Aku merupakan seorang peminat tegar kisah seram. Mungkin disebabkan daripada sejak kecil lagi telah ‘terdedah’ dengan alam yang satu ini walaupun secara hakikatnya aku bukanlah tergolong daripada mereka yang dibukakan hijab. Cuma sesekali akan terselisih juga dengan makhluk-makhluk yang tidak berapa indah dilihat dipandangan mata manusia ini. Kali ini, aku ingin berkongsi kisah di kampung aku yang terletak di utara Semenanjung. Kebetulan pula ketika pulang ke kampung baru-baru ini, emak memaklumkan bahawa ada orang kampung terlihat ‘cik putih’ yang kami andaikan sebagai penjaga kampung sedang ‘berehat’ di atas kereta abah yang telah lama tersadai semenjak abah meninggal. Diharapkan para pembaca maklum bahawa cik putih tersebut tiada kena kaitan dengan kematian abah sebab kisah cik putih ini telah berlarutan sekian lama. Semenjak arwah tok nenek kami masih lagi hidup. Malahan abah sendiri telah maklum akan kehadiran cik putih di kampung itu cuma tidak dimaklumkan kepada kami adik beradik sahaja (kami dapat tau sendiri kewujudan cik putih selepas beberapa kali terserempak). Aku akan cuba berkongsi pengalaman kami adik beradik dengan penjaga kampung yang satu ini.
Kisah 1 :
Kisah ini masih tidak melibatkan cik putih lagi. Cuma aku akan berkongsi saat aku mula mengenali makhluk ini. Seingat aku, aku mula mengenali kewujudan makhluk ini ketika umur aku empat atau lima tahun. Mungkin ada yang akan andaikan itu semua khayalan aku, Tapi memang jelas lagi dalam ingatan aku kisah senja bersejarah itu. Ketika itu, seperti biasa di waktu senja, adik aku yang ketika itu berumur dua tahun akan mula menangis. Sampai tahap dia sendiri akan terlelap (bagi bukan orang utara, terlelap sama maksud dengan pitam/pengsan) akibat terlalu kuat menangis. Satu rumah akan kecoh ketika ini. Memujuk, membaca ayat kursi dan sebagainya agar adik aku berhenti menangis. Cuma pada senja itu, aku pertama kali dapat melihat apa yang membuatkan dia menangis. Rupanya ada beruk besar bermata merah sedang berada di tingkap yang tidak jauh daripada pangkin kami duduk ketika itu.
Aku yang ketika itu tidak tahu apa itu hantu raya, telah bertanya kepada tok kenapa ada beruk besar di rumah tok? Tetiba wan (tok lelaki) aku terus mengambil parang dan keluar mengejar ‘beruk’ tersebut sambil menjerit, “pi balik! jangan dok kacau cucu aku!”. Dapat aku lihat ‘beruk’ tersebut ‘berlari’ mengelilingi rumah. Tingginya ketika itu hampir lebih tinggi daripada tingkap rumah. Aku tak ingat apa yang terjadi selepas itu cuma yang aku sedar adik dah berhenti menangis bila beruk tu tiada. Semenjak kejadian itu, aku mula dapat melihat ‘mereka’ walaupun tak selalu. Mungkin perkara ini disedari oleh tok aku sebab dia pernah berpesan pada aku agar tidak takut apabila berjumpa dengan makhlus halus namun janganlah bermulut celupar atau tunjuk terlampau takut/berani bila berdepan dengan mereka. Yang paling penting katanya, jangan sesekali menjerit bila ternampak mereka. Itu pantang besar katanya sebab makhluk ini suka manusia menjerit takut pada mereka. Lagi seronok mereka kacau.
Kisah 2:
Kisah aku dan cik putih bermula apabila aku dan keluarga mula balik mendiami rumah di kampung setelah beberapa tahun berkelana di negara orang. Balik dengan membawa pelbagai pengalaman termasuklah pengalaman mistik di negara mat saleh (mungkin aku berkongsi lain kali). Pada mulanya kami menetap di rumah tok wan sementara menunggu rumah sendiri siap dibina (tak jauh dari rumah tok wan). Ketika ini, tok sedang sakit tua dan tidak boleh bergerak. Manakala wan pula masih kuat cuma daya ingatan semakin berkurang. Ketika di rumah pusaka ini, aku tidak pernah tahu kewujudan cik putih. Cuma sesekali bertembung dengan entiti lain yang mungkin tersesat di kawasan itu. Selepas rumah keluarga aku siap dan kami berpindah ke sana, barulah aku tau kewujudan cik putih.
Pertama kali aku melihat cik putih, ketika itu aku berada di tingkatan lima. Mudah untuk aku ingat kerana kami berpindah ketika aku tengah dalam ‘tahun exam’. Disebabkan aku menaiki basikal ke sekolah, sudah menjadi amalan aku untuk mengepam angin tayar basikal ketika malam isnin (biasalah, aku tergolong dalam golongan yang suka berlengah dalam membuat kerja-kerja yang aku tidak gemar. Padahal aku ada seluruh hujung minggu untuk buat kerja mengepam angin tu). Ketika sedang mengepam berseorangan di porch rumah, aku terasa seperti diperhatikan. Sebagai seorang manusia yang ada sifat ingin tahu, aku mencari siapa yang sedang memerhati. Nun di sebalik pasu besar pokok bunga kertas abah, aku terlihat kelibat orang berbaju putih sedang mencangkung tapi aku tidak dapat melihat mukanya disebabkan tersembunyi di sebalik rambutnya yang kerinting (ikal??) dan panjang. Ketika ini, aku tidak merasa takut. Lebih kepada marah disebabkan aku mengandaikan kelibat itu cuma budak kampung yang nakal sedang mengusik, mungkin berdendam selepas peristiwa dikejar oleh mak beberapa petang yang lepas selepas ditangkap mengacau anak-anak dara dia.
Aku berdiri sambil bercengkak pinggang dan merenung ke arah kelibat itu. Mungkin dalam lima minit juga aku berkeadaan sebegitu sehingga dia sendiri mula bangun. Dia bangun dengan perlahan-lahan sambil memusingkan badannya ke arah jalan masuk rumah kami yang kebetulan dipagari pokok buluh. Dalam hati aku ketika itu, terbit rasa kagum terhadap usaha budak-budak nakal ini dalam membuat penyamaran mengusik aku. Terfikir dari mana mereka dapat jubah putih dan rambut palsu sebegitu dan bagaimana mereka berdiri sehingga menjadi sebegitu tinggi serta cara berjalan yang agak pelik sehingga hilang dalam sekelip mata apabila melepasi pokok buluh tersebut. Ini kerana cara berjalan kelibat itu kelihatan sungguh smooth tidak seperti manusia biasa berjalan. Macam melayang. Tapi ketika itu tidak terlintas langsung apa yang aku lihat itu bukan manusia. Selepas dia hilang, aku meneruskan aktiviti mengepam sehingga siap. Aku cuma tau itu adalah cik putih selepas terjumpa kali kedua tidak lama kemudian.
Kisah 3:
Aku terjumpa cik putih lagi ketika bangun membuat ulangkaji pada pukul 4 pagi. Berseorangan di ruang tamu rumah kerana pada masa yang sama aku juga ketika itu adalah seorang avid star gazer dan kebetulan pada malam itu, diramalkan akan berlaku meteor shower. Sambil mengulangkaji, aku sekali sekala melihat ke luar tingkap untuk melihat jika adanya meteor shower tersebut. Tapi tiada apa dapat dilihat berikutan langit dilitupi awan. Mungkin akan hujan. Perkara yang sama aku ulangi dua tiga kali. Sehinggalah satu ketika, aku ternampak lembaga putih berdiri (terapung lebih tepat) di bawah lampu jalan di halaman rumah dengan kainnya berkibar ditiup angin malam. Ketika pertama kali aku melihatnya, jaraknya dalam 100meter dari tingkap aku berdiri. Aku mengalihkan pandangan seketika daripada tingkap dan bertanya pada diri sendiri, betul ke apa yang aku nampak ni? Untuk mendapat kepastian, aku melihat ke luar sekali lagi.
Kali ini dia berada semakin dekat dan aku dapat lihat lebih jelas mukanya yang hitam dan mulutnya tersenyum sinis. Namun apa yang tidak dapat aku lupa ialah pandangan matanya (malahan dalam kejadian lain yang melibatkan entiti lain, aku cenderung untuk alah melihat mata mereka). Sukar untuk aku perihalkan pandangannya. Namun sudah cukup untuk aku katakan pandangannya yang tajam membuatkan aku menjadi seram. Dan ketika itu baru aku sedar apa yang aku lihat sebelum ini bukan manusia (insiden kelibat di sebalik pokok bunga kertas). Tapi aku masih tidak berganjak daripada tingkap itu dan melihat ke luar untuk kali ketiga. Kali ini aku melakukan kesilapan dengan melanggar pantang larang yang dipesan oleh arwah tok. Aku terjerit kerana terkejut melihat dia sudah berdiri betul-betul di hadapan tingkap. Kami hanya dipisahkan oleh cermin tingkap sahaja ketika itu. Selepas itu aku terus berlari bersembunyi dalam selimut di dalam bilik dan bermula episod aku dikacau oleh cik putih hampir setiap malam.
Gangguan cik putih tidaklah seteruk mana. Sekadar mengetuk tingkap atau menggoncang tingkap bilik aku atau di mana sahaja di ruang aku berada ketika itu. Aku dan keluarga buat tidak tahu sahaja. Namun sepupu aku yang suka tidur di rumah tersebut mula jarang datang. Katanya seram tengok tingkap bergegar. Perkara itu berlanjutan beberapa ketika sehinggalah aku sendiri mula berasa bosan dan marah kerana perlu mendengar bunyi ketukan sebegitu hampir setiap malam. Kemuncaknya, ketika dia seronok menggoncang tingkap ruang tamu (aku ketika itu sedang bersandar di sofa di tepi tingkap), aku terus membuka tingkap itu dan menjerkahnya agar tidak mengganggu aku lagi (aku tak kacau kau, kau jangan kacau aku). Yes, aku bila naik angin, memang boleh jadi unpredictable sampai lupa dunia. Tapi tindakan aku itu berkesan apabila tiada lagi insiden ketukan tingkap.
Kisah 4:
Selepas selesai insiden ketuk tingkap itu, aku mengambil masa juga untuk membuat aktiviti di luar rumah ketika malam (siram pokok, pam angin tayar basikal, etc). Lama-kelamaan aku sendiri hampir lupa dengan kewujudan cik putih. Satu malam, aku membuka tingkap di ruang tamu untuk membuang habuk ke luar rumah (kes malas nak buang dalam tong sampah yang berada di dapur) dan ketika hendak tutup semula tingkap, selak tingkap terjatuh ke luar rumah. Disebabkan aku telah terlupa dengan kewujudan cik putih, maka dengan selambanya aku keluar berseorangan ke bahagian tepi rumah untuk mengambil selak yang terjatuh. Tepi rumah itu hanyalah belukar dan terdapat sebatang pokok janggus tua dengan satu dahannya menyulur ke arah belakang rumah aku (sebelum ini aku pernah terdetik memang dahan tersebut port baik unutk cik pon bertenggek). Ketika sedang menunduk untuk mengambil selak, dari hujung mata aku, aku ternampak kelibat putih melayang turun ke dahan itu. Segera aku berpaling ke pokok tersebut dan cik putih yang tadi seolah baru nak menenggek di dahan tersebut terus terhenti dan mula melayang laju ke arah aku. Malam itu, mungkin dalam sejarah aku, aku berlari mengalahkan Watson Nyambek (pelari negara paling terkenal ketika itu). Nasib baik aku dapat masuk ke rumah tanpa diikuti cik putih. Mak yang baru selesai makan terkejut tengok aku yang pucat dan berpeluh. Ditegurnya aku kenapa, kena kejar hantu ke apa? Yang sememangnya betul pun.
Kisah 5:
Selepas kejadian dikejar itu, aku sedikit fobia untuk berjaga malam. Tapi itu tak bermakna cik putih tidak boleh mengusik aku lagi. Pernah ketika aku sedang tidur (lampu semua ditutup), aku terbangun seolah-olah ada yang mengejutkan aku dari tidur. Terdengar bunyi tapak kaki berjalan mengelilingi katil aku. Termasuklah di belakang kepala katil yang bersandar di dinding rumah. Bila memikirkan logik bunyi tersebut, aku tau ini bukan bunyi manusia. Masakan manusia boleh tembus dinding!!! Terus aku membuka lampu bilik. Selepas lampu dibuka, terdengar bunyi tapak kaki tersebut berjalan ke arah ruang tamu sebelum hilang. Akibatnya beberapa bulan aku tidur dalam keadaan lampu menyala sehingga abah bising bil eletrik naik melambung. Tapi selepas kejadian itu, aku tidak lagi melihat cik putih secara jelas. Cuma sesekali aku terlihat kelibat dia mengintai ketika aku belajar di bilik (bilik aku paling belakang dan meja belajar tepi tingkap). Aku yang sudah lali dengan dia cuma menegur dia agar jangan ganggu aku. Kekadang terdetik juga dalam hati, “mata merah tu ingat lawa sangat nak tunjuk kat orang??”. Nasib baik tak terkeluar di mulut, kalau tak maunya cik putih mengamuk dengan aku. Tapi selepas itu sehingga kini, dua orang adik aku pula sekali sekala terjumpa dengan cik putih.
Kisah 6:
Ini kisah adik lelaki aku. Dia muda 10 tahun dari aku dan ketika kejadian ini berlaku, aku telah berpindah dan bekerja di selatan Semenanjung. Di kalangan keluarga kami, dia ni memang kutu malam. Suka melepak di rumah lama tidak jauh daripada rumah kami dengan rakan-rakan sekampung. Balik ke rumah menjelang tengah malam. Satu malam, selepas balik, dia terus ke dapur untuk mengisi perut. Selesai makan, dia membawa pinggan kotor ke dapur basah. Dapur basah ini terdiri daripada separuh bata dan separuh grill dan berbumbungkan awning biasa. Memang open to the element dan boleh lihat jelas ke luar rumah. Ketika sedang membasuh pinggan, dia terdengar bunyi di bumbung/awning dapur tapi dia buat tidak tahu sahaja kerana menyangkakan bunyi itu berpunca daripada daun kelapa yang bergeser dengan bumbung. Tiba-tiba, dia terlihat ada rambut panjang mula berkirai di hujung awning bertentangan dengan tempat dia membasuh pinggan. Ahhh… sudah katanya sebelum cik putih menyuakan kepalanya pula. Memang adik boleh lihat jelas cik putih bergayut di tepi awning dengan kepala di bawah dan badannya di atas. Terus adik masuk dalam dan kunci pintu tanpa tutup lampu.
Kisah 7:
Adik yang sama dan yang masih belum serik (malahan dia semakin berani pergi mencari penanggal yang dikatakan suka bertenggek di pokok kekabu berhampiran port adik melepak). Ketika membasuh pinggan di dapur basah, dia terasa ada yang memerhati. Ditolehnya ke belakang dan sememangnya cik putih sedia menunggu. Cik putih berdiri tidak jauh daripadanya dengan keadaan kepala bergeleng-geleng sambil tersengih kepada adik. Terus disumpahnya cik putih sebelum dia masuk ke dalam rumah tanpa menutup lampu dapur.
Kisah 8:
Adik perempuan yang bongsu ini sudah aku sampaikan pesan tok berkaitan makhluk halus ini. Dia sudah maklum setelah mendengar cerita akak dan abang dia. Jadi tidak terkejutlah sangat bila dia mula melihat kelibat cik putih. Bila dia belajar lewat malam, dia juga sering menjadi mangsa usikan cik putih. Tapi sekadar ketukan di tingkap tanpa penampakan yang ekstrem (sekadar ternampak rambut atau kelibat putih). Dia hanya mengambil langkah menjauhkan diri daripada tingkap dan sambung membuat kerjanya di ruang tamu.
Itu sahaja yang aku dapat berkongsi kali ini. Mungkin ada yang tertanya kenapa tidak dibuang sahaja cik putih daripada terus menjadi penunggu kampung? Soalan ini sukar dijawab kerana abah aku bukanlah seorang yang suka melayan kisah sebegini walaupun dia tau tentang kewujudan cik putih. Katanya selagi dia tidak kacau teruk-teruk, biarkan dia sudah. Manakala bapak saudara aku yang mengambil alih rumah pusaka selepas ketiadaan tok wan pula terus diam sehinggalah dia sendiri meninggal. Mungkin selepas ini, anak-anak aku pula akan terserempak dengan cik putih. Ntahlah….
- hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Kenapa dia panggil penunggu kampung, bukan penunggu rumah saja? Dia memang merayau satu kampung ke? Ke rumah awak aja yg diganggu? Tapi extreme jugak eh, cara dia tak segan-silu mendekati, mengejar etc.
aku panggil dia penunggu kampung sbb org kampung lain pun ada gak yg terkena.. esp kalo org luar yg dtg menyewa di kampung tu.. cth 1 kes dpn umah aku.. 1 famili asal dr selatan baru menyewa umah depan umah aku.. lps first week stay di umah tu, anak dia yg no.2 selalu terjaga tgh2 mlm dan akan usaha keluar rumah.. time tu umo dia dlm 9 thn kalo x silap aku.. mcm sleepwalking gitu.. bila dipanggil oleh parent dia, dia kata mcm ada org panggil dia suruh keluar rumah.. lps beberapa mlm mcm tu, anak dia terlepas gak keluar.. nasib mak tu tersedar wpun anak dah keluar rumah.. rupanya cik putih dok gamit panggil anak dia… siap cik putih mencangkung tgh laman umah.. lps mak tu tarik anak dia masuk, cik putih pun ilang.. nasib baik mengusik mcm tu je, xde melawan ke apa…
Nakal jugak Cik Putih tu eh? Tapi cara dia mengacau tu mcm terlalu berani. Bukan usikkan manja lagi nieee…..