Dendam Melianti

Salam dan hai admin FS, terlebih dahulu aku ingin ucapkan terima kasih kerana dapat menyiarkan kisah aku yang tak seberapa ni. Kisah yang ingin aku sampaikan ialah mengenai pembunuhan kejam seorang gadis warga Indonesia. Arwah gadis tersebut bernama Melianti.

Tengahari di hujung minggu pada tahun 1992, ketika itu Melianti sedang duduk bersantai sambil membaca majalah dan mendengar radio di ruang tamu rumah setinggannya. Melianti tinggal bersama mak ciknya setelah sama – sama berhijrah dari seberang pada tahun 1989. Dia satu – satu harapan keluarganya kerana dia merupakan anak sulung daripada 5 beradik, sejak bapanya lumpuh akibat kemalangan, dia telah bertekad untuk berhijrah ke Malaysia bagi meringankan beban bondanya demi menyara kehidupan mereka sekeluarga. Setiap bulan, Melianti akan mengirimkan sejumlah wang hasil pekerjaannya sebagai pencuci pinggan kepada keluarganya di kampung.

Berbalik kepada kisah tadi, sedang syok menatap majalah URTV koleksi bulanannya, mak ciknya berpesan untuk menutup api nasi yang sedang ditanak untuk makan tengahari nanti kerana mak ciknya sakit perut ingin ke tandas di luar rumah. Dia hanya mengiakan sahaja, hari itu dia ‘off’, jadi dapatlah dia merehat –rehatkan badannya. Setelah memperlahankan api nasi, dia ke peti ais untuk mengeluarkan daging yang dibeli semalam, cadangnya mahu dimasak daging belado ala Padang. Sambil itu, dibelai – belai rambut kesayangannya yang persis artis kegilaannya, Sofea Jane.

Sedang enak dibuai lagu – lagu daripada radio sambil merendam daging, terdapat kelibat melintasi belakangnya, dia menoleh tetapi tiada siapa, baru sekali pandangannya teralih ke sinki, BAPPPP, sesuatu menghempap kepalanya, dia terus tidak sedarkan diri. Seseorang telah memukul kepalanya dengan benda keras.

Penjenayah tersebut lalu mengheret jasadnya sehingga keluar rumah mengikut pintu belakang yang ternganga. Tidak pasti dia masih hidup atau tidak selepas dipukul di kepalanya, jasadnya kemudian dibawa ke kawasan pembinaan sebuah sekolah vokasional dan direbahkan ke pangkal pokok sena. Pohon itu menjadi saksi dia dirogol secara bergilir – gilir ketika dia langsung tidak sedar apa yang terjadi, kemudian jasadnya ditikam di beberapa bahagian yang membawa kepada kematian tragis Melianti. Setelah tidak bernyawa, si pembunuh telah memerah limau nipis ke atas jasadnya selama beberapa kali dan dibacakan ayat – ayat pemujaan ke atasnya.

Dua tahun berlalu, sekolah vokasional tersebut membuka pagar kepada pengambilan sulung pelajarnya yang hanya seramai 200 orang sahaja. Majoriti pelajar dan guru adalah orang luar, jadi mereka tidak tahu kisah di sebalik sekolah tersebut, yang tahu hanyalah staf – staf sokongan yang merupakan penduduk setempat. Siri gangguan bermula apabila pelajar – pelajar perempuan sering diganggu oleh kelibat Melianti di koridor hostel.

Sesetengah pelajar yang selalu terjaga pada tengah malam akan ternampak kelibat wanita berbaju kurung melintasi koridor di sebalik langsir dan lampu koridor yang terpasang, jadi biasan bayangan akan nampak lebih jelas di sebalik tirai. Jika bernasib baik dan terjaga pada tengah malam, jelmaan arwah akan kelihatan melintasi ruang tengah pembahagi katil di dalam dorm. Jika ada yang tidak kuat semangat akan terkena histeria, saban minggu kejadian histeria akan berlaku di blok aspuri sehingga para warden terpaksa memanggil imam masjid untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sudah beberapa kali imam masjid memagar sekolah tersebut, namun penampakan arwah tetap ada, arwah seperti tidak mahu meninggalkan tempat tersebut selagi bau darahnya masih wujud.

Siri gangguan terus berlaku sehinggakan para pelajar telah lali dengan penampakan arwah. Ada kes di mana pada tengah malam ada pelajar yang terdengar seseorang sedang memotong kuku, ada yang dialih ketika tidur apabila sedar sudah berada di dalam bilik prep. Ada yang diganggu dengan bunyi air paip mengalir sedangkan tiada siapa yang membukanya.

Namun keadaan ini amatlah mengganggu para pelajar yang ingin menduduki peperiksaan SPM menyebabkan lembaga sekolah telah berikhtiar untuk mengetahui kisah di sebalik penampakan tersebut melalui penduduk tempatan. Akhirnya seorang penduduk tempatan yang juga staf sokongan di sekolah tersebut telahpun membuka rahsia dan sebab – musabab berlakunya gangguan berterusan. Atas bantuan penduduk tempatan juga, pihak sekolah telah menemui ibu saudara Melianti sendiri yang tinggal tidak jauh dari kawasan sekolah.

Melalui nama penuh Melianti yang diperolehi daripada ibu saudaranya sendiri, suatu bacaan Yassin telah diatur oleh seluruh warga sekolah tersebut khusus buat arwah Melianti. Nama arwah telah disebut dipermulaan majlis berlangsung.

Sedang berkumandang bacaan Yasiin oleh ratusan warga sekolah memecah kesunyian kawasan sekolah dan hutan di sekitarnya, kelihatan roh arwah Melianti tersenyum dan menitiskan air matanya sedang berdiri betul – betul di bawah pohon sena yang terletak di padang sekolah, akhirnya dia pergi dengan aman tanpa mengganggu para pelajar tersebut lagi.

13 thoughts on “Dendam Melianti”

    • Tokwan ni bekas seorang penulis buku fiksyen. Tokwan hargai semua sumbangan artikel dalam page ini. Bukan mudah utk garapkan apa yg ada dln fikiran ke paparan nyata.
      Buat yg terbaik dan sesungguhnya ramai yang waras akan menghargai.
      Oh, dlm mempertikaikan kewajaran cerita di atas, jgn sesekali melupakan tentang wujudnya Qorin.Wassalam

      Reply

Leave a Comment