Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Hari ini aku hendak berkongsi kisah benar yang aku sendiri alami. Aku ingin memohon maaf kepada semua sekiranya kisah yang aku cuba untuk kongsikan ini tidak seram. Terima kasih banyak2 kalau cerita ini diterima oleh admin FS. Dengarkan kisahnya.
Sebenarnya aku sendiri pun tidak ingat bila kejadian ini berlaku. Satu perkara yang aku ingat adalah waktu itu aku sudah pun habis sekolah, cuma tidak pasti sama ada waktu itu waktu aku habis matrikulasi atau sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM. Kejadian ini berlaku ketika aku berada di rumah dengan ibu aku dan adik – adik aku. Adik aku yang lelaki masih lagi berada di sekolah rendah manakala adik bongsu aku masih kecil. Ayah aku dan adik lelaki aku yang lagi seorang pula tiada di rumah kerana pulang ke kampung untuk menyiapkan rumah nenek aku di Kedah. Untuk pengetahuan semua, rumah kami terletak di negeri Selangor.
Malam itu, mak cik aku yang tinggal di Kuala Lumpur datang melawat kami di rumah. Mak cik aku bermalam di rumah anaknya yang tidak jauh dari rumah kami kerana hendak menjaga menantu yang sedang menunggu masa untuk bersalin. Menurut pengalaman mak cik aku, menantu dia sepatutnya sudah pun bersalin tetapi entah mengapa pintu rahim masih lagi belum terbuka seolah-olah ditahan- tahan. Waktu itu mak cik aku bergilir-gilir menjaga menantunya dengan besan yang tinggal berhampiran dengan rumah anaknya. Memandangkan malam itu giliran besannya untuk menjaga anaknya (menantu makcik aku), maka mak cik aku mengambil keputusan untuk datang ke rumah kami yang tidak jauh dari rumah anak menantunya dan menyuruh besannya menelefon sekiranya berlaku sesuatu.
Kami bersembang seperti biasa sambil menghirup kopi panas yang sememangnya menjadi kegemaran makcik aku. Sejujurnya makcik aku bukan sekadar datang untuk bersembang kosong sahaja tetapi hendak menemankan kami yang hanya perempuan sahaja di rumah. Kalaupun ada yang lelaki di rumah waktu itu cuma budak yang kudratnya tidak seberapa. Sepanjang makcik aku tinggal di rumah anaknya, hampir setiap malam makcik aku akan datang untuk temankan kami kerana bimbangkan keselamatan kami. Malam itu merupakan hari yang ketiga mak cik aku datang menyinggah di rumah kami.
Lewat malam itu, kira-kira jam 10 malam makcik aku meminta diri untuk pulang ke rumah anaknya. Setelah mak cik aku pulang, kami semua bersiap-siap untuk tidur malam itu. Aku dan adik aku tidur di ruang tamu bersebelahan dengan bilik stor, manakala ibu dan adik bongsu aku tidur di dalam bilik. Setelah selesai aku dan adik lelaki aku membentang tempat tidur, kami menutup semua lampu. Aku dan adik aku menadah tangan membaca doa tidur disusuli dengan ayat kursi dan bacaan surah 3-Qul. Setelah selesai bacaan tersebut, kami tiup tapak tangan kami sebelum menyapu ke seluruh badan kami. Perkara tersebut sudah menjadi rutin kami setiap hari sebelum masuk tidur.
Halaman rumah kami ini ada sebatang pokok mangga dan sebahagian daripada dahannya menjulur di atas bumbung rumah kami. Jadi, jika ada binatang yang meniti di atas dahan tersebut, kami semua boleh dengar kerana bunyi daun dan dahan tersebut yang berlaga dengan bumbung rumah kami. Kisahnya malam itu, semasa aku sedang cuba untuk melelapkan mata, tiba-tiba ada bunyi jeritan yang sangat pelik dan benda melompat-lompat di atas dahan pokok mangga tersebut. Bunyi itu seperti bunyi monyet menjerit tetapi seumur hidup aku, tak pernah aku mendengar monyet yang berbunyi seperti ini.
Bunyi itu sangat pelik dan sukar untuk aku gambarkan di sini. Aku yang belum terlelap berbisik sendirian, “Benda apa tu? Nak kata monyet bunyinya macam bukan monyet tapi kalau bukan monyet, apa?”. Gedegang! Gedegang! Gedegang! Bunyi jeritan itu berselang seli dengan bunyi dahan pokok mangga yang berlaga kuat dengan bumbung rumah akibat henjutan kuat makhluk tersebut. Waktu itu aku sudah dapat mengagak yang bunyi itu bukan daripada binatang tetapi daripada ‘benda’ tu. Pada aku, bunyi jeritan itu seperti mengilai tetapi dalam bentuk bunyi monyet yang tak pernah aku dengar sebelum ini. Bunyi itu menguasai segenap ruang di rumah kami dan membingitkan telinga aku memandangkan jarak tempat aku tidur dengan ‘benda’ itu tidaklah jauh, dalam 1 meter sahaja.
Aku malas hendak keluar kerana tidak mahu nyamuk masuk ke dalam kelambu. Aku memandang bilik ibu kerana aku tahu, ibu mesti dengar bunyi ini. Aku juga risau adik bongsu aku menangis meracau kerana adik bongsu aku sangat mudah terkena gangguan. Aku segera memandang adik lelaki aku dan melihat dia sudah pun lelap. Aneh fikirku kerana adik lelaki aku bukanlah jenis yang mudah terlelap. Walaubagaimanapun, aku berasa sedikit lega kerana adik lelaki aku itu penakut. Setelah beberapa ketika, bunyi itu berhenti. Aku merasakan mungkin ‘benda’ itu sudah pergi dan gangguan itu berhenti setakat itu sahaja, namun sangkaanku meleset.
Tidak lama kemudian, aku terdengar seperti bunyi benda berat jatuh di dalam bilik stor. Buk! Aku segera memalingkan kepala aku ke bilik stor tersebut. Aku khuatir kalau-kalau ada pencuri masuk kerana ada satu siling dalam bilik tersebut memang tidak bertutup. Aku tumpukan perhatian untuk mendengar sebarang bunyi pergerakan. Untuk seketika tiada bunyi aku dengar seolah-olah ‘benda’ itu tahu yang aku sedang memandang bilik tersebut. Aku tidak mengendahkan bunyi tersebut kerana sangkaku mungkin ada cicak tokek jatuh ke lantai memandangkan rumah aku memang banyak cicak itu berkeliaran. Aku segera memalingkan muka untuk tidur.
Tiba – tiba aku terdengar bunyi seperti sesuatu mencakar dalam bilik tersebut. Bunyi cakaran tersebut datang dari dinding bilik stor yakni dinding bilik yang terletak betul-betul di belakang aku. Bunyi itu sangat jelas dan mengilukan. Aku yang baring membelakangkan dinding itu terdiam. Ah sudah, dia main dalam rumah pulak! Aku hanya menyepikan diri. Dalam otak aku cuma berfikir, janganlah hendaknya ‘benda’ tu ‘mengilai’ dalam rumah macam di luar tadi. Aku tak sanggup hendak menadah telinga mendengar bunyi yang membingitkan telinga itu di sebelah aku. Hendak pusingkan badan pula aku tak cukup berani untuk berdepan dengan ‘dia’ jadi aku biarkan ‘dia’ dengan permainannya. Bunyi cakaran itu berulang 2-3 kali.
Kemudian suasana menjadi sepi semula. Tiba-tiba, aku terdengar bunyi bola getah yang menjadi permainan adik bongsu aku terjatuh ke lantai. Bola itu jatuh bergolek di atas lantai. “Dia main bola pulak!” fikirku. Bunyi cakaran dan bola bergolek itu berselang-seli seolah-olah ‘dia’ mahu mengajak aku untuk bermain. Dalam hati aku berbisik, “Lantaklah nak buat apa pun, jangan kacau aku sudah”. Sungguh waktu itu aku sedikit pun tidak merasa mengantuk mahupun takut. Aku sendiri tidak tahu mengapa. Akhirnya, gangguan bunyi itu berakhir namun aku masih berjaga-jaga sehinggakan aku tidak sedar pukul berapa aku tertidur.
Aku tersedar sebaik sahaja terdengar bunyi azan Subuh. Aku segera bangun membersihkan diri untuk solat. Selesai aku solat Subuh aku melihat ibuku sudah bangun dan menyiapkan sarapan. Aku kejutkan adik lelaki aku dan mengemas tempat tidur kami. Setelah aku selesai mengemas tempat tidur, aku bersarapan bersama ibu dan adik lelaki aku. Aku segera bertanya akan perihal malam tadi dan ibuku berkata dia juga terdengar bunyi yang sama. Adik lelaki aku pula terkejut mendengar cerita tersebut kerana dia sungguh-sungguh tidak dengar apa-apa. Ibuku berkata, mungkin ‘benda’ itu mengikut mak cik aku ketika dia menziarah kami malam tadi.
Menurut ibu juga, bunyi itu mungkin daripada jembalang hutan kerana jembalang hutan memang mempunyai rupa seperti mawas. Setelah kami selesai bersarapan, mak cik aku datang ke rumah untuk memberitahu bahawa menantunya selamat bersalin tengah malam tadi. Walaubagaimanapun menantunya serta bayi tersebut perlu dibawa ke Hospital Sungai Buloh kerana terdapat komplikasi berkaitan tentang bayi berada di dalam kandungan terlalu lama. Entah, aku sendiri pun tidak tahu – menahu sebab aku bukanlah arif dalam ilmu perubatan. Ibuku bercerita akan perihal hal malam tadi kepada mak cik aku. Mak cik aku terdiam setelah mendengar cerita gangguan yang kami terima malam tadi.
Mak cik aku kemudian membuat andaian yang kemungkinan menantunya tidak dapat bersalin kerana diganggu makhluk yang mengganggu kami malam tadi. Sebab itu menantu mak cik aku dapat bersalin sebaik sahaja ‘benda’ tu singgah di rumah kami. Malam itu, ayah dan adik lelaki aku sampai dari Kedah. Aku dan ibu berasa sedikit lega. Apapun, aku bersyukur kerana ‘benda’ itu hanya kacau sahaja dan bukan hendak memudaratkan kami. Pada aku, makhluk itu pun makhluk Allah juga yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia. Jadi, kita kena sentiasa ingat pada Allah dan memohon perlindungan dari-Nya.
Setakat ini sahaja cerita aku. Terima kasih kerana membaca kisah aku yang tak seberapa ini. Sebenarnya banyak lagi kisah mistik yang aku dan keluarga aku lalui terutamanya ibu aku. Ini antara yang aku sendiri lalui. Kalau ada masa, aku cerita lagi. Ok, bye.
– Nadeshiko –
- hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
seriuslah takde sapa komen?seram gak ni…nasib benda tu singgah….kang dia menetap lagi naya