Assalamualaikum dan terima kasih kerana membaca cerita ini jika ia disiarkan. Cerita ini mungkin nampak biasa, tak lah seram mana pun, tapi percayalah… ia mengubah semuanya dalam hidup aku. Apa yang berlaku malam itu meninggalkan kesan yang aku sendiri susah nak jelaskan, dan dari situ aku mula melihat dunia dengan cara yang lain lebih berhati-hati, lebih rasa, dan lebih… waspada.
Nama aku Arya. Sekarang aku dah besar dan bekerja, hidup macam orang dewasa biasa bangun pagi, pergi kerja, balik rumah, rutin yang sama setiap hari. Tapi walaupun dah dewasa, aku masih rasa ada sesuatu yang orang lain tak nampak dalam diri aku. Perkara kecil boleh buat aku resah, sunyi boleh buat aku rasa… ada sesuatu mengintai. Aku jarang kongsi benda ni dengan sesiapa, sebab aku tahu nanti orang akan kata aku mengada atau terlalu sensitif. Tapi itulah aku,cara aku melihat dunia.
Semua ni sebenarnya bermula bila aku ada masalah di tempat kerja. Tekanan tu datang tanpa henti,fikiran aku penuh, dada rasa sempit, dan setiap kali aku baring, mata aku tak mampu terpejam. Selama tiga malam berturut-turut, aku tak tidur langsung. Badan aku penat, tapi kepala aku tak berhenti berfikir. Hati aku penuh dengan marah dan dendam terhadap orang yang buat masalah dengan aku. Setiap kata, setiap perbuatan mereka berulang dalam kepala aku, membuat dada aku panas dan nafas aku tersangkut. Aku cuba pujuk diri supaya lepaskan, tapi perasaan tu terlalu kuat, seperti racun yang perlahan-lahan menguasai aku.
Pada hari keempat, aku rasa aku dah tak mampu duduk diam. Badan aku minta rehat, tapi fikiran yang dipenuhi dendam tu minta lari. Jadi aku keluar, naik kereta tanpa tujuan yang jelas. Aku pandu ikut jalan yang sunyi, tepi sungai yang airnya gelap dan tenang, lalu kawasan resort lama yang dah lama ditinggalkan, bangunan usang dan sunyi sepi. Aku fikir, mungkin dengan keluar sebentar, aku boleh lepaskan semua tekanan dan dendam dalam kepala aku, walaupun sekejap. Tapi aku tak tahu waktu itu, perjalanan ringkas melalui kawasan sunyi itulah yang membuka jalan kepada sesuatu yang aku tak pernah jangka.
Dalam mimpi itu, aku keluar jalan naik kereta macam petang tadi, tapi kali ini… aku tak sorang. Adik aku ikut sekali, duduk di sebelah, tapi dia diam je tak banyak cakap. Aku pandu ikut jalan tepi sungai yang gelap dan sunyi, lalu kawasan resort lama yang dah lama ditinggalkan. Angin sejuk menerpa muka, daun-daun bergesel macam bisik-bisik, dan suasana sunyi itu buat dada aku rasa tegang. Tiba-tiba, sewaktu aku memandu perlahan dekat kawasan sungai tu, aku terasa kereta terlanggar sesuatu. Aku buat tak tahu je, terus pandu balik rumah tanpa sempat tengok sekeliling. Rasa pelik tu masih melekat dalam fikiran aku, tapi aku cuba abaikan, fokus je nak sampai rumah dengan selamat.Aku duduk depan TV di rumah bersama adik-beradik lain, cuba lupakan rasa pelik sepanjang perjalanan tadi. Kami tonton rancangan kartun, ketawa sikit, tapi hati aku masih berat.
Tiba-tiba, abah balik. Muka dia serius, terus cakap pada kami, “Mari ikut abah ke rumah NekSah sekarang.” Tanpa banyak soal, abah tarik aku dan adik aku ke kereta, menuju ke rumah nenek sepupu, yang hanya kira-kira 50 meter dari sungai tempat aku terlanggar tadi. Sepanjang perjalanan, aku cuma diam, mata pandang luar tingkap, dan rasa pelik itu terus melekat seolah-olah sesuatu menunggu di tepi sungai, walaupun airnya nampak tenang.
Setibanya di rumah NekSah, suasana terasa lain daripada biasa. NekSah pandai berubat, dan dia minta kami mandi dengan air kunyit berserta beberapa batu sungai katanya, ini untuk elakkan daripada berlaku benda yang tak elok kepada kami. Aku ikut saja arahan dia, walaupun hati masih rasa berat dan penuh rasa pelik.Sebelum abah balik ambik kami, NekSah sempat jumpa abah. Dia nampak tak sedap hati pasal aku dan adik, dan terus minta abah bawak kami berdua jumpa dia.
Selepas selesai mandi, ketika kami nak keluar, aku ternampak sesuatu yang buat jantung aku hampir berhenti. Dari satu bilik, ada bayang hitam pelik yang bergerak perlahan, seolah-olah memerhati kami. Rasa seram tu lebih kuat bila aku dapat tangkap bayang itu cuba tarik adik aku. Tanpa fikir panjang, aku cepat-cepat pegang tangan adik dan tarik dia keluar, sambil langkah aku jadi laju,hati penuh takut tapi juga lega bila berjaya menjauhkan diri dari bayang itu.
Rupanya, perasaan lega aku tu sekejap je. Lepas keluar dari rumah, aku perasan… benda itu ikut sama ketika kami keluar. Terbang ke atas langit , tapi entah bila, ia hilang. Aku cuba tenangkan diri, tapi tiba-tiba, dari hujung telinga, aku terdengar suara perempuan yang lembut tapi tegas berkata, “TOLONG HANTARKAN AKU PULANG.”Aku terkejut, jantung berdegup laju, terus pandang muka NekSah, adik, dan mak abah aku. Wajah mereka sedikit sedih bila aku cuba jelaskan bahawa ada seseorang meminta aku menghantarnya pulang. Tiba-tiba adik aku berlari ke arah aku, pandang aku dengan mata serius, dan berkata, “Dia pilih kau, kak, untuk menghantarnya pulang. Tiada orang lain yang boleh lakukan.”Aku cuba menafikan, tak percaya, tapi NekSah hanya mengangguk menegaskan kata-kata adik aku. Perlahan-lahan, aku mula faham. Tak lama kemudian, ketakutan dan tekanan yang aku simpan selama ini meletup… dan aku menangis sepuas-puasnya, rasa takut yang begitu dalam sebab kini tanggungjawab ini berada di bahu aku.
Ritual untuk menghantar benda itu dibuat di sungai. NekSah beritahu, alam mereka berada di antara sungai-sungai, sebab itu aku perlu menaiki bot untuk menghantarnya pulang. Waktu aku dibawa ke arah bot, kaki aku menggigil dan air mata aku tak berhenti jatuh. Aku pandang mak aku lama-lama, kemudian peluk dia sekuat hati. Aku minta maaf berkali-kali kalau selama ni aku banyak buat salah, kalau aku banyak menyusahkan, kalau ini mungkin kali terakhir aku dapat peluk dia. Tangisan mak aku makin kuat, suasana jadi hiba, sunyi sungai seolah-olah ikut dengar.
Sebelum aku naik bot, NekSah mendekat dan berbisik perlahan dekat telinga aku, katanya aku akan merasa naik bot itu dua kali. Aku pandang dia, cuba faham maksud ayat tu, tapi kepala aku kosong antara faham dan tak faham. Dalam keadaan takut dan keliru, aku cuma angguk dan iyakan saja apa yang dia sampaikan.Dengan suara terketar-ketar, aku sempat tanya NekSah macam mana kalau aku tak dapat balik ke dunia aku yang sebenar. Soalan tu buat mak aku terus meraung, badan dia lemah dipegang abah. Tapi NekSah cuma tenang. Dia pandang aku lama, kemudian berkata perlahan, “Kita hanya berserah dekat Tuhan apa nak jadi selepas ini.” Ayat tu ringkas, tapi beratnya jatuh tepat ke dada aku dan pada saat itu, aku sedar… tak semua perkara dalam hidup ni kita boleh pilih penghujungnya.
Bot pertama itu bergerak perlahan pada mulanya, kemudian tiba-tiba meluncur dengan laju, memecah permukaan air sungai. Angin kuat menampar muka aku, tapi tak lama lepas itu, satu rasa ngantuk yang berat datang mendadak. Kelopak mata aku jadi terlalu berat untuk ditahan. Aku cuba lawan, tapi akhirnya aku tertidur juga. Dalam separa sedar itu, aku cuma sempat rasa bot aku karam air sejuk menyelubungi badan aku dan semuanya jadi gelap.
Bila aku buka mata semula, keadaannya macam kembali ke saat bot baru nak bergerak, cuma kali ini… semuanya senyap. Tak ada lagi suara tangisan, tak ada bunyi bising, hanya bunyi air yang tenang. Bot aku meluncur dengan laju, terasa ringan, hampir macam nak terbang. Tiba-tiba, aku memasuki satu kawasan berkabus. Pandangan jadi samar, tapi hati aku jadi pelik tenang tanpa sebab.Bila kabus itu mula menipis, aku nampak ada beberapa orang duduk di tepi-tepi sungai. Mereka diam, wajah mereka sukar dibaca, seolah-olah sudah lama berada di situ.
Tak lama kemudian, bot itu berhenti sendiri di hadapan sebuah rumah. Rumah itu kelihatan seperti rumah kampung, tapi bersih, tersusun, dan terlalu… sempurna. Bila aku melangkah ke rumah itu, aku disambut oleh seorang lelaki dan seorang perempuan cantik. Hati aku berdebar, tapi aku mengumpul keberanian dan dengan perlahan menaiki tangga rumah mereka, berani memasuki ruang yang penuh misteri itu.
Masuk ke dalam rumah itu, aku mula dapat rasa… aku sebenarnya berada di rumah ketua kampung. Lelaki yang menyambut aku tadi, dengan wajah serius dan berserban, memang nampak seperti penghulu kampung. Perempuan cantik itu pula menyambut aku dengan lemah lembut. Cara tutur kata dia baik dan menenangkan, tapi aku pelik benda yang suruh aku hantarkan tadi langsung tak nampak.
Perempuan cantik itu kemudian menghulurkan sesuatu dalam dulang besar. Dalam dulang tu, ada benda pelik perempuan cantik itu sendiri siap menyuapkan aku. Dia pesan dengan suara lembut tapi tegas, “Ku mahu kamu menerimanya. Ingat, kamu harus menelan segala galanya, jangan sesekali kamu mengunyahnya.”Aku cuba menerima, tapi pada mulanya tak dapat telan sebab benda tu besar sangat. Aku cakap pada dia, tak boleh. Perempuan cantik itu pandang lelaki tu, lelaki tu mengangguk perlahan. Kemudian perempuan itu berkata, “Takpe, dia bagi yang kecil saja.”Aku pun rela menerima, dan perlahan-lahan memasukkan benda itu ke dalam mulut. Tiba-tiba lelaki itu bersuara dengan tenang tapi tegas, “Ingat, selepas ni jika mahukan pertolongan, bagitahu sahaja. Dia akan membantu.”Sejurus itu, aku terus dapat menelan benda itu, dan tiba-tiba tersedar dari mimpi. Rasanya macam baru telan sesuatu, tekak terasa tersedak dan sakit. Sakit tekak tu berlarutan selama tiga hari sebelum hilang sepenuhnya….
Sejak kejadian itu, hidup aku mula berubah perlahan-lahan. Aku sedar, aku tak lagi boleh bercakap sesuka hati atau bertindak ikut emosi. Setiap kata-kata dan tingkah laku aku seolah-olah perlu dijaga. Aku dipaksa untuk lebih bersabar dan menahan amarah, walaupun hati sering memberontak.Pernah sekali, di tempat kerja, seorang rakan melakukan sesuatu yang aku memang tak suka. Tanpa sedar, aku jadi marah dan meluahkan kata-kata sendiri aku mengaku, dalam hati aku betul-betul tak menyukai dia dan terlintas keinginan supaya dia ditimpa sesuatu. Beberapa hari kemudian, dia tidak datang bekerja. Kami dimaklumkan dia demam dan tidak sihat selama seminggu.
Sejak itu, aku jadi takut. Aku mula tertanya-tanya… adakah kata-kata aku itu menjadi kenyataan? Perasaan bersalah dan cemas menghantui aku. Lama-kelamaan, aku sedar aku tiada pilihan selain membiasakan diri untuk bersabar, menahan diri daripada berkata buruk, dan tidak menyakiti sesiapa kerana aku sendiri tidak tahu sejauh mana kata-kata aku boleh memberi kesan.Sehingga hari ini, aku masih hidup seperti biasa, tapi tidak lagi sama. Aku belajar untuk menjaga kata-kata, menahan amarah, dan lebih berhati-hati dengan apa yang terlintas di hati. Kerana aku tahu, ada perkara yang pernah aku lalui dan aku tidak mahu ia berulang lagi.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit