AKIBAT MENGULAR

Hai, Assalamualaikum semua pembaca FS. Macam kebiasaan semua penulis akan ucap terima kasih kepada admin FS sebab siarkan cerita mereka. Aku pun nak buat benda yang sama iaitu aku nak ucapkan terima kasih kepada admin FS kerana menyiarkan kisah aku ni walaupun aku tau pembaca akan skip perenggan pertama ni. Haha. OK

Cerita yang aku nak kongsi dengan pembaca pada hari ini berlaku kepada diri aku sendiri di tempat kerja aku. Aku seorang lelaki (banyak penulis tak kenalkan jantina mereka), berumur lewat 20-an dan bekerja sebagai Jurutera di sebuah Kilang di Shah Alam. Kilang yang aku bekerja ni adalah sebuah Kilang Jepun yang sudah lama bertapak dan membuka kilangnya di Malaysia ni. Pandai-pandailah korang teka kilang mana haha.

Kisahnya bermula pada suatu hari yang hening dan mendung pada hari Khamis. Aku seperti biasa bekerja di kilang tersebut dengan sangat gigih. Tapi entah kenapa hari Khamis itu badan aku rasa letih dan lemah. Mungkin kerana terlalu kuat bekerja dan jarang aku curi tulang atau mengular. Dalam pukul 1 tengah hari iaitu selepas waktu makan tengah hari, mata aku semakin berat dan aku rasa terlalu mengantuk ya amat.

Terlintas di benak fikiranku untuk mencari port untuk tidur sekejap kerana aku dah tak mampu nak menghadap komputer lagi. Kebetulan hari ini boss aku cuti dan General Manager aku (Orang Jepun) pulang ke negara dia untuk menghadiri satu mesyuarat tergempar. Jadi aku rasa kurang ancaman untuk kena tangkap time aku tidur nanti. Untuk pengetahuan pembaca semua, GM aku memang suka pergi buat spotcheck kat tempat-tempat strategik untuk tangkap pekerja yang tidur, main handphone dan mengular time waktu kerja. Kalau kantoi memang warning letter tertepek kat muka la jawapnya.

So, aku mengambil keputusan untuk ke ‘Port’ tidur yang baekkk punya. Port ni berada agak jauh dari ofis aku sekarang ni. Port ni berada di bangunan ofis lama yang kilang aku dah tak gunakan lagi. Kebanyakkan ruang atau bilik kat bangunan ofis lama ni dijadikan tempat simpan barang dan stor. Tetapi ada satu bilik ni yang aku dan member-member sekerja aku yang lain jadikan port untuk tidur. Bilik ni pulak tak ramai yang tahu dan memang privacy nya lebih. So aku angkat diri aku yang tengah lembik ni, menapaklah aku menuju ke bilik itu.

Disinilah bermula semuanya. Sesampainya aku di bilik tu, aku pun mencari kunci bilik itu di satu kabinet yang terletak di sebelah luar bilik. Kunci ini sengaja diletakkan di kabinet ini untuk kaki-kaki ular ni senang nak akses ke dalam bilik. Cari punya cari, jumpa juga aku anak kunci bilik yang bertanda ‘X’ ni haha. Kalau ada anak kunci ni bermaksud tiada orang di dalam bilik tu la. Sebab selalunya orang yang nak guna bilik ni akan bawak sekali kunci ni dan kunci pintu bilik tu dari dalam menandakan ada orang tengah ‘Check-In’ la . Pintu bilik ni pulak separa kayu dan separa cermin, cerminnya pula di’tinted’ gelap. Jika tak ‘On’ lampu memang tak nampak langsung pandangan dalam bilik tu dari luar.

Bilik ni sederhana besar. Tak banyak ruang kosong sebab kebanyakan ruang diisi oleh kotak-kotak, plastik-plastik yang diisi dengan kain lama, sejadah dan lain-lain di sebelah kanan bilik. Di penjuru bilik belah kiri ada sebuah meja komputer besar, ada satu set komputer lama yang bermonitor zaman 90’an dan juga kerusi yang boleh berpusing-pusing tu. Bebudak yang selalu guna bilik ni selalu tidur atas kerusi tu je. Aku pun masuk bilik tu, kunci pintu dari dalam dan cari port nak tidur. Tapi aku rasa tak best plak tidur atas kerusi, aku alihkan kerusi ke tepi, on kipas dinding, aku baring sambil kaki aku hulurkan ke bawah meja, dan kepala aku alaskan dengan plastik berisi sejadah. Aku tidur menghadap komputer dan membelakangkan pintu

Tapi bilik ni terasa sejuk lain macam walaupun tiada aircond dan hanya pakai kipas dinding sahaja. Sebelum aku lelapkan mata, aku pasang earphone kat handphone aku dan pasang lagu rock kapak untuk layan perasaan sebelum tidur. Belum saja aku dapat lelapkan mata, aku rasa aku nampak bayang-bayang diluar pintu macam ada orang dok jenguk-jenguk aku dari luar. Aku memang tak ‘On’ lampu dalam bilik tu. Hanya cahaya matahari dari luar bilik yang menyuluh dalam bilik yang gelap tu. Aku jenguk ke luar pintu tu nak tengok siapa yang dok jenguk ke dalam bilik. Aku tak nampak sesiapapun. Dalam fikiran aku mungkin ada orang nak masuk bilik ni nak mengular juga kot. Tapi nasibla, aku sampai dulu, aku taknak share ‘Port’ ni sebab ruang tak luas sangat nak baring dua orang.

So selepas aku cuba lelapkan mata yang mengantuk tadi, tiba-tiba aku rasa cuak. Aku rasa macam aku diperhatikan je oleh sesuatu (Cliche). Aku hiraukan perasaan aku tu. Aku tengok jam dah pukul 1.20 tengah hari. Fikir nak ke surau pula untuk solat zohor sebab tiba-tiba mata dah tak mengantuk. Tapi best punya pasal sebab tengah baring kat kilang time kerja (haha), aku tangguhkan niat nak ke surau. Kemudian, aku tergagau-gagau nak cari kain apa-apa yang boleh dibuat selimut sebab rasa sejuk sangat tiba-tiba.

Sedang aku gagau-gagau tu aku jumpa kain yang teksturnya macam kain lampin tu tapi lebar cukup untuk selimut bahagian atas badan aku. Aku tarik kain tu dari bawah timbunan beg-beg plastik dan selimut badan aku. Tiba-tiba beg-beg plastik yang disusun bertingkat-tingkat tu jatuh satu persatu. Aku tak nampak beg-beg tu jatuh. Dengar bunyi je sebab bilik tu gelap. Aku endahkan saja, nanti lepas tidur aku susun balik la semua tu. Sebelum aku tertidur aku terfikir baik aku setkan alarm di telefon pukul 2.30 p.m untuk bangun. Takut terlajak. Aku pun pejamkan mata kembali.

Setelah aku cuba tidur, tak boleh-boleh juga. Entah kenapa rasa tak selesa. Aku angkat kaki aku letak atas meja komputer tu. Tertekan la pulak keyboard komputer lama tu dengan kaki aku. Tiba-tiba monitor komputer lama tu menyala. Terkejut beruk la aku. Hidup lagi komputer yang guna Windows XP ni yee. Aku tengok skrin komputer tu ada orang buka winamp dan ada playlist lagu-lagu lama tahun 90’an. Aku pun off plag komputer tu dan aku cabut wayer kemudian terus baring kembali.

Tengah layan lagu best-best dalam handphone, lagu last aku dengar kalau tak silap lagu ‘Sudah Ku tahu’ dari Projektor Band, aku tertidur juga akhirnya. Entah berapa lama aku dibuai mimpi dalam bilik tu, aku tersedar dan terjaga, aku rasa macam aku tidur dah lama kat situ, macam aku dah bermalam semalaman kat dalam bilik tu. Aku tengok jam tangan aku dah pukul 8.45 malam! Aku dah mula panik, aku fikir aku dah terlepas solat zohor, asar dan maghrib. Aku raba-raba cari phone untuk suluh dalam bilik yang gelap tu, dah jumpa phone aku, tapi bateri pulak habis. Lagilah aku cuak sebab takut-takut ada orang call aku ka nak cari aku pasal kerja ke apa ke. Aku terus bangun dan dalam gelap aku cari suis lampu kat tepi suis kipas tadi.

Aku jumpa suis lampu dan aku ketik ‘On’. Guess what? Tak menyala! Aku tak check pulak lampu dalam bilik ni dah rosak rupanya time aku check-in tadi. Dalam otak aku memang nak keluar dengan cepat je dari bilik ni. Rasa meremang, rasa cuak dah lain macam je. Aku meraba-raba ke arah pintu. Aku pusing tombol pintu pulak tak boleh buka!! Cuak tu jangan cakap la time ni. Darah dah naik masuk kepala sampai ke ubun-ubun. Jantung dah ‘dukdakdudak’ macam enjin kereta api dah. Aku cuba lagi pusing tombol pintu sambil mata pandang ke luar kot-kot ada security lalu nak buat clocking boleh minta tolong.

Tiba-tiba aku rasa meremang bulu-bulu sebelah belakang badan aku. Aku rasa ada orang kat belakang aku. Dalam hati aku dah cakap konfem aku sedang kena ‘Game’ dari setan ni!! Aku fikir nak pecahkan saja pintu ni. Aku tak berani toleh belakang dah. Tiba-tiba komputer lama tu tiba-tiba saja boleh ‘On’. Aku dengar bunyi yang komputer baru start tu…’Teng teng teng teng’..Padahal aku dah cabut wayer dan off komputer tu tadi. Zubake betul hantu ni!! Aku pejam mata sambil baca apa-apa yang aku teringat waktu tu walaupun berterabur habis. Selang beberapa saat aku dengar ada orang click-click mouse komputer tu dan satu lagu terpasang. Lagu siapa aku tak ingat dah. Tapi macam lagu Ella zaman 90’an. Aku cuba merempuh pintu tu sekuat mungkin. Aku tendang tak boleh, sondol tak boleh, kuat juga pintu binaan lama ni.

Tiba-tiba aku dengar dengusan dan rasa angin dari belakang disusuli dengan bunyi barang-barang jatuh dibelakang aku. Macam orang mengamuk! Aku jadi kaku, berpeluh taktau nak cakap dah sampai basah baju (Tiba-tiba rasa seram plak bila cerita kat korang ni huhuhu). Aku kuatkan diri aku, aku terlaung ‘Allahuakbar’!!! Pintu tiba-tiba boleh buka. Aku berlari keluar. Ketika aku lari keluar tu aku terdengar ada orang bercakap di belakang aku ‘Nak balik dah ke bang…Heeee heeee heeee’ diikuti suara mengilai yang seram taktau nak habaq. Aku toleh belakang, aku nampak satu sosok hitam, bejubah hitam, rambut menggerbang besar! Aku lari tak jejak tanah dah beb! Rasa macam tengah fly!

Aku kemudian berlari ke arah security post dengan pantas mengalahkan Watson Yambek. Pakcik-pakcik guard terkejut tengok aku yang belum pulang dan bermuka pucat berlari ke arah mereka. Mereka menenangkan aku dan aku ceritakan kepada mereka dari A sampai ke Z. Dan aku juga menyuruh mereka agar tidak melaporkan yang aku Mengular kepada pihak HR. Takutlah jugak kan nanti kena warning letter ke haha. Selepas itu mereka bercerita kat aku yang bangunan ofis lama tu memang sangat keras. Clocking point kat situ pun mereka dah buang sebab banyak Security kena kacau kat situ sampai tak ada yang berani nak buat clocking kat situ.

Aku pun tanya la apa yang kerasnya? Ada apa kat bangunan tu. Mereka pun ceritalah yang dulu bilik yang aku tidur tu bilik pejabat HR manager kat kilang ni. Dulu ada seorang HR manager ni yang boleh tahan kacak hensemnya. Ada seorang operator dari Indonesia yang suka dekat dia. Tapi dia dah kahwin dan dia tolak cinta operator tu. Operator tu buat guna-guna kat dia sampai dia kena gangguan macam-macam dalam bilik tu sampai dia berhenti kerja dari kilang ni. Bilik tu pulak sampai sekarang tak ada penghuni. Sebab tu pihak syarikat buat Ofis baru. “Yang hang pulak pi gatai tidoq kat situ lama-lama buat apa, siang takpala”, kata seorang pakguard dari Utara kepada aku huhuhu.

Aku baru lagi kat kilang ni, aku tah tahu menahu cerita pasal bangunan tu. Jadi aku pun mengambil keputusan untuk balik ke rumah setelah kejadian mistik itu. Aku seluk ke dalam poket, handphone aku tertinggal dalam bilik tu!! Aku tak ambil handphone tu sampai esok harinya dengan ditemani beberapa orang kawan sekerja aku. Sekian sahaja penceritaan kisah seram aku yang benar-benar terjadi pada diriku. Maaf jika penggunaan ayat yang salah dan jalan cerita yang korang tak faham. Tapi itulah apa yang aku alami. Dan sekarang aku dah berpindah tempat kerja meninggalkan kilang berhantu tu huhuhuhu.

Adios. Salam

19 thoughts on “AKIBAT MENGULAR”

  1. haa tu laa..ngular lg..aku dh la baca time dok sorang2..slalu kena tinggal kt ofis sorang2..rasa mcm diperhatikan pulaa..oleh cctv

    Reply

Leave a Comment