Flat Tingkat 11

Sepasang suami isteri,Aiman dan Fatin, baru sahaja berpindah ke sebuah flat lama di tengah-tengah Kuala Lumpur. Unit mereka terletak di tingkat sebelas. Bangunan itu tinggi, lusuh catnya, dan penuh dengan lorong-lorong sempit yang menggema bila ada orang melangkah. Tapi bagi mereka berdua, yang sudah jemu menyewa bilik sempit di Cheras, rumah kecil ini ibarat syurga. Sekurang-kurangnya, mereka kini ada tempat sendiri.

Flat itu tampak biasa pada mulanya. Sebuah ruang tamu kecil, dua bilik tidur, dapur sederhana. Tapi ada sesuatu yang Aiman perasan pada malam pertama, pintu bilik stor yang terletak di hujung lorong sempit, betul-betul berhadapan dengan dapur, seolah-olah sentiasa terbuka sedikit. Walau pun dia pasti sudah menolaknya rapat sebelum tidur.

Hari-hari awal di flat itu dilalui seperti biasa. Mereka sibuk menyusun barang, mengemas ruang, dan melaraskan kehidupan baru sebagai pasangan suami isteri di rumah pertama. Namun, beberapa gangguan kecil mula berlaku. Barang-barang yang telah disusun dengan teliti tiba-tiba berubah tempat. Botol sos di dapur jatuh dengan sendiri. Langsir bilik bergoyang perlahan walau pun tingkap tertutup rapat dan kipas tidak dipasang.

Malam keempat, Fatin sedang melipat baju di ruang tamu bila terdengar bunyi orang ketuk sinki dari dapur. Tuk tuk tuk. Seperti bunyi sudu diketuk ke besi. Dia menjenguk, tiada siapa. Aiman sedang tidur nyenyak di dalam bilik. Bila dia tanya esok paginya, Aiman cuma gelak kecil.

“Bunyi paip lama lah tu. Dah flat ni memang usang.”

Minggu demi minggu berlalu. Mereka tidak keluar rumah. Kerja Aiman sebagai freelance programmer membolehkannya bekerja dari rumah, dan Fatin pula masih belum dapat kerja baru selepas berhenti dari syarikat lama. Mereka berdua seperti terperangkap dalam dunia sendiri. Makan di rumah, kerja di rumah, tidur di rumah. Tanpa sedar, mereka makin jarang menjenguk luar.

Pada suatu malam, Fatin terjaga dari tidur jam 3 pagi. Dia rasa sesak. Nafasnya pendek-pendek, seperti ada sesuatu yang menekan dada. Bila dia buka mata, dia nampak bayang seseorang berdiri di hujung katil. Tidak bergerak. Tidak berkata apa-apa.

“Bang…” Fatin cuba kejut suaminya, suaranya bergetar. Tapi tiada respon. Aiman hanya bernafas perlahan, seperti tidur nyenyak.

Bayang itu masih di situ. Matanya tajam, memerhati Fatin dalam kegelapan. Tapi wajahnya samar, seperti kabur oleh bayang malam. Dalam panik, Fatin tarik selimut menutupi mukanya dan membaca surah-surah pendek yang diingat. Bila dia buka semula, bayang itu sudah tiada. Tapi bau, bau busuk yang datang seperti dari lubang longkang lama , masih melekat di udara.

Hari-hari berikutnya menjadi lebih aneh. Aiman mula bermimpi perkara yang sama hampir setiap malam. Dia terperangkap dalam bilik stor, dan setiap kali dia cuba buka pintu, ada tangan lain yang menolak dari luar. Tangan-tangan kurus, hitam, berkuku panjang. Dia bangun setiap kali dalam keadaan peluh menitik dan dada berombak.

Fatin pula makin senyap. Dia habiskan masa dengan termenung di balkoni. Kadang-kadang, Aiman lihat dia bercakap sendiri, seolah-olah sedang berbual dengan seseorang yang tidak kelihatan.

“Sayang cakap dengan siapa tu?” Aiman pernah bertanya.

Fatin menoleh, tersenyum perlahan. “Tak ada siapa. Bunga dekat bawah tu. Cantik kan?”

Aiman tunduk, tengok ke bawah. Balkoni mereka hanya menghadap bumbung kedai. Tiada bunga. Tiada pokok pun.

Satu malam, Aiman terdengar bunyi ketukan dari bilik stor. Tepat jam 2 pagi. Bunyi perlahan, tapi konsisten. Tuk… tuk… tuk…

Dia bangun dengan hati-hati. Dapur gelap. Cahaya dari pendingin udara menyimbah sedikit warna biru ke sekeliling.

Dia mendekati pintu stor.

Bunyi berhenti.

Aiman pegang tombol pintu. Sejuk. Beku.

Dia tarik nafas, perlahan-lahan membuka…

Gelap.

Tiada apa-apa.

Tapi waktu dia toleh untuk tutup semula pintu, dia terdengar bisikan perlahan dari dalam:

“Jangan tutup… kami belum keluar…”

Sejak malam itu, mereka tidak pernah buka pintu stor lagi.

Dan mereka masih di flat itu.

Tidak keluar. Tidak pindah.

Kerana, seperti yang Fatin pernah bisik dengan senyum pada Aiman suatu pagi:

“Kita dah jadi sebahagian dari sini… bukan?”

Jangan terlepas cerita terbaru.

Akan terus dihantar ke email anda.

We don’t spam! Read our privacy policy for more info.

2 thoughts on “Flat Tingkat 11”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.