Diam Saja

Assalamualaikum buat semua pembaca FS, terima kasih admin luluskan cerita aku ni untuk tatapan warga-warga FS.

Innalillahiwainnailaihirojiun, bila Tok Chaq tak dak umi?”, Soalku sebaik dimaklumkan Tok Chaq ku di kampung telah meninggal dunia.

“Baru sat ni, Lang Imah telefon bagi tau. Dah, lekaih pi panggil adik-adik suruh depa siap, umi nak telefon Walid bagi tau dan mintak izin balik kampung”, Arah umiku seraya menghubungi walidku yang kebetulan bekerja di luar kawasan. Tanpa berlengah, aku bingkas bangun mengejutkan adik aku Jenab yang terbungkang tidak sedarkan diri waktu umi masuk ke bilik menyampaikan berita.

“Adik, oi bangun la. Pi mandi siap lekaih, kita nak balik kampung Tok Chaq tak dak dah”, sambil menepuk-nepuk lengan adik aku.

Bangun la hamba Allah tu terpisat-pisat dengan rambut mengerbang mengalahkan cik pon, kataku di dalam hati sambil tersengih-sengih berlalu pergi ke bilik adik lelaki aku si Jep. Ni satu lagi masalah, nak kejut awang ni mau 1 lorong ni terjaga karang pun belum tentu dia bangun, lantas aku menelefon Jep. Elok je dia hello, terus aku letak fon sambil cakap depan pintu bilik dia. Hah, dah bangun, pi mandi sana, kita nak balik kampung, Tok Chaq tak dak dah. Aku berlalu pergi mandi, bersiap.

Jam di dinding menunjukkan pukul 4.00 pagi. Aku ambil kunci kereta untuk dihidupkan sementara menunggu yang lain siap. Buka je pintu rumah, angin dingin menerpa masuk. Rasa sejuk dan segar. Aku berjalan ke kereta yang di parkir di hadapan rumah. Untung duduk lorong belakang, depan rumah ada kawasan lapang, dengan beberapa pokok yang ditanam jiran-jiranku. Sedang aku cuba memasukkan kunci, tetiba terasa ada sesuatu yang meleser di kaki. Berdebar, perlahan-lahan aku melihat ke bawah. Caitttt, hang ka Cik Teh, terkejut aku la. Pi main sana, haiz buat saspen la hang ni. Bebel aku sendirian ke kucing jiran aku yang bewarna putih tu.

Aku masuk semula ke dalam rumah dan keluar bersama adik aku Jep, aku perasan Cik Teh sedang mundar mandir sambil mengiau tak henti-henti di hadapan pokok nangka jiranku yang merimbun tu, sambil sesekali dia berhenti dan memandang ke atas pokok tersebut. Aku memandang sekilas ke arah pokok berkenaan, tak dak apa pun, kucing ni dok tengok apa pulak getus aku sendirian. Jep tengah hisap rokok di tepi kereta sebelah tempat duduk penumpang hadapan sebaris dengan pokok nangka jiran aku tu, sambil layan henponnya.

Aku baru nak masuk kereta, tiba-tiba pokok nangka tu bergoncang, Cik Teh dah berhenti mengiau, dia memandang ke arah pokok nangka tu. Aku terdiam, menatang apa pulak dah ni. Gedebuk, bunyi benda jatuh dari atas pokok nangka tu. Hah sudah, aku pandang Jep, dia buat tak tau je macam takde apa-apa yang berlaku. Ish, budak ni tak dengaq apa-apa ka. Cepat-cepat aku masuk ke dalam kereta, tak lama lepas tu umi dan Jenab pun masuk ke dalam kereta, kitorang pun bertolak pulang ke kampung. Aku memandang ke cermin sisi, Cik Teh masih di tempat tadi, tiba-tiba kucing tu berlari masuk ke dalam rumah jiranku. Ish, macam-macam aih. “Ya Allah, selamatkanlah perjalanan kami sekeluarga”, doaku di dalam hati.

Alhamdulillah, urusan pengkebumian berjalan lancar. Semuanya selesai selepas zohor. Sambil berehat aku hampiri Jep.

“Wei, hang tak dengaq ka bunyi benda jatuh semalam kat pokok nangka tu? Sikit punya kuat bunyi, siap pokok bergoncang-goncang lagi”.

“Mana ada, aku tak dengaq apa pun”, Jelas Jep.

Aku bingung, takkan dia tak dengaq kot. Dekat ja dengan dia pokok tu. “Mungkin perasaan aku ja kot tu”, Fikirku untuk menyedapkan hati. Tiba malam di kampung, kitorang tengah bersiap-siap untuk ke rumah arwah Tok Chaq yang terletak bersebelahan dengan rumah Tokwan aku. Yang mana da siap masing-masing da pergi ke sana. Tinggal aku ja masa tu baru nak mandi, Tokwan aku ada di dalam bilik dia yang terletak di sebelah bilik air. Dia tengah mengaji. Ha, nasib Tokwan ada. Bilik air kalau kat kampung luas, kolah je da suku bilik air. Terus terang cakap, aku memang seram sikit kat rumah Tokwan aku ni. Tapi, teringatkan Tokwan aku ada tengah mengaji, aku beranikan diri. Aku pun mandi macam biasa, tengah baik cuci muka, aku capai gayung nak jirus muka aku. Sambil air tu lalu di muka, aku buka mata. Allahuakbar..! Cepat-cepat aku sapu air di muka. Aku lihat sekeliling bilik air. Takda apa-apa.

Jantung aku berdegup laju. Lutut rasa dah longgar. Haish dok main apa plak menatang ni. Pi main tang lain la. Buat tak tau. Buat tak tau. Berulang-ulang kali aku cakap kat diri aku sendiri supaya buat tak tau. Hang kena berani. Jangan tunjuk hang takot. Depa suka. Aku sambung jirus muka aku, elok air tu lalu je kat muka aku. Aku buka mata lagi, bammmm, amik hang, seketoi muka makhluk berbulu. Mata merah menyala, menyerigai kat depan muka hang. Ibarat muka bertemu muka. Cepat-cepat aku lap muka aku, aku pandang sekeliling. Takda apa-apa. Aku cuba berlagak cool seolah aku tak terkesan dengan apa yang baru berlaku. Sambil cepat-cepat pakai baju. Dari hujung kolah aku berdiri depan pintu cuba berlagak se “cool” mungkin. Kejap-kejap bulu tengkuk berdiri. Arrrrr, pi mampoih ah, cam ni punya gaya tak boleh buat tak tau dah. Mencicit aku lari tak sempat nak siap pakai baju. Mesti makhluk tu gelak-gelak tengok aku lari takot dengan dia kan. Haram betoi.

Selesai urusan di rumah Tok Chaq. Kami balik rumah Tokwan. Lepak-lepak minum teh cicah biskut mayat (biskut 4 segi tu). Aku tak tau la kenapa sini panggil biskut mayat. Tapi sedap ooo, sambil layan sembang dengan sepupu yang dah lama tak jumpa. Rancak la kami borak. Aku perasan, sepupu aku yang sorang ni Jafri, umur 8 tahun. Dia duduk depan aku, senyap je dia. Makan pun sambil tunduk bawah. Sesekali dia angkat muka, lepas tu cepat-cepat dia tunduk balik. Tak macam selalu, dia ni banyak keletah. Tapi malam ni, dia senyap. Kejap-kejap tergaru-garu. Memang nyamuk banyak betul malam tu kat rumah Tokwan aku. Tokwan aku tanya Jaf, “pasaipa senyap ja malam ni?”. Jafri angkat muka sambil tergaru-garu dia pandang belakang aku, “Tokwan kenapa rumah Tokwan ni banyak hant..”. Dia senyap, terus tunduk. “Banyak apa?”, Soal aku. “Aa..adik nak cakap banyak nyamuk. Ha, banyak nyamuk”, sambil tergaru-garu. Kami saling berpandangan. Masing-masing malas nak melayan fikiran, aku pun angkat lar semua cawan-cawan ke dapur untuk dicuci.

Sambil layan mencuci cawan tu, tiba-tiba atap zink dapur Tokwan aku berbunyi krekkkkkkk, macam ada benda berat duduk atas tu. Bunyi tu betul-betul di atas aku sebelah kiri. Aku pandang atas, takda apa pun. “Benda tadi ka?”, Detik hatiku. Cepat-cepat aku cuci cawan tu semua terus masuk tidur. Sebelum masuk tidur, aku terdengar si Jafri bergaduh dengan kakaknya June. “Boleh la kak, Jaf nak tidoq dengan hangpa. Jaf janji tak kencing tilam aih”. “Tak boleh la Jaf, nanti tidoq 5 minit, Jaf da kalut nak balik tidoq dengan mama”, Bebel si June. Terus ditutupnya pintu bilik. Malam tu kami berhimpit-himpit 4 toto. Punya la panas. Dalam gelisah cuba melelapkan mata. Sayup-sayup kedengaran pintu bilik kami diketuk halus.

“Kakakkk, nak masuk”, Suara si Jaf. “Tak boleh, p tidoq dengan mama!”, Bentak si June keras. Sekali lagi bunyi ketukan halus, beserta suara si Jaf. “Kakakk nak masuk”. Senada ja suara budak Jaf ni, takda tinggi rendah ton suara. Aku pandang si June, “biaq la dia tidoq dengan kita June, kesian Jaf”. Si June bangun, dia menjengah bawah pintu. Nampak bayang kaki si Jaf, June pandang aku, dengan muka eksited dia tunjuk isyarat senyap dekat aku. Sambil tangannya di tombol pintu. Sekali lagi bunyi ja ketukan halus di pintu terus si June bukak pintu, huwaaaaarrghh! Gaya nak menyakat adiknya.

Sekali dia yang terperanjat terlopong, takda sesiapa pun di pintu tu. Terus dia melompat ke aku. Muka pucat lesi, kami saling berpandangan. “Tadi tu suara sapa?”, Tanya June kat aku. “Suara Jaf kan?”. Aku mengangguk. “Jom kita pi tengok, Jaf main-main kot”, Usul aku. Kami jalan berkepit, perlahan-lahan pergi ke bilik mak cik aku, mamanya Jaf. “Wei kakkkk, hang tengok tu Jaf baik punya dok lena dengan mama, tadi tu sapa kak???”. June hampir menangis. Aku pandang June, June pandang aku. Terus aku cabut lari masuk ke bilik, kelam kabut June ikot. Kami berselubung dalam selimut sampai tertido.

Bangun pagi, aku dengan June masing-masing buat bodo macam takda apa yang berlaku. Selesai bersarapan kami bersiap-siap untuk pulang ke rumah masing-masing. Semua yang berlaku, masing-masing senyap mendiamkan diri. Diorang pun tak tau apa yang aku nampak masa dalam bilik air Tokwan. Aku pun malas nak cerita dengan diorang, takot nanti masing-masing pergi tandas nak berteman. Ni la antara pengalaman-pengalaman mistik aku, sebelum ni aku tak pernah nampak menatang-menatang ni semua, sekadar bunyi-bunyi ja. Semoga tiada lagi la benda-benda pelik yang nak muncul dalam hidup aku.

Sekian saja cerita aku. Tata.

Kak Cik

2 thoughts on “Diam Saja”

  1. ade yg panggil biskut lutut atau biskut mayat….kat kampung-kampung biskut tu selalu org hidang kalau ade kematian…cicah ngan kopi O…sedap doh!

    Reply

Leave a Comment