Assalamualaikum & Salam Sejahtera semua. Terlebih dahulu abam nak mengucapkan terima kasih kepada admin FS kerana telah menyiarkan cerita pertama abam iaitu siri JANGAN CAKAP ABANG TAK PAYUNG (ABAM & PEAH). Untuk yang belum mengenali siapakah empunya cerita ini, abam perkenalkan semula diri ini sebagai #AbamKiKo.
Ada banyak peristiwa seram yang pernah menimpa diri abam sepanjang hidup ini. Abam akan berlagak selamba walaupun dihimpit ketakutan apabila bersua dengan mereka semua (Hantu Puaka). Prinsip abam adalah kita semua haruslah sentiasa berada di dalam keadaan selamba walaupun tengah bersedih, sakit hati, seram, takut, ataupun panik. InsyaAllah kita semua akan selamat. Abam bukanlah seorang hero, abam cuma ingin hidup gembira seperti orang lain, selamat, dan aman tenteram. Adakalanya abam nampak akan kehadiran mereka, adakalanya haram tak nampak, dan adakalanya nampak sepanjang masa. Jom layan cerita terbaru dari #AbamKiko OK?
ABAM KIKO TERSESAT MASUK KE KAMPUNG BUNIAN
Peristiwa ini adalah peristiwa kali pertama di mana abam mula mengenali orang bunian yang juga merupakan suku sakat bangsa jin berbentuk manusia. Kalau tak silap abam kejadian itu berlaku dalam tahun 2005 ataupun 2006. Ketika itu handphone Nokia sabun berada di puncak kegemilangannya. Video-video berformat 3gp bermaharajalela dan mula tersebar secara membabi buta tanpa motif yang jelas. Ketika itu abam masih lagi bergelar sebagai seorang pengganggur sepenuh masa. Maklumlah zaman muda remaja, zaman permulaan kepada kebangkitan semangat persaudaraan sesama rakan sebaya. Budaya melepak sehingga ke larut malam sudah menjadi amalan tegar kepada abam dan kawan-kawan yang lain.
Biasanya kami akan berkumpul di sebuah pondok hinggap yang terletak agak jauh daripada kawasan perumahan kami. Lokasi pondok itu terletak betul-betul di tepi sungai dan bersebelahan dengan warung tom yam milik orang siam. Kekecohan dan kemeriahan yang terhasil daripada aktiviti melepak itu pernah menyebabkan pihak polis datang membuat serbuan secara mengejut lalu kawan-kawan abam yang tidak bersalah diangkut secara berjemaah dan ditahan di lokap selama beberapa hari kerana disyaki terlibat dengan najis dadah. Walaubagaimanapun abam tidak ditahan kerana bentuk fizikal abam langsung tidak mencerminkan ciri-ciri seorang penagih dadah. Abam faham, polis hanya menjalankan tugas mereka sahaja. Peristiwa itu sedikit sebanyak menyedarkan kami semua bahawa berhibur itu ada batasannya. Berpada-padalah ketika berhibur dan jangan sesekali alpa kepadaNya.
Ok, jom kita berbalik semula kepada kisah abam yang tersilap masuk ke kampung bunian itu. Peristiwa itu berlaku di waktu malam. Seperti biasa abam akan memunculkan diri di pondok itu pada sekitar jam 9-10 malam. Pada malam kejadian, abam menunggang skuter bersendirian. Terasa nyaman dan damainya angin malam ketika itu. Perjalanan itu dirasakan begitu lama bagi abam. Hampir sejam abam berada di atas jalan tetapi masih belum lagi sampai ke pondok hinggap itu. Kebiasaannya perjalanan untuk ke sana mengambil masa sekitar 15-20 minit sahaja dari rumah abam. Ini tidak, sudah hampir sejam abam berkeliaran seorang diri dan sebiji kenderaan pun tidak kelihatan di atas jalan raya. Adakah abam telah tersilap jalan?
Abam memberhentikan skuter dan memerhatikan seluruh kawasan di situ. Jalannya masih jalan yang sama tetapi suasananya berlainan. Sunyi. Sangat sunyi. Abam merasakan mungkin abam telah terlajak jauh daripada jalan yang biasa abam gunakan lalu abam berpatah balik. Aneh. Jalannya masih lagi jalan yang sama seperti sebelumnya dan jam di tangan sudah menunjukkan hampir ke 12 tengah malam. Sekali lagi abam berhenti. Abam mula bermuhasabah diri. Abam tahu bahawa abam telah dipermainkan oleh sesuatu. Abam melaungkan azan sekuat-kuatnya di situ. 3 kali abam melaungkan azan. Tak lama kemudian abam ternampak sebuah restoran di tepi jalan berhampiran dengan tempat abam berdiri itu. Abam bersyukur kerana telah dipertemukan jalan petunjuk untuk pulang.
Abam memarkir skuter di luar restoran itu. Daripada luar tertera jelas nama restoran itu iaitu Restoran Dwa Chenta. Suasana di dalamnya agak meriah. Mungkin makanannya terlalu sedap lalu abam mengambil keputusan untuk mencuba makanan di situ. Dekorasi restoran dan pakaian-pakaian pekerja di restoran itu sungguh klasik. Yang lelaki berpakaian seperti pendekar manakala wanita pula berpakaian seperti dayang-dayang istana. Mata abam terbeliak apabila disajikan dengan pemandangan-pemandangan tersebut. Pelayan-pelayannya juga sangat kacak dan jelita. Mungkin pemilik restoran ini menggunakan kecantikan mereka sebagai pelaris kepada perniagaannya.
Pelayan Wanita 1: Tuan, ini menunya.
Abam: Terima kasih awak.
Pelayan Wanita 1: Di sini, Zuk hantarkan air itu di sini.
Pelayan wanita itu mengarahkan seorang pelayan lain untuk menghidangkan segelas air minuman kepada abam. Air itu berbau sangat harum. Ia adalah air bunga mawar. Inilah kali pertama abam disajikan dengan air yang diperbuat daripada kuntuman bunga mawar. Badan abam terasa segar apabila air bunga mawar itu melalui kerongkong abam. Kesedapan dan aroma bunga mawar itu masih lagi terasa di tekak abam sehingga ke hari ini.
Abam: Saya belum order apa-apa lagi dia dah hantar air. Biar betul?
Pelayan Wanita 1: Air ini percuma sahaja tuan. Boleh saya ambil pesanan tuan?
Abam: Percuma? Ini sudah baik. Ermm bagi saya nasi putih, sup tulang, telur dadar, dan sambal kicap. Air saya order kemudian sebab awak dah bagi air ni percumakan?
Pelayan Wanita 1: Ya tuan. Percuma. Ada apa-apa pesanan lagi?
Abam: Tak kot. Awak…
Pelayan wanita 1: Ya tuan?
Abam: Awak nama apa? Kat sini memang semua pekerja kena pakai baju macam ni ke?
Pelayan Wanita 1: Panggil saya Ainul sahaja. Memang pakaian kami semua seperti ini tuan.
Abam: Ketatnya baju. Fuh. Kedai ni tutup pukul berapa? Saya tak pernah nampak pun kedai ni sebelum ni. Baru bukak ke?
Pelayan Wanita 1 (Ainul): Banyaknya soalan tuan.
Abam: Alah. Awak ni. Saya nak tahu je.
Pelayan Wanita 1 (Ainul): Begini, kami bermula selepas Asar dan berhenti sebelum Subuh. Saya rasa mungkin tuan sahaja yang tak perasan dengan kehadiran kedai ni.
Abam: Ha? Hello saya dah duk kat kampung ni dari saya kecik sampai sekarang. Hari-hari saya lalu kat kawasan ni tapi tak pernah nampak pun kedai ni?
Pelayan Wanita 1 (Ainul): Jalan yang mana?
Abam: Jalan depan tu…Gulp…
Abam terperanjat kerana jalan yang biasa abam gunakan itu telah bertukar menjadi sebuah kawasan taman yang dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok bunga dan terdapat sebuah kolam pancuran di situ.
Pelayan Wanita 1 (Ainul): Kenapa tuan?
Abam: Tak ada apa. Allah…
Seperti biasa abam cuba berlagak selamba dalam keadaan panik. Abam membaca surah-surah lazim dan berdoa semoga abam terlindung daripada gangguan iblis. Keresahan jelas terpancar di muka abam walaupun abam telah sehabis baik berlagak selamba. Pelayan wanita yang bernama Ainul itu tersenyum-senyum memandang abam yang sedang menggigil ketakutan. Makanan yang dipesan telah terhidang di atas meja tetapi abam langsung tidak menjamahnya kerana abam bimbang dengan isi kandungan hidangan tersebut.
Pelayan Wanita 1 (Ainul): Tuan, kenapa tidak dijamah hidangan itu?
Abam: Sebenarnya kamu ini siapa? Hantu puaka? Kenapa aku yang menjadi mangsa?
Pelayan Wanita 1 (Ainul): Tidak. Kami bukan seperti yang tuan maksudkan itu. Kami sama seperti tuan cuma berbeza dunia. Tuan telah tersilap masuk ke kawasan kami.
Abam: Ha? Sama seperti saya? Berbeza dunia?
Pelayan Wanita 1 (Ainul): Tuan, kami semua adalah orang halus. Kami bersyariat seperti tuan juga, Islam. Di sini kampung kami, Kampung Permatang Rindik. Di sebelah sana kampung tuan.
Penerangannya sedikit melegakan hati abam yang masih lagi terkejut ketika itu. Walaubagaimanapun abam masih belum berpuas hati dengan jawapannya itu. Untuk memastikan samada dia adalah jin Islam ataupun tidak, abam mengarahkannya untuk mengucap 2 kalimah syahadah, membaca surah Al-Fatihah, ayat Qursi, dan juga melaungkan azan. Ketika itu banyak mata yang menyaksikan perbuatan Ainul. Ada yang tersenyum dan ada yang tiba-tiba sahaja keluar dari restoran itu dengan muka masam mencuka. Abam kini boleh menarik nafas lega kerana sudah terbukti bahawa dia adalah seorang bunian ataupun jin yang sememangnya beragama Islam. Semua bacaannya betul tanpa sebarang masalah.
Abam: Ainul, awak jangan marah kalau saya tanya ni…
Pelayan Wanita 1 (Ainul): Tanyalah apa sahaja tuan.
Abam: Awak dan mereka semua beragama Islam tapi kenapa aurat tak bertutup penuh? Sebelum ni saya pernah dengar yang orang halus atau bunian Islam pakaiannya menutup aurat?
Pelayan Wanita 1 (Ainul): Adakah masyarakat Islam di kampung tuan menutup auratnya seperti yang telah disyariatkan? Tuan juga tidak menutup lutut tuan sedangkan ianya wajib ditutup bagi seorang lelaki Islam yang sudah baligh. Bukankah begitu tuan?
Abam terkena, ternyata persoalan tersebut melantun kembali kepada abam.
Pelayan Wanita 2: Jemput makan tuan.
Pelayan Wanita 1 (Ainul): Mawar, kenalkan ini tuan abam dari kampung sebelah. Manusia dari dunia sana.
Pelayan Wanita 2 (Mawar): Jemput makan tuan.
Abam: Pergghhhhh…
Terjegil mata abam apabila melihat kecantikan pelayan wanita yang berada di sebelah Ainul itu.
Abam: Awak jemputlah makan sama. Nama awak apa?
Pelayan Wanita 2 (Mawar): Saya Mawar tuan.
Abam: Saya rasa air bunga mawar ni mesti awak yang buat. Syedappp sangat…
Mawar tersenyum malu. Abam sudah terpesona dengan paras rupanya yang begitu ayu. Mukanya bulat, berlesung pipit, berkulit putih, bermata galak berwarna hijau, berhidung mancung, dagu berbelah, berambut panjang ikal mayang ke paras pinggang, dan berketinggian dalam 5 kaki. Tetapi siapalah abam. Dipisahkan pula oleh 2 dunia yang berbeza. Abam sedar siapa diri abam.
Pelayan Wanita 1 (Ainul): Tuan, saya ada kerja lain di belakang sana. Mawar kamu temani dia.
Pelayan Wanita 2 (Mawar): Tapi kanda…
Pelayan Wanita 1 (Ainul): Jangan lawan cakap kanda!
Abam: Alah korang ni berkanda-kanda pulak. Sedaplah masakan ni. Siapa yang masak?
Pelayan Wanita 1 (Ainul): Mawar yang masak tuan.
Abam: Sedap betul Mawar. Awak malu dengan saya erk?
Pelayan Wanita 2 (Mawar): Ermm
Abam: Malulah tu. Alah..Mawar, duduklah. Saya nak tanya ni.
Abam: Ainul tu kakak awak ke?
Pelayan Wanita 2 (Mawar): Ya tuan. Kakak sulung kami.
Abam: Wow. Awak ada berapa adik beradik semuanya?
Pelayan Wanita 2 (Mawar): Tuan, saya yang paling bongsu daripada 13 adik beradik. 7 perempuan, 6 lelaki.
Abam: Ramai gila adik beradik awak. Korang ni dari mak ayah yang sama ke?
Pelayan Wanita 2 (Mawar): Keluarga kami memang besar tuan. Kami dari leluhur yang sama.
Abam: Ainul tu umur dia berapa? Awak pulak?
Pelayan Wanita 2 (Mawar): Kak Ainul 115 tahun.
Abam: Ha? Biar betul? Awak?
Pelayan Wanita 2 (Mawar): Cuba tuan teka. Hihi.
Abam: 30 tahun?
Abam seperti tidak dapat menerima hakikat tentang usia sebenar mereka. Abam tahu bahawa usia jin sememangnya panjang mengatasi umat manusia. Ada yang telah berusia ribuan tahun, masih sihat, dan berpenampilan seperti orang muda.
Pelayan Wanita 2 (Mawar): Salah.
Abam: Awak. Saya tak reti nak teka usia orang ni. Umur awak berapa sebenarnya?
Pelayan Wanita 2 (Mawar): 62 tahun.
Abam: Perghhh…Tua bergetah lagi awak ni.
Pelayan Wanita 2 (Mawar): Hihihihi…
Abam: Awak…Malulah…
Sebenarnya abam nak bertanya samada dia sudah berpunya atau belum. Perasaan abam bergelora. Dia seakan-akan boleh membaca minda abam.
Pelayan Wanita 2 (Mawar): Saya berseorangan belum berteman. Tuan pula?
Abam: Saya muda bergetah lagi. Saya pun keseorangan jugak tapi umur saya jauh muda dari awak. Baru 19 tahun. Segan pulak…
Pelayan Wanita 2 (Mawar): Apa yang nak disegankan? Tuan pula yang malu-malu. Tadi saya yang malu. Hihi…
Abam: Awwwww. Geramnya.
Abam terpandang jam tangan abam dan ia sudah menunjukkan ke angka 5 pagi. Abam sudah terlewat. Abam harus pulang ke rumah sebelum ibu abam mengamuk. Abam tiba-tiba sahaja menjadi gelabah apabila terbayangkan wajah ibu yang garang persis singa itu. Ibu abam adalah seorang pengetua di sebuah sekolah teknik, dia amat tegas terhadap pelajar-pelajar dan anak-anaknya sendiri.
Abam: Mawar. Sayang. Eh sayang…Tolong kirakan semua ni. Tersasul pulak saya…
Pelayan Wanita 2 (Mawar): Hihihi. Betul ke tersasul? Nampak cemas sahaja tuan?
Abam: Mawar, saya gelilah awak panggil macam tu. Panggil saya abam je.
Pelayan Wanita 2 (Mawar): Baiklah abam. Kenapa ni? Abam macam ada masalah?
Abam: Abam kena baliklah Mawar. Kalau ibu tahu abam tak ada kat rumah, tak ada kat dalam bilik. Matilah abam…
Pelayan Wanita 2 (Mawar): Kita baru bertemu sudah ingin berpisah…
Abam: Alah jangan cakap macam tu. Nanti abam datang sini lagi. Berapa harga makanan ni? Korang terima tak duit Ringgit Malaysia?
Pelayan Wanita 2 (Mawar): Abam tahu tak cara nak datang ke sini? Kami pun guna matawang yang sama. Kanda Anis, bawakan bil. Meja ini.
Mawar memanggil pelayan lain untuk menghantar bil makanan. Pelayan itu adalah kakaknya yang ke-5. Abam mempunyai masa yang sangat terhad ketika itu. Sungguh abam bimbang sekiranya dimarahi oleh ibu.
Abam: Abam tak tahu camne nak datang ke sini…Mawar boleh ajar tak?
Pelayan Wanita 3 (Anis): Ini bilnya tuan.
Abam: Murahnya. 5 Ringgit untuk semua ni?
Pelayan Wanita 3 (Anis): Murah ke tuan? Rasanya 5 Ringgit tu dah dikira mewah.
Abam: Pergh…5 Ringgit Mewah. Dasyatnya. Kat tempat saya 5 Ringgit boleh makan mee goreng je sepinggan.
Pelayan Wanita 3 (Anis): Kat sana lain, sini lain. Terima kasih ya tuan. Nanti datang lagi.
Mawar mendekati abam dan berbisik memberitahu cara untuk masuk ke kawasan kampungnya. Dia juga memberitahu nama penuhnya kepada abam. Sekiranya abam menyebut nama penuhnya ataupun membayangkan mukanya secara serius, dia akan muncul di hadapan abam dalam sekelip mata.
Pelayan Wanita 2 (Mawar): Abam saya hantar awak sampai di sini. Di situ jalan yang awak mula-mula datang tadi.
Abam: Mawar, nanti abam datang lagi. Awak jangan nakal pulak.
Pelayan Wanita 2 (Mawar): Hihihi. Nanti awak datang lagi. Saya kenalkan pada keluarga saya.
Abam: InsyaAllah Mawar. Assalamualaikum.
Pelayan Wanita 2 (Mawar): Waalaikumsalam.
Abam melihat Mawar melambai-lambaikan tangannya pada abam. Jujur abam katakan bahawa abam telah jatuh cinta pandang pertama ketika itu. Bayangkan, itu adalah kali pertama seorang gadis yang ayu jelita terpaut hati pada abam. Abam bukanlah seorang yang kacak tetapi comel itu ada. Abam meneruskan perjalanan pulang dan ketika hampir sampai di perkarangan rumah, abam mematikan enjin skuter lalu menolaknya masuk secara senyap-senyap ke bahagian garaj. Abam berjalan dengan perlahan-lahan untuk masuk ke dalam rumah. Ketika pintu dikuak, di dalam kegelapan pagi subuh itu, abam ternampak satu lembaga berpakaian putih berada di sofa ruang tamu. Abam berlagak selamba. Abam membaca ayat Qursi dan berjalan menuju ke bilik abam. Apa yang penting abam mesti berada di dalam bilik abam ketika itu.
Lampu ruang tamu tiba-tiba menyala dengan sendirinya. Jantung abam hampir pecah akibat terkejut.
Abam: Allahuakbar…
Ibu: Kau ke mana semalaman? Baru balik? Kau belajar hisap dadah?
Abam: Buuuukaan…Bukaannn bu…
Ibu: Apa nak jadi dengan kau ni? Dah pandai hisap dadah ke?
Abam: Sumpah bu…Abam tak pernah pun hisap dadah. Tadi abam pergi makan…
Ibu: Kau makan apa dari semalam? Dah nak masuk waktu Subuh baru tahu nak balik rumah? Tak cukup lagi ke makanan kat rumah ni? Patutlah makin memboyot perut tu!
Abam: Makan cukuuup bu.
Ibu: Dah tu kenapa sampai makan kat luar lagi? Ibu sedih tengok abam macam ni. Along, angah, & acik takde pulak jadi camni. Ibu tak fahamlah kenapa abam jadi camni.
Abam: Ibu…Abam mintak maaf, abam mintak ampun… Abam tersesat semalam.
Ibu: Yelah tu tersesat. Kau pergi mandi sekarang, amik wudhu jemaah bersama dengan ibu. Pergi sekarang.
Abam: Allright ibu. Abam mandi dulu.
Abam bernasib baik kerana ibu abam tidak bertanyakan dengan lebih lanjut tentang lokasi restoran yang abam pergi itu. Abam yakin ibu akan menghantar abam ke sesi terapi kaunseling ataupun pusat rawatan minda sekiranya abam menjelaskan perkara sebenar yang telah terjadi pada malam itu.
Abam masih tidak serik dengan nasihat ibu. Ada masanya abam akan ke kampung bunian itu dan berjumpa dengan Mawar dan keluarganya, dan ada masanya Mawar akan datang menjenguk abam secara mengejut. Sesungguhnya hubungan kami tidak lebih daripada hubungan sebagai sahabat sahaja kerana abam faham bahawa kami berdua berbeza dunia. Adalah mustahil untuk abam beristerikan seorang jin Islam. Mana mungkin keturunan abam mempunyai salah silah keturunan manusia campuran jin.
Abam masih lagi berhubung dengan mereka dan ada kalanya abang akan ke sana sekiranya kebosanan melanda diri. Abam memang seorang yang nakal tetapi tidaklah sampai ke tahap jahat. Nakal abam adalah terhasil dengan sendirinya semenjak dari kecil lagi. Di dalam keluarga kami hanya 2 orang sahaja yang dikurniakan dengan keupayaan ini iaitu abam dan acik. Kami boleh melihat benda yang sama cuma perbezaannya adalah abam adalah seorang yang berjiwa selamba dalam ketakutan manakala acik pula adalah seorang yang berhati kering dan sangat berani.
Abam harap korang terhibur dengan kisah di atas. Banyak lagi kisah yang abam ingin kongsikan dengan korang semua. InsyaAllah abam akan berkongsi lagi kisah-kisah seram abam di sini. Semoga kita semua beroleh rahmat dariNya, InsyaAllah. Sekian, Assalamualaikum WBT.
- Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
cerita nampak sgt rekaan semata.bohong kuat
kenapa,hanya..rekaan?tak semua manusia yang layak utk dpt lihat makhluk halus tu sbrnya
tak kisah lah rekaan ke betul..syok baca..next story abam syg..
pm cara nak gi restoren tu abam..plss..
Bestnay cite abam..macam kite plak dalam citer…
okey ape..kelakar pon ade..seram komedi kan..ok cerita lagi..go abam go..?
abamm comell . storyy laa lagii .
aku bayangkan abam bocey yg bcerita Hahaa
haha.. aku pun sama..
saya pernah doa nak masuk alam bunian… tapi pernah termimpi de 1 puteri pakai ala2 zaman dulu dah seram pulak rasa huhu
seronok cite abam..awek tu mesti tersangat2 cun kan? abam jgn gatai sgt nohh..hahahah..melawak je..
Baik lah, Abam! New favourite author on my list. Cepat cerita lagi. Tak kisah lah betul ke tak. Yang penting memang seronok baca. Kipidap!
Tak tau knape tp bile bace part brkenalan tu mcm geli geliman lak kite mndengarnye..
Tak pernah jumpa pun cerita AbamKiko ni. Banyak ke cerita dia dalam siri yang ditulisnya ni
Hahaha best la pulak baca. Romantik la pulak abam dengan bunian hihi. Mesti cantik kann. Terasa saya pula nak bertemu dengan bunian macam mana lawa dia pehhhh