“Sayang, abang pergi dulu ya.”
“Abang cintakan sayang seorang saja”
“Jaga anak kita elok-elok semasa abang bekerja diluar negeri ni tau sayang?”
“Cantik sungguh isteri abang.”
Itulah kata-kata terakhir yang aku ucapkan pada dia, si isteriku yang tercinta sebelum aku bertolak keluar pergi bekerja diluar negeri bersama kawan karibku, Arif. Tidak ku sangka perjalananku pada kali ini benar-benar membuatkan aku menjadi sedih dan sayu. Apakah dosa aku pada isteriku?
“Lan, sudah-sudahlah tu. Bawa bertenang. In Shaa Allah tak ada apa-apa yang berlaku.” pujuk Arif, cuba untuk menenangkan hati aku yang sedang galau pada ketika itu. Aku menjadi tidak keruan apabila aku menerima pesanan ringkas dari isteriku ketika aku sedang bekerja. “Kita cerai, saya tak mahu hubungan kita diteruskan lagi. Apa yang saya hasratkan telah pun tercapai. Terima kasih untuk anak ini yang bakal menjadi korban nanti.” begitulah pesanan ringkas yang isteriku hantarkan kepada aku. Perkara membuatkan aku menjadi terkejut. Berkali-kali aku cuba untuk membuat panggilan terhadap dia, namun, tiada jawapan yang aku terima. Jiran-jiranku pun sudah aku hubungi dan meminta bantuan dari mereka. Namun jawapan yang aku terima amatlah memeranjatkan. Mereka berkata bahawa semenjak aku keluar dari rumah itu, mereka semacam ada bau kemenyan, baunya sangat kuat dan ianya datang dari arah rumah aku. Aku menjadi bingung sebentar. Aku tidak memberitahu ahli keluarga kami lagi tentang hal ini, lebih baik aku pulang dahulu dan tanyakan sendiri pada dia, apakah yang dia maksudkan sebenarnya? “Arif, laju sikit boleh? Aku risaulah. Hati aku rasa tak sedap je ni.” pintaku pada Arif agar dia bisa membawa kenderaan dengan lebih laju lagi. “Awatnya? Kau sabaq, biaq lambat asaikan selamat.” balas Arif dalam nada bergurau. Walaupun aku berada di dalam keadaan yang cemas begini, namun dia masih lagi mampu untuk bergurau. Aku tahu niat dia itu baik, dia tidak ingin melihat aku serabutkan kepala otak dengan perkara-perkara sebegini.
“Mungkinlah, mungkin. Dia nak surprise kat kau kot?” sambung Arif lagi. Aku mengerutkan dahi aku menandakan aku tidak mengerti. “Cuba kau fikir, dalam minggu ni ada tak apa-apa tarikh istimewa antara kau dengan dia?” tambah Arif lagi dan membuatkan otak aku berselirat untuk berfikir. “Sekarang bulan Disemberkan? Mana ada apa-apa yang special. Birthday & anniversary dah lepas.” balas aku sambil berfikir jika aku ada buat apa-apa janji dengan dia pada minggu ini, tetapi hampa, kerana sememangnya aku tidak ada menjanjikan apa-apa pada isteri aku. “Mesej tu dia hantar macam mana? Cuba kau baca kasi full, apa sebab dia nak minta cerai pula dekat kau? Ada dia bagitau?” tanya Arif inginkan kepastian dan cuba untuk membantu aku yang sedang serabut pada saat itu. Selamatlah Arif ada bersama aku ketika itu, jika tidak sudah tentu aku hilang kewarasan dan tidak dapat mengawal emosi serta memandu terlalu laju, akhirnya masuk liang lahad bersama kereta. Sebentar tadi aku tidak memberitahu secara penuh isi kandungan pesanan ringkas dari isteri aku kepada Arif, disebabkan dialah kawan karib aku dan dialah kawan dunia akhirat buat aku. Aku terpaksa jujur dengan dia. Selepas aku memberitahu dia semua perkara, dia tanpa berfikir panjang terus memijak pedal minyak sehabis mungkin. Berdesup kereta kami laju ke depan, keadaan tersebut membuatkan aku jadi takut. Berkemungkinan jantung aku sudah tertinggal dikawasan rehat dan rawat Seremban. Aku cuba untuk menegur cara pemanduan Arif akan tetapi aku lihat wajah dia yang tadi selamba tiba-tiba berubah menjadi serius. Aku diam seribu bahasa, tidak berani aku untuk menanyakan sebarang soalan di dalam keadaan dia yang serius sebegitu.
“Kemenyan.” tiba-tiba perkataan itu keluar dari mulut Arif. Aku menjeling ke arah dia. Arif masih lagi menumpukan perhatian terhadap pemanduannya yang agak sedikit merbahaya itu. “Apa agaknya yang memotivatekan diri beliau untuk bawa kereta laju macam ni?” bisik aku di dalam hati. “Korban ek?” sambung Arif lagi. Kini di hati aku begitu membuak-buak perasaan ingin tahu, apa kaitan semua perkataan yang dia sebut tu dengan bawa kereta laju macam ni? Ya, memang aku suruh dia bawa laju tadi, tapi aku suruh laju sikit je, bukannya laju macam nak gila. “Ehem..” aku menyediakan diri aku untuk mengajukan soalan kepada Arif, manalah tahu kalau aku main tanya je nanti dia terkejut lepas tu hilang fokus pada pemanduan kemudian terbabas, tak ke naya namanya tu? Tapi belum sempat aku nak ajukan soalan, Arif dulu bersuara dan menanyakan soalan kepada aku. “Bini kau pernah jumpa mana-mana bomoh ke?” tanya Arif dengan wajahnya yang agak serius. Wajahnya membuatkan aku menjadi takut untuk menjawab soalan beliau. GULP! Aku menelan air liur. Gabra pula bila lihat Arif jadi serius tiba-tiba. “Apa maksud kau? Aku tak faham?” aku membalas pertanyaan Arif dengan soalan. “Alaa.. kau jangan nak macam drama melayu sangatlah, buat-buat lembab pulak.” suara Arif sedikit garang dan menekan. Aku tergamam dengan sikapnya yang tiba-tiba berubah. Selama 10 tahun aku mengenali diri beliau, tidak pernah aku melihat beliau menjadi sebegini. “Dia minta cerai, lepas tu dia ucap terima kasih pula untuk anak kau, dia kata anak kau bakal menjadi korban. Kau sedar tak wei? Lepas tu jiran kau cakap ada bau kemenyan datang dari dalam rumah kau pula tu!” sambung Arif lagi. Kali ini dia kelihatan begitu marah. “Lelaki jenis apa kau ni? Sayang bini sampai kegiatan bini pun tak tahu.” tambahnya lagi.
Aku diam membisu, pandanganku lemparkan jauh ke luar tingkap. Aku teringat segala kenangan waktu aku bersama dengan bini aku. Kenangan? Dari seratus peratus, hanya dua puluh peratus sahaja yang aku boleh kata kenangan. Yang selebihnya, aku sibuk dengan bekerja. Terlalu sibuk. Kini aku baru sedar akan kesilapan diri aku. Aku terlalu sibuk dengan kerja sehinggakan aku tiada masa untuk luangkan bersama keluarga, dari sebelum aku ada anak sampailah sekarang anak aku dah lahir. Aku masih tetap sibuk dengan pekerjaan aku. Bahkan, ketika isteri aku sedang menanggung derita dihospital kerana ingin melahirkan anak sulungku, aku tiada di sisi. Aku terkejar-kejar dari Kuantan untuk pulang ke Kuala Lumpur. Apabila aku sudah tiba di Hospital Besar Kuala Lumpur, isteri aku sudah pun selamat melahirkan cahaya mata kami yang pertama. Itu pun aku hanya ambil cuti bekerja tidak lama, apabila isteri aku sudah habis pantang, aku kembali sibuk dengan segala pekerjaan. Isteri aku pun sebelum ini sudah bertanya banyak kali, sampai bila aku nak sibuk dengan kerja? Dalam sebulan aku hanya berada di rumah dalam tujuh hari saja. Yang selebihnya, aku outstation. Aku menitiskan air mata tanpa aku sedari. Aku telah lalai dengan pekerjaan sehinggakan aku melupakan tanggungjawab aku sebagai suami dan juga sebagai seorang bapa. Aku menekapkan tangan kiri aku ke wajah. Tidak dapat aku menahan sebak di dada lagi. “Aku tak pernah luangkan masa dengan keluarga aku selama ni. Mungkin sebab tu bini aku pergi jumpa bomoh tanpa pengetahuan aku, untuk minta minyak pengasih atau cara-cara nak membuatkan aku duduk rumah melekat dengan dia. Dan sekarang, mungkin bomoh tu telah memanipulasikan bini aku untuk kegiatan syirik dia selama ini. Anak aku..anak aku bakal menjadi korban.” semakin deras air mata aku mengalir. “Aku kena selamatkan keluarga aku, Arif!” aku menggenggam tangan Arif. Kemudian Arif menampar wajah aku. Terasa bisa di pipi aku. “Kau jangan buat kerja gila. Dah sedar kesalahan tu Alhamdulillah, yang kau pergi pegang tangan aku macam aku ni bini kau tu apahal? Kau ni banyak usya drama melayulah, Lan.” marah Arif. Tapi selepas itu dia melemparkan sebuah senyuman pada aku. “Kau jangan risau, aku akan tolong kau. Itu gunanya kawan, kan?” sambung Arif lagi.
Matahari sudah pun terbenam, aku melihat jam di tangan kiri aku menunjukkan pukul 7:45 malam. Arif memarkirkan kereta betul-betul dihadapan pagar rumah aku. Aku menjadi tidak sabar dan ingin terus berlari ke dalam rumah tetapi Arif menghalang perbuatan aku itu. “Sebelum apa-apa terjadi, ada lebih baiknya kita berdoa pada Allah dahulu.” pesan Arif dengan wajahnya yang tenang. Aku pula yang jadi tidak betul melihat perwatakan Arif yang asyik berubah dalam satu hari ni. Tetapi aku ya kan saja kata-katanya itu. Selepas aku meng-amiin-kan doa yang di baca oleh Arif. Dia memesan lagi agar jangan kelam kabut dan melangkah dengan berhati-hati. Aku turuti saja apa yang dikatakan oleh dia. Arif memulakan langkah, aku ikut dia dari belakang. Aku mengeluarkan kunci rumah dari dalam kocek seluar kiri aku, dan ketika aku ingin membuka kunci pintu rumah, ada sejenis bau haruman yang menyinggah di hidung kami. Aku teringat pesan Arif sebentar tadi agar jangan menegur jika ada terbau apa-apa atau terlihat apa-apa yang pelik. Dengan lafaz Bismillah, aku membuka pintu rumah aku. Bau kemenyan. Itulah bau haruman yang kami hidu dari luar lagi. Dari arah pintu depan rumah aku tu, boleh terus melihat ke arah dapur. Dan, aku dapat lihat begitu banyak asap yang berkepul-kepul datangnya dari arah dapur. Arif menolak bahu kiri aku agar aku terus mara ke hadapan. Aku mengerti dengan niat beliau. Aku sebagai suami, aku sendiri kena hadapi perkara ini. “Kau jalan dulu, aku takut ni.” tiba-tiba ayat tersebut keluar dari mulut Arif. Aku menoleh ke arah beliau perlahan-lahan dan aku ketuk kepalanya. Aduh! Arif mengadu kesakitan. “Asal aku ketuk aku?” tanyanya keliru, sedangkan dia tidak sedar bahawa aku lagi keliru dengan diri beliau. Datang bulan barangkali kawan aku ni. Aku melangkah perlahan-lahan menuju ke arah dapur rumah. Bau kemenyan semakin kuat. Di dalam hati aku tidak berhenti berdoa agar anak dan isteri aku berada di dalam keadaan yang selamat. Ketika aku melangkahkan kaki kananku memasuki ruang dapur rumah, kepala aku tiba-tiba menjadi pening. Jalan aku jadi tidak betul. Aku berpaut pada peti sejuk yang tidak jauh dari aku. Arif berlari dari pintu depan demi mendapatkan aku. “Kau tak apa-apa ke?” tanya Arif. Kemudian, dia pun turut mengalami perkara yang sama menimpa diri aku. Mungkinkah kami terhidu terlalu banyak sangat bau kemenyan tersebut? Dalam samar-samar aku dapat melihat isteri aku sedang berdiri di pintu belakang. Dia tersenyum sinis pada aku. Kemudian dia membuka pintu belakang tersebut, dan aku lihat ada satu tubuh lelaki yang berbadan sasa melangkah masuk dari luar. Lelaki tersebut memaut pinggang isteri aku, mereka berdua kelihatan mesra berdua. Hati aku menjadi sakit. Terlalu sakit. Aku cuba untuk berlari ke arah mereka sambil penumbuk kanan aku yang telah bersedia. Niat di hati ingin melayangkan sebuah tumbukan padu pada lelaki tersebut. Malangnya, baru separuh jalan aku dah jatuh pengsan.
Entah berapa lama aku tidak menyedarkan diri pun aku tidak tahu. Apabila aku terjaga, aku masih lagi berada di ruang dapur. Pening dikepala aku sudah pun hilang. Cahaya matahari dari luar menerangi ruangan di dapur. Aku bangun dan aku lihat Arif sudah tiada lagi di tempat beliau berdiri semalam. Tetapi, aku lihat di atas lantai penuh dengan darah. Ada juga yang terkena pada pintu peti sejuk. Aku terus terfikirkan tentang Aris. Belum sempat aku membuka langkah, tiba-tiba saja Arif muncul dari arah ruang tamu. Aku lihat dia tidak berbaju namun tubuhnya berbalut dan jelas kelihatan kesan darah pada balutan tersebut. “Apa yang berlaku Arif?” aku mengajukan soalan. “Lepas kau pengsan semalam, lelaki tu datang tikam aku guna keris. Alhamdulillah aku masih bernyawa,” balas Arif lemah. Aku memahami kesakitan yang ditanggung beliau. Ditikam dengan keris bukanlah perkara yang boleh dibawa main-main. “Jom kita pergi ke hospital dulu.” aku cuba mengajak Arif tetapi dia menolak. Dia meyakinkan aku bahwa dia berada dalam keadaan baik-baik saja. “Tapi kau kena tikam tu” aku cuba memujuk agar dia bersetuju untuk pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang lebih baik. “Aku okay je. Aku dah balut sendiri. Maaflah, sofa kau habis kena darah aku. Aku gunakan medic kits yang aku jumpa dalam almari tv tu.” Arif tetap dengan pendirian dia. Aku jadi risau dengan kawan aku ni. Kemudian, Arif menceritakan aku tentang apa yang berlaku seterusnya. Selepas dia ditikam, dia terjatuh. Lelaki tersebut terus keluar bersama isteri aku melalui pintu belakang. Kemudian, Arif bangun dan cuba mengejar tetapi seperti ada satu kuasa ghaib yang menendang beliau terjatuh kembali. Akhirnya Arif mengalah, dia segera bangun dan berjalan menuju ke ruang tamu demi mencari first-aid-kits. Di dalam first-aid-kits tersebut segalanya lengkap. Memang sengaja aku lengkapkan supaya senang jika ada apa-apa perkara buruk yang berlaku ketika aku outstation, boleh isteri aku gunakan benda tu. Tapi tak sangka pula Arif orang pertama yang merasmikan barang perubatan tersebut. “Kau betul ke okay ni, Rif? Betul tak nak pergi hospital?” tanya aku risau dengan diri beliau. Arif diam dan tidak membalas pertanyaan aku tadi. Secara tiba-tiba, Arif membuka balutan di badannya dan menunjukkan bahagian yang terkena tikaman itu pada aku. Aku jadi terkejut kerana aku lihat tiada kesan luka atau pun kesan ditikam. “Terkejutkan?” tanya Arif tersenyum. Mata aku masih lagi tertumpu pada bahagian yang sepatutnya cedera itu. Aku meraba-raba bahagian tersebut, memang tidak ada apa-apa. “Kau ada power regenerate ke wei?” tanya aku ingin tahu. Kemudian Arif menjentik dahi aku sekuat hati, bergegar juga otak aku waktu itu. “Tahyul betul kau ni. Tu lah, tengok banyak sangat anime.” jawab Arif kemarahan. “Aku tak tahu apa yang berlaku, tapi memang aku nampak keris tu semalam, dan memang terang-terang dia tikam aku. Habis tu, macam mana kau nak explainkan tentang darah aku yang banyak mengalir atas lantai dapur kau tu? Aku sedar luka ni tak ada kejap tadi je. Lepas tu aku terdengar bunyi tapak kaki kat dapur. Terus aku datang dapur.” jelas Arif. Kini kami berdua berada dalam keadaan yang sangat bingung.
Kami berdua duduk disofa selama beberapa jam sambil memikirkan apa yang patut kami lakukan. Banyak kali aku hubungi isteri aku namun tiada jawapan. Nombornya masih lagi aktif tetapi dia sengaja tidak menjawab panggilan yang aku buat. “Dah masuk waktu solat zohor.” kata Arif memecah kesunyian. “Jom ikut aku pergi masjid, kita solat dulu kemudian kita minta bantuan dengan ustaz atau pun imam kat masjid tu nanti.” jelas Arif. Aku mengiyakan saja, dan aku rasa memang itulah pilihan yang terbaik. Selesai aku mengunci pintu rumah, aku bergegas menuju ke dalam kereta. Arif membawa aku terus ke masjid. Sehabis solat, aku disapa oleh jiran aku, pakcik Mutalib. Dia merupakan seorang ustaz dan dia mengajar silat disebuah sekolah yang tidak jauh dari kediaman kami semua. Dibelakang pakcik Mutalib, berdiri beberapa orang jiran aku yang lain. Wajah pakcik Mutalib begitu garang. Matanya tidak berhenti memerhatikan aku dan Arif. Entah mengapa, tiba-tiba aku menjadi takut tak tentu pasal. “Ikut aku.” itu saja yang keluar dari mulutnya. Aku dan Arif berpandangan sesama sendiri. Kami hanya turuti saja kemahuan pakcik Mutalib. Kami berjalan keluar dari masjid dan berhenti disalah sebuah kedai makan milik jiran aku. Kami dipelawa untuk duduk dan dihidangkan air kopi. “Kopi je? Tak hipsterlah kalau macam ni. At least kena lah blend dengan ice dulu.” rungut aku dalam hati. Seperti dapat tahu apa yang bermain difikiran aku, Arif cepat-cepat mencubit lengan kiri aku. “Bersyukur je lah dengan apa yang ada. Complaint je kerja kau.” tegur Arif tegas. Aku hanya tertunduk malu, kemudian aku mengambil cawan kopi tersebut dan aku minum beberapa hirup. Ketika aku ingin meletakkan cawan tersebut kembali ke atas meja. Pakcik Mutalib bersuara. “Aku tahu siapa isteri kamu.” kata pakcik Mutalib. Kata-katanya itu membuatkan aku tergamam. Aku letakkan terus cawan itu ke atas meja dan aku menanyakan soalan kepadanya untuk kepastian. ” Apa maksud pakcik yang pakcik tahu siapa isteri saya? Pakcik skandal dia ke?” tanya aku marah, bila diingatkan kembali peristiwa semalam yang dimana isteri aku bermesra dengan lelaki berbadan sasa tersebut, membuatkan aku menjadi sangat marah. Selepas aku mengajukan soalan tersebut, semua yang berada disitu mengetawakan aku. Kecuali Arif dan aku saja yang terpinga-pinga. “Apa barang skandal, terus akad nikah baru power.” sindir salah seorang jiran aku yang turut berada di situ. “Nak power lagi, tengok malam pertamalah. Minum pulak tongkat ali, lapan round pun mampu.” tambah seorang lagi. Dikedai makan itu kecoh dengan gelak ketawa mereka semua. Arif mungkin tidak dapat menahan kerana dia pun tergelak sikit tadi.
HAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHA!
Selesai semua ketawa besar, pakcik Mutalib pula sambung percakapan. “Aku tahu isteri kamu siapa tapi aku tak akan beritahu kamu, aku boleh beritahu di mana kedudukan isteri kamu. Kamu kena pergi sendiri dan selesaikan masalah keluarga kamu ni.” aku menjadi hairan apabila mendengar ucapan dari pakcik Mutalib. “Usah kau tanya macam mana aku tahu, kau turut saja kata aku, In Shaa Allah, isteri dan anak kamu boleh diselamatkan.” tambahnya lagi. Aku menjadi semakin bingung, pakcik Mutalib boleh beritahu aku di mana isteri aku berada sekarang, tapi kalau aku pergi ke sana, macam mana aku nak selesaikan? Tambahan pula, lelaki berbadan sasa tu turut sama berada dengan dia. Boleh hilang nyawa aku nanti. “Syaratnya mudah, jangan banyak tanya.” sambung pakcik Mutalib lagi. Ya! Cakap memang mudah, tapi macam mana aku nak buat sebenarnya?
Aku merenung ke arah rumahku. Hati aku tidak tenang. Hati aku masih sedih. Apa sebenarnya yang isteri aku mahukan? Jika betul dia ingin bercerai dengan aku dan nak sangat dengan anak tu. Beritahu saja pada aku. Kita boleh buka kes di makhamah. Tidak perlu buat perkara-perkara begini. Bagaimana dengan anak aku itu agaknya? Kecil lagi budak tu, dah merasa kesusahan yang dilakukan oleh kedua-dua orang tuanya. Walau apa pun yang berlaku, aku nekad untuk mengambil semula anak aku itu. Dia tidak berhak untuk dijaga oleh isteri aku yang terang-terang curang dan melakukan hubungan intim tanpa pengetahuan aku. Ya, aku boleh ceraikan dia. Dan, aku mahu ceraikan dia setelah aku lihat dengan mata aku sendiri kejadian di dapur rumah aku semalam. Ini yang dia mahukan. Akan aku tunaikan. Tetapi, aku akan lafazkan bila aku bersua muka dengan dia. “Weh, aku dah dapat track kampung yang pak cik tu katakan.” teguran dari Arif membuatkan lamunanku terhenti. Segera aku mengesatkan air mata yang mengalir di pipiku. Arif yang melihatkan keadaan aku sebegitu, dia menepuk perlahan bahu kiriku sambil memberikan kata-kata semangat. “Kau jangan risau, percaya dengan Allah. Dia Maha Berkuasa.” kata Arif cuba untuk menenangkan aku. Aku hanya mampu membalas dengan sebuah senyuman. “Sudah, sudah. Jangan nak gay sangat. Cepat masuk dalam kereta.” balas Arif selepas melihat aku memberi senyuman kepada dia. Aku meminta Arif untuk memandu kereta kerana aku tidak mampu untuk memberikan perhatian ketika memandu ditambah pula dengan keadaan emosi aku yang bukan sedikit tetapi banyak yang terganggu. Kami melalui lebuh raya besar menuju ke arah utara. Dari maklumat yang diberikan oleh pak cik Mutalib. Isteri dan anak aku berada di Gua Musang, Kelantan. Yang membuatkan aku menjadi hairan, bagaimana orang tua itu boleh tahu keberadaan isteri dan anak aku? Dan yang paling penting sekali, macam mana dia boleh tahu tentang kes ni? Atau disebabkan bau kemenyan yang kuat itu ke yang membuatkan seluruh kawasan perumahan itu boleh tahu?
“Lagi 3 jam kita sampai.” Arif bersuara memecahkan kesunyian yang berjam-jam. “Lan, janganlah kau fikirkan sangat masalah tu. In-Sha-Allah semuanya akan baik-baik je. Allah akan membantu orang yang teraniaya ni. Banyakkan berdoa ok?” sambungnya lagi demi menyedapkan hati aku. Aku hanya membalas dengan memberikan senyuman sebagai kawan. “Terima kasihlah Arif. Kalau kau tak ada, tak tahu lah apa yang aku nak buat.” aku menyuarakan isi hati aku.
“Aku tak jangka benda-benda macam ni boleh berlaku.” sambung aku lagi.
“Dalam kehidupan ni, tak ada benda yang mudah Lan. Kau kena ingat, setiap manusia ada ujiannya yang Allah dah berikan. Setiap ujian yang diberi tu, mesti kau boleh lepas punya. Tapi dengan syarat, kau jangan lupa pada Dia. Allah lah yang akan membantu kau. Allah lah yang akan membantu semua manusia.” kata Arif. Aku tersenyum mendengar ceramah dari Arif tersebut. Aku mula berfikir, kat mana kedai makan, perut dah terasa lapar ni. “Oi!” Arif mencelah ditengah-tengah pemikiran aku.
“Tu yang aku malas nak bagi nasihat dekat kau ni. Bila bagi nasihat kau fikirkan benda lain. Kau fikir apa lak kali ni?” tegur Arif bengang. Macam mana dia boleh tahu?
“Aku nak tanya kau lah. Macam mana kau boleh hampir setiap kali baca fikiran aku?” tanya aku kepada Arif.
“Aku tak baca fikiran, aku boleh tahu dari riak air muka kau tu. Dan aku memang dah kenal sangat dengan perangai kau ni. Aku kenal kau bukannya sekejap. Dari sekolah lagi kita dah berkawan.” jelas Arif.
“Aku pun lapar juga ni. Kalau kau jumpa mana-mana kedai makan, kita singgah kejaplah.” sambungnya lagi.
“Tengok! Tengok! Macam mana kau boleh tahu yang aku tengah lapar dan tengah cari kedai makan? Kau ada kuasa psyhic ke apa???”
“Kim Kardashian betullah kau ni. Jadahnya psychic. Dah kita memang tak makan apa-apa dari tadi. Last tadi pun minum kopi je lah.” jelas Arif lagi. Memang benar apa yang diperkatakan oleh dia itu. Kami tidak menjamah apa-apa makanan pun tadi.
Kami tiba disebuah warung makan yang tidak jauh dari jalan raya. Pada mulanya aku terfikir, bagaimana perniagaan orang ni nak maju kalau buka warung kat tempat-tempat macam ni? Dikelilingi hutan pula tu.
“Warung macam ni lah yang ramai orang kampung akan berkunjung, kau tahu tak? Dah, jangan nak fikir-fikir. Jom kita pergi makan. Tengah hutan ke tengah sungai ke, aku tak fikir dah, aku nak makan je sekarang ni.” tegur Arif. Aku semakin sakit hati dengan keistimewaan yang Allah kurniakan pada diri sahabat aku ni. Apa yang bermain difikiran aku, semuanya dia boleh agak dan baca. Selama ni, tak pernahnya tak tepat apa yang dia jangka. Semuanya tepat. Kami memilih untuk duduk dibahagian luar kedai. Kemudian, seorang pelayan lelaki datang ke arah kami untuk mengambil pesanan.
“Dari KL ko abe?” tanya pelayan itu.
“Ya, kami dari KL, datang nak jumpa saudara mara kat Gua Musang.” jawab Arif. Aku membiarkan dia saja yang bercakap. Kerana, aku langsung tidak mengerti bahasa dari negeri itu.
“Nok make gapo be?” tanya pelanggan itu lagi.
“Bagi saya kopi kaw, dengan nasi goreng tomyam. Weh, Lan, kau nak makan apa?”
“Saya nak nasi goreng kerabu mangga berulamkan pucuk paku dan tebu ais satu.”
Setelah mengambil pesanan kami berdua, pelayan tersebut terus berlalu ke dapur dan memberikan pesanan yang ditulis di atas kertas kepada tukang masak. Aku melihat keadaan sekeliling, ada lebih kurang lima ke enam orang pelangan lagi yang berada di warung tersebut. Aku melihatkan jam di tangan, pukul 9.45 malam. Aku menyuarakan pendapat pada Arif untuk mencari tempat untuk bermalam saja selepas makan. Arif pun bersetuju dengan aku. Tidak lama kemudian, pelayan tadi datang bersama sedulang air yang kami pesan.
“Abe, nok tanyo. Sini ado tepak mace hotel ko homestay ko?” tanya Arif kepada pelanggan itu.
“Homestay ado. Abe pergi hujung nanti jupo sipe pak, abe pusing kiri, lagi tigo ko pak batu gitu, abe jupo homestay tu belah kanan.” jawab pelayan tersebut.
“Okay, okay. Terima kasih.”
Selesai kami menjamah makanan diwarung tersebut, kami kembali menyambung pengembaraan untuk mencari homestay yang disebutkan pelayan itu tadi. Kami ikut sama seperti apa yang budak pelayan itu tadi katakan. Tetapi yang anehnya, kami tetap tidak juga sampai ke destinasi yang ingin ditujui. Aku menjadi hairan.
“Budak tu cakap, lagi tiga ke empat batu nanti jumpalah. Ni aku rasa dah lebih dari sepuluh batu ni.” Arif menyuarakan rasa tidak puas hatinya.
Disebabkan rasa tidak puas hati, Arif berpatah balik untuk pergi ke warung tadi demi mendapatkan arah yang betul. Nak gunakan applikasi Waze di telefon, tidak boleh pula. Kerana tak ada line. Manakala telefon aku pula kehabisan bateri. Arif memberhentikan kereta betul-betul dihadapan warung yang kami singgah makan tadi.
“Lan, aku nak tanya sikit ni.”
“Apa dia? Tanyalah.”
“Betul ke kita makan kat sini tadi?”
“Aku rasa betul dah ni. Kau tengok sana, nampak tak bekas tayar kereta atas tanah tu?”
“Asal kita makan kat kubur ek? Bukan sini warung ke tadi?” Arif bertanyakan soalan yang tidak patut dia tanya. Membuatkan aku menjadi berpeluh-peluh. Kenapa tadi warung dan sekarang kubur? Syaitan apakah yang mengganggu kami? Tanpa berfikir panjang, Arif memijak pedal minyak dan berlalu pergi dari kawasan perkuburan itu. Kemudian, Arif memberhentikan kereta secara mengejut. Tindakan dia itu membuatkan aku menjadi marah. “Asal kau brake macam tu wei?” aku memarahi Arif tetapi marah aku hilang serta merta apabila aku melihat riak wajahnya seperti terkejut dan ketakutan. Aku mengalihkan pandangan mata aku ke arah depan. Aku pun turut terkejut apabila aku mengetahui bahawa kami berada disatu tempat yang sangat-sangat berbeza. Kalau tadi kami di jalan raya menuju ke arah Gua Musang, kini kami berada di tengah-tengah hutan dan di kanan kami adalah kubur. Aku mula rasa tak sedap hati. Jalan di hadapan kami semuanya tanah merah. Patutlah telefon Arif tak ada line, rupa-rupanya kami berada dihutan.
“Kita kat mana ni Lan?” Arif bertanya pada aku dalam keadaan diri dia merasa takut.
“Aku tak tahulah.” aku menelan air liur selepas menjawab soalan cepu emas dari Arif tersebut. Kami menoleh ke arah belakang, Dengan bantuan lampu belakang kereta yang berwarna merah itu, kami dapat lihat bahawa dibelakang kami adalah jalan mati, dipenuhi semak dan samun.
“Kita cuma ada satu jalan je lagi.” kata Arif. Aku tahu apa yang dimaksudkan oleh Arif, dan aku bersetuju dengan keputusan yang dia bakal lakukan. Mahu atau tidak, kami harus ikut jalan yang berada dihadapan kami. Itu je jalan yang ada. Tiba-tiba, aku lihat si Arif merebahkan kerusinya. Aku menjadi bingung seketika.
“Oi..apa maksud kau?” aku bertanya menginginkan kepastian.
“Maksud apa?” Arif bertanya kembali pada aku.
“Yalah, tadi kau kata cuma ada satu jalan je, ni tiba-tiba kau baring apahal pulak?”
“Ini je lah jalan yang ada. Nak cari tempat tidur celah mana lagi kalau kita kat tengah-tengah hutan macam ni?” jawab Arif selamba. Perasaan aku ketika itu seperti ingin berlari keluar dari kereta dan menuju ke arah kubur dan gali lubang kubur ku sendiri. Aku memang langsung tak faham dengan perangai kawan aku si Arif ni. Tadi dia macam ketakutan, sekarang dia boleh jadi selamba pula. Aku berkawan dengan manusia ke haiwan ni? Aku fikirkan dia nak pijak pedal minyak dan berlalu pergi dari kawasan hutan ni, rupa-rupanya dia nak tidur dekat sini. Bersebelahan dengan kawasan perkuburan pula tu. Aku betul-betul tak faham dengan dia ni. Apa boleh aku buat, aku sabar je lah. Aku merebahkan kerusi dan turut berbaring, dalam fikiran aku terfikir satu je. Anak aku. Aku risaukan keadaan anak aku. Tapi dalam pada masa yang sama, aku juga turut terasa seram sebab kami betul-betul berada disebelah kubur. Arif ni pun satu, sekurang-kurangnya bawalah kereta ni jauh ke depan dulu kalau nak tidur pun. Janganlah tidur betul-betul depan kubur.
“Alah, kubur ni rumah, rumah untuk orang yang dah meninggal dunia. Apa yang kau nak takutkan? Nanti kita merasa juga tinggal kat dalam tu.” sekali lagi Arif dapat meneka buah fikiran aku dan kali ni memang jelas dan terang-terangan beliau tidak memandang ke arah aku. Mustahil untuk dia melihat riak wajah aku. “Ya Allah. Aku benar-benar tidak mengerti dengan kawan aku yang seorang ni. Mohon janganlah sampai aku menikam dada kawan aku ni.” aku berdoa di dalam hati. Aku benar-benar hairan dengan kawan aku ni, perangai dia memang tidak dapat aku nak duga.
Kemudian Arif bangkit semula dari baringnya, dia mematikan enjin kereta, lampu dan membuka tingkap sedikit supaya oksigen dapat keluar dan masuk. “Kalau tak buka tingkap kereta ni, tau-tau esok pagi kita jadi arwah dah. Baguslah tu, kubur pun kat sebelah.” kata Arif selamba.
“Ya Allah, mulut dia celupar melampau.” aku menjerit di dalam hati. Rasa ingin menangis saja selepas Arif berkata sedemikian rupa. Kenapalah dia boleh cakap main lepas je. Tak fikir ke keadaan aku yang tengah takut ni? Sebelum dia berdialog yang pelik-pelik lagi, ada baiknya aku terus tidur saja. Nanti disebabkan dialog aneh dari si Arif, boleh jadi aku tak tidur gara-gara takut.
Aku tersedar dari tidur yang agak nyenyak. Entah bila aku tertidur pun aku tak sedar. Yang aku tahu, nikmatnya dapat tidur. Seperti sudah berpuluh kurun tidak dapat tidur sebegini nyenyak. Aku memandang ke arah sekelilingku. Senyap, gelap, dan sunyi. Aku hampir terlupa bahawa kami sekarang masih lagi berada ditengah-tengah hutan dan bersebelahan dengan tanah perkuburan. Aku memandang ke arah jam di tangan. Baru pukul 2:30 pagi. Masih terlalu awal untuk bangun. Aku membuat keputusan untuk kembali tidur. Aku toleh ke kiri menghadap tingkap kereta, aku nampak hutan. Aku toleh ke arah hadapan, tetap nampak hutan. Aku toleh ke arah kanan. Terkejut aku dibuatnya apabila aku lihat Arif tidak ada lagi bersama dengan aku di dalam kereta. Mengucap panjang aku. Aku membuka laci bawah kerusi kerana seingat aku waktu dulu aku pernah letakkan lampu picit di situ. Alhamdulillah lampu picit tersebut masih ada dan baterinya juga berada di dalam keadaan yang baik. Aku halakan lampu picit tersebut ke arah luar menghadap kubur. Aku cuba mencari Arif. “Manalah dia pergi ni, kalau pergi tandas pun, takkanlah jauh-jauh kot.” rungut aku di dalam hati. Aku menjadi hairan, tidak mungkin si Arif membuang air kecil jauh-jauh. Ditengah-tengah hutan macam ni, takkan dia berani untuk pergi seorang diri? Tak faham betul aku dengan perangai dia ni. “Arif..Arif..Arif..Ooo..Arif” aku cuba untuk memanggil dalam nada yang perlahan. Tiada jawapan. Aku mula menggaru kulit kepalaku yang tidak gatal. “Ke mana pula budak ni dah pergi? Kalau ya pun, kejutkanlah aku sekali. Aduhh..” keluh aku berseorangan. Sudahlah aku berseorangan, di dalam hutan, sebelah kubur pula tu.
Entah mengapa, seluruh tubuhku terasa seram sejuk, seperti ada angin yang menempa. Sedangkan sememangnya tiada angin pun ketika itu. Pokok-pokok diluar pun tidak bergoyang. “Masakan pokok bergoyang kalau tak ditiup angin. Masalahnya pokok pun tak bergoyang sekarang ni.. Masak aku beb.” rungut aku di dalam hati. Terlintas difikiranku untuk menoleh ke arah belakang tetapi badan aku tidak mahu bertindak mengikut arahan. Kemudian, aku terdengar seperti bunyi orang bernafas dibelakang. Berdiri tegak terus bulu roma aku seluruh badan. Aku bangunkan balik kerusi aku dan aku bersandar seperti tidak ada apa-apa yang berlaku dengan harapan si Arif akan segera pulang. Hampir 30 minit aku di dalam kereta itu seorang diri. Arif masih lagi tidak kunjung tiba. Bunyi nafas yang aku dengar itu masih lagi ada dan tidak hilang lagi. Dan, kali ini bunyi lain pula yang hadir. Bunyi seperti kerusi bahagian belakang itu ditikam dengan sesuatu yang tajam dan perlahan-lahan aku dengar bunyi tingkap seperti dicakar. Aku boleh agak ketika itu jantung aku berdegup lebih pantas dari kelajuan cahaya. Di dalam hati aku hanya berdoa saja lah bahawa aku tidak di apa-apa kan. Walaupun aku di dalam keadaan yang takut akan tetapi, difikiran aku tetap ingin toleh ke belakang dan melihat sendiri siapakah yang melakukan aktiviti vandalism tersebut. Tak tahu kenapa badan aku tak nak langsung menoleh. Lepas tu, perlahan-lahan aku lihat kerusi disebelah dibangunkan. Bertambah seram pula aku rasa, kerusi tu tak akan boleh bangun kalau tak ada orang yang menarik tuasnya. Badan aku berpeluh-peluh. Aku berusaha untuk menenangkan diri. Aku cuba untuk berfikiran positif. Kemudian, dari ekor anak mata aku, aku dapat melihat cahaya seperti bebola api dari arah kanan. Aku dapat jangka cahaya tersebut datangnya dari arah kubur. “Sudah..benda apa pulak kali ni?” bisik aku di dalam hati. Kemudian, aku terdengar pula suara dari arah belakang. Suara seperti ketawa kecil. Berderau darah aku, umpama semua sel-sel darah warna merah sudah hilang, yang tinggal hanya sel-sel berwarna putih saja.
Aku nekad untuk menoleh, apa nak jadi pun jadi lah. Aku tak tahu ke mana Arif sudah pergi. Yang aku tahu sekarang ni aku harus fikirkan cara untuk aku selamatkan diri. Aku genggam lampu picit dan aku pastikan semua kelengkapan cukup. Aku raba kocek seluar aku untuk memastikan dompet aku masih disitu dan aku capai telefon serta pengecajnya sekali. Semuanya aku sumbatkan sekali di dalam kocek kiri dan kanan. Manalah tahu kalau kejap lagi aku perlu untuk larikan diri, aku lari je. Sekurang-kurangnya kalau aku dah sampai tempat yang selamat, bolehlah aku caj semula bateri telefon ni dan cuba buat panggilan ke Arif. Aku pejamkan mata aku rapat-rapat. Dengan lafaz bismillah, aku buka semula mata aku. Dan, dengan pantas dan muka seposen aku menoleh ke arah belakang. Biji mata aku memandang tepat ke arah seekor makhluk yang aku sendiri tidak pasti identitinya. Tetapi, berambut panjang, matanya berwarna merah darah, taringnya sebelah saja. Kukunya panjang dan ketika itu dia sedang mencakar cermin tingkap. Makhluk itu juga memandang ke arah aku sambil tersenyum. Tangan kiri aku dari tadi berusaha untuk buka pintu tapi tak boleh-boleh. Tak tahu apa yang silapnya. Aku tak nak duduk di dalam tu lama-lama bersama dengan makhluk yang tak tahu dari mana asal usulnya. Dah lah seram, hodoh pula tu. Semasa aku menoleh ke arah makhluk hodoh dan seram tu, aku dapat hidu sesuatu yang busuk. Dan aku pasti bau itu adalah bau daging yang busuk. Bau seperti bangkai. Sudah semestinya bau itu datang dari makhluk hodoh yang sedang menemani aku sekarang. Aku semakin hilang sabar dengan pintu yang cuba buka dari tadi. Kuncinya sudah dibuka, tetapi pintunya seperti kena gam pula. Akibat perasaan marah di dalam hati aku. Aku mengabaikan kehadiran makhluk hodoh itu tadi dan aku mengalihkan pandangan aku ke arah pintu pula. Tetapi pemandangan yang aku dapat lihat ketika itu bukanlah sesuatu yang menggembirakan. Patutlah pintu itu tidak boleh dibuka, rupa-rupanya ada makhluk sedang berdiri diluar pintu tersebut. Kedua-dua tapak tangannya berada dicermin dan wajahnya juga dia rapatkan ke cermin bersama lidahnya yang terjelir keluar. Perkara tersebut membuatkan aku ingin menumbuk saja wajah hantu itu akan tetapi disebabkan aku tahu bahawa aku tidak mampu untuk melakukan perkara tersebut. Akhirnya aku buat keputusan untuk keluar menggunakan pintu sebelah kanan.
Ketika aku ingin berpindah ke kerusi sebelah kanan. Waktu itu jugalah si Arif ni buka pintu dan masuk ke dalam kereta.
“Uish. Bau busuk apa ni? Kau kentut ke Lan? Busuklah. Kalau nak berak, pergilah berak sana.” kata Arif kepada aku dengan selambanya. Sumpah. Waktu itu aku rasa seperti nak menangis seperti dalam cerita kartun jepun. Kenapalah kau buat aku macam ni Arif? Kau tak sedar ke ada makhluk selain kita kat dalam kereta ni sekarang? Aku dah tak tahu nak buat apa-apa dah. Kemudian, disebabkan aku diam saja tanpa bagi apa-apa jawapan. Arif tanya aku lagi sekali. “Kau berak pergilah ber…..” kali ini dia tidak dapat untuk menghabiskan kata-katanya apabila saat dia menoleh ke arah aku, dia terlihat makhluk yang berada diluar tingkap sedang menjilat-jilat cermin kereta itu. Kemudian dia terpandang ke arah cermin pandang belakang dan dia nampak ada lagi seekor makhluk yang sedang memerhatikan dia dalam keadaan tersenyum. Arif mengalihkan kembali pandangannya ke arah aku.
“Rajin dia tu kan? Siang kerja mentadbir, malam kerja cuci kereta.” kata Arif sambil membuka pintu kereta dan terus berdesup lari keluar meninggalkan aku berseorangan. Sudahlah dia hilang hampir sejam lamanya, lepas tu bila dia kembali, tak ada pula dia bagi tahu dia dari mana. Dan sekarang, dia lari tinggalkan aku pula. Tanpa membuang masa, aku pun turut mengikut jejak langkah Arif. Bergegas aku keluar dari kereta itu dan terus berlari. Lampu picit aku suluhkan ke arah Arif yang agak sudah jauh ke depan. “Bangsat budak ni, dia tinggalkan aku!” bentak aku di dalam hati. Aku terus berlari tanpa berfikir apa-apa. Yang ada difikiran aku ketika itu, aku ingin selamatkan diri.
Ketika tengah asyik berlari, anak mata aku tertangkap objek berapi sedang terbang disebelah kanan. Kelajuannya sama dengan kelajuan larian aku. Aku tak fikir panjang, aku terus menoleh ke arah objek yang terbang itu. Aku tak percaya dengan apa yang aku lihat. Objek berapi yang sedang tebang itu rupanya kepala manusia atau lebih spesifik lagi digelar penanggal. Ia terbang sambil memandang ke arah aku. Yang anehnya dia tidak pula melanggar pokok. Bagaimana ia boleh melihat arah mana dia berlari? Aku toleh ke arah belakang pula, ada seekor makhluk sedang mengesot mengejar aku. Terkejut aku dibuatnya, laju sungguh makhluk ni mengejar aku dalam keadaan macam tu. Kemudian, aku terdengar pula si Arif menjerit memanggil nama aku. “Woi! Jangan fikirkan benda-benda tu! Lari je!” jerit Arif. Memang itu yang sepatutnya aku lakukan tapi tenaga aku semakin lama semakin menghilang. Aku jadi letih dengan larian pecut ini. Sampai bila kami kena berlari? Aku lihat Arif seperti tidak ada masalah. Seperti tiada batasan pada tenaganya. Aku terus mempercepatkan larian. Aku harus keluar dari hutan ini! Waktu itu jugalah aku terdengar bunyi ketawa mengilai dari setiap pelusuk hutan itu. “Ahhh! Banyak pula yang datang mengacau!” jerit aku sekuat hati. Kemudian Arif menyuruh aku untuk mengabaikan semua itu dan fokus kepada larian saja. Akhirnya kami keluar juga dari hutan tersebut, kami tiba di tepi jalan raya yang gelap tidak berlampu. Arif membuat keputusan untuk berlari ke arah kanan dan aku turuti saja keputusan dia. Aku tidak dapat berfikir. Yang aku tahu, kami terus berlari dan berlari dengan harapan adalah kenderaan yang sudi berhenti dan membantu kami.
Agak lama kami berlari sepanjang jalan raya tersebut, makhluk mengesot itu sudah tidak kelihatan lagi. Yang aku nampak hanyalah penanggal tadi, kali ini ia terbang setinggi pokok-pokok yang ada. Aku boleh lihat darah-darah menitis dari organ makhluk itu. “Kau boleh terbang kira beruntunglah! Kami ni kena berlari sebab tak nak kena tangkap dengan kau!” jerit aku sendiri di dalam hati.
“Woi! Bila benda tu nak berhenti kejar kita! tanya Arif meminta kepastian. Macamlah aku tahu bila benda tu nak berhenti!
“Manalah aku tahu!” balas aku. Tak ada gunanya kalau dia tanya aku.
“Woi! Penanggal! Bila kau nak berhenti kejar kami!!!?” tanya Arif kepada penanggal tersebut. Perkara tersebut membuatkan aku jadi hairan. Bangang atau gila si Arif ni? Lebih baik dia simpan nafasnya untuk berlari dari bertanya soalan bodoh macam tu kepada makhluk yang terang-terangan nak minum darah dia. Selepas Arif bertanyakan soalan tersebut, terus saja penanggal itu berhenti dari mengejar kami. Tidak semena-mena, penanggal itu terus terbang masuk ke dalam hutan semula. Apa yang berlaku sebenarnya? Aku pun tidak tahu samada ingin berhenti berlari atau pun tidak. Aku lihat Arif sudah pun berhenti berlari. Aku yang tidak sedar akan diriku yang masih lagi berlari ni, terus terlanggar Arif. Kami berdua terjatuh menyembah jalan tar.
“Aduh. Aduh. Sakitnya.” keluh Arif.
“Sorry. Sorry. Aku tak perasan kau dah berhenti tadi.” aku memohon maaf. Aku alihkan pandangan ke arah hutan untuk memastikan tidak ada lagi makhluk yang mengejar kami. Manalah tahu jika penanggal itu pandai pula untuk menipu. Bila dia tengok kami berhenti lari, dia keluar meluru ke arah kami dan bunuh kami. Setelah memastikan keadaan sudah selamat. Kami terus menyeberang jalan raya itu. Rasa lebih selamat jika kami berjalan di seberang jalan. Sambil-sambil itu, kami perhatikan juga hutan disebelah kanan dan kiri. Kalau-kalau ada pula makhluk yang mengejar kami. Kami kepenatan akibat berlari tadi. Lampu jalan satu pun tak ada yang berfungsi. Dan tidak ada sebiji pun kenderaan yang melalui jalan tersebut. Aku lihat jam sudah pun pukul empat lebih. Apalah nasib buruk yang menimpa kami kali ini?
Bersambung…
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Ya Allah penatnya aku baca cite ni..huhu..not bad..banyak gelak dari seram..cite betul ke apa?
Fiksyen abe. Minta maaf jika abe harapkan cerita betul.
mohon sambungan cepat..
best lawak dan seram
lawak siot. teruskan menulis lagi banyak. gua tunggu cerita dari lu. hahahaha
Cqita mngaqot.kta nk caqi bini tetiba dok kt kuboq.rekayasa atau diubah atau ditambah.
hasil berangan semata-mata kot bro…nasib aku baca komen dulu..kalau tak buang masa aku je baca cite camni…kiki…
Tq untuk kritikannya. Ini cerita rekaan dari asben saya. Cerita ni asben saya yang olah dan bukan berdasarkan pengalaman sebenar. Minta maaf kepada readers yang mengharapkan setiap penulis untuk menulis berdasarkan cerita sebenar bukan rekaan atau fiksyen.
sambungan plez sis…suka sy membaca…
Best2..tak sabar nk tunggu sambungan
Test
I don’t know why la komen masuk spam.. nak komen pasal cerita kut..
Utk writer.. hopefully utk next part perenggan tu dapat dipecah-pecahkan lagi… tebal sangat. berbinar mata nak baca. Cerita best!!!
Tq untuk kritikan yang membina. Sebenarnya ini karya asben saya. Saya cuma submit untuk readers FS, asben saya tak tahu pun saya submit karya dia ni sebab dia sakit terlantar. Hehee
lawak seram tp best….
perenggan kene pendekkan..hahahaha berpinau mata nak baca
try
Best sangat.seram + lawak
nk sambungan
Bila nak sambung…seronok baca.
asal aku mcm penah baca da cita ni
Seram campur lawak. Best baca. Good job:)
ada seram ada lawak ada buat iklan pulak si arif tu kann~~
nice story
Best best
Boringgg
penat aku baca..meleret2 la..terus ke point boleh x..sila sambung please.
Best..best..kelakar dan seram… nak bc sambyngan pulak..