengok botol tu tak ada. Dia cari-cari, tinjau-tinjau tapi masih juga tak jumpa. Tiba-tiba, ada satu benda hentam kepala dia dari udara. Sakit gila! Tu dia menjerit tu. Dia cari benda apa yang hentam kepala dia tu, tak ada apa-apa. Tak lama lepas tu, dia nampak botol Coca-cola berisi batu-batu kecil tu datang terbaling dari arah bukit, hampir nak hentam kepala dia sekali lagi. Nasib sempat elak.

Misteri botol disepak 3 kali dan siapa yang baling botol tu sampai hentam kepala Ateh, masih tak terungkai sampai sekarang. Lepas kejadian tu, mak bapak kitorang haramkan permainan tu dan haramkan bermain kat tempat tu. Lama jugak la kitorang satu geng ni main indoor game je selepas kejadian tu. Nasib baik ada jutaria dan game tape super mario. Kitorang akur tapi tak sampai sebulan, dah main dekat situ balik. Main nyorok-nyorok sepak botol tu balik. Budak-budak dan kenakalan berpisah tiada. Ateh yang tak padan kepala dah pernah bocor pun masih tak serik. Benda fun, rugilah tak main.

Tanah lapang dan bukit-bukit tu semua dah ditarah dimajukan dengan rumah-rumah kediaman. Misteri dan kenangan suka duka bergaduh berbaik dekat situ dah hilang di bawa arus pembangunan. Tak ada lagi tempat kitorang main nyorok-nyorok sepak botol, tak ada lagi tempat kitorang main rounders, tak ada lagi tempat kitorang buat pesta layang-layang surat khabar, tak ada lagi tanah lapang tempat kitorang main bunga api guna sabut gosok periuk malam-malam Ramadhan, tak ada lagi tempat kitorang lepak malam-malam tengok bintang kalau satu taman tak ada api, tak ada lagi bukit-bukit tempat orang-orang besar main motorcross, tiada lagi tempat akak tembam buat projek.

……….

Orang ramai dah mula datang ke Kenduri. Tapi kitorang masih lagi tak bangun-bangun. Pinggan dah kosong. Sisa-sisa makanan dekat tangan pun dah kering.

“Hutan pokok getah belakang sana ada lagi ke?” soal Syura.
“Tak ada dah. Dulu diorang dah pernah tebang. Tapi, biarkan je tak sodok, terus naik jadi hutan semula.” Jawab Hamid.
“Tempat tu pun scary kan dulu.”

Semua mengangguk dan tersengih. Aku yakin semua tengah terimbaukan kisah laluan sesat dalam hutan tu dulu.

……….

IMBAUAN TIGA: THE MAZE RUNNER

Selain daripada geng-geng aku ni adalah pelari pecut yang hebat di sekolah masing-masing (kitorang banyak sekolah berbeza-beza), kitorang juga adalah budak-budak yang nakal tak bertempat, acah-acah adventurer dan tak kenal erti serik.

Di hujung tanah lapang sana, ada hutan pokok getah. Mungkin tempat tu asalnya ladang getah. Tapi entah apa puncanya, pemiliknya tak menoreh dah kot, ladang tu naik bersemak jadi macam hutan belantara.

Nak dijadikan cerita, kitorang ni masuklah ke sana. Ada pintu masuk. Buat apa? Aku pun tak ingat dah sebab apa kitorang bodoh pergi masuk situ. Budak-budak kan. Sifat adventurous and curiousity tu terlalu tinggi.

Hutan tu ada laluan denai. Menghubungkan dari pintu A ke pintu B. Laluan tu melengkung membentuk macam huruf U. Masuk ikut hujung belah sini, akan keluar ikut hujung belah sana. Sesiapa ada duduk dekat pintu A, boleh nampak orang dekat pintu B sebab tanah dia rata je tak berbukit.

Maka, Hamid dapat satu idea bodoh lagi gila.

“Apa kata kita test siapa paling berani. Masuk ikut pintu A keluar dekat pintu B. Sorang demi sorang.”

Yang tak tahannya semua setuju. Tak kisah la perempuan ke, lelaki ke, semua pakat okay je dengan game bodoh tu. Mana diorang dapat keberanian tu entah la. Aku mengaku aku takut tapi teringin nak buat tu ada. Kecuali Syura. Dia tak berani. Mati-mati Hamid pujuk suruh join tapi dia taknak. Maka, Syura disuruh duduk dekat pintu B tunggu orang keluar.

“Andai kata berlaku apa-apa dalam tu nanti, jerit je. Kitorang datang.” Hamid bagi nasihat dekat Nurul. Dia volunteer nak jadi pelari pertama. Minah tomboy ni memang hati kering.

Nurul masuk. Agak lama jugalah dia dekat dalam tu. Lebih kurang dalam 10 minit, nampak lah kelibat Nurul dekat pintu B sana dengan Syura. Next giliran, Amar. Dia masuk. Tak sampai lima minit, dengar dia menjerit dekat tengah hutan. Bunyi jeritan tu kedengaran bergerak dari tengah hutan menuju ke pintu B. Berjaya juga dia habiskan. Katanya, dia berselisih dengan babi hutan. Sebab tu dia menjerit. Nasib baik tak kena kejar. Seterusnya, giliran aku. Aku cuak juga sebenarnya.

“Hutan ni tak ada penunggu ke?” soal aku.
“Cuba jangan celupar sangat.”
“Abang aku pernah cakap dulu dia dan geng dia pernah nampak benda kat sini.”
“Potong la ***** kau tu kalau penakut sangat!” ayat yang paling pantang didengar oleh mana-mana lelaki.

Aku gigihkan juga masuk ke dalam hutan pokok getah tu. Tak sampai sepuluh meter aku masuk, suasana jadi redup. Pokok-pokok getahnya tinggi-tinggi. Bercampur pula dengan pokok-pokok hutan liar yang juga tinggi membuatkan lantai hutan tu redup sangat-sangat. Laluan yang aku akan lalu tu langsung tak bersemak. Seolah-olah laluan tu macam selalu orang pakai. Tapi, kawasan lantai yang lain memang bersemak. Kalau aku tak berhati-hati, boleh jadi apa sahaja yang keluar dari kiri dan kanan aku. Babi, ular, malah harimau pun aku terpikir juga akan keluar dari semak-samun tu.

Bunyi unggas kedengaran memang tenang. Aku berjalan masuk lebih dalam. Tak lama selepas tu, jalan tu terbahagi dua. Satu ke kiri, satu ke kanan. Aku ambil yang kiri. Laluan sebelah kiri tu macam menuruni bukit sikit. Aku teruskan perjalanan sampailah aku terkeluar dari hutan tu. Depan aku masa tu ada kebun pisang yang luas. Lama aku perhatikan kebun pisang tu. Aku rasa macam tenang je pandang kebun pisang yang luas tu. Nak pergi ke kebun pisang tu, ada anak sungai. Anak sungai tu pisahkan hutan ni dengan kebun pisang tu.

Tak lama lepas tu, aku sedar yang aku tersalah ambil jalan. Jalan tu jalan mati. Ye lah, nak masuk ke kebun pisang tu ada anak sungai, anak sungai tu lebar jugalah, kalau nak lompat, tak lepas aku rasa. Titi pun tak ada.

Aku patah balik masuk ke hutan dan ambik laluan ke kanan. Dah lama aku berjalan, aku nampak ada sebuah pondok kecik yang buruk gila dekat tengah-tengah hutan tu. Sebelah pondok tu ada perigi buruk juga. Atas perigi tu ada zink macam dekat kebun-kebun orang guna untuk tadah air hujan tu.

“Ohok! Ohok!” tiba-tiba aku terdengar bunyi orang terbatuk dalam pondok buruk tu. Aku apa lagi, terus menjerit dan berlari. Aku dapat dengar suara Hamid dan yang lain-lain jerit panggil nama aku. Dan dalam ramai-ramai tu, ada suara abah. Kenapa ada suara Abah?

Dalam masa aku berlari tu. Aku rasa aku nampak ada benda duduk bertenggek atas pokok. Aku berhenti berlari dan pandang ke atas. Aku nampak satu lembaga hitam bulat sedang bertenggek atas satu dahan tinggi. Aku tak pasti itu beruk atau apa. Tapi bulu dia hitam sangat. Sumpah aku takut gila masa tu. Aku menjerit sekuat hati sambil berlari menuju ke pintu B. Aku ikut je laluan depan aku. Memang tak ada laluan lain dah. Dalam masa yang sama, aku dapat dengar dahan-dahan pokok dekat atas digoyang-goyang seolah-olah ada benda tengah kejar aku dari atas.

Tak lama selepas tu, aku sampai dekat pintu B. Aku nampak semua orang ada dekat situ termasuklah abah dan beberapa lagi pakcik-pakcik area rumah aku. Aku tengok langit gelap dah nak masuk maghrib. Geng-geng aku semua dah menangis-nangis dah. Aku pulak, blur. Tak faham apa yang berlaku. Bila aku balik, aku ceritakan apa yang terjadi.

“Laluan tu mana ada bercabang dua.” Hamid mencelah bila aku bercerita.
“Ada.” Aku bidas.
“Aku tahu lah aku dah pernah masuk beberapa kali sebelum ni.” Bentak Hamid lagi.
“Sudah! Abah taknak dengar lagi korang main dekat sini. Entah hantu apa buat Wan sesat dalam tu sampai dua jam.” Bapak Hamid marah.

……….

Sampai sekarang Hamid masih nafikan yang adanya kebun pisang belakang hutan tu. Tapi, aku berkeras cakap ada. Kalau lah zaman tu dah ada smartphone, lama dah aku tangkap gambar tunjuk kat diorang.

“Wan, aku nampak gambar kau pergi Tadom Hills hari tu kat Facebook. Best ke?” Amar tanya. Dia cuba tukar topik bila nampak aku dan Hamid tak habis-habis bertekak siapa betul siapa salah.
“Boleh tahan la. Air dia dalam gila. Kau mandi dekat tepi pun kaki kau tak cecah dasar.”
“Air dia memang biru hijau macam tu ke?”
“Ha’ah.”
“Apa je boleh buat kat sana?”
“Mandi-manda macam tu je la. Ada juga tempat kau nak lompat acah-acah pandalela. Rakit pun ada.”
“Weh, rakit! Korang ingat tak?” soal Liyana.
“Kes paya hujung sana tu?”
“Ha’ah.”

……….

IMBAUAN EMPAT: RAKIT

Musim hujan. Juga dikenali sebagai musim banjir. Budak-budak nakal ni masih belum serik selepas beberapa tragedi pelik-pelik menimpa mereka. Bila difikirkan balik, adakah disebabkan main Spirit Of The Coin tak habis hari tu? Entah la.

Petang tu hujan lebat. Geng tujuh budak gila ni mandi hujan. Bila hujan lebat, tanah lapang belakang rumah kitorang tu ibarat laut, dan bukit-bukit tu ibarat pulau. Kalau berjalan jauh ke sana menyeberangi tanah lapang tu, ada paya kat hujung sana.

Entah motif apa entah, kitorang semua pergi ke sana. Nak tengok air banjir. Kawasan paya tu nampak luas gila bila air paya tu naik. Aku ternampak ada sebuah rakit dekat tebing paya tu.

“Weh, rakit! Jom naik nak?” aku mempelawa semua.
“Jom!” semua setuju kecuali seperti biasa, Syura. Dia bantah sekerasnya sebab takut jatuh dalam air paya yang naik tinggi tu.
“Kau taknak, kau balik.” Hamid menghalau kakak kembar dia tu. Syura balik dengan perasaan marah. Aku pasti dia akan bagitahu Makcik Asmah, mak diorang, tentang kerja gila kitorang ni.

Keenam-enam kitorang ketika tu, Aku, Nurul, Hamid, Amar, Liyana dan Ateh semuanya naik atas rakit tu. Lepas tu, Hamid dayung rakit tu ke tengah paya. Dayung guna kayu je. Sikit pun tak ada rasa takut dalam diri kami. Hujan masih lagi turun. Tak lebat, tak renyai. Sedang sedang.

Tiba-tiba muncul sesuatu dari dalam air. Warna hitam. Mula-mula satu. Kemudian, muncul lagi satu. Dan lagi dan lagi dan lagi. Semua benda hitam tu macam keliling rakit yang kitorang naik tu.

“Weh, paya ada buaya ke?”
“Setahu aku tak ada.”
“Kalau ada macam mana?”
“Tu benda hitam timbul, benda apa?”

Benda-benda hitam tu tenggelam semula. Hilang ke dalam air. Amar yang terlalu takut, dia melompat turun ke dalam air. Disebabkan tujahan kaki dia masa melompat tu, rakit jadi tak seimbang. Rakit terhuyung hayang. Semua pakat menjerit sebelum rakit tu terbalik. Semuanya jatuh ke dalam air paya.

Menjerit-jerit semuanya bila rasakan airnya dalam. Mujurlah tak terlalu dalam sampai tahap tak cecah kaki. Masih boleh cecah tetapi aku dapat rasakan dasarnya berlumpur. Masing-masing cepat meranduk pergi ke tebing.

“Aaaaa!!” Liyana tiba-tiba menjerit highpicth.
“Ada benda dekat kaki aku!!” jerit Liyana. Dia dah menangis dah. Sambil tu dia terus cepat-cepat meranduk ke tebing. Bila semua dah sampai kat tebing, benda-benda hitam tadi sekali lagi timbul dekat permukaan. Banyak gila. bulat-bulat licin dan hitam. Aku rasa tu kura-kura tapi kenapa banyak sangat dan nampak menyeramkan.

“Aaaaa!!” sekali lagi Liyana tiba-tiba menjerit highpicth sambil tangan dia tunjuk-tunjuk ke arah kaki dia. Ada lintah gajah melekat kat buku lali.

……….

Orang ramai pun dah memenuhi ruang khemah. Masing-masing pun angkat punggung, balik ke rumah masing-masing. Cerita-cerita nakal ketika kitorang kecik dulu secara tak sengaja terimbau hari ini. Itu ajaibnya sebuah majlis kenduri kendara. Bukan hanya meraikan satu pasangan menyambut hari bahagia, mungkin juga menjadi medan pertemuan semula seseorang dengan kawan-kawan lamanya yang susah untuk bertemu apabila menjangkau usia dewasa ni.

Sebelum aku balik, sempat lagi aku capai sepotong kek dekat meja yang penuh dengan manisan. Masa itulah mata aku terpandang ke arah perempuan depan mata aku.

“Syakila, kau buat apa dekat sini?” Syakila yang aku jumpa hari tu, ada depan mata aku sekarang.
“Oh, hai Wan. Nurul invite aku.”
“Kau kenal Nurul?”

Dia hanya mengenyitkan mata dan berlalu pergi membawa pinggannya ke meja. Dalam blur-blur ayam, aku balik ke rumah. Aku keluarkan telefon bimbit dari poket dan aku whatsapp Amin.

‘Amin, aku jumpa Syakila.’
Dan Whatsapp tu bluetick sahaja sehingga ke hari ni.

-Tamat-

48 thoughts on “#SiCelupar: Aku Budak ‘90s”

  1. Cara main nyorok2 tu samelah mcm aku kecik2 dulu..tapi pkai tin susu letak batu..bezanye mase jmpe org tu nak sebut name kena goncang tin tu..klu lambat tkg nyorok goncng dulu jadi lgi lah..bpk ar sakit hati tukang cari tu asyik dia je cari..

    Reply
  2. Tengah syok baca kisah lain, break jap nak bekfes…tup, tup buka balik FS nampak #SiCelupar kat page depan no 1 lg. Terus tinggal yang lain..baca ni dulu.. Kuikui… Pape cite #SiCelupar tak pernah menghampakan. Tq!

    Reply
  3. Panjang gler cite. Tapi makin baca, makin best.. Yang x best baca cite ni time kje.. So kna main sorok2 membaca.. Haha.. Dahla.. Nak sambung at kje balik. Ok bye..

    Reply
  4. Kmi pn main nyorok2 guna tin susu tp x letak batu pn.bila dpt cri org prtma,msti sebut nma org tu then pegi pijak tin tu sblm org prtma atau yg lain pijak.huhu suka sngt baca crita si celupar ni.semua best2..

    Reply
  5. Wahhh.. Pnjng benor cerita kau.. Tpi awesome,beb! Kalau kau buat novel,aku org prtma bli buku kau.. Buku si fattah pun kalah.. Kehkehkeh.. >_<

    Reply
  6. “Ada rasa sengal-sengal bahu? Kalau ada, jangan nak acah-acah ‘penat study’ atau ‘penat berkerja’. Percayalah sememangnya atas bahu korang tu ada benda bertenggek. Comel budak perempuan tu. Kulit licin. Putih. Senyum menyeringai. Tunggu masa je nak gigit telan kepala korang tu. Terutamanya kau! Haa, kau la! Yang lambat solat subuh pagi tadi.”

    nangis lah mcm ni. aku sakit bahu sebelah kanan lama dah ni 🙁

    Reply
  7. Adoiii… Kisah seram jadi tak seram aku baca… Kelakar lah geng-geng kau orang… Aku pun teringat balik kisah zaman “Budak-budak Nakal” dulu… Memang nostalgic.

    Reply
  8. mengimbau kenangan betul. Terus teringat kenangan zaman kanak2 main dengan sepupu & kwn2. bila dah besar masing2 menyombong bawa haluan masing2 klu jumpa pun mcm x kenal je sambil nak tunjuk sapa lagi hebat. huhu sedih betui. kau memang nakalkan, bahan kakak gemok tu hahahah nice story #SiCelupar.

    Reply
  9. Kau saja je kan petik nama syakila part nak last dah. saja bagi kami dok ternanti nanti. haih
    cepat sikitt , lenguh dah bahu ni tunggu
    ……………………..

    Reply
  10. Once baca kisah ko nie
    Serius teringat syoknya zaman jadi budak2 dulu
    Walau aku tak la ‘seganas’ korang
    Tapi bila teringat tu, senyum sendiri
    Mandi parit, cari anak berudu
    Tangkap belut, berlari2 bawa balik suruh mak goreng
    Main kat kebun getah, kutip biji getah
    Bakar ubi, sedap wehhhhhhhhhhh
    Pengalaman yang tak ternilai manisnya 🙂

    P/S : Kawan2 ko tu tak ada yang kawin sesama sendiri ker? Hehehehehe….

    Reply
  11. Ada rasa sengal-sengal bahu? Kalau ada, jangan nak acah-acah ‘penat study’ atau ‘penat berkerja’. Percayalah sememangnya atas bahu korang tu ada benda bertenggek. Comel budak perempuan tu. Kulit licin. Putih. Senyum menyeringai. Tunggu masa je nak gigit telan kepala korang tu. …kihkih..

    Reply
  12. wan sc ! hehe .. sambung la misteri syakilla. kau saja je kan gantung cite amin tu, aku tau kau dah ada kesudahan cite mereka. aku peminat kau ni.

    Reply
  13. Kesian bebudak sekarang xdak memori macam ni.ak pn plik mana mai keberanian utk buat pkara2 mcm tu dlu.terimbau gilaa.

    Reply
  14. “main bunga api guna sabut gosok periuk malam-malam Ramadhan…”

    Akk main gune steelwool buat gosok bontot kuali tu…
    Hehehehehhe…

    Reply
    • Haa..benda tu la..best gila main guna steelwool tu. Tp ada satu insiden steelwool tu tercabut pastu jatuh atas dada adik member. Melecur beb. Sampai sekarang berparut. Terus insof tak main dah ??

      Reply
    • Uiisshhh…
      Saket tuuuu…
      Tapi…mujur gak x landing kt kepala ke, muke ke…

      Best main benda tu…
      Mse kekanak dlu ktorg x berani main sekali byk, takot tercabot camtuler…
      Sikit2 jer bakor…
      Pon dh ghase excited sgt dh tu, haahahaha…
      Pastu mak bising sbbnye ble stok steelwool ktorg abis, ktorg sebat mak punye plaaakkk…
      Lariiikkk…

      Reply
  15. whoa! pandai kau loop cerita eh. mmbuatkan aku nak baca balik cerita syakila. tbh, kau memang fvt writer kami, bro. salute.

    Reply
  16. terbaik weh cter ko..mmg x menghampakan..walaupun panjang, gigih ak bace. haih, ak yg pening duk fikir hal si syakila tuh..hahaha

    Reply
  17. Kite same zaman la kirenye . Buat bola rounders pakai kertas . Konyok2 kan . Pastu tape kan .
    Btw . Cerita kau terbaik .

    Reply
    • Big laugh to u. Cerita dalam novel especially karya ramlee awang murshid, fixi ke, lejen press ke sume rekaan okayyy…ko nak betul2 pegi kat mimaland duduk setahun kat sana kawan dgn setan. Da agak banyak experience tulis la kat sini. Aku nak tgk hebat x cerita realiti ko tu. Aku nak reply gak kat ko even tho ko x baca pun komen balas aku ni

      Reply

Leave a Comment