#armyy – Nek Yah
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pembaca FS yang budiman. Pertama sekali aku ucapkan terima kasih atas respon positif yang korang berikan pada percubaan pertama aku berkarya (Kuarters Lama Bahagian 1 & 2). Maaf sekali lagi sebab cerita tu bersambung tapi aku dah habiskan dengan bahagian 2. Sungguh bukan aku sengajakan. InsyaAllah cerita kali ni aku habiskan sampai penghujung.
Kisah yang bakal aku ceritakan ni berlaku sekitar tahun 2001, ketika aku masih di bangku sekolah dan kami sekeluarga menetap di Bukit Katil, Melaka. Memandangkan ayah sering tiada di rumah (kerana tugas), kerap juga kami pulang ke kampung emak yang terletak di Semabok. Di sana, rumah pakcik-makcik kami berdekatan sahaja dengan rumah Nek Yah (bukan nama sebenar), iaitu ibu kepada emak, juga nenek kepada aku dan adik. Seperti kebanyakan rumah-rumah kampung yang lain, jarak antara satu rumah ke satu rumah tidaklah berapa jauh. Kiranya pakcik-makcikku serta nenek berjiran sesama mereka, begitulah gambaran keadaannya.
Masih segar lagi dalam ingatan aku, tentang peristiwa di suatu malam…
Ketika itu cuti persekolahan hujung tahun. Seperti kebiasaan, emak mengajak kami dua beradik pulang ke kampungnya. “Abang, adik..dah siap ke? Kalau dah jomlah kita balik rumah Nek Yah korang. Ayah tak balik malam ni, boleh lah kita duduk lama sikit kat sana”, kata emak kepada aku dan adik. “Yeayyyyyyy!!!!” aku dan adik serentak bersorak. “Dah mak, abang dah mandi. Adik ni belum mandi lagi”, balasku. “Adik mandi kat rumah Nek Yah la eh? Dah nak Maghrib ni, dah jom cepat, karang tak sempat mak nak solat. Bawak barang-barang tu”, emak sedikit berleter. Senja itu kami bertiga bertolak ke rumah Nek Yah dengan hati yang girang. Aku dan adik tentu sekali seronok hendak berjumpa dengan saudara-mara kami yang lainnya.
Perjalanan dari rumah kami ke Semabok tidak mengambil masa yang lama, hanya sekitar 10-15 minit dari Bukit Katil. Sesampainya kami di sana, terus nenek mengajak aku dan emak ke surau untuk menunaikan solat berjemaah. Adik tidak ikut sekali kerana masih belum mandi. Jadi, dia tinggal di rumah Mak Jah (bukan nama sebenar), salah seorang makcik kami yang tinggal berhampiran dengan rumah nenek. Kami tunggu sehingga selesai waktu Isyak barulah pulang untuk makan malam bersama-sama di rumah Mak Jah. Ketika dalam perjalanan pulang itulah, segalanya bermula…
Dari surau untuk ke rumah Mak Jah harus melalui kawasan yang agak gelap dan sunyi, menyelusuri belakang rumah dan dapur penduduk kampung. Bukan tak ada jalan depan yang berlampu, tetapi kami lebih suka gunakan jalan tersebut kerana ianya adalah jalan pintas. Lagipun kami memang sentiasa membawa lampu picit bersama, jadi bukanlah satu masalah bagi kami untuk mengharunginya. Dan sudah namanya pun kampung, suasananya tentu sekali berlainan dengan kawasan pekan atau bandar yang hingar-bingar dengan kemeriahan warganya. Selepas waktu Isyak, kebanyakan penduduk di sini sudah mengunci pintu tingkap dan berada di dalam rumah masing-masing. Mungkin ada yang sudah bersiap sedia untuk masuk tidur, mungkin juga ada yang melakukan aktiviti bersama keluarga di dalam rumah.
“Nenek, cepatlah sikit, abang dah lapar lah”, rengekku kepada nenek. “Ish abang ni, ada pulak cakap macamtu kat nenek, nenek kan tak boleh jalan laju, lutut dia sakit”, emak sedikit marah kepadaku. Nenek hanya berdiam diri seperti tiada apa yang berlaku. Nenek sudah pun berusia 80-an ketika itu. Namun begitu, beliau masih lagi sihat dan kuat untuk membuat kerja-kerja yang ringan, malah rajin ke surau. Cumanya, pendengaran nenek sudah tidak berapa baik. Beliau terpaksa menggunakan alat bantuan pendengaran untuk mendengar dengan jelas. Tetapi setahu kami, nenek memang tidak suka untuk memasang alat itu di telinganya. Merimaskan, kata nenek.
Emak memimpin tangan nenek di sebelah kanan dan aku pula di sebelah kiri, sambil aku menggendong beg telekung emak di bahu. Sekali sekala kami mengelak dahan dan ranting pokok yang terjulur keluar ke arah jalan. Di pertengahan jalan itu secara tiba-tiba beg telekung yang aku gendong terlucut dari bahuku dan jatuh tergolek di atas jalan. Kami terhenti seketika di situ. “Abang ni macam mana boleh jatuh beg tu, pegang la betul-betul. Bukannya berat pun”, emak mengomel. Nenek pula masih seperti tadi, tidak ada sebarang reaksi yang diberikan. Aku lantas menunduk dan membongkok untuk mencapai beg telekung tersebut. Saat itulah aku seperti terpandang sesuatu di belakang kami, melalui di bawah di antara dua kakiku. Ada sepasang kaki lagi di belakang sedang berjalan lambat-lambat menuju ke arah kami. Serentak itu aku bangun dan berpaling ke belakang.
“Eh??!! Nenek?!!!”
Itulah yang terpacul keluar dari mulutku separuh menjerit. Aku menoleh ke arah tempat emak dan nenek berada, hanya emak yang kelihatan, terpinga-pinga memandang nenek di belakang sambil memegang dahan pokok mati di tangannya. “Korang ni betullah, tinggalkan aku kat surau tu, aku pergi tandas kejap je tengok-tengok korang dah jalan”, marah nenek kepada aku dan emak. Aku dan emak saling berpandangan. Saat itu mulut kami terasa seperti dikunci, tidak mampu untuk kami mengeluarkan walau sepatah kata. “Hah kau Mah, (merujuk kepada emak), aku yang tua ni pun jalan tak bertongkat, kau dah kenapa pegang dahan kayu tu? Ni kenapa pucat muka dua-dua ni? Rasa bersalah?”, bertubi-tubi pertanyaan nenek. Ah sudah, siapa pula yang aku dan emak pimpin dari surau tadi? Kami meneruskan perjalanan ke rumah Mak Jah dalam keadaan bingung. Hanya suara nenek yang kedengaran berleter kerana ditinggalkan kami di surau. Aku dan emak terus diam membisu. Seakan tidak percaya apa yang berlaku sebentar tadi.
Usai makan malam, aku duduk di pintu hadapan menghadap ke serambi luar. Adik pula begitu asyik menonton televisyen bersama saudaraku yang lain manakala emak, nenek dan pakcik-makcikku berada di dapur leka berborak. “Abang, meh la sini tengok tv ni. Cerita bestttt”, ajak adik. “Adik tengoklah, abang nak ambil angin ni” kataku mereka alasan. Aku tidak berminat untuk menonton televisyen pada malam itu. Kejadian tadi berlegar-legar dalam benak fikiranku. Memikirkan siapakah yang mengikut kami tadi sedangkan kami yakin itu adalah nenek. “Abang, meh sini kejap!” emak memanggil dari arah dapur. Aku bingkas bangun dan menuju ke sana. “Abang, cuba cerita balik tadi memang kita ada dengan nenek kan dari surau?” rupanya emak telah memberitahu perihal tentang kejadian tadi kepada pakcik makcikku serta nenek di dapur. “A’ah, abang dengan mak pimpin tangan nenek, tapi nenek diam je sepanjang jalan”, aku menerangkan. “Dahan yang mak nampak Mah pegang tadi, Mah tengah pegang tangan mak la sebenarnya”, kata emak cuba meyakinkan nenek. “Mujur abang terjatuhkan beg telekung tu, kalau tak memang tak sedar kita dah tinggalkan nenek” tambah emak lagi sambil memandangku.
Waktu terus berlalu, dalam tidak sedar berborak hari telah pun lewat malam. Ketakutan aku dan emak tadi juga sudah sedikit reda. Nenek dan Mak Jah berkeras mengajak kami sekeluarga tidur di kampung, kerana sudah terlalu lewat untuk pulang. Tetapi emak berdegil mahu juga pulang ke rumah kami, dengan alasan perjalanan dan jarak yang tidak berapa jauh. “Abang, jom pergi rumah Nek Yah ambil barang-barang kita. Adik tunggu kat sini je”, emak bersuara. “Abang takutlah mak, takut tadi pun tak hilang lagi ni. Dah la jalan tu gelap, lewat-lewat malam macamni. Kita tidur rumah Mak Jah jela mak”, pintaku kepada emak. “Ish, apa yang nak ditakutkan, bukannya jauh pun, bawak lampu picit ni”, kata emak. Ah, nak taknak terpaksa lah aku mengikut juga emak ke rumah nenek. Dalam aku berdolak-dalih untuk pergi ke rumah nenek, rupanya beliau terlebih dahulu telah pulang ke rumahnya tanpa menunggu kami. “Haa tengok kan nenek dah balik dulu tu, gasak la kalau dia dah kunci pintu” emak bersuara lagi. Nenek memang tinggal seorang diri di rumahnya selepas atuk meninggal dunia. Beliau lebih suka begitu walau sudah puas dipujuk untuk tinggal bersama salah seorang dari makcik pakcik kami di sana. Katanya tidak mahu menyusahkan anak-anak. Kami semua terpaksa beralah dengan kedegilan nenek. Orang tua, turutkan sajalah permintaannya. Namun begitu, kami sentiasa mengambil berat tentang perihal nenek; kesihatan dan makan minumnya. “Syafiq nak ikut sekali!”. Tiba-tiba Syafiq (bukan nama sebenar), anak lelaki Mak Jah yang sebaya denganku bersuara. Dialah saudara yang paling rapat dengan aku dan adik.
“Abang, Syafiq, jomlah jalan cepat, jangan lari tau”, emak memberi amaran kepada kami berdua. “Yelah, mak jalan depan, jangan laju sangat” kataku. Kami berjalan dengan emak di depan, aku di tengah dan Syafiq di belakang sekali. “Jalan hati-hati, tengok kaki tu pijak mana”, pesan emak. Kami berjalan perlahan-lahan di dalam kegelapan malam sambil emak menyuluh-nyuluh jalan. Sampai di pertengahan…
“Haaaaaaaaaaaah” “Haaaaaaaaahhhhh”
Bunyi orang menghembus nafas menggunakan mulut, terasa seperti betul-betul di tepi telinga kami. Sekali dengan angin dan haba nafas yang hinggap di tengkuk kami. Serentak kami terhenti dan berpandangan sesama sendiri. Aku dan Syafiq menggosok-gosok tengkuk. Melilau mata kami mencari arah datangnya bunyi tersebut sambil emak menghalakan lampu picitnya entah kemana-mana, mencari punca.
“Heeeeeeeeeeeeee” “Heeeeeeehihihi”
“Hiiiiiiiiiihehehehehe”
Kali ini lain pula bunyinya, sayup-sayup di kejauhan. Tidak ubah seperti bunyi suara perempuan mengilai yang pernah aku tonton dalam filem seram di televisyen. Aku, emak dan Syafiq terus cepat-cepat melangkah ke rumah nenek yang jaraknya cuma beberapa meter sahaja lagi dari tempat kami berada. Sambil itu aku dan Syafiq menjerit-jerit memanggil nama nenek. “Bammm bammm baamm!” Bamm bamm bammm!!” bertalu-talu kami ketuk pintu dapur rumah nenek, sambil suara hilaian tadi masih kedengaran. Agak lama kami di luar barulah nenek muncul membuka pintu dan suara tadi hilang begitu saja. Rupanya nenek langsung tidak dengar ketukan pintu dan jeritan kami yang memanggil namanya dari tadi kerana berada di dalam bilik. Di tambah pula dengan masalah pendengaran yang beliau hadapi.
“Kenapa ni?”, ringkas nenek bertanya sambil terpinga-pinga melihat kami. Tangannya masih memegang kunci dan dicuba satu persatu kunci tersebut untuk membuka pintu pagar. Aku merampas kunci di tangan nenek kerana terasa begitu lambat untuk nenek bukakan. Kami menerjah masuk lalu terduduk sambil aku dan Syafiq tercungap-cungap menghela nafas. Emak pula berjalan mundar mandir sambil mengibas baju dan mengelap dahinya yang berpeluh. “Nek, kitorang kena kacau tadi, lepastu ada suara mengilai”, kata Syafiq sambil menggigil. “Betul ke suara mengilai tu? Aku dah lama duduk sini, tak pernah pun dengar” aku sedikit geram kerana nenek seperti tidak percayakan kata Syafiq itu tadi. “Macam mana nenek nak dengar, kitorang ketuk pintu jerit panggil nama nenek macam apa tadi pun nenek tak sedar” aku membalas kata-kata nenek sedikit sinis. “Ah korang ni ada-ada jelah, kau pun sama Mah, melayankan budak-budak ni”, kata nenek sambil berlalu ke biliknya semula.
Aku dan emak mengambil barang-barang kami dengan pantas. Nenek menawarkan diri untuk temankan kami kembali semula ke rumah Mak Jah. Ketika itu tiada apa lagi dalam hati dan fikiran kami melainkan rasa takut dan seram yang teramat. Sampai di rumah Mak Jah, aku dan Syafiq bersilih ganti menceritakan kejadian tadi, cuma emak sahaja yang tidak bersuara. “Itulah, dah puas Mak Jah ajak korang tidur sini je, tapi mak korang taknak”, kata Mak Jah. Selepas sahaja Mak Jah berkata-kata, dengan tidak semena-mena bekalan elektrik terputus satu kampung. “Mah, kau tidur sini malamni dengan anak-anak kau, mak pun sekali”, tiba-tiba Pak Hasan (bukan nama sebenar), suami kepada Mak Jah bersuara. “Aku rasa ada yang tak kena ni. Abang, Syafiq, meh sini. Kita pasang lilin” tambahnya lagi.
Aku dan Syafiq mengikut Pak Hasan memasang lilin di keliling kawasan rumah. Aku memerhatikan tiada seorang pun penduduk kampung yang lain keluar ketika itu. Mungkin mereka sedang lena dibuai mimpi dan tidak sedar bekalan elektrik telah terputus. “Syafiq, sini ikut ayah. Kita nyalakan lilin kat dalam. Abang, nah ambil lilin ni, nyalakan dan letak kat luar rumah. Jangan dekat dengan langsir atau kain, terbakar pulak nanti” arah Pak Hasan. Aku menelan air liur. “Kenapa aku pula yang kena nyalakan lilin kat luar?”, kataku di dalam hati. Dalam terpaksa, aku turutkan juga. Selesai di kawasan depan, aku beralih ke belakang. Di situ, terdapat beberapa buah reban ayam. Ada juga pokok buah-buahan yang ditanam mereka, dalam 5-6 batang pokok. Lebih kurang 5 meter jarak dari kawasan tersebut, terletaknya kaki anak bukit yang menghubungkan terus kawasan perkuburan di kampung kami itu. Ini menambahkan lagi ketakutan aku. Pelbagai cerita seram yang pernah aku dengari sebelum ini, kini terngiang-ngiang ditelingaku.
Ketika aku mahu menyalakan lilin yang terakhir di kawasan belakang rumah, aku terpandang susuk tubuh nenek berjalan ke kawasan reban, dari arah depan. “Eh nenek ni buat apa pulak pergi kat sana waktu-waktu macamni, nak bagi makan ayam pun esok-esok jela”, aku membebel di dalam hati. “Nek Yah! Nenek!” aku memanggil nenek tetapi tidak dihiraukannya. Aku perhatikan nenek membongkok-bongkok di depan reban, seperti mencari sesuatu. Bunyi ayam diganggu tidurnya di dalam reban sedikit riuh memecah kesunyian malam. Setelah dapat apa yang dicari, nenek lantas bangun dan berdiri tercegat di situ sambil mukanya disuakan ke tapak tangan, seperti gaya orang berdoa pun ada juga. Aku dapat lihat dari kedudukanku nenek memegang beberapa biji telur ayam. “Laa nenek ni nak ambil telur pun, janganlah sampai macamtu, menakutkan abang jela”, kataku kepada nenek. Nenek masih lagi tidak menjawab kata-kataku malah langsung tidak menoleh. Aku berasa tidak sedap hati, lalu pergi mendapatkan nenek. Saat aku tiba dibelakang nenek, hidungku menangkap bau hanyir telur ayam mentah dan darah yang menusuk-nusuk.
“Nek, dah jomla masuk. Esok je kita kutip telur ni, nenek letak dulu telur-telur tu balik”, kataku sambil memegang bahu nenek mengajaknya masuk ke dalam rumah. “Eh, kenapa berat sangat badan nenek ni? Sikit pun tak berganjak!”, aku terdetik di dalam hati. Sedangkan fizikal Nek Yah tidaklah sebesar mana. Berbadan kecil dan sedikit rendah, mustahil aku tidak mampu untuk menariknya.
“Hinnnsssffff” “Hinssssfffff”
Bunyi nafas nenek agak kuat, bunyinya tidak seperti manusia normal bernafas. “Nenek ni dah kenapa?” kata hatiku. Aku menoleh kepada beliau, tetapi masih samar-samar untuk melihat wajah nenek dengan jelas. Aku tidak memikirkan apa-apa yang seram ketika itu tetapi lebih kepada pelik melihat nenek berkelakuan begitu. Lalu aku berpusing dan kini berdiri betul-betul bertentangan dengan nenek, membelakangkan reban.
“Ya Allah!”
Spontan aku sedikit menjerit. Ketika itulah baru dapat aku lihat wajah nenek, mulutnya ternganga sedikit, dengan mata separuh pejam. Di tangan dan bahagian mulutnya terdapat lebihan telur ayam mentah dan ada sedikit kesan darah. Bau hanyir telur mentah dan darah jangan cakap, cukup meloyakan! Saat itu lututku terasa begitu lembik, tidak mampu untuk aku berdiri. Aku tahu itu bukan nenek, tetapi jelmaan yang menyerupai beliau.
Seketika ‘nenek’ perlahan-lahan berpaling kepadaku. Dengan serta-merta aku melihat ia bertukar kepada satu makhluk yang lain! Tidak dapat aku gambarkan dengan lebih terperinci kerana keadaan yang agak gelap dan aku pula dalam ketakutan yang teramat. Cuma yang pastinya, makhluk tersebut sangat tinggi dan besar, berbulu lebat, seakan-akan seekor beruang coklat! Aku jatuh terjelepuk di atas tanah. Mulutku seperti dikunci untuk berkata-kata, tidak mampu untuk aku menjerit meminta tolong apatah lagi untuk membacakan ayat-ayat suci. Habis semua surah-surah yang ku hafal tunggang-langgang bacaannya di dalam hati dek ketakutan yang aku alami.
“Abang!!!” kedengaran satu suara yang cukup aku kenali. Serentak itu makhluk berbulu lebat tadi hilang dari pandanganku. Aku masih di atas tanah, tercungap-cungap mengambil nafas. Peluh membasahi baju dan dahiku. Terasa satu kelegaan yang teramat ketika itu. Pak Hasan dan Syafiq segera mendapatkan aku yang seperti kaku tidak mampu untuk bergerak. “Apa dah jadi ni bang? Apa abang buat kat reban pakcik ni?” tanya Pak Hasan. “Tadi abang tengah nyalakan lilin kat belakang ni, lepastu abang nampak nenek jalan pergi kat reban….” aku menceritakan kejadian yang baru sahaja menimpaku tadi kepada Pak Hasan dan Syafiq. “Hish, tak boleh jadi ni. Patutlah kebelakangan ni banyak ayam pakcik mati, telur-telur hilang. Pakcik ingatkan ni perbuatan musang atau ular, rupanya benda tu! Dah mari kita masuk”, Pak Hasan dan Syafiq memapahku yang masih dalam keadaan lemah masuk ke rumah.
Beberapa hari selepas itu kecoh satu kampung tentang kejadian yang telah menimpaku. Rupa-rupanya ada juga penduduk kampung yang mengadu ayam itik mereka mati dan telur-telur hilang dicuri. Seorang ustaz telah dipanggil bagi memulihkan keadaan dan alhamdulillah, gangguan seumpama itu tidak terjadi lagi. Aku pula, demam panas selama seminggu selepas peristiwa pada malam itu. Agak lama masa yang aku ambil untuk pulihkan kembali semangatku. Cuma sehingga kini aku masih tidak dapat mencari jawapan, kenapa gangguan-gangguan yang menimpa pada malam itu memilih untuk menyerupai nenek. Sehinggakan kadang-kala aku berasa seram dan teringat-ingat tatkala aku melihat nenek. Namun apabila masa kian beredar, sudah tidak lagi rasa yang begitu terhadap nenek. Nenek juga telah kembali ke rahmatullah pada tahun 2010 ketika aku masih lagi menuntut di salah sebuah universiti di utara tanah air.
Banyak lagi peristiwa-peristiwa seram dan mistik yang pernah aku alami. Mungkin ada yang tidak percaya malah tertawa dengan kisah-kisah yang sebegini, mengarut bagi mereka. Namun bagi yang pernah merasai ‘diganggu’, pastinya faham. Semoga kita semua dilindungi Allah dari segala bentuk gangguan, zahir dan batin.
Al-Fatihah buat arwah nenek.
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Apakah benda yg menyerupai nenek tu?
wallahua’lam. mungkin jin mungkin belaan manusia. mungkin.
Siap tegur2 lagi benda tu siap sntuh masa kat reban..mmg tersangat husnuzon adik ni.klau akakla…larikkkk!! Huhu. Seram. Teruskan menulis
risaukan arwah nenek kak, sebab dia mcm pelupa sikit.
Owh….patutla.yerla..rsau jg klau tu btul2 nenek.akak fhm.tp lainkli hati2 sb dia mnyerupai tu yg bahaya..amal ayat pendinding utk jg diri
lorh nape ditegurnya benda tu kt reban .. seblom tukkan dh kne benda tu menjelma sbg nenek..kalo dh rsa pelik tu dah comfirm2 bnda tu menjelma…haish..kalo aq idok ler nk tegur dh…angkat kaki cabut lari…
sebab fikirkan arwah nenek memang dah nyanyuk sikit, tu yg dok risau. huhuhu
ni seram.
Best☺
mau terkencing ..x dpt bayangkan la dok npak depan mata…minta dijauhkan
itu yang takleh lupa. huhuhu
Best nih. Sebab penah jadi. Kalau makan ayam, telur mentah, itu hantu raya đŸ™‚
Memang badannye berbulu lebat, sedikit besar. Dan cerdik.
itulah, ramai cakap benda yg sama. saya tak pasti sangat jenis2 ‘diorang’ ni.
Die suke menjelma jd nenek sbb die tau semuaaaaa org sgt amik berat psl nenek…
Sooo org akn alert dgn ‘nenek’ tu, mudah mendekati ‘nenek’, maka makin mudahler keje die nk kacau korg…
betul jugak tu kak, tak terfikir pulak. huhuhu. sedekahkan al-fatihah kak buat arwah. tq ?
InsyaaAllah…
Semoga Nek Yah di bawah rahmat dan kasih sayang Allah…
Seram. Dapat gambarkan perasaan takut tu macam mana. Hehehe. Harap penulis tulis lagi cerita menarik. Kipidap.
banyak lagi pengalaman paranormal ni , insyaAllah saya kongsikan lagi nanti.
Klu dok bukit katil, ayah slalu takde sbb tugas, mesti ayah awk ni polis kan?
yup betul, 10 markah haha
9/10
awak memang berani la. Secara logiknyaa orang dh bleh agak tu bukan nenek awk. Tpi awk memang berani pergi tegur?
Pak hassan tu da kenapa suruh ko budak kecik pasang lilin kat luar rumah. Amnde tah
10/10
Eh ni mesti baca sbb ade org rekemenkn td kt komen kn
?
komen nenek lps kes kat reban tu?