TUK! TUK! TUK!
Bunyi tingkap bilik Ayie diketuk kuat. Ayie terdiam. Majalah Ujang di tangan diletak di tepi bantal. Kolum Lawak Antarabangsa tidak lagi dirasakan lawak setelah mendengar ketukan tingkap biliknya itu. Jam di dinding menunjukkan waktu telah bertukar dari malam ke pagi. Kepalanya ligat memikir siapakah gerangan hamba Allah yang mengetuk tingkap biliknya pada waktu-waktu begini. Ayie memberanikan dirinya untuk mendapatkan kepastian.
Kriukkkkk!
Bunyi tingkap berbingkai kayu di buka. Tiba-tiba!….
=====================================================================
Yo! Terima kasih sekali lagi kepada admin yang sudi menerbitkan cerita kedua aku ini selepas cerita ‘Kawan Abang’. Terima kasih kepada semua yang baca dan komen. Aku nekad untuk tulis panjang sikit kali ini. Hahaha. Penulisan aku yang kedua ini masih lagi berlatarkan belakangkan rumah emak abah aku.
Tiada apa yang menakutkan pun dengan rumah ini, rumah batu sederhana besar, tidak berpagar, tanah luas untuk bermain bola, reban ayam, itik dan burung merpati di tepi rumah, tampak normal jika dilihat mata kasar. Oleh kerana lokasi rumah ini yang di kelilingi hutan dan dusun, ramai orang-orang tua kampung ini mengklasifikasikan kawasan ini sebagai kawasan “Jin Bertendang”. Macam-macam mitos and cerita tahyul yang pernah aku dengar mengenai kawasan ini, kononnya terdapat banyak Jin-jin berkeliaran yang menjaga kebun tuan mereka, tak kurang juga yang cakap kawasan ini adalah kawasan ahli perubatan buang jin dan hantu.
Seperti yang pernah aku beritahu sebelum ini, rumah aku ni memang tidak asing lagi bagi saudara-saudara emakku dari Kelantan untuk menumpang bermalam dan bermastautin. Bilik di rumah kami agak banyak, terdapat 5 bilik tidur dan 3 bilik air, kami adik beradik kebiasaannya akan berkongsi bilik, kecuali aku dan Malik yang memang tak mungkin untuk disatukan dalam satu bilik yang sama. Kami adik beradik sering bertukar-tukar bilik, perubahan ahli bilik biasanya akan berlaku jika terdapat saudara emak yang mahu berpindah masuk atau keluar. Hanya bilik master bedroom saja yang kekal didiami oleh emak dan abah.
AYIE, saudara emak yang datang berkelana bersama abangnya JALI. Mereka berdua sungguh berbeza jika dibandingkan secara luaran. Ayie mempunyai badan yang agak kurus, berjerawat penuh di muka dan berkulit cerah. Jali pula berbadan agak gempal dan buncit ‘pouch bag’, berkulit gelap tetapi licin dan mulus. Bagi orang luar yang tidak mengenali mereka, satu-satunya persamaan mereka adalah mereka orang Kelantan.
Hubungan mereka berdua tersangatlah rapat, ke mana sahaja mereka pergi, pasti berdua. Walaupun mereka bukan datang dari keluarga yang senang, tetapi mereka sentiasa bersikap positif dan riang. Dengan niat untuk menambah membaiki hidup keluarga mereka di kampung, mereka berdua memberanikan diri untuk merantau ke Selangor.
===========================================================================
TUK! TUK! TUK!
Bunyi pintu bilik Abah diketuk kuat. Bilik abah satu-satunya bilik yang mempunyai akses pintu ke garaj belakang rumah. Abah terkejut dengan bunyi ketukan kuat di pintu keluar. Emak kelihatan lena seperti langsung tidak mendengari dentuman kuat itu, barangkali penat memasak masih belum hilang. Abah memejamkan semula matanya dan tidak memilih untuk tidak mempedulikan ketukan tersebut.
TUK! TUK! TUK! TUK! TUK! TUK!
Abah tersentak. Ketukan kali ini lebih panjang dan lebih kuat. Terasa seperti hampir tercabut pintu diketuk. Abah bangun tanpa rasa gentar menuju di pintu keluar, mimik muka abah seakan marah apabila mimpi indahnya diganggu. Hati abah seolah-olah mengetahui siapa gerangan yang menggangu tidurnya. Selak pintu dibuka sambil mulut abah terkumat-kamit membaca ayat pendinding. Tombol pintu dipulas dan pintu dibuka,
HUUGGRRHHHH!!!
Bunyi dengusan makhluk yang menanti abah di muka pintu. Susuk tubuh makhluk tersebut sangat mengerikan, muka dan badan menggerutu mengalahkan j*****t di muka Ayie. Susuk badannya besar. Tersangat besar. Jali akan kelihatan sangat kecik jika diletakkan mereka bersebelahan. Dengusan makhluk itu sikit pun tidak menggentarkan abah. Dengan nada yang tinggi abah bertanya “APA KAU MAU?!!” makhluk tersebut hanya diam membisu.
HUUUUGGRRRRHHHHHHH!!!
Makhluk tersebut mendengus lagi, kali ini lebih panjang. Makhluk tersebut menghulurkan tangannya kepada abah. Kertas yang telah renyuk teruk dihulurkan kepada abah. Abah menolak keras “APA NI?!! AKU TAK MAHU HADIAH DARI KAU!!”. Makhluk tersebut merenung tajam ke dalam mata abah.
HUUUUGGRRRRHHHHHHH!!!
Dengusan kali ini kedengaran seolah-olah marah atas tindakan abah mengherdiknya. Makhluk tersebut menghulurkan tangan sekali lagi. Sekali lagi abah dipaksa menerima kertas di tangan makhluk tersebut. Abah ligat berfikir tindakan yang perlu dilakukan. Perlukah dia bertempur dengan makhluk tersebut? Atau menerima saja kertas tersebut dan kembali ke atas katil untuk tidur? Jika bertempur yang menjadi pilihan abah, dia perlu bertempur sehabis-habisan dan mungkin ahli keluarga lain yang sedang nyenyak tidur akan terlibat sama.
Dalam berani Abah tu, tetap ada sedikit gentar, terbayang juga di benak fikirannya kalau makhluk tersebut mengokak badannya nanti. Jadi, untuk mengelak sebarang pertempuran, Abah memilih untuk menerima saja kertas pemberian makhluk tersebut.
“Aku dah ambil, sekarang kau berambus dari rumah aku!” bentak abah.
HURMMM!
Makhluk tersebut mengangguk faham. Langkah diundur, lalu makhluk tersebut hilang bagai kepulan asap di kala malam gelap gelita.
FUUHHHH!!
Abah menghelakan nafas. Terasa lega. Dia tidak perlu menghabiskan tenaga untuk bertempur malam ini. Abah menutup pintu kayu dan menguncinya, doa dibaca dengan harapan tiada lagi gangguan datang pada malam ini.
Kertas hadiah pemberian makhluk tadi digenggam erat di tapak tangan. Abah menggerakkan kaki ke arah katil. P******g dilabuh, kertas di tangan dibuka.
Terdapat empat nombor tertera di atas kertas tersebut. Abah tahu akan makna di sebalik nombor tersebut. Nombor tersebut adalah nombor…
“NOMBOR EKOR!” Ayie mencelah. Jelas dia terasa sungguh teruja dengan cerita abah.
“Ho la, nombor ekor la, go dio lagi” abah membalas pertanyaan Ayie dalam dialek Kelantan. Abah sememangnya fasih berbahasa Kelantan walaupun abah adalah anak jati Selangor.
“Bakpo pok cik dok gi beli?” tanya Jali pula mencelah.
“Beli puloh riya kayo doh” Ayie pula menambah. Ternyata cerita abah sangat mengujakan hati kedua pemuda dari Kelantan ini.
“Jangan nak mengada-ngada beli benda haram. Si Setan tu tengah menghasut korang semua untuk ikut dia. Yang korang pergi ikut dia tu buat apa? Ingat! Apa yang kita makan akan menjadi d***h daging!” tegur emak dari dapur dalam dialek Selangor. Walaupun emak berasal dari Kelantan, namun dialek Kelantan sangat hampeh dan sering menjadi bahan ketawa kami adik beradik kerana bunyi dialek emak kedengaran seperti bunyi orang cina Petaling Street berbahasa Kelantan.
“Ha, kan dah kena ceramah dengan mak. hehehe” kata aku dengan niat menganjing Ayie dan Jali.
“Kito gura jo mok cik, kalau kito hok dapak nombor ekor tu, kito tok cito dah, kito diam-diam gi beli seratus riya..hahahhaha” jawab Ayie dalam bergurau. Kami sekeluarga gelak besar di meja makan Terhibur kami seleurga dengan gurauan Ayie, tetapi gurauan Ayie ini merupakan punca yang telah memakan dirinya sendiri.
Selesai makan malam, Jali bersiap-siap untuk keluar rumah. Dia akan pulang ke Kelantan malam ini untuk menguruskan hal perkahwinannya yang tinggal lagi enam bulan. Ayie tidak akan bersamanya malam ini kerana tidak mendapat cuti panjang. Perjalanan malam dipilih Jali kerana tidak banyak kenderaan di sepanjang perjalanan. Senang sikit nak memecut dengan kancil turbonya.
Kira-kira sejam selepas makan malam Jali terus bergerak ke Kelantan. Ayie ditinggal keseorangan malam ini. Ayie terasa sedikit janggal malam ni. Jarang dia menghabiskan masa seorang diri sejak tinggal bersama-sama kami. Kebiasaannya waktu malam Ayie akan dihabiskan di kedai makan bersama-sama Jali dan Awie (abang sulung aku) sehingga habis rokok di dalam kotak.
Malam ini Awie tiada dirumah, sejak dari petang sudah tidak kelihatan Awie dirumah. Ketiadaan Awie dan Jali menambahkan kebosanan Ayie. Tangannya mencapai buku Ujang yang sememangnya berlambak di bawah katilnya. Sedang khusyuk Ayie membaca majalah humor nombor satu di Malaysia itu, tiba -tiba!
TUK! TUK! TUK!
Bunyi tingkap bilik Ayie di ketuk kuat. Ayie terdiam. Majalah Ujang di tangan diletak di tepi bantal. Kolum Lawak Antarabangsa tidak lagi dirasakan lawak setelah mendengar ketukan tingkap biliknya itu. Jam di dinding menunjukkan waktu telah bertukar dari malam ke pagi. Kepalanya ligat memikir siapakah gerangan hamba Allah yang mengetuk tingkap biliknya pada waktu-waktu begini. Ayie memberanikan dirinya untuk mendapatkan kepastian.
Kriukkkkk!
Bunyi tingkap berbingkai kayu di buka. Tiba-tiba!
HAAARRGHHHHHH!!!!
Awie menyergah Ayie. Terkejut Ayie dibuatnya.
“BEWOK %&#@$^%&^@&%^ AWIE!”
Mencarut panjang Ayie. Ketakutan yang dirasai tadi hilang serta merta.
“Hahahaha. Ko buat apa tu Yie? Jom lepak Zafira nak” ajakan Awie untuk ke kedai makan favourite yang berdekatan dengan rumah kami.
“Ho buleh. Mu tunggu meta, aku tukar baju dulu. Naik moto mu ko?” kata Ayie.
“Dah tu, naik motor aku la. Kalau kau nak jalan, kau jalan la sorang-sorang” jawab Awie. Awie tahu tak mungkin Ayie akan berjalan seorang diri di kawasan rumah kami kerana pelbagai cerita dari orang kampung diganggu ketika melaluinya pada malam hari.
Ayie terus bersiap menukar baju, tak sabar-sabar untuk melepaskan kebosanannya di kedai makan Zafira. Terus air teh ais laici Zafira special terbayang di kepalanya.
Setibanya di kedai makan, Ayie terus memesan air teh ais laici dan kopi ais untuk Awie. Kotak rokok dibuka, dan terus dipelawa kepada Awie. Awie tanpa rasa segan dan silu terus mencapai sebatang rokok jenama negara seberang itu. Api rokok dinyalakan.
“Mu tau pok mu keno kacau hantu male semale? Hantu wi pok mu nombor ekor” kata Ayie kepada Awie.
“Hoh, yo lo ko? Pah, abah wat guano?” soal Awie kepada Ayie pula dalam dialek kebanggaan emak.
“Aboh mu soyok nombor ekor tu buang masuk bakul sampah. Takut ko mok mu kali. Hahaha” gelak Ayie. Ayie menceritakan kepada Awie apa yang berlaku abah malam semalam.
“Parok aboh keno bebel mok kalau dio tau aboh gi beli nombor” tambah Awie pula.
“Ho, betol doh tu. Rumoh mu banyok hantu gi mari. Mu rajin nampok dok?” Soal Ayie.
“Aku pun pernah kena sebelum ni dengan momok rumah tu, tapi yang tu, aku cari penyakit sendiri. Sampai tak cukup tanah aku lari dengan Yuz (pak cik aku, adik lelaki abah). Hahaha” Balas Awie kepada Ayie.
Perbualan meraka di kedai Zafira berlarutan sehingga puku 3 pagi. Sesampai di rumah, Ayie terus menuju ke bilik tidurnya. Daun pintu biliknya ditolak, kaki melangkah masuk. Ada perasaan kurang enak dirasakan sejak balik dari kedai makan Zafira tadi.
Tapi perasaannya itu dipendam jauh, Ayie terus menuju ke katil. Majalah-majalah Ujang yang berterabur di atas katil ditolak ke bawah. Dia mahu cepat tidur kerana matanya memang sudah terasa sangat mengatuk. Baru saja Ayie hendak memejamkan matanya,tiba-tiba.
TUK! TUK! TUK!
Tingkap biliknya diketuk lagi. Mata Ayie yang hampir tertutup itu terus terbeliak. Perasaan takut kembali datang menghantui. “Nate Awie ni nok takut-takutkan aku lagi ko?” kata Ayie di dalam hati sebagai percubaannya untuk menenangkan hatinya.
TUK! TUK! TUK! TUK! TUK! TUK!
Kali ini ketukan di tingkap makin kuat. Bergegar tingkap berbingkai kayu itu. Ayie terus teringat kisah pak ciknya (abah) yang ‘dilawati’ oleh tetamu yang tidak diundang malam sebelumnya.
Ayie menekup bantal di muka dengan tujuan untuk tidak mendengar lagi ketukan kuat di tingkap. Cubaannya gagal.
TUK! TUK! TUK! TUK! TUK! TUK!
Tingkap diketuk semakin kuat. Ayie cuba mengintai di sebalik bantal. Ayie melihat ada tangan dihulur kearahnya. Tangan tersebut smenembusi kaca tingkap seolah-olah tiada apa-apa halangan. Dilihatnya tangan yang berbulu dan menggerutu, tersangat besar, mungkin 10 kali lebih besar dari tangan Jali.
“AMBIL NI!!”
Suara keras keluar dari tuan empunya tangan tersebut. Seperti yang terjadi kepada abah, tangan tersebut menghulurkan kertas di genggamannya. Ayie kembali menutup mukanya dengan bantal, dia semakin takut. Tiada ayat-ayat suci mampu keluar dari mulutnya. Mulutnya seakan-akan terkunci. Ayie hanya mampu menjerit di dalam hatinya.
“ENGKAU YANG MINTA BENDA NI. SEKARANG KAU AMBIL!” jerkah makhluk tersebut bersuara garau.
Dalam keadaan paksa rela, Ayie mencapai kertas yang dihulurkan. Direnyuk kertas itu dan dicampak ke arah pintu masuk bilik. Tangan tersebut hilang seperti kabus setelah Ayie mengambil kertas yang dihulur.
Tuk! Tuk! Tuk!
Pintu bilik diketuk. “Yie, bangun sembahyang subuh Yie!” suara emak mengejut Ayie untuk bangun menunaikan solat subuh. Ayie terjaga. Dia terpinga-pinga. Dia tidur dalam keadaan ketakutan semalam sehingga tidak tahu pukul berapa dia terlena.
Ayie terus menuju ke suis lampu, lampu dinyalakan. Dia mencari-cari kertas nombor ekor yang dicampakkannya. Dicapai kertas ronyok di lantai.
Kosong. Kertas tersebut kosong. Tiada satu nombor pon yang tercatat di atas kertas putih itu. Kecewa. Lega. Perasaan bercampur baur tatkala melihat kertas kosong di tangan.
“Tu laaa. Minta lagi yang bukan-bukan. Dah dapat buang pulak” perli mak kepada Ayie. “Kata nak beli seratus ringgit kalau dapat nombor Yie” aku meyampuk. Peluang untuk menganjing Ayie tak akan dilepaskan aku. Merah padam muka Ayie menahan malu tatkala bersarapan pagi itu.
============================================================================
Ayie dan Jali berpindah ke rumah sewa masing tak lama selepas peristiwa ini. Menurut abah, makhluk yang menganggunya dan Ayie itu hanya singgah dari hutan depan rumah untuk ke hutan belakang rumah kami. Mungkin nak tukar penempatan sebab hutan depan rumah telah ditarah sedikit demi sedikit demi pembangunan (sekarang langsung dah tak ada hutan dah). Alhamdullilah, kami sekeluarga tak pernah kena kacau hingga merasuk atau histeria. Bak kata abah, diorang nak bergurau tu. Haha.
Terima kasih
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
eh, first lg? nak minta no ekor kat hantu tu bleh x
Hehehe…. ini lawak n seram
Huu…mcm2 hantu ni
Mujur tak demam. Hahaha
hamboi…murah hati btol bg no..hihi
bergurau perpada2 lah nakk
#cumel
Nice
pandai2 je bg nombor kih3