“Abang…saya rasa saya tertinggal…”
Aku menoleh memandang isteriku. Terus terbit rasa takut di wajahnya. Mungkin kerana pandangan mataku yang keras, mulutku yang menunjukkan gigi, dan tanganku yang pantas mencekak pinggang.
“Apa ni sayang…tinggal 10 minit lagi nak checkout..”
Isteriku melemparkan senyumannya yang manis. Mendengar nada suaraku yang masih rendah membuatkan dia merasakan yang api marahku masih boleh dipadamkan.
Jujurnya, api marahku ketika itu sudahpun marak menyala. Tapi, memandangkan yang ketika itu kami sedang berada di lobi hotel, aku terpaksa merendahkan nada suaraku.
“Tolong bang, ambilkan kejap. Baju kotor, tertinggal di atas meja.”
Aku mengeluh keras. Ingin sahaja aku melancarkan butir-butir bebelan pada isteriku. Tapi aku juga sedar yang membebel tak akan membawa ke mana. Masa tetap terus berjalan. Kalau terlambat check-out, melayanglah duit dalam dompet.
“Hm, yelah. Tunggu sini kejap,” tuturku, tanpa menoleh. Tak sempat aku melihat sengih isteriku yang nampak seperti kerang busuk. Aku meluru ke arah lif, lalu menekan butang ke tingkat 13.
Sebaik sahaja sampai ke tingkat aku, aku terus berlari-lari anak menuju ke bilikku. Bilik 1304. Sempat aku menjeling pada jam. 5 minit sudahpun berlalu. Hanya tinggal 5 minit sahaja lagi sebelum menjelang pukul 12. Ketika itu, aku mula mencari ayat untuk dinyatakan pada resepsi. Masih terngiang-ngiang lagi pesanan perempuan di kaunter semalam.
“Encik, sini waktu checkout pukul 12 tepat eh.”
“12 tepat? Kalau terlewat macam mana?” Aku yang sedang hanyut dalam keasyikan percutian berseloroh.
“Kalau terlewat ada extra charge, separuh hari.”
“Ui! Kalau terlewat seminit pun tak boleh ke?”
Perempuan itu tak menjawab. Sebaliknya hanya menawarkan senyuman yang hambar. Bagiku, bentuk senyuman itu sudah cukup sebagai jawapan buatku.
Jadi, apabila aku sedang berdiri di depan bilikku, aku kaku sebentar. Kad bilik yang masih berada di tanganku bagaikan tergantung sebentar.
“Masih boleh pakai ke kad ni?” fikirku. Aku takut, bila jam sudahpun mencecah pukul 12. Kad aku akan dimatikan, dan bilik aku tak boleh dimasuki. Maka terbiarlah beg baju kotor yang isteri aku tinggalkan tadi. Di mana tersimpannya bukan sahaja baju isteriku, malah baju aku sendiri.
“Ah, fikir pun tak guna,” tuturku sendirian. Bergema suaraku dalam ruang koridor yang sunyi. Sehingga mengundang tolehan pekerja hotel yang berada di hujung koridor.
“Nak ambil barang jap bang, isteri tertinggal tadi,” tuturku, tanpa dipinta. Pekerja hotel itu yang merupakan seorang lelaki tua tak menjawab, sebaliknya hanya meneruskan kerjanya. Menolak troli yang penuh dengan tuala, selimut dan perkakasan buat tetamu, dari satu bilik ke bilik yang lain.
Aku hanya mengangkat bahu, lalu terus mengimbas kad aku pada pintu. Bunyi “ting” dan lampu yang menyala hijau memberikan kelegaan padaku. Pantas aku membuka pintu, walaupun menyedari yang jam sudahpun mencecah pukul 12. Aku terus masuk ke dalam bilik, tanpa membuka kasut.
Matlamatku ketika itu hanya satu. Mencapai beg baju kotor dan terus meluru ke lif. Aku tak terfikir lansung untuk meletakkan kad kunci ke dalam ruangnya, membekalkan tenaga, dan cahaya dalam bilik yang gelap itu. Walaupun gelap, mata aku masih mampu melihat. Aku memberi sedikit masa bagi bola mataku mencerap sisa cahaya yang ada dalam bilik itu. Tak lama. Dalam masa beberapa saat sahaja, beg plastik berwarna putih itu terlihat di depan mataku.
Tersenyum, aku terus menyambar beg plastik itu, dan berpaling kembali ke arah pintu bilik yang sudahpun bertutup. Ketika itulah, seluruh panca indera di tubuhku mula merasakan ada sesuatu yang tak kena.
Gelap. Keadaan dalam bilik hotel itu terlalu gelap. Aku menoleh kembali ke belakang. Melihat jendela yang tertutup. Aneh. Cahaya matahari sepatutnya sedang menggila di luar. Memancar dari atas, menerangi setiap sudut yang gelap. Tapi dari jendela itu lansung tak ada sebarang pancaran cahaya. Seperti cahaya matahari itu sendiri takut untuk menembusi bilik ini.
Aku menelan air liur. Bulu roma di belakang leher mula tegak berdiri. Jantungku mula berdegup kencang. Mengepam ketakutan ke seluruh pembuluh darah. Gentar ketakutan yang sedang merebak itu boleh melumpuhkan badan, aku terus berlari ke pintu depan. Bayangku mengikut di belakang, membuatkan aku merasa seperti dikejar. Pintu pula terasa seperti menjauh dariku, membuatkan aku merasa cemas.
Mujurlah, semua itu hanya ilusi. Dalam beberapa langkah sahaja, aku sudahpun sampai ke pintu depan. Aku terus menarik tuil pintu. Mengharapkan pintu itu akan terbukak, membawa aku keluar dari bilik yang pekat gelapnya. Tapi pintu itu tertutup rapat. Aku mencuba sekali lagi. Tapi pintu itu lansung tak bergerak.
Rasa cemas kini mula berganda dalam diriku. Peluh mula terbit dari dahi. Walaupun sejuk terasa di sekelilingku. Mencengkam sehingga ke tulang. Aku tak putus asa. Aku mencuba lagi. Dua kali, tiga kali, empat kali, tapi masih lagi tak berjaya. Pintu itu seolah-olah tak mahu terbuka lansung untukku. Seperti ada sesuatu yang sedang menahan…
Aku tergamam. Tak mampu aku menghabiskan apa yang aku sedang fikirkan. Aku menjeling ke kanan. Melihat pada cermin besar yang ada di tepi pintu. Cermin yang menjadi panduan isteriku membetulkan tudungnya tadi. Di situ, di belakang kembar cerminku, berdirinya seseorang (atau sesuatu), yang sedang menahan pintu.
Aku kaget. Sambil menelan air liur, aku memberanikan diri menoleh ke depan. Jika tadi, tiada apa di depanku. Kini, ada seorang lelaki sedang berdiri di depanku. Lengkap dengan baju kot dan kemeja putih. Tompokan gelap seakan darah jelas kelihatan di kemeja itu.
Kini seluruh tubuhku menggeletar kuat. Aku tak berani lansung untuk mendongak melihat wajah yang sedang menahan pintu. Aku perlahan-lahan berundur ke belakang, kerana itu sahaja jalan yang ada buatku. Aku menundukkan wajah, sambil menggelengkan kepala pantas. Aku tutup mata aku rapat-rapat, mengharapkan yang semua ini hanyalah satu ilusi.
Tapi ia ternyata tidak. Ia bukan ilusi. Ia realiti yang membuatkan aku menggigil di seluruh tubuhku. Kerana sebaik sahaja aku membuka mata, wajah lelaki yang tak ingin aku lihat tadi, terpampang di depanku. Dengan lehernya yang senget, dan matanya yang merah menyala, dia tersenyum menyeringai memandangku.
Aku tak mampu bertahan lagi. Lutut yang dari tadi menahan tubuhku sudahpun lemah. Aku tersungkur ke belakang, seakan ditolak. Tapi sebenarnya tubuhku sendiri yang tak mampu menahan beban ketakutan yang kini merajai seluruh badanku.
Aku kaku di atas karpet bilik. Mataku terbeliak besar. Kini, di depanku lelaki itu sedang merangkak. Tapi rangkaknya bukan seperti manusia biasa. Kepalanya terpusing 360 darjah. Kaki dan tangannya bengkok, seakan lelabah. Tubuh yang sudahpun bengkok seperti itu sepatutnya sudah tak mampu untuk bergerak. Tapi ia mampu. Masih mampu. Ia terus merangkak pantas menghampiriku, seperti lelabah yang melompat menghampiri mangsanya.
Aku yang sudahpun basah seluarku pantas bangun, dan melarikan diri ke belakang. Aku tahu walaupun tiada jalan keluar buatku, aku perlu terus berlari. Menjauhkan diri dari makhluk yang sedang menerkamku.
Bila semakin hampir, makhluk itu mengeluarkan kukunya yang tajam. Hampir sahaja kuku tajam itu mengena kakiku. Aku berundur pantas, sehingga belakang badanku menyentuh jendela. Menandakan yang tiada lagi jalan keluar buatku.
Di depanku, makhluk itu semakin hampir. Lidahnya terjelir, sehingga mencecah lantai. Matanya yang merah mengalirkan darah, berkumpul di bawah, perlahan-lahan menghampiri kakiku. Aku yang kini kaku, dipenuhi ketakutan di seluruh tubuhku, hanya mampu menutup mata dan berserah. Tiada apa lagi yang mampu lakukan. Hanya menanti makhluk itu untuk membahamku.
Satu ngauman yang mengerikan kedengaran, bergema di segenap ruang. Ngauman yang aku tak pernah dengar dari mana-mana binatang mahupun manusia. Tapi ngauman itu cukup untuk menggetarkan seluruh sendi dalam tubuhku. Bersama ngauman itu, datangnya kematian. Aku hanya mampu menutup mata sekuat hatinya, menanti ajal yang pasti.
Tapi, ianya tak tiba. Aku masih dapat merasakan nafasku masih ada. Perlahan-lahan aku membuka mataku. Makhluk itu sudahpun tiada di depan. Yang tinggal hanyalah lopak darah. Aku mula mengukir senyuman. Rasa lega mula mengalir keluar dari celah hatinya. Mungkin semua yang berlaku tadi memang benar ilusi.
“Abang….”
Rasa lega yang baru hendak bercambah, hilang serta merta. Suara isteriku yang sayu membuatkan aku menoleh ke belakang. Makhluk itu masih lagi ada. Kerana yang diterkamnya bukanlah aku. Tapi isteriku yang ada di belakang. Kini makhluk itu sudahpun meratah tubuh isteriku. Darah kelihatan meleleh dari perutnya yang sudah terburai. Dengan mulut yang penuh dengan darah, isteriku masih boleh bersuara.
“Abang, tolong sayang bang…”
Dengan panggilan itu, aku terus meluru ke depan. Tanpa berfikir panjang aku terus melompat melepasi semak yang menghalang laluanku. Aku perlu menyelamatkan isteriku. Aku perlu..
“Astaghfirullah…”
Suara yang datang dari belakang itu tidak aku ambil peduli. Aku hanya ingin melompat menyelamatkan isteriku. Yang dari tadi memanggil-manggil, merayu aku untuk menyelamatkannya. Tapi, belum sempat aku melompat jauh, baju aku sudahpun direntap dari belakang.
“Sayang!!!” Aku menjerit sekuat hatinya. Meronta sekuat yang mungkin. Cuba untuk melepaskan diri dari sesiapa sahaja yang sedang memerangkap tubuhku. Aku perlu menyelamatkan isteriku. Aku perlu…
“Allahuakbar!! Nak, mengucap nak!”
Suara lelaki tua itu menyedarkanku. Barulah aku perasan yang persekitaranku sudahpun bertukar terang. Cahaya matahari kini menyuluh mataku, membuatkan aku menutup mata dengan sebelah tangan.
“Apa…apa yang dah berlaku…”
Aku termangu-mangu, melihat diriku yang terbaring di lantai balkoni. Orang tua di belakangku sudahpun melepaskan pegangannya, dan sudahpun berdiri di sebelahku. Orang tua yang tadi menolak troli kini menghulurkan tangannya padaku sambil berkata,
“Mari nak. Mari kita keluar dari bilik ni, tak selamat.”
Aku menyambut tangan lelaki tua itu, dan mengikut di belakangnya. Tapi sebelum melangkah, aku sempat menoleh ke belakang. Melihat pagar besi balkoni. Tempat aku hampir melompat jatuh ke bawah tadi.
***
Dengan seluar yang basah, aku turun ke tingkat bawah. Suara pak cik itu terngiang-ngiang dalam kepalaku.
“Bilik ni bahaya nak. Dah ramai orang hampir kena. Jin dan syaitan ni memang tak boleh mengapa-apakan kita. Tapi mereka penuh dengan tipu daya.”
Meremang bulu romaku. Jika tak kerana pak cik itu, aku pasti sudah tiada lagi hari ini. Aku meneruskan langlahku, menghampiri isteriku yang sudah menunggu di sofa dengan wajah yang gusar.
“Bang, kenapa lama sangat?”
Aku menghulurkan beg baju kotor itu kepada isteriku.
“Yang, ada seluar tak dalam tu? Bagi jap, abang nak tukar seluar. Seluar abang basah.”
#minggumahakarya – Abu Huzaifah Bidin
Seram.Lagi menyeramkan bila dibaca waktu mlm…
Walaupun fiksyen..terasa realitinya meremang bulu roma..hal sebegini sering terjadi terutama pada tempat ‘keras’…