#AhmadRusydi – Tiga Haiwan Hitam

Semalam aku bermimpi. Di dalam mimpi itu, aku berdiri di dalam kabus nipis yang menyelimuti sebuah kampung yang cukup asing bagiku. Terlihat di hadapanku, beratus-ratus buah rumah di dalam deretan yang tidak tersusun. Sejauh mata memandang. Dalam kekeliruan, aku melangkah perlahan menyusuri sebatang jalan bertanah merah yang bersimpang siur. Di kiri dan kananku, deretan rumah-rumah kayu tadi. Tidak ada sebuah rumah pun yang bercahaya. Mungkin penghuni-penghuninya sudah tidur, fikirku.

Titisan-titisan peluh di dahiku bagaikan tidak setuju dengan kedinginan malam kampung itu. Di dalam hatiku, aku cuma berharap agar seseorang muncul dari salah sebuah lorong-lorong yang memisahkan antara sebuah rumah dengan rumah yang lain. Semakin jauh langkahku, penglihatanku menjadi semakin terhad. Cahaya suram yang sedari tadi menyuluh langkahku, menjadi kian malap. Entah kenapa, tidak terdetik di dalam hatiku untuk berpaling mencari punca cahaya itu.

Langkahku terhenti di hadapan sebuah pondok kecil. Atau reban. Aku tidak pasti. Terdengar kasar bunyi kersikan rumput, yang di dalam kesunyian itu, cukup untuk membuatkan jantungku gugur. Ada sesuatu di belakang binaan kayu itu.

Di dalam kesamaran cahaya yang suram, aku terlihat sesusuk lembaga hitam besar melangkah keluar dari belakang binaan itu. Aku kaget. Kakiku enggan menuruti arahan mindaku.

Aku diam, sekadar memerhati. Jika kakiku tidak mampu menyelamatkan diriku, sekurang-kurangnya aku tahu siapa, atau apa yang akan menjadi lawanku itu. Setelah diamati buat beberapa saat, aku dapati lembaga itu rupa-rupanya hanyalah seekor lembu jantan yang besar. Dari hujung tanduk sehingga hujung ekornya berwarna hitam pekat. Namun, yang menambah kekeliruanku adalah; apa yang sedang bertenggek di atas belakang lembu itu. Seekor kambing hitam. Dan di atas kambing itu pula, seekor ayam jantan, yang juga berwarna hitam.

Sambil melangkah perlahan mendekatiku, anak mata hitam ketiga-tiga ekor haiwan itu merenung tepat ke dalam mataku. Jauh ke dalam mataku. Cukup dalam. Seakan-akan menusuk ke dalam hati sanubariku.

Tanpa membuka mulut, ketiga-tiganya bersuara dalam suara manusia.

“Kau sedang bermimpi wahai manusia.”

“Aku tahu.” Balasku tanpa sedar.

“Tetapi, apabila kau terjaga nanti, kami tetap akan ada bersama.”

“Aku tahu.” Balasku lagi.

Serentak itu juga aku tersentak terjaga. Nafasku tercungap-cungap. Cadarku lencun dibasahi peluh. Aku menjeling ke arah jam dinding. Ada beberapa jam lagi sebelum subuh. Dalam keadaan separuh mamai, aku bangkit duduk di sisi katil.

Di dalam kesunyian bilik bujang yang gelap dan hapak itu, sayup-sayup aku terdengar bunyi berkeletak-keletuk di atas almari pakaianku.

“Siapa?” Aku beranikan diri bertanya, biarpun aku tahu, tidak mungkin ada sesiapa bersamaku di dalam bilik itu.

Dalam sinaran cahaya berbalam-balam dari luar tingkap, aku terlihat seekor ayam jantan hitam sedang berdiri megah di atas almari kayu itu. Merenung ke arahku. Degupan jantungku terhenti buat sesaat.

Tanpa berfikir panjang, aku memulas tombol pintu yang berada betul-betul di sebelah katilku. Sebaik daun pintu dibuka, di hadapanku, seekor kambing hitam sedang tersenyum menampakkan dua baris gigi yang tumpul kekuningan.

“Tetap bersamamu.” Katanya dalam suara garau. Aku menghempas semula daun pintu itu.

Aku berpaling perlahan. Mataku mencuri pandang ke atas almari kayuku. Ayam jantan hitam tadi tidak lagi kelihatan. Aku duduk memeluk lutut di atas katilku, menanti subuh.

Dengan mata yang terpejam, aku dapat merasakan kehangatan air mata yang mengalir di pipiku. Entah dari mana, aku terhidu suatu bau yang amat pelik. Menusuk ke dalam rongga hidungku. Tidak harum, tidak pula busuk. Sekadar pelik. Di dalam hatiku, aku tahu, masih ada seekor lagi si hitam yang berjanji kepadaku di dalam mimpiku tadi. Si lembu.

Beberapa jam kurasakan berlalu cukup perlahan.

Air mata yang tadinya aku rasakan bagai tidak akan berhenti mengalir, kini sudah kering. Bau pelik tadi juga sudah tidak lagi terhidu oleh hidungku. Setelah entah buat kali ke berapa aku menjeling ke arah jam dinding, akhirnya ia akur menunjukkan pukul 5:30 pagi. Di dalam kecelaruan itu, aku tersenyum sendiri. Dahsyat mimpiku tadi. Mengigau sampai terbawa-bawa dalam realiti.

Aku bangkit dari katil lalu melangkah ke arah bilik air. Tanganku mencapai suis lampu. Separuh menjangka akan terlihat seekor lembu hitam di dalam bilik air itu. Namun, yang ada hanyalah mangkuk tandas dan baldi di bawah kepala paip tembaga. Sekali lagi aku tersenyum sendiri. Menggeleng mengenangkan kebodohanku.

Seperti biasa, setiap subuh, perkara pertama yang akan aku lakukan adalah gosok gigi. Aku mencapai berus gigiku dari atas singki. Dengan cermat, aku meratakan ubat gigi di atasnya. Sebaik mataku memandang ke arah cermin muka di hadapanku, aku hampir rebah. Lututku bagaikan tidak dapat menampung berat tubuhku yang naik mendadak tiba-tiba. Di dalam cermin di hadapanku, yang merenung kembali ke arahku bukanlah wajahku sendiri, tetapi kepala seekor lembu hitam dengan hidung dan tanduk yang besar. Mata hitam kumbangnya merenung tepat ke dalam hati sanubariku. Perlahan-lahan, bau pelik tadi kembali menusuk ke dalam hidungku.

“Kami akan sentiasa bersama kau.” Kataku tanpa sedar ke arah bayangan di dalam cermin itu.

“Aku tahu.” Balasku sendiri.

-Tamat-

*Cerita ini hanyalah sebuah rekaan. Tidak ada kaitan dengan yang hidup atau yang telah tiada. Terima kasih kerana membaca.
**Admin FS, terima kasih kerana selama ini menerbitkan cerita-cerita aku. Dengan sepenuh hati, aku hargai.

8 thoughts on “#AhmadRusydi – Tiga Haiwan Hitam”

Leave a Comment