Awek Mata Bundar

#1 Awek Mata Bundar

Tengah malam itu, kawan serumah aku yang bernama Petak (nama manja yang emak dia bagi sebab muka dia empat segi) mengajak aku ke Warung Tok Minah. Daripada melepak-lepak di depan tv tak buat apa-apa, lebih baik aku melepak di Warung Tok Minah. Di sana pun ada tv juga. Perut aku ini pun kemain lagi berkeroncongnya bila dengar Petak menyebut nama Tok Minah. Nasi paprik daging Tok Minah memang piau Siam. Juling mata makan. Tambah yang masak itu Azizah, cucu Tok Minah yang cantik lawa. Sayangnya, Azizah sudah berkahwin. Kempunan aku nak memperisterikan dia.

Takpelah. Tak dapat orangnya, dapat rasa air tangan Azizah pun jadilah.

“Kau belanja baru aku keluar.” Aku mengacah. Toleh kepala sahaja, belum bangun dari berbaring lagi. Acah dahulu. Untung nasib, Petak belanja.

“Aku nak belanjalah ni.” Petak membuka pintu depan. “Kau nak ikut tak?”

“Jap. Aku pakai baju.” Kelam-kabut aku bangun. Masuk ke bilik tidur, salin baju elok sedikit, pakai seluar panjang, sapu pomade pada rambut, telek muka di cermin tengok hensem ke tidak sebab tak mahulah Azizah tengok muka aku serabai, selepas itu aku ke depan. Petak sudah menunggu di atas motor dia.

“Kau dapat bonus ke apa?” tanyaku, memakai helmet sambil memanjat pelana motosikal.

“Yup!”

“Pinjam sikit. Heh heh heh.” Aku ketawa, konon-kononnya mengacah tetapi kalau dia bagi, aku terima.

“Ni aku nak belanja kau, kira bagi sikitlah ni.”

“Pelit punya member. Heh heh heh.” Hati sedikit hampa tetapi aku ketawa lagi supaya Petak tak tahu aku serius tadi.

Warung Tok Minah tak jauh dari rumah sewa kami. Pergi jalan kaki pun boleh tetapi lambatlah sampai. Lagipun rugi jalan kaki selepas makan. Sampai rumah lapar balik.

Macam biasa, Warung Tok Minah ramai orang. Azizah berkelentung-kelentang di dapur, menyiapkan pesanan orang. Mak tok dia duduk di kaunter, kira duit.

“Minum apa, bang?” Budin, adik lelaki azizah siap sedia nak mengambil oder kami.

“Tanya dia. Dia belanja malam ni.” Aku menuding ke arah Petak. Dia yang nak belanja, biar dia sendiri yang oder. Lagi selamat macam tu. Takut aku teroder banyak, bukan apa.

“Macam biasalah. Teh O ais limau dua. Kau nak makan apa malam ni? Nasi paprik ke…”

“Paprik daging.” Pantas aku menjawab. Tak pandang muka Petak pun sebab aku sibuk perhatikan seorang awek. Dia duduk sorang-sorang sahaja di meja hujung itu. Tunggu kawan agaknya.

“Paprik daging dua, teh O ais limau dua.” Petak duduk menyenget selepas oder.

Kami tak sembang pun. Di rumah sudah puas bersembang. Petak ralit menonton perlawanan bola sepak di tv. Aku pula ralit memerhatikan awek yang duduk sorang-sorang tu. Nampak macam dia tengah menunggu seseorang. Mungkin dia tunggu pakwe. Lemah terus hati aku jadinya.

Orang cantik macam tu, mesti dah ada pakwe.

Tiba-tiba awek tu pandang aku. Muka dia comel ya Rabbi. Dalam cahaya tak kuat pun aku boleh nampak betapa cantiknya dia. Mata dia, bibir dia, aduh, mak… terliur aku dibuatnya. Agaknya memang aku drooling kut sebab awek tu tersipu-sipu tunduk, selepas itu dia jeling aku.

‘Aih, pompuan ni! Dia tengah goda aku ke apa ni?’ Melintas soalan itu dalam hati aku. Nampak macam dia tengah menggoda aku, dengan jelingannya, senyumannya tetapi saja je kut. Nak balas dendam kat pakwe dia kut sebab datang lambat.

“Oih! Kau balik kampung tak minggu depan?”

“Apa?” Aku tanya Petak balik. Terperanjat, tiba-tiba sahaja kena soal.

“Kau tengok siapa?” Petak pusingkan kepalanya. Lama juga dia tengok ke belakang. Mesti dia sudah nampak awek tu. Drooling juga agaknya tengok awek yang duduk di meja hujung itu.

“Oih!” Aku cemburu. “Kau tanya apa tadi?” Aku panggil dia suruh dia tengok muka aku. Lama sangat aih dia tengok awek tu.

“Kau balik kampung tak minggu depan?”

“Tak. Kenapa?”

“Ikut aku balik kampung aku.” Petak tersipu-sipu. Malu semacam sahaja aku tengok.

“Ada apa kat kampung kau? Musim durian ke?” Alang-alang sudah sampai ke kampung dia, rembatlah buah apa yang ada. Emak bapak Petak banyak dusun. Kalau dia balik kampung, satu raga buah-buahan dia bawa balik ke Shah Alam. Pernah sekali tu kita orang buat carboot sales, jual durian yang kami tak larat habiskan.

“Aku nak bertunang.”

“Woi! Bila kau nak cerita kat aku?” Habis semua orang dengar aku bertempik. Awek mata bundar itu pun dengar. Dia pandang aku sambil tersenyum-senyum. Selepas itu dia menggeleng.

Dia ni memang tengah menggoda aku ni. Siapakah gerangan? Jangan-jangan cucu Tok Minah juga. Memang aku tengok rupa dia ada iras-iras muka Azizah. Haih, makin laju jantung aku berdegup. Tak dapat Azizah, dapat adik dia pun jadilah.

“Aku tengah ceritalah ni.” Petak teguk teh O ais limau dia sampai separuh gelas. Gabra nampak. Petak jarang gabra. Dia mat cool. Aku yang selalu gabra. “Nak ikut tak?”

“Naklah! Apa guna member. Tunang kau orang mana? Tak pernah cerita kat aku pun.”

“Orang kampung aku jugak. Tak boleh ceritalah. Nanti kau rembat dia.” Petak ketawa. Habis segelas air dia dia gogok.

Aku ketawa juga sambil perhatikan awek mata bundar itu. Hampa aku rasa bila tengok dia berdiri. Dah nak balik ke? Alahai… kejap sangat. Tunggulah kejap lagi. Tak puas aku tatap muka comel tu.

Awek itu tersenyum pandang aku. Macam dapat dengar suara hati aku. Dia cium kertas yang dia pegang, tunjuk kertas itu pada aku, selepas itu dia letak kertas itu di atas meja. Kemudian dia berpusing dan tinggalkan warung itu.

“Jap!” Kelam-kabut aku ke meja awek itu sebelum orang lain pula mengambil kertas itu. Aku tengok ada nombor handphone pada kertas itu. Cepat-cepat aku simpan dalam poket seluar jean aku.

“Kau dah kenapa?” Petak pandang aku dengan pelik. Dia menoleh ke belakang, tengok meja yang awek tu duduk tadi.

“Takde apa. Makan. Makan.” Cewah. Macam aku pula yang belanja!

Selesai makan, Petak nak lepak-lepak pula di Warung Tok Minah. Bola belum selesai lagi. Aku sudah panas p******g nak balik ke rumah, nak telefon awek mata bundar tu. Whatsapp dahulu kut. Minta izin dahulu. Telefon apa malam-malam buta ni?

Bila perut dah nak lapar balik, baru Petak mengajak aku balik ke rumah. Tetapi sebab perut dia sendiri lapar, dia oder lagi dua bungkus nasi paprik, untuk dibawa balik. Sampai rumah, kena makan dahulu dengan dia sebab dia belanja. Nanti dia kata aku sombong pula sampai-sampai terus masuk bilik.

Rupanya Petak nak mengajak aku bersembang pasal majlis pertunangan dia semasa kami makan itu. Dia takut gabra nak pandu kereta balik ke kampung rupanya, jadi dia suruh aku jadi drebar dia.

“Aku okey je.” Aku angkat pinggan kosong ke singki. Kalau dibiarkan di atas meja, makin banyak pula sembang si Petak ni nanti.

“Terima kasih, Sin. Sorrylah aku curi masa tidur kau.” Petak lap-lap meja. Dia memang rajin. Aku pula basuh pinggan dan gelas yang kami gunakan.

“Takpe. Jom masuk tidur.”

Aku masuk ke dalam bilik. Selepas menyimpan nombor telefon awek tu dalam telefon bimbit aku, terus aku padamkan lampu. Petak ada di luar. Karang dia ajak bersembang pula kalau dia nampak lampu bilik tidur aku masih menyala.

Berbaring di atas katil, aku cek nama awek tu di Whatsapp. Lega hati aku bila tengok dia ada Whatsapp. Gambar profail dia, mak oiii… bergetar tulang rusuk aku dibuatnya. Gatal tangan aku nak menaip Whatsapp pada dia tetapi nanti apa pula dia kata? Dah pukul berapa ni? Nampak gelojoh weh!

Tulis sajalah. Baik aku hantar Whatsapp pada dia sekarang. Esok takut aku terbangun lambat. Tertunggu-tunggu pula dia nanti.

Aku: Assalamualaikum, awak. Saya Mohsin, yang duduk kat Warung Tok Minah tadi. Salam kenal.

Tekan Send. Tak mengharapkan apa-apa sebenarnya sebab aku agak dia dah masuk tidur. Tapi tiba-tiba double grey ticks jadi double blue ticks. Selepas itu aku nampak dia typing. Laju jantung aku berlari.

Awek: Wa’alaikumussalam. Tak tidur lagi ke?

Aku: Belum. Awak kenapa tak tidur lagi?

Awek: Tunggu awak call.

Aku: Saya takut nak call. Takut awak dah tidur. Siapa nama awak?

Awek: Atikah.

Aku: Cucu Tok Minah jugak ke?

Awek: Macam mana awak boleh teka?

Aku: Tengok muka nak sama macam muka Azizah.

Awek: Ye ke? Kami sepupu.

Aku: Ingatkan adik Azizah. Rumah dekat ke? Berani balik sorang-sorang.

Awek: A ah. Dekat. Rumah awak kat mana?

Aku: Seksyen 15.

Awek: Tak jauhlah. Dah nak subuhlah, awak. Saya minta diri dulu.

Aku: Okey.

Awek: Esok malam kita sambung lagi ya.

Aku: Siang tak boleh ke?

Awek: Awak nak tidur. Saya pun nak berehat sebab tak tidur lagi dari tadi tunggu awak call.

Aku: Sorry.

Awek: Takpe. Esok malam kita sembang eh.

Tersenyum-senyum aku selepas dia offline. Tak sangka peramah sungguh cucu Tok Minah yang seorang ini. Azizah pun peramah juga tetapi ada sombong sedikit. Mungkin sebab dia sudah jadi isteri orang.

Azan subuh berkumandang. Selepas solat, aku tidur. Hari minggu, beb. Kalau tak berWhatsapp dengan Atikah pun, memang kerja aku tidur sahajalah sepanjang hari.

Selepas maghrib, aku menghantar satu lagi Whatsapp pada Atikah.

Atikah: Ingatkan tak nak kawan lagi dah.

Aku (sengih macam kerang busuk): Sejak jaga dari tidur tadi dah teringat nak Whatsapp awak. Tunggu habis zikir baru Whatsapp. Sihat ke?

Atikah: Sihat. Awak macam mana?

Aku: Sihat jugak. Malam ni tak lepak kat Warung Tok Minah ke?

Atikah: Tak kut. Esok ada kelas.

Aku: Ooo… study lagi.

Atikah: Tak. Lecturer kat Puncak Alam.

Aku: Ooo…

Sembang punya sembang, sampai aku terlupa nak makan. Bila Petak ketuk pintu mengajak aku makan, barulah perut aku berkeroncong.

“Kau nak keluar makan tak?” Petak tercengang-cengang di pintu. Yalah! Mana pernah aku terlupa pasal makan.

“Nak. Kejap.”

“Aku tunggu kat kereta.” Petak tutup semula pintu bilik tidur aku.

Aku: Tikah, saya minta diri dulu.

Atikah: Pergilah. Kawan dah lama tunggu tu.

Aku: Pandai aje awak.

Atikah: Betullah, kan…

Aku: Betul. Tak semangat nak makan kat sana. Awak takde.

Atikah: Azizah kan ada.

Tersirap d***h aku bila dia cakap macam tu. Macam tahu-tahu pula dia aku suka pada Azizah. Agaknya dia selalu nampak aku usha Azizah sebelum ini. Dia duduk kat mana sebelum ni? Kat dapur kut sebab memang mustahil aku tak nampak dia kalau dia duduk kat depan.

Aku: Janganlah cemburu.

Atikah: Takdelah.

Aku: Balik makan nanti kita sambung sembang.

Atikah: Takpelah. Nanti awak balik lambat. Saya nak tidur awal malam ni.

Alamak, dia merajuk pulak dah.

Aku: Okey. Esok kita sambung sembang.

Dia tak balas Whatsapp aku. Terus offline. Gelisah aku dibuatnya. Terasa bersalah sebab buat dia merajuk. Takpelah. Nanti aku pujuklah dia. Pandailah aku mengayat. Azizah dah ada suami kut. Takkan itu pun dia nak cemburu.

Sampai di Warung Tok Minah, memang aku tengok Atikah tidak ada di mana-mana, kecuali dia menyorok di dapur. Memang aku tak nampak kalau dia menyorok di sana. Sedih hati aku walaupun dia sudah bagi tahu yang dia takkan datang ke warung malam ini. Aku pula, sejak sampai, tak pandang Azizah langsung. Aku tak nak kecewakan hati Atikah lagi. Manalah tahu, mungkin betul dia duduk di dapur sedang perhatikan aku.

Selepas makan, aku bagi tahu Petak yang aku nak belanja dia malam itu. Alasan aku, kononnya aku nak meraikan dia sebab dia nak bertunang. Sebenarnya aku nak bersembang dengan Tok Minah. Bila lagi nak berkenal-kenalan dengan bakal nenek mentua. Kut-kutlah selepas ini Tok Minah tak cas aku apa-apa bila aku datang makan di situ.

“Berapa, Tok Minah?” Senyuman paling manis aku bagi pada dia.

“RM14.” Tok Minah hulur kertas oder kami yang sudah siap bertulis harga di situ. Salah satu sebab kami suka makan di situ ialah kerana harga makanannya masih murah. Dahlah sedap.

Aku hulur duit RM20 pada Tok Minah. “Errr… errr… Atikah tak datang ke malam ni, Tok Minah?”

Tiba-tiba Tok Minah jadi batu. Muka dia terperanjat habis. Direnungnya aku macam dia nak telan aku.

“Apa kamu kata?” tanya Tok Minah. Dia dah berpeluh-peluh semasa itu. Kulit muka pun pucat pasi.

“Atikah…”

“Macam mana kamu kenal Atikah?” soal Tok Minah.

“Errr… errr… saya kawan dia.”

“Masa bila kamu berkawan dengan dia?” Semakin menjegil mata Tok Minah.

“Errr… baru semalam.” Aku pula naik pucat pasi dibuatnya. Marah betul Tok Minah bila dapat tahu aku berkawan dengan Atikah.

“Zah! Meh kejap!” Tok Minah memanggil Azizah ke kaunter.

Alamak, dia panggil geng pulak. Nak suruh Azizah marah akulah tu. Kalau dia sendiri yang marah, dia takut aku tak datang lagi ke warung dia kut.

“Ada apa mak tok?” Azizah datang kepada kami. Merah kulit mukanya yang putih dimamah panas api. Aku pandang dia sekilas sahaja, selepas itu aku pandang ke arah lain. Yalah, kan. Nanti dia orang cerita pada Atikah pulak, naya aku dia tak nak berkawan dengan aku lagi.

“Budak ni. Dia cakap dia kawan Atikah.” Tok Minah tak pandang pun pada aku semasa dia bercakap. Marah betul dia.

“Hah?” Muka Azizah pun jadi sama macam muka Tok Minah. Sebijik! Dia terus datang dekat aku. Berdiri betul-betul kat sebelah aku. “Bang…”

Alamak! Dia panggil aku abanglah pulak. Merajuk lagi si Atikah tu nanti.

“Bila abang jumpa Atikah?” Lembut ya Rabbi suara Azizah. Perlahan saja dia bertanya, tak macam Tok Minah tadi.

“Semalam. Dia duduk kat…” Aku menuding ke arah meja di mana Atikah duduk semalam. Dan aku nampak Atikah duduk di situ, merenung aku dengan tajam. Matanya merah menyala. Tiba-tiba bulu romaku meremang. Lama aku tenung dia. Atikah pakai baju putih. Kulit muka dia pun pucat pasi. Dia… dia…

Tiba-tiba Atikah ghaib.

“Budin, ambil air segelas!” kata Azizah kepada adik lelakinya. Bila air yang diminta sampai, Azizah membacakan sesuatu pada air itu sebelum memberikannya pada aku. “Minum air ni, bang.”

Tak banyak soal dah aku semasa itu. Terus aku minum air masak yang Azizah berikan padaku. Sekali teguk sahaja aku habiskan air segelas itu.

“Abang nampak dia tadi ya?” Azizah mengambil gelas dari tangan aku.

Perlahan-lahan kepala aku mengangguk.

“Atikah dah takde, bang. Dah lama dia meninggal. Dah lebih sepuluh tahun,” kata Azizah.

Aku pandang sahaja telefon bimbit aku, tak tahu macam mana nak cakap pada dia bahawa selepas maghrib tadi aku ada bersembang dengan Atikah.

“Abang ada call dia ke?” Azizah macam tahu-tahu saja.

“Whatsapp,” jawabku, sepatah.

“Buang nombor telefon dia tu, bang. Jangan simpan lagi.”

Di depan Azizah dan Tok Minah aku membuang nombor telefon Atikah. Selepas mengucapkan terima kasih, aku mengajak Petak balik ke rumah.

“Kenapa dengan kau ni?” Dalam kereta baru Petak menyoal. Tadi dia perhatikan aku dari jauh sahaja.

“Takde apa,” jawabku. Dari side mirror aku melihat Atikah mengekori di belakang kami. Sampai ke rumah dia ikut, selepas itu dia terbang entah ke mana.

Malam itu aku tak boleh tidur sebab Atikah asyik menghantar Whatsapp padaku.

Hantu: Mohsin, kenapa tak jawab?

Hantu: Mohsin… kenapa Mohsin tak layan Tikah lagi? Mohsin dah benci Tikah ke?

Hantu: Mohsin…

Tak mahu diganggu lagi, aku matikan telefon dan aku pejamkan mata, cuba melupakan kejadian seram yang menimpaku. Pelan-pelan aku tertidur tetapi aku dikejutkan oleh bunyi dering yang sangat kuat. Terpinga-pinga aku pandang telefon yang masih berbunyi. Panggilan itu aku jawab.

“Eeeeeeiiiiiii…” Suara mengilai menusuk ke gegendang telingaku. Seminggu aku demam.

Sehingga kini, walaupun aku sudah menukar nombor telefon, Atikah masih menghantar Whatsapp kepadaku. Sudah lima tahun masih sama. Aku tak tahu nak buat macam mana.

Bersambung…

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 3]

19 thoughts on “Awek Mata Bundar”

  1. jalan cerita tersusun cantik,satu2 ayat disusun teratur,senang nak baca,nak paham..kipidap writer..cume kami nak tahu ni kisah benar ke?

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.