Terimakasih kepada pihak FIKSYEN SHASHA kerana sudi menyiarkan kisah ini.
Kisah ini bermula ketika aku menyewa di sebuah flat di Taman Malihah, Kuching, Sarawak. Tiga tahun lepas aku bertugas di Kuching, Sarawak dan semua pengalaman itu masih segar dalam ingatan. Setelah berpindah semula ke semenanjung, kisah ini tersimpan kemas di dalam hati sementelah pula tiada apa keperluan untuk diceritakan kepada khalayak.
Setelah mengenali FS, perasaan ini terpanggil untuk berkongsi bersama rakan-rakan sekalian, sekadar untuk bersama-sama menikmati erti sebuah keseraman yang mungkin berbeza-beza dengan individu yang lain. Aku tinggal di Tingkat 1 Flat tersebut.
Tinggal berseorangan. Peneman harian cumalah jiran-jiran yang sangat-sangat baik hati semuanya. Suatu malam aku memenuhi jemputan majlis BBQ di rumah seorang kenalan. Secara kebetulan waktu itu, hari keesokannya adalah cuti umum di sana dan aku mengambil kesempatan tersebut untuk pulang lebih lewat semata-mata untuk merapatkan tali silaturrahim dengan penduduk setempat kerana aku hanya menumpang kasih di situ. Terasa seperti ingin menyanyi lagu ‘Kuala Lumpur’ seperti yang diselitkan di dalam filem Rock Oo pula. “Aku datang dari desa hanya sebatang kara….”
Aku pulang ke rumah kira-kira dalam jam 12 tengah malam (++). Seperti biasa dalam perjalanan pulang kelihatannya semua baik-baik sahaja. Cuma dalam perjalanan itu fikiranku menerawang memikirkan kisah-kisah penduduk-penduduk di sekitar perumahan itu yang pernah terjumpa ‘cik pocong’ dan sebagainya. Biasalah, kalau dah berseorangan di tengah-tengah malam, takkanlah nak fikir siapa Perdana Menteri Mongolia pula.
Semestinya secara automatik kita akan terfikir tentang makhluk halus untuk lebih sesuai dengan situasilah kiranya, kan? Sebelum tiba ke kawasan rumah yang aku duduki, perjalananku akan melalui sebuah sekolah rendah.
Di depan sekolah tersebut ada sebatang pokok besar dan di situlah lokasi kegemaran pocong yang sering dijumpai penduduk di situ. Hendak dijadikan cerita pada malam itu selepas aku memasuki simpang ke kawasan flat, tiba-tiba motosikalku terasa berat. Aku sedikit cuak dan serta-merta pelbagai kisah seram berlegar-legar dalam benakku. Aku cuba pulas minyak tetapi motosikalku masih terasa berat dan semakin perlahan. Agak mendebarkan pula rasanya waktu itu.
Akhirnya aku teringat, brek motosikalku kadang-kadang akan tersangkut dengan tak semena-mena. Aku berhentikan motosikal dan cuba memeriksanya. Memang benar, breknya tersangkut lagi. Mesti tersangkut waktu aku brek semasa hendak masuk ke simpang tadi. Patutlah motosikal jadi berat dan susah nak bergerak. P****g betullah! Ingatkan ada cik pocong yang menumpang. Kemudian aku betulkan brek dan ku teruskan perjalanan menuju destinasi.
Apabila tiba di tempat ‘parking’motosikal, aku terperasan ada sebuah kereta telah ‘parking’ di kawasan yang tidak sepatutnya. Kereta tersebut diletakkan betul-betul di tepi rumah, di atas kawasan berumput. Dalam hati aku sempat mengutuk si pemilik kenderaan tersebut. “Tempat parking punyalah banyak. Yang hang dok pi parking sampai tepi rumah tu buat apa?”. Setelah siap motosikalku dikunci, entah kenapa mata ini gatal pula nak memandang ke arah kereta tersebut. Waktu itulah aku ternampak suatu objek yang tidak sepatutnya di dalam kereta itu. Kelihatan jelas sekali di kerusi penumpang sebelah tempat duduk pemandu, aku ternampak satu susuk tubuh dengan rambut panjang menutupi muka duduk dalam posisi menunduk ke bawah (mudah saja nak bayangkan posisi tersebut bukan?).
Susuk tubuh sebegitu tidak lain dan tidak bukan ia semestinyalah Cik Ponti. Waktu itu tubuhku kaku dan aku cuba pejam mata. Lepas aku buka mataku, susuk tubuh itu ghaib serta-merta! Aku terus buka langkah seribu. Lari balik ke rumahku!
Episod duka untuk malam itu tidak berakhir di situ. Setibanya di rumah fikiran tidak henti-henti berfikir tentang insiden tadi. Pertemuan yang tak diduga. Kau ku lihat menunduk manja. Mataku tidak dapat lelap walaupun malam sudah menginjak ke awal pagi. Aku buat keputusan untuk pasang TV. Mungkin suara TV boleh hilangkan suasana sunyi dan musnahkan sedikit rasa takutku tadi.
Tiba-tiba, jeng jeng jeng! Aku terdengar suara perempuan menangis. Aku terus toleh ke arah TV sebab aku ingatkan ada babak menangis di TV tapi bila aku pandang tepat ke kaca TV, kelihatannya pelakon-pelakonnya ‘enjoy’ semacam saja. Aku mengambil keputusan untuk memperlahankan suara TV. Mungkin aku dapat kesan dari manakah datangnya suara tangisan keramat di tengah-tengah malam tersebut jika suara TV diperlahankan sedikit.
Memang tepat sekali sangkaanku. Suara tangisan tadi ternyata bukan dari dalam TV tapi datangnya dari arah tingkap depan rumahku. Aku terus teringat kata orang tua-tua. Jika suara sebegitu bunyinya sayup, maknanya dia dekat dengan kita. Jika bunyinya dekat, dia sebenarnya jauh dari kedudukan kita. Bunyi tangisan tadi semakin lama semakin kuat dan aku terus buat andaian bahawasanya dia telah pergi jauh dari aku.
Alhamdulillah aku bersyukur kerana bukan dia yang aku harapkan untuk menjadi peneman di kala kesunyian datang bertandang. Cewahh! Walaupun tubuh menggigil ketakutan aku masih mampu untuk berfikiran positif. Inilah namanya positif tak kena tempat. Yalah, tangisan dia tadi agak lama. Lebih kurang dalam 5 minit dia menangis. Entah apa yang disedihkan aku pun tak tahulah.
Selepas kejadian tangisan Cik Ponti tadi, apa yang aku fikirkan cumalah nak tidur. Nak tidur. Nak tidur. TV tadi aku telah siapkan ‘timer’ dan TV akan terpadam dengan sendirinya dalam tempoh 2 jam. Kiranya sebelum aku terlelap, suasana kekal riuh dengan suara TV dan tidaklah sunyi sangat. Kalau aku tutup TV nanti macam-macam pula suara lain aku dengar. Aku fikir aku sudah cukup bijak untuk tangani situasi tersebut. Bangga walaupun perasaan takutnya hanya Allah yang maha mengetahui. Akhirnya aku berjaya tewaskan mataku dan aku terlelap.
Ku kira tidur hingga ke pagi, rupanya terjaga juga sebelum waktunya. Sesungguhnya Cik Ponti tidak puas hati kerana usikan manjanya tadi tidak berjaya menakutkan aku sebab dia tak tahu sebenarnya aku memang dah cukup takut tapi terpaksa memberanikan diri. Ataupun dia tak puas hati kerana aku mengutuknya ‘tak pandai parking kereta’ di awal insiden di tempat parking tadi.
Walaupun kereta tadi mungkin bukan keretanya. Dia cuma menumpang tunduk saja. Mungkinlah. Segalanya berkemungkinan. Belum sempat aku habis buat kesimpulan sendiri, tiba-tiba terdengar bunyi ‘ktang…ktung…ktang..ktung’. Bunyinya seperti botol air berkarbonat yang aku buat koleksi di dapur berguguran jatuh ke lantai.
Disebabkan itulah aku terjaga dari tidurku yang tak berapa lama tadi. Perkara pertama yang aku tengok selepas mata terbuka adalah TV! Aku sangkakan ada adegan bergaduh suami isteri dalam drama TV tapi jangkaan aku meleset. Ternyata meleset semua ramalanku pada waktu itu.
Satu pun tak tepat pada sasaran.
Dari situ juga aku dapat kesan bahawa aku telah tidur selama 2 jam ataupun lebih sebab TV aku telah pun terpadam waktu aku terjaga. Untuk pengetahuan semua, aku tidur di atas sofa menghadap tingkap yang aku dengar suara tangisan sebelum aku terlelap tadi. Dan botol-botol air koleksiku itu aku simpan kemas di dapur.
Bunyi botol-botol air berguguran terus memecah kesunyian pagi. Bunyinya bukan sekali-sekala tapi selang seminit akan ada bunyi botol gugur ke lantai. Almaklumlah koleksi botolku banyak. Aku sebenarnya sudah malas nak layan usikannya.
Biarlah dia nak buat apa pun asalkan dia tak tunjukkan rupanya. Mainlah dengan botol-botol air berkarbonat aku puas-puas. Mungkin dia suka agaknya. Kalau jiran-jiran aku ketuk pintu sebab bising, kau jawablah sendiri! Aku dah malas nak layan. Sudah bermacam-macam ayat al-quran aku baca waktu itu. Ayat qursi, ayat seribu dinar, 4 qul semua dah keluar tapi dia masih setia mengganggu.
Dalam hati aku dah buat keputusan, kalau masih berterusan bunyi botol-botol tersebut jatuh ke lantai, aku akan lari keluar dari rumah dan ketuk pintu rumah jiran sebelah. Tatkala itu juga bunyi anjing menyalak bersahut-sahutan dari luar. Agak ‘cliché’ sahaja, kan? Tapi itulah realitinya. Kalau anda semua di tempat aku, tahulah bagaimana tahap ‘cliché’ yang aku rasa waktu itu. Selepas itu bunyi tadi terus senyap. Betul-betul diam menyepi. Mungkin dia fikir aku tak suka layan dia, dia pun diam. Seraya itu juga aku pun terlelap untuk kali kedua.
Hinggalah ke pagi, setelah aku terjaga, ternyata Cik Ponti sangat-sangat bertimbang rasa dan baik hati sebenarnya. Bukan main jahat dia mengusikku malam tadi dengan menjatuhkan koleksi botol-botol air berkarbonatku, bila tiba waktu pagi semuanya tersusun rapi di tempat asal tanpa ada sedikit pun cacat dan cela. Baik kan dia? Rajin pula dia menyusun kembali koleksiku. Malah aku perasan susunannya lebih rapi daripada yang aku susun sebelum ini. Sangat kagum! Maknanya selepas dia main-main botol tu, dia susun semula lah. Ada juga kebaikannya di situ. Positif lagi.
Selepas kejadian itu aku tidak pernah lagi mengalami usikan yang serupa. Bagi aku benda-benda seperti itu kadang-kadang muncul sekadar untuk menguji tahap keimanan dan keberanian kita mengawal keadaan. Kalau kurang ilmu agama dan gagal untuk kawal situasi sebegitu rupa, aku rasa mungkin aku dh histeria dan sebagainya. Pengalaman sebegini sebenarnya manis untuk dikenang walaupun waktu kejadiannya perasaanku seperti mahu terbang terus balik ke rumah ibu bapa. Untuk Cik Ponti tersebut, teruslah mengamalkan sikap kerajinanmu. Kenangan bersamamu terus kekal dalam ingatan.
Setakat ini dahulu buat masa sekarang. In shaa Allah kita bakal ketemu lagi nanti. Salam ukhuwah buat semua.
Jaga-jaga. Ada yang memerhati……
Khamis, 9 Februari 2017
3.30 pagi
Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
😂😂😂😂😂😂😂
bhs cantik.
Awal ii seram . Yang akhir ni . Buat aku bedekah . HAHAHAHAHH
hahahahaha cerita dia best serius enjoy je baca
“Cik Ponti” “Cik Pocong” buat cerita tak seram langsung..tawar..
dah tawar ko cite la cite ko sendri lahanat
Best je cite ni..sempoi dan santai je baca…teruskn menghantar pengalaman anda di sini..😂😂😂
Dah..dah… Usah dikenang Cik Ponti tu…Kenangkan Perdana Menteri Mongolia sudahhh..
cik pont pon dia xheran haha
Aku nak buat cerita hantu tapi cerita kau ni buat aku nak tambah idea jadi lagi syiok sikit mashehh ye. Btw aku bg 5 bintang sebab cerita kau seram cAmpur kelakar hahahahah.