Dah tahu tapi…

(intro)
Suasana kg. Dilama  sangat nyaman dikelilingi sawah padi, bukit, hutan, kebun getah dan sungai. Kampung yang tidak diusik dengan arus pembangunan melainkan jalan raya yang dinaiktaraf kepada tar untuk kegunaan kenderaan penduduk kampung dan jentera berat. Sebelum masuk ke  kg. Dilama, perlu melalui kampung utama iaitu kg Kelapa. Kg. Dilama hanyalah 1 bahagian daripada 12 bahagian yang ada di kg.kelapa. Sepanjang jalan menuju ke kg. Dilama akan melalui kawasan hutan, kuburan di atas bukit dan sawah padi. Setelah melalui kuburan, akan ada 2 persimpangan untuk pergi ke kg. Dilama. Jalan pertama berlopak dan berbatu tapi cepat sampai dan pemandangan sawah sepanjang jalan. Manakala jalan kedua pula ber-tar tapi jalannya bengkang bengkok, berbukit dan dikelilingi pokok Sapuda. Rumah-rumah di kg. Dilama pula jenis bertaburan, hanya sebuah-sebuah, paling banyak pun hanya 3 buah dalam 1 kawasan. Yang lebihnya sawah padi mengelilingi.

*CERITA 01 1997
Tahun ini genap aku berumur 4 tahun dan  aku hanyalah kanak-kanak yang suka bermain anak patung dan bermain masak-masak bersendirian. Malah bercakap sendirian seolah-olah ada yang menemani, mamaku kadangkala pelik dengan ku tapi mengabaikan saja tingkahlaku aku. Menganggap ianya hanyalah kebiasaan budak perempuan yang sedang bermain anak patung memandangkan 2 orang adikku masih kecil dan rumah yang kami diami di atas bukit, dikelilingi kebun getah dan langsung tidak berjiran, mama biarkan saja. Anak patungku tentulah seperti dalam movie “IM JACKEY”, serupa tapi tidak sama. Bapaku belikan di gerai bundle anak patung semasa tamu mingguan.

Bapaku merupakan pemandu lori dan bapa suka sangat memandu lori. Hampir ke semua kerja bapa adalah sebagai pemandu. Biasalah kanak-kanak yang hanya tahu bermain, langsung tidak tahu yang datuk kesayangan sedang tenat di hospital. Bapa, mama dan aunty Nia membawaku ke hospital dengan menaiki lori. Bapa dan mama duduk di depan, manakala aku dan aunty Nia duduk di belakang lori, merasalah angin malam. Sampai saja di hospital, kami melawat datuk yang sedang terlantar. Aku hanya melihat datuk tanpa perasaan, sedih tiada, risau pun tiada. Biasalah budak yang belum faham erti bakal ditinggalkan.

Usai melawat, kami pun pulang. Cahaya bulan terang dan bulat saja di atas langit. Sampai di 2 persimpangan, bapa mengambil jalan yang kedua, jalan yang dikelilingi hutan dan bengkang bengkok. Aku dan aunty Nia yang berada di belakang lori terasa sejuk dengan angin malam. Sedang aku dan aunty Nia khusyuk memerhati segenap alam yang di terangi cahaya bulan, muncul seorang lelaki dengan tiba-tiba mengejar lori yang bapa pandu. Keluar dari arah mana, aku tidak pasti. Yang pastinya aku kasihankan lelaki tersebut.

Aku: Kenapa bapa tidak tumpangkan uncle tu, aunty? Kasihan dia.tengok berlari mengejar kita sudah.
Aunty Nia: Entah bapa kau. Eh. Uncle yang mana ni, Ner?

Aku dan aunty perhatikan saja lelaki tersebut. Dengan bantuan kuasa bulan (Sailormoon), aku cuba amati wajah dan badan lelaki tersebut. HITAM!!! Tidak bermuka, tidak berambut (botak) malah tidak berbaju. HITAM semata-mata.

Aku : Siapa tu, aunty?
Aunty Nia : Itu bukan uncle Ed kah?
Aku : Bukanlah.
Aunty Nia : ehhhhhhhhhhh…Ner, jangan tengok lagi. Tutup mata kau.

Maka aku pun tutup mataku walaupun aku tidak pasti untuk apa…Hahahaha
Namun, aku masih mencuri pandang lelaki tersebut, laju lariannya, hampir selaju lori yang bapa pandu. Turun saja dari bukit, lelaki tersebut hilang begitu saja sepertimana dia muncul tadi. Aku biarkan saja, tidak penting.

*CERITA 2 1998
Datuk selamat dikebumikan di kuburan atas bukit tahun lalu. Aku tidak pergi semasa datuk dikebumikan walaupun aku telah merenggek sakan dengan mama. Mama kata tidak bagus budak kecil pergi kuburan. Maka aku pasrahkan saja kata mama. Setahun sudah berlalu datuk meninggalkan kami semua. Aku masih lagi tidak merasa kehilangan tapi aku tahu, datuk aku sudah meninggal dunia. Aku menjalani kehidupan seperti biasa bermain, makan dan tidur. Setiap kali hujung minggu, sepupu aku dua beradik akan naik ke atas bukit tempat aku tinggal untuk tidur. Budak-budak perempuan kalau berjumpa memang banyak cerita, cerita pasal buah tarap telah masak di depan rumah, cerita mandi di tali air siap terjun bagai dan cerita di sekolah memandangkan mereka berdua 4 tahun tua dari aku.

Malam masih muda, baru jam 8 malam. Kak Hera telah terlelap awal. Mungkin kepenatan naik bukit tadi. Maka aku dan kak Zera pun terkebil-kebil tunggu untuk terlelap. Aku pandang pintu yang berada di atas kanan kepala ku, sedikit terbuka. Aku pandang tingkap yang tertutup rapat yang menghadap kami bertiga, tertutup rapat dan berkunci. Aku masih tidak dapat tidur, aku ubah posisi tidurku dari mengiring ke terlentang. Aku pandang kelambu hijau yang bapa dapat dari hospital tempohari. Ada ubat diletakkan di kelambu untuk mencegah nyamuk masuk dan menghisap darah kata bapa. Banyak tahi cicak bertaburan di atas kelambu, macam jamban cicak pula. Sungguh pemandangan yang tidak enak. Aku tajamkan lagi mataku sehingga menembusi lapisan kelambu. Aku pandang bumbung zink, masih baru, bapa dan adik beradiknya telah tukarkan minggu lalu. Puas aku memandang bumbung zink, aku pandang pula pelita minyak tanah di tepi dinding di sudut bilik. Gambar amoi di bingkai pemegangnya tersenyum manis. Aku pejamkan mata, berharap akan terlelap sekejap lagi.

Kak Zera : Ner oh Ner. Kau tidur sudah kah? (Sambil goyangkan tangan aku dengan lembut?)
Aku : Belum lagi, kenapa? (masih menutup mata)
Kak Zera : Bangun dulu. Cuba kau tengok di sana. (Menghalakan jarinya ke arah pelita minyak tanah)
Aku : Siapa tu, kak? (Terus terduduk)
Kak Zera : Uncle Sam mungkin.
Aku : Bukanlah. Mana mungkin Uncle masuk bilik kita malam-malam.
Kak Zera : Ner, kau tutup dulu tu jendela, terbuka luas ni. Mungkin angin kuat sangat.
Aku : tidak mahu. Akak lah pergi.

Sesi suruh menyuruh pun berlaku. Aku tetap bertegas tidak mahu. Aku pandang belakang lelaki yang menghalang cahaya pelita minyak tanah. Duduk tertunduk tanpa gerakan. Aku amati dengan teliti belakang badan lelaki tersebut. Rambutnya, belly fat nya dan bentuk badannya. Sebiji dengan mendiang datuk. Aku pandang jendela yang terbuka luas. Pokok-pokok getah yang statik berdiri, tidak berangin langsung. Bunyi burung hantu dan cengkerik memecahkan kesunyian malam mewujudkan ketakutan dalam diri seorang budak perempuan yang tidak dapat melelapkan mata. Akibat ketakutan melampaui akal kanak-kanak, aku hanya mampu…

Aku : Mamaaaaaa. Masuk bilik kejap.

Mama aku pun terkedek-kedek masuk ke bilik aku.

Mama : kenapa tidak tutup jendela ni?
Aku : Ada datuk masuk tadi. Dia yang buka tu jendela (sambil menunjuk ke arah pelita minyak tanah.)
Mama : mimpi saja kau. Apa pula datuk, Uncle Sam lah (sambil tutup jendela dan menguncinya.)
Aku : Bukannnnnn, mama!
Mama : sudah, pergi tidur. (Keluar dari bilik, pintu dibiarkan terkuak.)
Aku : bukan, mama! Datuk lah! (mendengus tidak puas hati)
Kak Hera : Uncle Sam mungkin, Ner.
Aku : Bukanlah, kak. Uncle Sam dengan bapa kan sedang minum di ruang tamu.

Aku tidak tahu mengapa mama tidak percayakan aku, sedangkan kak Zera pun nampak. Biarlah, bukan penting pun.

*CERITA 3 2005
Penatlah pergi kelas tambahan. Pagi pergi sekolah, petang sambung terus dengan kelas tambahan. Rumah aku dengan sekolah bukannya dekat,l ebih-lebih lagi hanya berjalan kaki, hampir sejam baru sampai. Kalau hujan, basahlah buku dan kasut sekolah. Tapi aku suka pergi sekolah, bukan sebab banyak kawan tapi sebab aku suka belajar, nak dapatkan banyak A dalam UPSR. Jarang sekali aku bersendirian balik rumah. Dira dan Yana yang seumuran denganku akan balik bersamaku memandangkan rumah mereka berada di antara 2 simpang tersebut.

Aku, Dira dan Yana bersembang kosong pasal sekolah dan pasal drama Thailand yang kami tonton tadi di rumah aunty si Dira. Sambil berjalan, sesekali kami terjerit kegelian melihat cacing tanah yang besar yang telah  keluar dari tanah dan berada di atas jalan raya ber-tar. Aku tidak pasti macam mana dan kenapa cacing tersebut berada di atas jalan raya, elok-elok dalam tanah yang lembab, keluar-keluar pula terpijak tanpa sengaja oleh kereta atau manusia. Kasihan tapi menggelikan. Mungkin cacing tersebut haus dan ingin minum air memandangkan baru lepas hujan. Teori aku saja. Aku kan baru 12 tahun, tiada yang nak dihairankan sangat dengan teori mengarut aku.

Aku, Dira dan Yana berhenti sekejap di tepi jalan. Penat terlompat-lompat mengelak cacing di jalanan. Kami tidak berhenti di bawah pokok yang ada pondok usang yang hanya tunggu masa untuk roboh. Entah mengapa. Aku hanya berdiri menghadap hutan sambil membelakangkan Dira dan Yana yang sedang duduk di tepi jalan raya yang basah akibat hujan panas tadi. Biasalah budak kampung, semuanya alah bisa tegal biasa. Entah apa yang dibualkan oleh Dira dan Yana, aku tidak berapa mendengar sangat. Sedang memerhati pokok-pokok sapuda, aku terkaku.

Suara lelaki tua : Honggoh tonggohyon dikoyu? (Dari mana kamu?)

Aku pandang kiri kanan aku. Tiada sesiapa. Aku pasti suara tersebut dekat sangat dengan aku, seolah-olah suara tersebut di depanku dan sedang bercakap dengan aku. Aku pasti bukan 1 suara saja, tapi sangat ramai seperti sekumpulan lelaki tua yang sedang berbual sesama sendiri.

Suara lelaki tua :  Honggoh tonggohyon dikoyu? (Dari mana kamu?)

Aku pusing ke belakang dan pandang Dira dan Yana. Mereka sudah berdiri .

Aku : kamu dengar kah apa yang saya dengar? (muka terkejut)
Dira & Yana : (mengangguk dengan muka terkejut)

Tanpa banyak cakap, aku terus berlari tanpa pandang belakang lagi. Aku sangat pasti Dira dan Yana juga turut berlari di belakangku. Perjalanan yang memakan masa 15 minit menjadi 5 minit lebih-lebih lagi perlu melalui kuburan yang berada di atas bukit. Berlari dengan perasaan takut menjadikan penat tidak terasa. Apabila ceritakan kepada mama si Yana…

Mama si Yana : perasaan kamu saja tu. Tu lah jalan lagi selepas hujan panas.

PENUTUP
Mungkin kamu nampak tapi tidak pasti. Mungkin kamu dengar tapi tidak faham. Mungkin kamu terkejut tapi tidak takut. Mungkin kamu seorang tapi tidak bersendirian. Mungkin tidak seram bagi kamu tapi tidak bagi yang penakut. Ini perkongsian aku dan nama aku ENERI. Assalamualaikum. Kbai…

4 thoughts on “Dah tahu tapi…”

Leave a Comment