#Butirstar: Kem SPM

Assalamualaikum semua!

Buila baca FS beberapa hari lepas, ramai yang tulis pasal asrama, baik asrama sekolah mahupun asrama universiti. Baiklah, kali ni, saya pun nak cerita pengalaman saya di asrama. Untuk pengetahuan semua, saya bukan bersekolah di sekolah asrama penuh. Saya sekolah harian biasa. Masa saya di tingkatan 5, dua bulan sebelum SPM (kalau tak silap la), cikgu kelas ada bagitau pasal kem pecutan SPM. Kem ni buat dekat sekolah asrama.

Sekolah tu ialah sekolah primier dan ada asrama untuk pelajar yang duduk jauh. Macam half daily and half boarding school la ni. Kem tu hari minggu. Hari khamis petang, kami semua wajib mendaftarkan diri dan diberi jadual sepanjang 3 hari berada di situ. Pada mulanya, saya tak nak pergi sebab saya tak minat benda-benda macam ni. Oleh kerana parents saya tau dan paksa saya pergi memandangkan mereka nak saya dapat cemerlang dalam SPM, saya pun paksa rela la pergi. Kem ni untuk subjek kritikal saja: Biologi (sangat minat), Kimia (minat), Addmath (kurang berminat) dan Fizik (ngeri!!).

Kawan-kawan saya semuanya teruja sebab dapat duduk asrama. 3 malam pun jadi la buat mereka. Saya pulak tak berapa minat jadi masa tu tak ada perasaan sangat. Lepas kami cop katil dan mandi, kami kena ke surau untuk solat Maghrib dan Isyak berjemaah. Malam tu dah mula dah slot yang pertama: Fizik. (masih ingat sebab ngeri, haha!)

Malam pertama tu, semua la pakat tidur lambat. Nak borak-borak dulu. Diaorang ni terlebih excited la pulak duduk dekat asrama ni. Saya terus tidur selepas balik dari kelas. Esok nak kena bangun awal pagi. Masa ni tak ada lagi gajet-gajet canggih jadi mereka ambil peluang untuk berborak dan bergosip. Malam tu, ada warden round dan suruh kami padamkan lampu. Apa lagi, semua orang berlari bertaburan sebab bising dan tak tutup lampu lagi. Warden kat sini memang garang. Dalam kesuraman malam (lampu koridor je yang pasang), aku ternampak warden dua tiga kali round asrama. Mungkin untuk pastikan kami semua tidur dan tak buat bising.

Malam kedua, kami semua dipanggil oleh ketua warden dan berkumpul di kawasan tanah lapang dekat dengan asrama. Budak-budak asrama panggil benda ni rollcall. Ada yang berdebar sebab takut kena marah, ada yang ingat semua orang kena denda, macam-macam lagi la. Rupa-rupanya, warden suruh kami siap-siap packing malam ni sebab esok kem kami akan tamat jam 12 tengahari. Jadi, lepas habis kelas, kami kena ambil beg sebelum ke dewan makan untuk makan tengahari.

Lepas rollcall, saya mengajak seorang kawan, Yati, ke tandas untuk cuci gigi dan membuang hajat awal-awal sebelum tidur. Yang lain sibuk nak packing. Oleh kerana saya bawa barang sikit, jadi saya dah siap packing petang tu lagi. Biasalah, tempat gosok gigi ada cermin kan? Masa gosok gigi, saya ternampak satu kelibat. Pada mulanya saya ingat warden sebab masa tu dah pukul 11 lebih dan kami diberi sampai 11.45 je untuk packing. Lepas tu kena tidur. Saya terkejut melihat satu makhluk dimana separuh badannya manusia manakala separuh lagi kuda. Memamg sebijik macam Centaur. Kawan saya, Yati pun nampak sebab selepas pada tu, masa kami dah ada dekat bilik, dia yang tanya pasal makhluk tadi.

Masa kami semua dah bersedia nak tidur, ada la sorang kawan ni baru la nak buang hajat. Maka dia pun ajak kawan yang lain temankan dia. Pada mulanya dia ajak saya tapi saya malas dan mengantuk jadi saya suruh dia ajak orang lain. 5 minit ke tandas, mereka berdua berlari masuk ke dalam asrama dengan keadaan yang tercungap-cungap, macam kena kejar. Kami tanya, ada warden ke dekat luar. Mereka geleng kepala dan terus ke katil, tidur. Esoknya, diaorang pun bercerita la tentang makhluk separuh manusia dan separuh kuda tu. Semua orang terkejut dan pakat buka cerita tentang apa yang mereka nampak dalam tandas. Ada yang dengar air paip terbuka tapi bila pergi, tak ada pula (typical), ada yang dengar pintu terhempas banyak kali (typical) dan ada yang jumpa sanitary pad yang masih lagi berdarah dicelah pintu tandas (ok, ini ngeri!)

Kemudian, kawan saya sorang lagi, Rozi memberitahu perkara yang pelik. Malam pertama kami berada di asrama, Rozi dan beberapa orang lagi tidur lambat walaupun lampu dah padam. Lepas warden round, mereka bangun dan berbisik-bisik untuk sambung gossip. Masa tu, Rozi duduk setentang dengan katil saya. Katil kat asrama ni double-decker dan masa tu saya tidur di atas. Masa diaorang tengah syok berborak, Rozi ternampak saya menggeliat dan tiba-tiba badan saya terapung dan ada sesuatu yang memusingkan badan saya. Dia cakap benda tu berlaku sekelip mata dan dia berasa sangat pelik. Saya pula malam tu memang tidur nyenyk dan tidak perasan apa-apa pun. Cuma saya tau saya ni tidur agak buas dan memnag normal bagi saya kalau kedudukan saya berubah bila bangun tidur.

Ha, macam tu je la pengalaman saya di asrama. Ada lagi pengalaman di asrama yang lain tapi lain kali la cerita. Kalau panjang sangat nanti bosan pula. Ye tak?

#butirstar

 

4 thoughts on “#Butirstar: Kem SPM”

Leave a Comment