Awek Mata Bundar (Akhir)

Salam admin FS yang dikasihi dan warga FS semua. Terimalah entri terakhir Awek Mata Bundar. Abe fokus pada kisah Tikah je supaya cerita ni cepat habis. Lepas ni abe akan siapkan Akak Di Balik Pintu pulak sebagai sambungan. Tapi citer Tikah dah habis sampai sini saja. Akak Di Balik Pintu tu cerita yang abe tinggalkan semasa abe menyiapkan cerita Tikah ni. Harap dapat bersabar.

Enjoy.

Awek Mata Bundar Akhir.

Tiba-tiba cermin depan kereta aku jadi berkabus pulak. Tiba-tiba je. Aku dah tak sedap hati. Aku baca ayat Kursi sebab ayat pendinding yang ustaz bagi semalam tu aku belum hafal lagi. Sekuat hati aku baca ayat Kursi tu sambil lap kabus belah dalam cermin dengan tapak tangan. Cari kain tak jumpa. Wiper lap kat luar, kat dalam aku guna tapak tangan jelah.

Kereta kat belakang dah hon memanjang. Marahlah tu sebab tiba-tiba je aku slow. Masa potong kereta aku pun dia hon. Sikit punya kuat ke. Makin gemuruh aku dibuatnya. Kabus tu pulak makin aku lap, makin menjadi-jadi pulak tebalnya. Pelik betul. Mana datang? Maghrib masa tu. Bukannya tengah malam ke, subuh ke.

Sekali lagi aku baca ayat Kursi. Lepas tu aku hembus kat cermin. Kabus tu pecah. Masa tu aku ternampak seseorang berdiri kat tengah jalan.

“Allahu!”

Terus kaki pijak brek sampai rapat ke lantai kereta. Dua tangan pegang stereng sebab kereta aku dah berpusing-pusing. Bunyi tayar masa tu memang menyeramkan. Aku mengucap dua kalimah syahadah kuat-kuat sebab memang aku rasa aku nak jadi arwah dah maghrib tu. Kereta aku berpusing laju.

“Allah! Allah!” Aku jerit. Satu badan habis berpeluh. Takut kena langgar dengan kereta lain lagi.

Masa tengah panik tu, Tikah menjelma duduk sebelah aku. Hawau betullah. Terkejut aku dibuatnya. Terlepas kejap stereng kereta dari tangan aku sampai stereng kereta aku berpusing menggila. Dah bergegar-gegar macam nak tercabut je body kereta aku dibuatnya. Macam nak terbalik pun ada. Memang dia nak bvnvh aku ke apa ni?

Aku genggam balik stereng kereta sambil baca ayat Kursi dengan sekuat hati. Lagi kuat dia mengacau aku, lagi kuat aku tak nak mati. Tiba-tiba aku dengar bunyi benda patah. Kuat Ya Rabbi bunyinya. Serentak, kereta aku jadi senget.

“Allah!” Aku jerit lagi bila nampak percikan api kat belah yang senget tu. Bunyi besi tersagat kat jalan tar, mendatangkan ngilu. Tikah masa tu dah hilang. Memang spesis kawan sejatilah kau ni. Masa kawan susah, kau pun lari.

Kereta aku tak berpusing lagi dah tapi terseret sampai ke tepi, terus masuk ke dalam longkang. Aduh… lagi sejam nak sampai boleh eksiden pulak. Mujur takde kereta lain kat jalan raya masa tu.

Satu badan aku terhentak. Sakit-sakit semuanya. Mujur takde patah ke apa. Lepas nyalakan lampu hazard, pelan-pelan aku keluar dan terus rebah kat sebelah kereta. Termengah-mengah sedut oksigen. Aku syukur sangat aku selamat. Syukur sangat masih dipanjangkan umur.

Terketar-ketar tangan aku telefon Petak tapi line dia engaged. Aku telefon PLUSline. Engaged jugak. Telefon ibu. Pun engaged. Aku dah rasa lain. Lagi-lagi bila tengok jalan tu sunyi langsung takde kereta yang lalu.

Aku rasa ni semua Tikah yang punya kerja. Memang dia sengaja pedajal aku. Aku baca balik ayat Kursi dengan kuat. Lepas tu aku hembus kat telefon bimbit aku masa aku dail nombor telefon Petak. Engage lagi. Aku tak putus asa. Aku baca lagi dan hembus ayat Kursi tu kat telefon sambil minta tolong kat Allah dalam hati. Lepas banyak kali aku buat macam tu, baru dengar nada dering.

“Sampai mana dah?” tanya Petak. Dah menggelupur kebuluranlah tu dia.

“Aku eksiden ni.”

“Biar betul!”

“Takkan aku nak tipu pulak!” Naik angin pulak aku dengar cakap dia. Takkan benda-benda macam tu pun aku nak bergurau.

“Sorry. Sorry. Kat mana kau sekarang?” tanya Petak.

Aku bagi tahu dia kat kilometer mana aku eksiden.

“Kau okey ke? Boleh gerak tak?”

“Mana boleh. Tayar kereta aku patah. Tikah punya kerja kau tahu tak. Dia diri kat tengah jalan. Aku brek mengejut. Berpusing-pusing kereta aku dibuatnya. Kurang ajar betina sekor tu!” Aku mengadu kat Petak.

“Hawau!” Petak menyumpah. “Aku datang sekarang. Kau dah call PLUSline?”

“Dah telefon tadi. Engaged. Kejap lagi aku nak telefon Abang Majid suruh tarik kereta aku.”

“Okey. Kau tunggu situ. Aku datang sekarang.”

‘Yalah. Aku nak tunggu kat mana lagi? Kereta tak boleh gerak kut,’ kata aku. Cakap dalam hati je. Cakap kuat-kuat karang, Petak merajuk pulak. Naya je aku kalau dia tak nak tolong aku.

Terdengkot-dengkot aku pergi periksa tayar depan belah kiri. Terpeleot tayar tu. Memang patah. Melayang lagi duit aku bulan ni. Sejak Tikah hadir dalam hidup aku, dalam bulan ni je dah beratus-ratus duit aku terbang. High maintenance punya hantu!

Aku masuk balik ke dalam kereta sebab tetiba je aku rasa seram sejuk berdiri kat luar. Aku telefon Abang Majid. Dia ni kalau nak servis kereta ke, buat wheel alignment ke, balancing ke, kereta rosak ke, kita orang hantar kat bengkel dia je sebab dia senang kira. Servis pulak tip-top. Memang puas hatilah.

Kali pertama aku dail nombor telefon Abang Majid, jadi macam tadi. Engaged. Aku baca ayat Kursi macam yang aku buat masa nak telefon Petak tadi. Lama-lama baru dengar bunyi nada dering.

“Kau apahal main-main telefon pulak ni, Mohsin!” marah Abang Majid.

“Mana ada saya main-main, bang?” Sedih aku. Dahlah eksiden, kena marah pulak.

“Tadi tu apa? Kau ingat aku takde kerja lain ke nak layan prank kau? Dah orang angkat tu, cakaplah elok-elok. Gelak-gelak pulak.” Abang Majid bagi aku sedas.

Telan liur aku bila dengar Abang Majid cakap macam tu. Mesti Tikah punya angkara. Hawau kau, Tikah!

Aku bagi tahu Abang Majid aku eksiden kat sekian-sekian kilometer.

“Tempat keras tu!” kata Abang Majid. “Kau okey ke?”

“Okey. Kereta je tayar patah.”

“Tayar kereta boleh patah ke, Sin?”

“Hawau!” kata aku. Mentang-mentang aku tak tahu sangat pasal kereta.

Abang Majid gelakkan aku. Nak ambil hati aku baliklah tu.

“Boleh datang tak, bang? Petak dah on the way.”

“Okey, okey. Aku datang.”

“Sekarang ya, bang.”

“Demand pulak dia.”

“Tolonglah, Bang Majid.” Aku betul-betul terdesak. Tak nak aku duduk lama-lama kat situ.

“Yalah! Aku datang sekarang.” Abang Majid gelakkan aku sekali lagi. Masa tu terlintas dalam fikiran, betul ke Abang Majid yang bercakap dengan aku ni. Asyik tergelak-gelak je, tak macam perangai dia langsung. Entah-entah si Tikah menyamar. Sekali lagi aku tekan nombor telefon Abang Majid tapi tak jadi tekan Call. Isy, tak berani aku.

Masa tunggu Petak dan Abang Majid sampai, satu kereta pun tak lalu kat jalan tu. Aku mula rasa pelik semacam. Macam tak lojiklah pulak jalan tu sunyi. Selalu kat situ dah mula sibuk. Tersalah masuk jalan ke apa aku ni?

Aku pernah dengar cerita orang tersalah masuk jalan masa lalu kat highway tu. Entah macam mana dia boleh termasuk ke kampung bunian. Dia kata jalan yang dia ambil tu memang sunyi dan sempit. Memang takde kereta lalu. Sampai dia terpaksa azan banyak kali, baru jumpa balik lebuh raya.

Tapi aku masih kat lebuh raya. Jalan tak sempit tapi sunyi je. Tikah tutup mata aku ke supaya aku tak nampak kereta lain? Habis tu kereta lain nampak aku ke tak ni?

“Huuuuuu… huuuuuu…”

Suara orang menangis bergaung kat dalam kereta. Sepantas kilat aku toleh ke belakang. Takde siapa kat situ. Tempat duduk belakang kosong. Aku toleh ke tingkap sebelah aku pulak.

“Allah!”

Tersedak aku bila tengok muka Tikah menempel kat cermin tingkap aku. Dengan rambut panjangnya. Dengan muka berdarah-darah. Dia pandang aku tanpa perasaan.

Terkumat-kamit mulut aku baca ayat Kursi. Tikah tinggalkan cermin tingkap aku. Dia pergi ke depan kereta aku pulak. Dia tawaf kereta aku sambil menangis. Gila apa hantu betina ni pun aku tak tahu. Aku buka handphone nak telefon Petak. Tengok takde servis.

“Semua ni jadi dengan tiba-tiba. Takde niat langsung nak sakitkan hati kau,” kata Atikah, berselang tangisan dia. Entah apa benda yang dia meracau. “Kau tak boleh salahkan aku sorang. Tepuk sebelah tangan takkan berbunyi.”

Tikah terus tawaf kereta aku. Suara dia menusuk-nusuk gegendang telinga aku. Malas nak tengok lakonan teater dia, aku azan.

“Allahuakbar Allahuakbar! Allahuakbar Allahuakbar…”

“Kau pun salah. Kau kena sedar, semua ni terjadi sebab kau!” Tikah menjerit marah. Habis digegarnya kereta aku. Aku terus azan sambil pejam mata. Siap angkat tangan kat telinga.

“Asyhadu allaila hailallah…”

Tak tahulah berapa kali aku azan tapi memang banyak kali. Sambil azan tu dalam hati aku minta pertolongan Allah. Lama-lama aku tak dengar dah suara Tikah. Aku dengar bunyi enjin dan hon kereta. Bila aku buka mata, aku tengok Tikah dah hilang. Kereta bertali arus memintas kereta aku. Alhamdulillah aku dah boleh nampak kereta kat lebuh raya tu. Tapi takde sebuah pun yang berhenti tolong aku. Dia orang hon memanjang je. Aku syak masih ada benda yang tak kena, jadi aku terus azan tak berhenti-henti.

Tuk! Tuk! Tuk!

Berani-berani takut aku pandang ke tingkap. Aku expect Tikah tetapi muka Petak yang menempel kat situ. Dia sengih je pandang aku. Keluar kereta, terus aku peluk dia.

“Woi! Sila mengucap panjang-panjang!” Petak tolak aku jauh-jauh. “Kau okey ke?” Petak perhati keliling. Cari Tikah kut.

“Okey. Aku rasa dia nak bvnvh aku.” Aku bagi tahu Petak.

Tapi Petak tak cakap apa-apa. Dia pandang aku semacam je. Macam dapat tangkap je maksud renungan dia tu, aku pun mengangguk.

“Ustaz yang ibu kata power tu, nampaknya tak mampu lawan power dia,” kata aku lagi dengan penuh kesal. Penat aku drive balik kampung, hasilnya takde.

“Erm… bukan ustaz tu tak power. Aku rasa belum sampai masa kau berpisah dengan dia,” kata Petak. “Tak payah cakap apa-apa lagi dah. Balik rumah karang kita sembang panjang. Tempat ni orang kata keras derrr…” Sekali lagi Petak pandang keliling. “Kau dah call Abang Majid?”

“Dah.”

Tak lama lepas tu Abang Majid pun sampai dengan lori penunda dia. Dia tak cakap banyak. Tanya khabar aku dan bagi tahu aku prosedur nak klaim insurans. Lepas tu dia terus tarik kereta aku bawa balik ke Shah Alam. Keras sangat kut tempat tu sampai Abang Majid yang macho tu pun tak berani cakap lebih-lebih.

Aku naik kereta Petak. Kami tak bercakap satu patah pun. Dua-dua stres takut Tikah menyerang lagi. Lepas buat report polis, kita orang terus ke Warung Tok Minah. Mujur warung tu buka lagi. Perut aku dah berkeroncong sangat ni.

“Betul ke kau dah jumpa Hamid?” Aku tanya kat Petak lepas Budin ambil order. Masa tu tiba-tiba je Tikah menjelma. Nilah dia hantu yang nak bvnvh aku tadi. Patutnya aku marah kat dia. Benci, menyampah, meluat semua kat dia. Tapi aku tetap nak tolong dia. Dah peribadi khalifah macam tu. Nak buat macam mana kan?

Agaknya dia dengar aku sebut nama Hamid, tu yang dan-dan dia tunjuk diri, duduk kat meja hujung. Kebetulan masa tu aku memang tengah pandang meja tu. Terkejut Ya Rabbi bila tiba-tiba je nampak dia muncul.

“Yup. Admin grup universiti lama dia balas mesej aku. Aku suruh dia sampaikan mesej aku kat Hamid. Aku bagi nombor telefon aku, suruh Hamid call aku. Petang tadi dia call. Kau takkan percaya kat mana dia tinggal sekarang.”

“Kat mana?” Masa aku tanya soalan ni, Tikah ghaib. Lepas tu tiba-tiba je dia berdiri kat sebelah Petak. Dia punya renungan, kalau aku bagi tahu kat Petak, mesti tak cukup tanah Petak lari.

“Kat sini.” Muka Petak sangat bangga masa dia jawab soalan aku. Tak tahunya dia Tikah tengah tenung dia. “Rumah dia kat Seksyen 20,” kata Petak lagi.

“Ya Rabbi…”

“Yup! Aku tak sabar nak bagi tahu kat Tok Minah.” Petak menoleh pandang Tok Minah. Kebetulan masa tu Tok Minah tengah berlenggang menuju ke meja kami membawa minuman yang kami pesan. Bila nampak mak tok dia datang, Tikah terus ghaib. Dia duduk balik kat meja hujung.

“Ejah dah jumpa Hamid,” kata Tok Minah sambil letak air yang kami oder kat atas meja. Bagi salam apa pun tak, dia terus tembak je. “Ejah tahu Hamid ada kat mana.”

“Dia jumpa kat mana?” tanya Petak. Muka dia ada sikit kecewa sebab Tok Minah dah tahu longitud dan latitud si Hamid.

“Belum jumpa lagi. Hamid baru mesej dia. Kejap lagi mak tok suruh Ejah cerita.” Tok Minah minta diri, terburu-buru kembali ke kaunter tempat dia jadi penunggu. Ada orang nak bayar duit makanan.

“Hamid cakap apa masa kau bagi tahu pasal Atikah?” tanya aku, nak kurangkan kekecewaan Petak.

“Dia terkejut. Dia cakap Tikah dah lama meninggal. Kalau aku jadi dia pun aku terkejut. Dah sepuluh tahun kut. Tiba-tiba je nama naik balik.” Petak hirup teh panas yang Tok Minah hantar tadi. “Aku bagi tahu kau nak jumpa dia. Dia tak bagi jawapan lagi. Dia kata nanti dia call balik.”

“Kau rasa dia berani ke datang jumpa kita?” Aku takut Hamid lari je. Kalau dia bersalah, mesti dia rasa takut. Yalah, macam Petak cakap tadi. Tiba-tiba je nama naik balik.

“Kita tunggu ajelah.”

Makanan yang kita orang oder pun sampai. Masa tengah menjamu selera tu, Azizah dan Tok Minah datang ke meja kami.

“Esok malam abang berdua free tak?” tanya Azizah.

“Kenapa?” tanya aku tanpa pandang dia. Tak angkat muka langsung sebab nasi paprik daging dia cenggini hah! Terbaik!

“Abang Hamid. Saya dah jumpa dia. Dia tinggal kat Seksyen 20. Dia kata malam esok dia nak datang ke sini,” jawab Azizah.

“Pukul berapa?” tanya aku sambil pandang Petak. Berdebar-debar hati aku dengar cakap Azizah.

“Saya suruh dia datang pukul 9.00 malam. Takpe ke?”

“Haa… okeylah. Pukul sembilan.”

Malam esoknya, lepas Isyak kami terus ke Warung Tok Minah. Tunggu punya tunggu, dekat jam 10 malam baru Hamid sampai. Pengamal janji Melayu betul mamat ni. Aku dah putus asa dah masa tu. Aku yakin dia takkan datang. Tak sangka berani jugak dia tunjuk muka. Tapi muka orang kena paksa datanglah. Tak happy langsung. Agaknya dia berperang dengan diri sendiri masa kat rumah tadi. Nak datang ke tak, dia fikir. Tu yang lambat tu.

Aku expect Hamid ni sebaya dengan aku, Petak atau Tikah. Tak sangka dah masuk 40 tahun umur dia. Aku terlupa hantu Tikah tu versi umur dia mati dulu. Sebab tu dia masih muda.

Masa Hamid sampai tu, aku nampak Tikah terintai-intai dari belakang kereta orang. Lepas Hamid duduk, tiba-tiba je dia muncul di sebelah Hamid. Dia pakai muka cantik dia. Siap bertudung bagai. Kemain manis bergaya lagi dia. Tikah tenung muka Hamid lama-lama. Lepas tu dia senyum. Memang dia orang ni bercinta dulu. Tak syak lagi.

Lepas bersalam-salam dan perkenalkan diri, aku terus tanya soalan yang aku dah sediakan sejak siang tadi pada Hamid. Siap tulis kat kertas lagi soalan-soalan tu. Mengalahkan reporter dah aku malam tu.

“Bang, saya nak mintak maaf awal-awal kalau soalan-soalan saya buat abang tersinggung.” Terus terang aku cakap.

Hamid nampak takut. Aku lagilah takut tengok muka Tikah masa tu. Merah menyala mata dia pandang aku. Tiba-tiba je naik hantu. Eh, dia memang hantu pun.

“Abang dulu bercinta dengan Tikah kan?” soalku. Sangka aku, Hamid akan jawab soalan aku tanpa banyak songeh. Tapi aku silap.

“Kenapa bangkitkan balik cerita lama ni?” tanya Hamid. Dah macam cacing kepanasan je dia aku tengok.

“Maknanya, betullah abang bercinta dengan Tikah dulu.” Aku pandang muka dia.

“Tak. Kami tak bercinta pun.” Hamid menafikan. Tikah terus pandang Hamid semula. Muka dia nampak kecewa. “Saya tak faham kenapa benda ni nak disebut balik. Atikah pun dah takde.” Kalaulah dia tahu Atikah ada kat sebelah dia, tengah tenung dia masa tu, tak cukup tanah kut Bang Hamid lari.

“Siapa yang bagi tahu kat abang Tikah pergi berkelah kat Templer Park tu?” Aku tak mempedulikan bantahan dia.

“Atikahlah yang bagi tahu. Siapa lagi,” jawab Hamid.

“Kenapa dulu abang cakap anak murid yang bagi tahu kat abang?” tanya aku lagi.

“Masa bila?” Hamid mengerutkan kening.

“Abang takde cakap kat mak tok, yang anak murid abang bagi tahu kat abang, yang Tikah pergi berkelah ke Templer Park, masa hari dia meninggal tu?” Ceh! Tiba-tiba je Tok Minah jadi mak tok aku. “Abang ingat tak abang sampai sini malam. Lepas bagi tahu mak tok info terbaru tu, abang terus bawa mak tok ke balai polis. Abang ingat tak?”

Hamid terkulat-kulat. Kedut kat dahi dia pun dah makin bertingkat-tingkat. Dari air muka dia aku tahu dia ingat.

“Dia pergi dengan siapa, bang?” tekan aku lagi.

“Mana aku tahu!” Dah kasar suara Hamid. Dia nak marah kenapa? Apa yang dia sorok?

“Siapa bawa dia ke sana? Abang ke?”

“Bukan aku!”

“Habis tu siapa?”

Hamid buka mulut tapi tak jadi meneruskan cakap dia. Masa tu aku tengok mata Tikah dah terbeliak. Pelik aku tengok muka dia. Macam muka orang ternampak hantu je.

“Dia pergi dengan siapa, bang?” desak aku.

“Apa masalah kau ni? Benda dah lepas. Tak payahlah ungkit-ungkit lagi. Sian kat Atikah. Tak tenteram roh dia nanti.” Hamid bagi alasan klise.

“Sebenarnya, bang. Kita orang bangkitkan balik hal ni sebab roh Tikah tak tenteramlah. Dia macam suruh saya bongkarkan rahsia kematian dia. Kenapa agaknya ya, bang? Abang fikir kenapa? Dia nak bagi tahu mak tok siapa pembvnvh dia ke?” Aku menuntut jawapan.

“Ah! Jangan mengarutlah!” Pucat lesi terus muka Hamid. Dia tunduk. Tak berani pandang kami lagi dah.

“Kalau abang nak tahu, Tikah ada kat sebelah abang.”

“Korang ni dah kenapa? Takde kerja lain ke?” Hamid capai kunci kereta dia dari atas meja. Kemudian dia berdiri.

“Nanti dulu, bang.” Aku pegang tangan dia. “Duduk dulu.”

Aku tunggu sampai Hamid duduk semula, baru aku bersuara.

“Kalau abang tak percaya cakap saya, abang tanya saya soalan yang abang dengan Tikah berdua je tahu.” Aku cabar dia. Terkebil-kebil dia pandang muka aku.

“15 September, 2001,” kata Tikah kat aku. “Tanya dia apa jadi pada hari Sabtu, 15 September, 2001,” ulang Tikah. Terus aku mengangguk.

“Apa jadi pada hari Sabtu, 15 September, 2001?” Aku lontarkan soalan tu pada Hamid.

Semakin pucat lesi muka dia.

“Apa jadi, bang? Masa tu ke abang bvnvh Tikah kat air terjun Templer Park tu?” Aku serkap jarang.

“Eh, bukanlah, Mohsin,” celah Tok Minah. “Tikah meninggal bulan April 2002.”

“So, apa jadi pada 15 September 2001 tu, bang?” Aku pandang Hamid semula.

“Tu antara aku dengan Atikah,” bentak Hamid.

“Jadi, abang percaya tak Tikah ada dengan kita sekarang?” soalku.

“Apa korang nak?” Hamid mengurut-urut dagunya.

“Siapa bvnvh Tikah, bang?” tanyaku lagi.

Hamid bersandar. Nafas lelah dilepaskan. Perlahan-lahan dia menggeleng.

“Abang tak tahu?” desakku.

“Tak tahu.” Sekali lagi Hamid menggeleng. Serabut aku tengok muka dia.

“Bukan abang ke pembvnvhnya?”

“Kan aku dah cakap tadi. Bukan aku yang bvnvh Atikah. Bukan!” Berkali-kali Hamid mengeluh.

“Habis tu siapa? Kenapa abang tak bagi mak tok buat post-mortem kat jenazah Tikah?” desak aku lagi.

“Kau salah orang. Bukan aku yang bvnvh Tikah. Bukan aku yang bawa dia ke Templer Park. Bukan aku!” Hamid bangun. Dia melangkah meninggalkan kami. Tikah mengekorinya.

“Bang!” panggil aku.

Hamid berhenti melangkah. Dia toleh ke belakang.

“Tikah ikut abang balik. Kalau dia kacau abang, feel free to call me.” Aku buat signal telofon dengan tangan aku.

Buat beberapa saat Hamid berdiri kat situ. Dia tenung je aku. Masa tu aku berharap sangat dinding degil dia akan runtuh dan dia akan ceritakan segala-galanya pada kami. Tapi sekali lagi aku tersalah tafsir. Hamid pusing dan terus ke kereta dia. Dia pergi dari situ bersama-sama Tikah!

Kami berbincanglah sekejap kat warung tu. Semuanya percaya bukan Hamid yang bvnvh Tikah. Aku seorang je yang 50-50. Kalau bukan dia pun, aku rasa dia tahu siapa yang bvnvh Tikah.

Balik ke rumah, Petak pagar rumah kami. Malam kedua terakhir. Malam esok selesailah. Petak terus masuk tidur lepas tu. Tapi mata aku tak mengantuk lagi. Jadi aku lepak kat depan tv. Nyalakan tv tapi aku tak tengok pun. Buang karan je.

Aku tak boleh keluarkan Hamid dari kepala otak aku. Jenuh aku fikir macam mana cara nak paksa dia mengaku perbuatan dia. Pening kepala aku fikir, sampai aku tertidur kat bangku panjang tu.

“Sin!” Bahu aku ditepuk-tepuk. “Sin!” Pipi aku pulak ditampar-tampar manja. “Sin!” Cuping telinga aku ditarik dengan kuat.

“Oih!” Terpisat-pisat aku pandang Petak.

“Hamid call. Dia panggil kita pergi ke rumah dia.”

“Hah?” Terduduk terus aku. Aku capai handphone aku dari atas meja. Bila aku cek, takde pun missed call daripada sesiapa.

“Oi, mamai! Dia call akulah.” Petak teleng-telengkan telefon bimbit dia. “Cepatlah. Pergi basuh air liur basi kau tu.”

Sepantas kilat aku berlari ke bilik air. Buang air kecil, mandi sikit, gosok gigi, lepas tu aku ke ruang tamu. Petak dah tunggu kat dalam kereta dia. Aku kunci pintu, lepas tu aku terus masuk ke dalam kereta.

Berpusing-pusing cari rumah Hamid. Akhirnya jumpa juga. Dah lalu dua kali kat depan rumah dia rupanya tadi. Gelap je rumah dia. Takde macam rumah orang yang tengah tunggu tetamu datang.

Masa kita orang sampai tu, sebuah lagi kereta sampai. Hati berdebar dah. Takut kena game dengan si Hamid. Kut dia upah gangster mana-mana belasah kami. Manalah tahu kan Hamid berdendam ke apa lepas kena soal siasat tadi. Dalam cahaya samar tu, kami nampak macam orang dalam kereta tu melambai kat kami. Kami tak balas. Tunggu dia orang keluar kereta dulu baru nak beramah mesra.

“Apahalnya dia panggil kita tengah-tengah malam buta ni?” Tok Minah keluar dari kereta. Fuh! Lega aku dibuatnya. Terus kami pergi dekat dia.

Azizah yang drive kereta tu. Budin jadi bodyguard. Suami Azizah takde pulak mengikut. Merajuk kut lepas kena marah dengan Tok Minah malam tu.

“Kami pun tak tahu, Tok Minah,” jawab Petak. “Gelap je rumah dia. Betul ke dia ni?” kata Petak lagi.

“Cer kamu telefon dia.” Tok Minah pandang keliling. Nampak sangat dia pun tak senang hati.

Petak telefon Hamid, bagi tahu yang kita orang dah ada kat depan rumah dia. Tak sampai seminit, lampu luar dinyalakan. Pintu depan terbuka. Hamid keluar. Muka dia pucat lesi.

“Masuk. Masuk.” Tergesa-gesa dia mengajak kami masuk ke dalam rumah dia. Tergesa-gesa kami pun masuk.

Seorang perempuan keluar dari dalam master bedroom. Senyuman dia pelik sangat. Cara dia pandang kita orang pun pelik. Aku tengok Hamid. Tubuh dia menggeletar. Takut-takut dia pandang perempuan tu.

“Dah ada semua?” kata perempuan tu. “Mak tok dah tak kenal saya ke?”

“Maya!” kata Tok Minah lepas berkerut-kerut dahi dia cuba mengecam perempuan tu.

“Bukan Maya, mak tok. Tikah ni.” Maya mendekati Tok Minah. Dipeluknya Tok Minah dengan erat. Tok Minah teragak-agak balas pelukan perempuan tu.

“Kau ke yang panggil kita orang, Tikah?” Aku beranikan diri bertanya.

“Yalah, Mohsin. Akulah yang panggil,” jawab Maya.

“Kenapa?”

Maya senyum pandang aku, lepas tu tiba-tiba je dia terjelepuk ke atas lantai. Nafas dia termengah-mengah. Dia pandang kami semua. Bila ternampak Hamid, terus dia bangun.

“Abang!” Maya menerpa ke arah Hamid.

Terpinga-pinga aku sekejap. Lepas beberapa saat menghadam situasi kat depan mata, lepas imbas sekali lalu gambar yang tergantung kat dinding, baru aku sedar yang Maya ni isteri si Hamid.

Tapi sebelum sempat Maya peluk Hamid, lelaki tu terus mencekik leher Maya dengan sebelah tangan. Maya berbunyi-bunyi pelik dah. Lidah dah terjulur keluar. Tercekik.

“Hamid!” Kami menjerit hampir serentak.

Hamid angkat tangan kiri dia, melarang kami mendekati. Aku rasa itu bukan Hamid lagi. Aku rasa Tikah dah masuk ke dalam tubuh badan Hamid. Aku bisik pada Petak, suruh Petak baca ayat Kursi. Masa aku tengah berbisik tu, Hamid menjeling pada aku sambil tersenyum sinis.

Hawau! Dia tahu.

“Bagi tahu dia orang semua, apa jadi pada malam 9 April 2002,” kata Hamid pada Maya. Dia lepaskan leher Maya supaya Maya boleh bercakap.

Maya pandang Hamid sambil memegang lehernya. Mukanya merah padam.

“Bagi tahu dia orang semua apa yang kau dan Saleha dah buat pada malam 9 April 2002!” Hamid menempeleng muka Maya sampai berdarah hidung dia.
Tapi Maya masih berdegil. Dia membatu sambil merenung Hamid dengan penuh benci.

“Aku bagi kau dua pilihan,” kata Hamid. “Kau bagi tahu dia orang apa yang kau dah buat kat aku atau aku humban anak kau kat air terjun tu!”

Maya masih membatu. Hamid naik berang. Atau aku patut cakap Tikah yang naik berang. Tapi aku guna Hamidlah senang. Hamid naik berang. Dia melangkah ke arah bilik tidur. Masa tu Maya terus rebah dan peluk kaki Hamid.

“Tolong, Tikah! Tolong jangan apa-apakan anak aku,” rayu Maya.

“Cerita pada dia orang!” kata Hamid. Suaranya menakutkan.

Terketar-ketar Maya bercerita. “Tahun 2001, Hamid bertunang dengan Saleha. Tapi pada masa yang sama, dia senyap-senyap main cinta dengan Tikah. Leha tak tahu. Saya pun tak tahu. Tapi Tikah tahu Leha dah bertunang dengan Hamid. Tapi kenapa dia masih kacau Hamid? Leha kawan baik dia. Sanggup dia buat Leha macam tu!

Satu hari tu tiba-tiba je Hamid putuskan pertunangan dengan Leha. Alasan dia, dia mati pucuk. Leha tak puas hati jadi dia siasat. Leha dapat tahu rupanya Hamid tengah merancang nak kahwin dengan Tikah sebab dia orang dah terlanjur. Tikah dah mengandung masa tu.”

“Allahu!” Tok Minah terjerit kecil.

“Jadi, petang 9 April tu kami ajak Tikah ke Templer Park. Kononnya saja jalan-jalan nak hilangkan stres. Kami naik sampai ke air terjun ketujuh. Masa kat atas tu kami bersemuka dengan dia. Mula-mula Tikah mintak maaf. Dia kata dia takde niat nak sakitkan hati Leha. Dia tak terfikir pun nak pikat Hamid. Benda tu jadi dengan tiba-tiba lepas dia dengan Hamid organise event kat universiti.

Leha maki dia. Tikah melawan balik. Dia cakap, kami tak boleh salahkan dia sorang. Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Lepas tu dengan bangga dia salahkan Leha hingga menyebabkan Hamid lari pada dia. Dia kata Leha terlalu pentingkan diri sendiri sampai tergamak abaikan Hamid. Padahal tunang ada kat depan mata. Sembang dengan tunang pun tak nak. Asyik berkepit ke hulu ke hilir dengan saya. Bila dengar Tikah cakap macam tu, Leha marah sangat. Terus dia tolak Tikah.”

Aku terkedu. Yang lain-lain pun sama. Membatu semuanya tak bergerak. Kami semua pandang Maya yang dah menekup mukanya. Menangis tersedu-sedu.

“Saya minta maaf, mak tok. Saya tak sempat selamatkan Tikah. Saya tak tahu Leha nak tolak dia. Semuanya jadi dengan pantas.” Maya memeluk kaki Tok Minah.

“Mana Saleha sekarang?” Hamid tarik bahu Maya. Sampai koyak baju Maya ditariknya. Muka Hamid semakin merah padam. “Mana Saleha sekarang?”

“Dia… dua tahun lepas tu dia bvnvh diri,” jawab Maya, terketar-ketar.

“Macam mana dia bvnvh diri? Macam mana?” desak Hamid.

“Dia telan ubat tidur.”

“Pengecut!” jerit Hamid. Leher Maya dicekiknya semula.

“Tikah!” Aku cuba mendekati Hamid. Aku tak sanggup tengok satu lagi nyawa melayang disebabkan dendam lama ni. “Dendam kau dah terbalas, Tikah. Saleha bvnvh kau. Allah cabut nyawa dia dengan cara paling keji. Paling hina. Dia bvnvh diri, Tikah. Roh dia takkan diterima oleh langit ataupun bumi sampai hari Kiamat. Roh dia takkan dihisab, Tikah. Masa hari pengadilan nanti, Allah terus humban dia ke dalam neraka. Pergilah kau balik, Tikah. Pergi kau ke tempat yang sepatutnya. Tenanglah kau kat sana,” pujuk aku.

“Anak aku…” Tikah meratap.

“Ya. Nanti kami uruskan.” Aku berjanji pada dia. “Aku, mak tok kau, Hamid, kami akan uruskan anak kau.”

“Mak tok janji, Tikah,” kata Tok Minah. “Pergilah balik, Tikah. Pergilah balik ke tempat kamu.”

Hamid mengangguk sebelum jatuh tersungkur. Suasana terasa bening.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

40 thoughts on “Awek Mata Bundar (Akhir)”

  1. Yeayyy…abis jugk citer ko dik…bes sngt..hakak mmg tunggu je citer ko.. wlaupon citer ini keciritan smpai brsmbung2…kn kn..

    Reply
  2. Kiranya roh Tikah tenteram la lepas dapat tahu siapa bunuh dia? Nasib baik nama dia Tikah bukan Attiqa macam nama aku. Hahaaa

    Reply
  3. Akhirnye abis gak… fuhh.. trbaik la abe kerambit… kipidap… tp kn nk taw gak pengurusan ank atikah tu mksud nye cmne… n lg satu si dahlia tu… ape citer die pas sume yg jadi kt die… hehehe… ke dlm proses mengayat n memujuk lg…

    Reply
  4. Akhirnya tamat juga hehe.. xsenang duduk nk tunggu sambungan.
    Knp Tikah tanya anak dia? Masa dia meninggal tu sekali dgn anak dlm perut kan

    Reply
  5. igtkan fs x update dh. sbb crta² latest x masuk inbox email. tapi, nice one abe. like finally, habis pun. tapi, sy sokong. ayatnya mcm tergantung. huhu

    Reply
  6. Aduhhh sedap gila cerita ni tapi mcm tgantung ending…ak jadi kt lu, dahlia amd the rest? Satu kali lagi laa last episode plisss

    Reply

Leave a Comment