Assalamualaikum & salam sejahtera kepada semua ahli group. Saya ingin kongsikan pengalaman saya sendiri waktu sekolah dulu. Peristiwa ni berlaku pada akhir tahun 90an semasa saya menyertai aktiviti perkhemahan sekolah. Waktu itu saya dalam tingkatan 2.
Salah satu tentatif program adalah para pelajar dijadualkan melakukan Qiamulail. Aturcara yang menyebalkan saya pada ketika itu. Maklumlah tak matang lagi masa itu kan. Dengan jadual aktiviti yang padat, kena bangun dinihari pula. Stress la konon. Tiba waktunya, siren berbunyi dan para pelajar muslim berkumpul di surau yang telah disediakan. Pelajar lain terkocoh-kocoh berlari anak, saya pula berjalan lenggang Mak Limah. Maka saya antara orang terakhir yang masuk ke surau. Memang saya merancang sengaja nak masuk lambat. Nak duduk saf belakang sekali. Boleh la mengelat (tidur) masa orang tengah Qiamulail.
Tengah terhegeh-hegeh pakai telekung, saya tengok ada seorang perempuan berambut panjang duduk mencangkung membelakangkan jemaah. Saya tak nampak mukanya kerana terlindung di belakang pintu. Dalam hati ni, cissss ada orang pulak dah. Tak jadi la nak ngelat. Saya dapat dengar perempuan tu seperti menghirup atau melahap sesuatu. Slurppp..slurpppp..chaappp..chaapppp..chappp.. slurpppp..arrrrggghhhh..slurpppp.. Agak kuat juga bunyinya. Saya pandang jemaah lain,diorang rileks je dan takde pula rasa terganggu.
Tiba-tiba saya tercium bau d***h yang kuat dan menoleh ke arah punca bau tersebut. Perempuan tu berdiri betul-betul sebelah saya. Spontan saya cakap, “Bersihkan diri dulu. Cepat la siap-siap nak solat. Orang nak start dah ni..” “Diam la kau..kau bukannya nak solat..kau nak tidur kan..” ehhhh menjawab ya dia. “ Kau period ke..period mana boleh solat..kuat betul bau d***h kau ni..” balas saya sambil cuba mengintai belakang jubah labuh dia yang kelihatan lusuh. “Bukan aku..dia…” perempuan itu menunding jari ke arah seorang pelajar perempuan. Serentak dengan itu pelajar tersebut menjerit kerasukan.
Sekelip mata huru hara dalam surau apabila pelajar tersebut menderam dan menerkam pelajar lain. Perempuan di sebelah saya lesap pun saya tak perasan sebab sibuk tengok pelajar yang mengamuk. Ramai pelajar yang berlari keluar dan tinggal beberapa orang sahaja di dalam surau termasuk 3 orang guru wanita. Pelajar lelaki dalam 3,4 orang bersiap siaga nak menangkap pelajar yang kerasukan. Saya cuma tolong tengok jelah dari pintu surau. Berundur punya berundur, kaki saya terpijak sesuatu yang melekit. Melompat saya kerana terkejut. Bila saya tengok apa yang saya pijak, rasa geli dan sumpah seranah bercampur baur.
Pad!!!! Ya..pad @ tuala wanita yang masih berdarah di belakang pintu surau. Terhincut-hincut saya menuju ke paip dan membasuh kaki. Tengah sedap saya menyumpah,baru saya teringat perempuan yang menghirup sesuatu di belakang pintu itu tadi. Otak budak kan..mana nak fikir hantu atau jin. Cuma fikir mesti perempuan itulah yang buang pad kat situ. Dah siap basuh kaki saya masuk balik dalam surau, Ustaz Aziz pun dah sampai. Saya nampak perempuan itu ada di belakang pelajar perempuan (Haida) yang sedang mengamuk. Makin Ustaz Aziz ruqyah makin pelajar itu mengamuk dan cuba menerkam. Pelajar lain dan guru-guru mengepung untuk berjaga-jaga. Saya pula tanpa disuruh pergi kunci pintu surau. Yelah bimbang Haida terlepas keluar. Satu kerja pula nak cari. Pad berdarah saya cedok letak dalam penadah sampah dan letak di penjuru surau.
Dalam setengah jam saya mula bosan. Subuh pun sudah nak masuk waktu. Saya cakap kat perempuan yang mengekor di belakang Haida yang mengamuk. “Tengok saja buat apa. Tangkap la. Badan besar buat apa tak tolong..” Tiba-tiba Haida tengok saya. “ Kau ni bising la..kenapa kau marah aku..budak ni kurang ajar..dia tak bersih tapi nak solat..” “Aku nak budak ni..aku nak d***h dia..d***h dia..eheeheeeheeee..” Ustaz Aziz pandang saya dan tanya.. “Apa yang awak nampak..” “Nampak orang kena rasuk..” jawab saya bodoh-bodoh alang. “ Kat situ ada berapa orang?” Sambung ustaz. “Dua orang..” jawab saya jujur. Automatik kumpulan yang mengepung berundur ke belakang kecuali Ustaz Aziz. Saya? Tetap setia peluk tiang tabir pemisah ruang makmum. Yelah kan..kena la bersedia kot la si Haida tu rajin nak terkam saya pula..
“Kenapa kau kacau dia..keluar!!!” Sergah Ustaz Aziz. “Dia jamu aku..aku suka..” balas Haida. “Dia jamu apa?” Tanya Ustaz Aziz. Saya pun pasang telinga juga nak tahu jamu apa. Tak disangka tiba-tiba Haida melompat ke arah pintu surau. Dua kali lompatan terus sampai ke pintu. Makanya sayalah yang jadi paling dekat dengan Haida. Dengan segera dia menyambar pad dalam penadah sampah dan menjilat serta menggigit pad yang berdarah itu sambil ketawa-ketawa. Terkelip-kelip saya melihatnya. Rasa geli geleman melebihi rasa takut walaupun ketika itu perempuan berambut panjang sudah berubah dari kelihatan nyata kepada bayang yang bersatu dengan Haida. Ringan mulut saya beritahu Ustaz Aziz “Ustaz..tu bukan orang..hantu..” Saya cuma isyaratkan dengan memuncungkan bibir ke arah Haida kerana tangan dah terasa macam melekat di tiang surau.
Saya tengok ada seorang dua guru menangis melihat keadaan Haida. Saya pula terasa nak muntah. Ustaz Aziz mula melaungkan azan. Kali ketiga azan dilaungkan bersama-sama dengan pelajar lelaki yang berada di dalam surau. Hampir sahaja azan ketiga habis dilaungkan, Haida melepaskan pad yang dipegang dan menangis sambil menutup telinga. Ustaz Aziz segera mengambil sejadah dan menutup kepala Haida yang terdedah menampakkan rambutnya. Ustaz Aziz terus membaca beberapa ayat ruqyah sambil memegang kepala Haida. Tidak lama kemudian saya tengok perempuan berambut panjang itu terkial-kial mengelilingi ruang surau. Saya tanyalah “Nak keluar ke..kalau nak keluar dok situ kejap..jangan nak ke sana ke sini..” Perempuan itu terus berdiri kejung dengan badan menggigil. Saya pun meminta pelajar lelaki membuka pintu surau. Saya dah seram sejuk. Tak lalu nak tolong pergi buka pintu bila tau perempuan itu bukan manusia. Dah tau hantu baru la nak perasan mukanya pucat lesi dengan mata tajam terperosok ke dalam.
Terbuka sahaja pintu surau, sekelip mata perempuan itu terbang keluar. Haida pun terjelopok dan pengsan. Ustaz Aziz mengarahkan guru-guru wanita mengangkat dan mengalihkan Haida ke tengah ruangan muslimat. Ustaz Aziz bertanya kepada saya sama ada perempuan tu sudah keluar atau belum. Saya mengangguk dan tundingkan jari ke arah pintu surau. “Ustaz..ermmm dia bawak sekali pad yang kat situ..” Ustaz memeriksa dan ternyata hanya ada plastik yang digunakan untuk membungkus pad. Pad yang berdarah sudah tiada.
Setelah Haida sedar dari pengsan, Cikgu Wani mula bertanya keadaannya dan berkenaan pad di belakang pintu surau. Dari situ barulah tahu kenapa Haida diganggu. Rupanya pad tersebut milik Haida. Sebenarnya dia malu sekiranya kawan-kawan tahu dia datang bulan. Dia takut kawan-kawan nampak kalau dia buang pad dalam tong sampah. Jadi dia bawa ke surau dengan sorokkan dalam beg telekung. Apabila sampai ke surau,dia berpura-pura memakai telekung tepi pintu surau. Di kesempatan itu, Haida mencampakkan plastik berisi padnya ke belakang pintu surau dan terus menuju ke saf depan. Semasa sedang berbual dengan rakannya, Haida terasa bahunya dicengkam. Selebihnya dia tidak ingat apa-apa.
Cikgu Wani dan Cikgu Zawiyah beristighfar dan memeluk Haida setelah dia habis bercerita. Saya macam biasalah takde function. Menyibuk saja kerjanya nak ambil tahu sebab dalam kepala tak sabar nak balik rumah. Nak cerita dekat mak peristiwa yang berlaku. Qiamulail dibatalkan dan ditukar kepada esok hari. Pagi itu usai solat subuh, semua pelajar perempuan diminta berkumpul dulu di surau. Ustazah Fatehah memberikan tazkirah berkenan h**d dan nifas serta cara membersihkan dan membuang pad @ tuala wanita. Haida pula dihantar pulang ke rumah keluarganya pagi itu juga.
Kesimpulannya di sini sebaiknya cucilah pad @ tuala wanita yang terkena d***h sehingga bersih. Bungkus elok-elok sebelum buang. Sekarang ni wujud pula wanita-wanita yang mempertikai perihal pad perlu dicuci bersih sebelum dibuang ke dalam tong sampah. Atas dasar kebersihan dan kesihatan katanya. Sejujurnya saya katakan,jangan kata buang pad berdarah tanpa dibungkus..yang berbungkus elok pun syaitan boleh kirai ya. Berebut mereka selongkar tong sampah kalau ada pad yang sebegitu. Bermacam rupa..ada yang mengerikan ada yang menggelikan. Jika boleh, janganlah buang pad tanpa dibasuh bersih terlebih dahulu. Kerana tanpa sedar kita menjamu makhluk-makhluk tersebut.
Wassalam
P/S : Nama individu-individu yang di atas bukan nama sebenar untuk menjaga aib. Kejadian sahaja yang benar.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit