11 Jun 2012
Aku Izham. Catatan ini ditulis untuk merekodkan kejadian-kejadian aneh yang berlaku di rumah sewa yang baru aku masuki tiga hari lalu, bersama rakan-rakan dari rumah sewa yang lama. Kami berpindah dari rumah di Bangi ke Kajang, dengan hasrat untuk memulakan ‘hidup’ baru, setelah rumah sewa lama kami dimasuki perompak. Aku, Darren, dan Zeck hanya mampu bertawakal ketika itu. Nyawa di hujung parang lima perompak. Muhsin bernasib baik, kerana dia pulang ke kampung halaman ketika kejadian. Trauma tidak dirasakan, tetapi atas dasar simpati dan setiakawan, dia turut sama berpindah ke rumah baru. Sedangkan rumah baru ini menjarakkan lagi perjalanan pergi dan balik tempat kerjanya.
Cantik dan berpatutan harga sewa rumah ini. Bagi rumah tiga bilik, lot hujung dengan tanah halaman di sebelah, sewaan RM800 adalah agak murah di Kajang. Ruangan parkir juga luas, muat untuk dua kereta. Hari pertama masuk ke rumah itu, tiada perkara pelik yang berlaku. Seharian mengemas dan mengangkut barang ke dalam rumah. Kami selesai menyusun perabot-perabot di ruang tamu, ruang makan dan dapur usai jarum jam menapak pada angka 9. Barangan masing-masing masih belum selesai.
“Guys, makan malam dulu lah. Jom pusing-pusing area sini dulu, kasi familiar sikit dengan kejiranan,” cadang Darren. Semua bersetuju. Dengan persiapan ala kadar, kami menaiki kereta Honda Accord Darren untuk keluar. Aku memandang sekilas pada rumah itu. Entah kenapa ekor mataku tertancap pada pokok besar di halaman rumah itu. Seperti ada mata yang memerhati, lalu hilang apabila aku menoleh. Mungkin perasaan aku sahaja, getus hatiku.
Banyak yang kami bualkan di kedai mamak, melepak sebentar selepas menjamu selera. Dari isu kereta siapa lebih layak parkir di dalam, hinggalah penyusunan siapa yang masuk ke bilik mana. Kesemuanya bersetuju untuk memasuki bilik sepertimana susunan pada rumah lama. Muhsin dan Zeck berkongsi bilik utama, Darren bilik tidur kedua bertentangan dengan bilik utama. Aku pula mengambil hujung, paling dekat dengan dapur dan perlu melalui ruang makan dari ruang tamu hadapan untuk ke bilikku.
“Kau okay ke Iz guna bilik hujung lagi?” Soal Muhsin, kebimbangan. Mereka semua sedia maklum, akulah yang paling terkesan dengan kes di rumah lama. Perompak masuk dari pintu belakang di dapur, lalu menjadikan aku sebagai ugutan dan tebusan agar ahli rumah yang lain tidak melawan. Parang betul-betul di leher. Aku masih tidak mampu memegang pisau, walau sekecil pisau untuk menyapu jem pada roti, kesan daripada trauma kejadian itu.
“Aku okay. Asalkan aku dapat bilik yang senyap untuk bekerja.” Aku seorang penulis sambilan. Menjadi keperluan untuk aku mendapatkan ilham melalui representasi persekitaran yang kondusif dan senyap, semestinya.
“Kalau macam tu, oraitlah. But if you can’t handle it, tell me anytime. Kita boleh tukar,” Darren membalas jawapan aku. Si cina seorang ini memang baik orangnya. Patutlah anak dato’ pun gilakan dia. Proper gentleman.
12 Jun 2012 (hari keempat malam kelima)
Malam tadi aku bermimpi. Aku tersepit di antara ruang sempit. Lebih sempit daripada ruang bawah katil. Ditolak, ditanduk. Tiada kesan. Aku terbangun tidur dalam keadaan rimas dan berpeluh-peluh. Aku lihat pada jam dinding. 3 pagi. Hening suasana malam itu, sehinggakan pergerakan jarum saat jam kedengaran dengan jelas.
Aku perlu sambung karyaku. Tarikh akhir lagi sebulan. Masih banyak yang perlu ditulis. Bilik ini menyelesakan, walaupun sedikit sempit. Namun, isunya bukan pada bilik, tetapi pokok di luar sana. Jika kupandang keluar tingkap, hanya separuh batang pokok itu kelihatan. Selebihnya dilindung oleh dinding bilik. Kadang-kadang, fokus aku terganggu kerana bahagian batang pokok itu kusangkakan lembaga sesuatu.
13 Jun 2012 (petang)
Aku sampai dahulu di rumah. Selalunya, Zecklah yang pulang kerja paling awal. Masuk awal, balik awal. Aku perhatikan telefon bimbit aku. Baru aku sedar terdapat mesej daripada Zeck. Meminta untuk berjumpa denganku di warung mamak kegemaran mereka. Aku mengeluh, patutnya terus ke sana. Rasa malas untuk menghidupkan enjin kereta dan keluar semula sangat membuak-buak. Tiba-tiba, datang lagi satu mesej daripadanya.
“Jangan masuk rumah. Urgent. Please,” bagai tahu-tahu yang aku malas untuk ke sana.
“Yelah-yelah. Aku dah sampai rumah sebenarnya. Tapi takpelah, boleh dinner terus.”
Sesampainya di warung tersebut, kelihatan Zeck dalam keadaan gelisah. Pakaian yang agak memalukan bagi aku untuk mengaku kawan. Petang-petang hari, datang warung pakai singlet putih, seluar tiga suku. Aku duduk bertentangan dengan Zeck, lalu memesan mee goreng mamak dan air suam.
” Ha, dah kenapa pakai macam ni, keluar sampai warung ni? Pakailah elok-elok sikit. Ni baju lepak dalam rumah bolehlah,” permulaan bicara dengan teguran kepada Zeck.
” Kau kena dengar dulu cerita aku, bro. Aku bukan saja-saja nak pakai macam ni. Aku terpaksa lari tadi daripada rumah.” Aku mengangkat kening sebelah. Maksudnya, sesuatu berlaku di rumah yang membuatkan Zeck tergesa-gesa keluar. Zeck menarik nafas panjang, sebelum memulakan bicara.
“Kau tak rasa rumah tu pelik Iz?”
“Kenapa pula? Selain pokok yang annoying kat luar tu, aku rasa elok saja rumah tu.”
“Ya, pokok tu. Aku syak ada sesuatu. Aku kena kacau tengah hari buta, kau tau tak?” Zeck menyirup air minumannya, sambil menunggu respon daripada aku.
“Kau ponteng kerja ke? Kenapa tengah hari dah balik? Cuba kau cerita terus terang apa yang berlaku.”
“Boss aku bagi half day lah. Esok ada event kat hotel. Aku kena stay sampai malam. Ceritanya macam ni. Aku balik-balik kerja, jiran rumah sebelah mintak tolong tengokkan siling rumah dia. Bocor kat bilik hujung, macam bilik kau tu. Bila aku panjat tengok kat atas tu, memang ada bocor. Tapi dari dalam bumbung tu aku dengar semacam kuat hentakan kat luar, maksud aku datang dari arah rumah kita. Kau pun tahu kan, duduk dalam bumbung lagi jelas dengar bunyi kat luar, daripada duduk dalam rumah kan?”
“Aku pun cakap kat jiran tu kata akan usahakan tolong baiki petang sikit, sebab ada hal. Sampai kat rumah, dari tingkap bilik aku, aku tengok ada bayang-bayang hitam kat atas pokok. Mata merah gila. Aku pun memang tak mahu keluarlah daripada rumah, sebab benda tu ada kat luar kan. Mungkin sebab aku senyap dalam rumah, hentakan kuat tadi dengar balik. Dari dinding bilik kau. Aku pun apa lagi, lari keluarlah. Kunci motor pun tak ambil. Aku berjalan sampai sini kau tahu tak.”
Aku membiarkan pelayan yang datang meletakkan hidangan makanan aku. Aku hanya berdiam diri, menjamah makanan. Kata-kata penenang yang klise dan bacaan ayat-ayat Al-Quran ringkas sahaja aku bacakan kepada Zeck selepas makan, dengan harapan semangat dia dapat pulih. Tidak enaklah dapat half day, esoknya demam pula. Kehadirannya penting di tempat kerja esok.
14 Jun 2012
Kami menerima kunjungan mengejut daripada tuan rumah pada pagi itu. Tuan rumah bertanyakan khabar dan keadaan rumah. Encik Zakaria namanya. Dia memeriksa setiap bilik tanpa meminta izin. Mungkin kerana dia fikir ini rumahnya, getus hatiku.
“Siapa yang guna bilik hujung?” tanya Encik Zakaria.
“Saya pak cik.”
Lama tenungan tuan rumah pada bilik aku. Ada salah apa-apakah yang telah aku buat? Selepas beberapa ketika, dia kembali berpaling dan memandang lama mata aku. Seolah-olah cuba untuk mentafsir siapakah aku, melalui tafsiran matanya. Aku merasakan sesuatu yang tidak kena. Semenjak Zeck menceritakan perihal gangguan terhadap dirinya, aku merasakan Encik Zakaria ada merahsiakan sesuatu.
“Ada apa-apa yang perlu kami patuhikah, pak cik. Risau pula saya pak cik tenung saya macam tu. Macam saya ada buat salah.”
“Oh, tak adalah. Jangan risau, saya cuma kadang-kadang memang suka tengok mata orang lama-lama. Jadi tabiat.”
Alasan berdalih yang paling tidak logik. Sebaik sahaja dia pulang, aku kembali ke bilik. Berdiri sebagaimana Encik Zakaria berdiri. Cuba untuk melihat kebarangkalian trajektori pandangan mata tuan rumah itu. Mana tahu ada benda yang aku boleh peroleh daripada pemerhatian sebegini.
Hampa. Tiada apa abnormaliti. Hanya jam di dinding. Apakah agaknya rahsia yang cuba disembunyikan? Mahu sahaja aku bertanya tentang pokok di luar itu kepadanya tadi. Namun, aku matikan hasrat, melihatkan dia seolah-olah tidak suka dengan aku. Jenuh aku berfikir. Benarkah ada gangguan di rumah ini? Atas kekusutan itu, aku mengambil keputusan untuk melupakannya sahaja. Ada hal yang lebih penting untuk diuruskan.
Aku dan Muhsin kemudiannya ke rumah jiran yang memerlukan bantuan membaiki siling. Zeck mula rasa tidak sedap badan semalam, jadi kami meminta supaya dapat melakukan pembaikan pada hari ini, mewakili Zeck yang terikat dengan kekangan kerja. Aku dan Muhsin pun dijemput masuk, terus menuju ke bilik hujung sepertimana yang diceritakan oleh Zeck. Bukanlah siling yang menjadi tumpuan sebaik sahaja aku masuk. Ada sesuatu yang lain daripada apa yang aku lihat pada bilik aku. Bilik ini lebih luas. Aku yakin sekali. Aku sentuh dinding bilik itu. Ternyata, konkrit simen keras. Bahan yang berbeza daripada satu bahagian dinding di bilik aku, menghadap ke arah belakang rumah. Apapun, tugas membaiki siling hendaklah disiapkan terlebih dahulu. Ingatan aku terawang-awang memikirkan hal bilik aku itu.
Pada petangnya, Darren keluar berjanji temu dengan teman wanitanya. Muhsin pula seperti biasa pada hujung minggu. Pulang ke rumah keluarganya di Kuala Lumpur. Tinggallah aku keseorangan di rumah. Aku mengambil keputusan untuk tidur sahaja petang itu. Memandangkan siaran televisyen juga membosankan. Aku berbaring sahaja di sofa. Dapatlah bangun malam untuk mencari ilham.
Baru dua minit cubaan melelapkan mata, kedengaran ketukan dari arah bilik aku. Perlahan sahaja, tiga kali. Adakah ini gangguan yang Zeck dengari? Aku cuba amati bunyi susulan. Senyap. Hampir dua minit juga aku tunggu, tetapi hampa. Aku cuba untuk melupakan sahaja dengan mengiring untuk tidur. Ketika itu, satu tiupan lembut pada telinga kiriku. Seram sejuk anginnya, menyapa hujung telinga.
Bangun, Iz…..Bangun…..
Bangun, Iz…..Tolong aku…..
Iz….Iz……Izzz……IZZZZ!
Bagaikan disergah, aku bangun mengejut. Keadaan sekeliling gelap gelita. Aku lihat pada jam di telefon bimbit. 11 malam? Sejak bila aku tidur? Aku bangun malas-malas. Asar dan Maghrib, entah ke mana. Bangun tidur, rasa seperti tidak tidur sama sekali. Rasa sia-sia sahaja hujung mingguku. Aku berjalan menuju ke bilik air untuk membasuh muka dan mengambil wuduk.
Tatkala aku sedang bersolat Isyak, sayup lagi kedengaran rayuan dan tangisan kecil perempuan. Aku cuba untuk kusyuk, tetapi gagal. Aku tidak pasti samada bunyi itu dari dalam bilik aku, atau di luar kawasan halaman. Setiap kali aku cuba amati bunyi tangisan itu, pasti hilang. Aku jadi bingung. Adakah aku sudah gila? Adakah depressi melanda aku? Kesan daripada kejadian lama?
Aku cuba untuk tidak menghiraukan apa-apa. Aku pandang ke jam dinding. 10:10 malam? Bateri habis agaknya. Aku buka laci meja tulis, cuba mencapai lebihan bateri yang ada. Malang, rupa-rupanya bateri di jam dinding itulah bateri yang terakhir aku ada. Biarkan sahaja. Esok boleh beli baru.
Aku menulis manuskrip untuk novel yang akan dihantar kepada sebuah syarikat penerbitan. Alhamdulillah, setelah tiga tahun percubaan mengasah bakat dalam bidang penulisan, akhirnya ada pihak yang sudi mengambil aku sebagai novelis. Jadi, peluang ini tidaklah datang dengan bergolek. Aku perlu mengambil segala peluang yang ada untuk menulis novel dengan sebaik-baiknya.
Aku mula merasa mengantuk. Kesan tidur bagaikan tidak tidur sebentar tadi. Dalam kemamaian itu, aku tidak sedari apa yang telah aku tulis. Bila aku cuba untuk membaca semula perenggan yang telah dibuat, satu perenggan yang cukup asing bagiku, telah aku tulis tanpa sedar. Perenggan tersebut ditulis begini:
“Aku bodoh kerana mengikut kemahuanmu. Aku bodoh kerana pernah sayang padamu. Kau yang ku jumpa di tanah berdosa. Kaulah juga yang menodaiku, TANPA KERELAANKU! Aku cuba untuk mempertahankan hak aku. APA YANG TELAH KAU BUAT PADAKU? KAU B##NUH AKU. LEPASKAN AKU DARI PENJARA INI!!!”
Aku melemparkan batang pen dengan spontan. Aku yakin, bukan niat aku menulis sebegitu. Bahagian penulisan manuskrip aku tiada perancangan untuk memasukkan watak wanita yang sekorup ini. Minda tidak sedar aku telah disabotaj, oleh sesuatu…
Dalam keheningan malam itu, aku terperasankan sesuatu. Detik jam masih kedengaran di dinding. Sedangkan tadi jam sudah mati, tiada bateri. Aku toleh ke dinding itu. Tidak syak lagi. Masih berbunyi seperti pergerakan jarum jam. Bila difokus pada bunyi tersebut, aku dapat merasakan itu adalah bunyi hentakan kuku yang berulang, pada dinding itu. Seirama sedari tadi, mengikut tempo gerakan jarum jam. Bulu romaku tiba-tiba meremang. Perlukah aku berlari keluar seperti yang Zeck lakukan?
Aku mengambil keputusan mendekati dinding itu. Aku tekapkan telinga untuk mendengar dengan lebih jelas. Bunyi tangisan dan esakan kedengaran sayup dari dalam dinding. Wanita, aku anggarkan dalam 20-an dari bunyi tangisan itu. Namun, lama-kelamaan esakan itu berubah menjadi hilaian kecil, masih sayup kerana seolah-olah tenggelam di dalam dinding itu.
Aku melangkah ke bilik stor. Sesuatu perlu dilakukan. Aku yakin dinding itulah puncanya. Aku capai tukul, lalu kembali ke hadapan dinding. Aku mula mengetuk dinding itu, dengan niat untuk memecahkannya. Aku yakin dinding ini bertindih dengan dinding yang asal.
Akhirnya, aku bebas. Aku menantikan peluang ini sudah lama. Bajingan itu sudah mati. Puas. Puaskah aku? Sudah pasti. Aku dapat memb#nuhnya, menyedut darah yang mengalir di lehernya. HIHIHIHIHIHIHIHIHI~!
Aku berterima kasih kerana bebaskan aku. Aku terhutang budi. Budi yang kubawa sampai kau MATI!
2 Januari 2013
Aku Zeck. Tulisan ini sebagai penyambung kepada nukilan Izham, catatan kepada misteri rumah sewa kami. Aku percaya ada perkara mistik yang tidak terungkai dalam kes ini. Walaupun siasatan menyeluruh diadakan, aku dapati catatan ini tidak diambil oleh polis untuk menyiasat. Apa yang telah berlaku?
Ayat Izham dalam catatan ini berakhir dengan percubaannya untuk memukul dinding dengan tukul besi. Catatan pendek di bawahnya pula adalah sambungan tulisan berdarah yang telah aku jumpa bersambung dalam catatan Izham.
Aku di sini menyambung catatan ini untuk menerangkan apa yang telah berlaku.
Darren menghantar mesej Whatsapp kepada kami rakan serumah yang dia akan berada di luar kawasan hingga esok, bermakna dia akan overnight bersama kekasihnya. Muhsin, seperti biasa, pulang ke kampung. Aku pula bertolak pulang ke rumah pada pukul 12 malam, sebaik sahaja majlis di hotel tersebut selesai. Aku tahu hanya Iz seorang sahaja ada di rumah.
Sesampainya di rumah, aku berasa aneh. Pintu utama tidak ditutup. Kereta tuan rumah ada diparkir di luar pagar rumah. Apa yang Encik Zakaria buat di rumah kami tengah-tengah malam ini? Aku berasa tidak sedap hati. Aku lantas masuk perlahan-lahan sambil membawa kayu golf milik Darren yg tersimpan di dalam beg sandang besar di tepi rak kasut. Aku menghampiri bilik Iz.
Alangkah terkejut tak terhingga. Dinding pecah berlubang, di dalam dinding ada tengkorak dan tulang sempurna seorang manusia. Iz terbaring kaku di lantai, kepalanya berdarah. Encik Zakaria? Tergantung di dinding bersebelahan pintu. M4yatnya ditusuk dengan pisau panjang, dan dicucuk ke dinding supaya tergantung. Mati terseksa. Aku selaku saksi, tidak akan dapat melupakan apa yang aku lihat itu.
Menurut laporan siasatan polis, polis menetapkan bahawa Iz memb##nuh, lalu menggantung Encik Zakaria di dinding. Identiti mangsa di dalam dinding, tidak diketahui. Hanya jantina sahaja diketahui. Polis menjangkakan bahawa Encik Zakaria dan Iz telah bergelut dan bertengkar apabila rahsia Encik Zakaria tentang tulang di dalam dinding itu terbongkar. Kepala Iz turut mengalami pendarahan daripada pertengkaran itu, lalu menyebabkan dia jatuh pengsan di tempat kejadian selepas memb#nuh Encik Zakaria.
Sesungguhnya, itu adalah laporan paling tidak ‘bersih’ yang pernah aku baca dalam kes-kes polis sebelum ini. Mereka memilih untuk meneka, daripada terus berusaha untuk mendapat bukti yang kukuh.
Aku, Darren, dan Muhsin baru sahaja selesai melawat Iz. Iz ditempatkan di Hospital Tanjung Rambutan. Kedua-dua lengan baju diikat ke belakang, berbaju labuh putih, dan berseluar putih. Bebas bergerak di dalam sel kosong berseorangan. Iz tidak putus-putus meletakkan telinga di dinding, sekejap di dinding kiri, sekejap di dinding kanan. Seolah-olah sedang mendengar bisikan sesuatu dari dinding-dinding sel penjara di hospital itu.
Kami berjaya menjejaki isteri arwah Encik Zakaria, Puan Maimunah. Puan Maimunah seolah-olah cuba berdalih, tetapi akhirnya mengaku bahawa rumah tersebut ada ‘sesuatu’ yang tidak jelas baginya. Dia sering diganggu dengan bisikan, tangisan, hilaian, dan ketukan dinding sepanjang hidup di rumah itu bersama suaminya. Dia juga akui, Encik Zakaria ada amalkan ilmu hitam, dengan meletakkan ‘khadam’ suruhannya di atas pokok sebagai ‘penjaga’ rumah. Sebab itulah makhluk hitam itu tidak pernah mengganggu penyewa secara terang-terangan. Hanya menonjolkan diri secara sekilas di pandangan mata, untuk menunjukkan yang dia ada. Namun, siapakah wanita yang maut di dalam dinding itu?
Moga cepat sembuh Iz. Kami doakan yang terbaik untuk kamu.
SHUHHHH, dengar detik jam di dinding rumah. Benarkah bunyi gerakan jarum, ataupun panggilan dari dinding kamu?
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Lawati laman Facebook penulis: https://www.facebook.com/gongpal.hakbon.7
Penah bace dah…
Tapi di mana ya????
Al fatihah..kesian iz..sedih..misteri..mistik..teka teki..smga iz cpt smbuh..amin..
Kisah fiksyen. Tiada yang mati secara hakiki. Harap maklum.
sedihnya. kesian iz dia pun terkena kesannya. dulu ada cerita hindustan mcm ni la jgk dia bunuh lepas tu tanam mayat dlm dinding rumah
dh baca kat AAN kot…ke kat FB gongpal…terbaik
Suka sebab penulisannya bagus..
Kalo rangka mayat tu di buat ujian DNA mesti dapat tau sape dia…
Ok seram..bestt!!! Tp ni bukan rekaan kan.xkesala..jnji best!
Rekaan. Harap maklum.
Salute to the writer dengan bahasa yang amat proper… karya yg best… Oh Citer korea kan tak ingat tajuk dia.. pasal si ayah ni curang, pastu isteri dia dapat tau, pastu isteri dia bunuh kekasih gelap suami dia pastu tanam dalam dinding. Pastu hantu kekasih gelap ni merasuk anak perempuan dia… teringat scene si anak ni cium bibir ayah dia (atas pengaruh hantu tu) sebab jeles tengok mak dia kiss ayah dia….. aper tajuk… the phone? sebab berkisar pasal hadphone jugak….
Yes, the phone. Tapi cerita ni saya x ambil inspirasi daripada itu. Lebih kepada bahan bacaan ketika saya berusia 10 tahun (19 tahun lepas). Buku tu pun dah tak tahu ke mana. Tapi bibit cerita tu masih ingat lagi, dan diubahsuai mengikut keupayaan saya.
apsal x letak #Gongpal bro.. seb baik aku nampak ko komen..
Sebab tengah eksperimen. tentang sesuatu.hehe
macam biasa bro karya terbaik.. never get enough bila baca story dri penulis yg hebat.. teruskan submit lagi story mcm ni.. lg satu jgn lupa ltk #gongpal.. haha 11/10
weh aku da submit full story sambungan tuntutan berdarah dan dendam suri tu. terpulang admin nak post ke tak kat sini. harap maklum
wah patutlh best,karya dari bro gongpal lh.. jgn lupa letak #gongpal bro
Tapi..tapi aku selalu spau jem kat roti pakai sudu..
???
Hokayyy…ni kisah benar ke fiksyen? huhu….
Kalo karya leh wat novel dah ni…
la citer encik gongpal rupanya..
hahaha cerita menarik macam biasa..
dapat baby girl ker boy..
hihi..
x kluar lagi.haha. due next week. tunggu masa jer
Ok good.. not bad. Tp sy dtg sini nk bc penglmn seram yg benar dn santai. Bila bc kisah taraf novel ni, kecewa pulak. Anyway good luck
takdak sapa kesah pon hg kecewa ka dak,lepaih ni klau nampak karya bro gongpal lekaih2 skip tau sbb hg soqang takmau baca 10-20 oqang nk baca karya dia….bnda free mmg susah oqang nk hargai dh la modai data internet ja,klau kena bayaq takpa la nk buat kecewa teqok ni dh la baca bndacemey paih tu dok buat teqok sbb ceqita bkn kisah benar
Babi ko aku ingat kisah benar 3/10
?
⭐⭐⭐⭐⭐⭐⭐
sedihnya… ending yg mcm ni.