#Gongpal – Dendam Suri

Jeritan kedengaran di Fakulti Seni UiTM. Jeritan menakutkan dari dalam studio, sesuatu berlaku. Fahmi pantas masuk ke dalam studio seni tersebut. Dia yang baru sahaja keluar dari situ tahu, hanya Natrah sahaja yang tinggal di situ. Si kenit berdarah kacukan cina itu tidak kelihatan, hanya tangisan kecil membawa Fahmi ke sudut dinding studio di sebalik almari besi.

Terduduk memeluk lutut dan memandang dinding, Natrah tersedu sedan tanpa kata. Fahmi memanggil Natrah, perlahan-lahan dia memusingkan kepala memandang Fahmi. Mata merah menyala, membuatkan Fahmi teragak-agak untuk ke hadapan. Riuh suasana di luar, berpusu-pusu pelajar yang ingin melihat apa telah berlaku. Di sebalik keriuhan tersebut, ada senyuman kepuasan terselit pada seorang pelajar. Rancangan berjaya.


” Tapi prof, ini hasil kerja saya. Memang ini assignment yang saya buat,” bentak Suri, cuba mempertahankan diri. Professor Hashimah hanya memandang dengan ekor mata, lalu kembali melihat kepada lukisan di tangannya.

” Kalau macam tu, bagaimana awak hendak terangkan initial di bawah kanan lukisan ni? Huruf N sebegini sudah pernah saya lihat ya, pada dua assignment terdahulu daripada Natrah.”

Suri terdiam. Menegakkan benang yang basah tiada maknanya. Pecahlah tembelangnya yang dia sudah plagiat. Lebih tepat lagi, mencuri karya pelajar lain. Natrah gagal menghantar tugasan kali ini. Lukisan 90% siapnya yang disimpan di dalam studio hilang dicuri. Sepanjang malam dia cuba menyiapkan lukisan baru, mana mungkin dapat disiapkan. Natrah berjumpa dengan Professor Hashimah berkenaan situasinya, dan diberi masa tiga hari untuk disiapkan. Mungkin tidak. Beliau hanya perlu menukar nama pelajar untuk kes ini. Lukisan di tangannya adalah tugasan Natrah, dan beliau perlu berbuat sesuatu kepada Suri.

” Saya beri masa seminggu untuk kamu buat semula tugasan ini. 8 pagi Isnin hadapan, tiada lukisan kamu, kosong markah ya.” Di situlah bermula dendam membara. Suri terpaksa mencuri lukisan Natrah, atas kesilapan sendiri. Lukisannya dicemari air basuhan berus ketika proses ‘last minute touch up’. Mencuri lukisan adalah langkah terakhir, untuk menyelamatkan diri. Tidak terfikir bahawa Natrah ada ‘trademark’ tersendiri yang diketahui oleh pensyarah.


Natrah mula dipulaukan rakan sekampus. Gara-gara dengki sahabat karib sendiri. Suri mula menjauhkan diri. Ditambah dengan desas desus mengatakan bahawa kebanyakan tugasan cemerlang Natrah bukanlah hasil tangan sendiri, tetapi atas bantuan teman lelakinya. Gosip di kampus sepantas angin di bertiupan di udara. Johan, teman lelakinya juga turut terkesan. Akibatnya, mereka berpisah kerana Johan terlalu percayakan khabar angin melebihi kekasih sendiri.

Natrah pasrah dengan semua ini. Hilang kawan, hilang teman lelaki. Tidak disangka dia turut diganggu makhluk halus. Penampakan nenek kebayan di dalam studio seni adalah permulaan. Dia sangkakan hanya gangguan biasa, kerana fakulti tersebut sememangnya dikatakan keras. Namun, keadaan Natrah tidak pulih. Ada sahaja penampakan. Dia histeria lagi di tandas fakulti seminggu kemudian. Tunduk membasuh muka di singki. Sebaik sahaja diangkat mukanya melihat cermin, nenek kebayan sedang menyeringai di tepinya. Pengsan serta merta.

Natrah dibawa pulang untuk berubat oleh ahli keluarganya. Di situlah diketahui mereka bahawa dia telah dianiayai seseorang. Namun, apabila disebut nama tuan makhluk halus tersebut, Natrah tidak marah. Dia tidak mahu memanjangkan masalah dengan Suri. Bersabar adalah pilihan Natrah.

Hampir empat tahun Natrah melalui semua gangguan ini. Dari tamat diploma, sehingga tamat degree, keadaan tidak berubah walaupun kampus bertukar ketika pengajian degree. Tidak penah lali, sentiasa menakutkan. Dia sudah putus asa, dan meneruskan kehidupan kerjanya, asalkan prestasi tidak terjejas. Bisikan suara, mimpi buruk bersilih ganti. Dia juga mengelakkan diri daripada berhubungan dengan lelaki lain, dikhuatiri mereka juga terjejas.


Mimpi malam itu sedikit berbeza. Di padang pasir bersendirian. Tiba-tiba di sudut kanan Natrah, pusaran pasir kelihatan, seperti puting beliung dari dasar tanah. Timbullah pintu gerbang besar. Selepas hening menyinggah, pintu tersebut terbuka. Susuk manusia berjubah penuh, berselindung di sebalik hud kepala berdiri di samping anjing-anjing besar. Anjing polis lagaknya, berikat di leher. Anehnya, anjing tiga ekor itu berkepala manusia. Manusia berjubah itu melepaskan ikatan, lalu bertempiaran lari anjing-anjing tersebut mengejar Natrah.

Larian rutin dalam mimpi. Natrah juga mengorak langkah ke belakang. Berlari di tengah padang pasir tandus itu. Ya Allah, katakanlah ini hanya mimpi! Ampunkanlah aku yang berdosa!

Pakk!Pakk!Pakk! Tiga hentakan kedengaran. Natrah tersembam jatuh. Dilihat di belakang, apa yang berlaku. Dia jatuh bukan kerana diterkam anjing-anjing itu. Dia ditolak. Anjing-anjing itu juga kelihatan terbaring ke sisi. Susuk manusia membelakangi Natrah, bersenjatakan kayu berbara api di hujungnya. Lelaki. Siapa pula gerangannya? Anjing bertiga mula mundir dalam lalakan bertalu-talu. Lelaki tersebut berpaling menghulurkan tangan kepada Natrah. Cahaya matahari terik bersilauan di mata. Natrah gagal mengenalpasti rupa lelaki tersebut. Hanya terdapat titik hitam besar di dalam mata kanannya, yang sempat dilihat ketika dia berpaling. Siapakah?


Aku terbangun dari tidur. Aneh. Padang pasir. Perempuan berlari. Anjing gila. Manusia berjubah. Aku bukan seperti diriku dalam mimpi itu. Berlari pantas memukul anjing-anjing pelik, lagak superhero. Entah dari mana datangnya kayu cemeti ‘bertatah’ api. Kuhulurkan tangan kepada perempuan kecil itu. Belum sempat dicapainya, dia hilang ditiup angin, seperti pasir berterbangan. Lalu aku menoleh ke arah manusia jubah itu.

” Siapa kamu? Apa urusanmu? Siapa perempuan itu?”

Di sebalik hud kepala, terpancar senyuman menyeringai. Gigi taring kelihatan. “Aku adalah kamu, tapi kamu bukan aku. HAHAHA”.

Baru sahaja mahu melangkah ke hadapan, dia sudah berdiri tegak di hadapan aku. Tinggiku hanya mencapai bahunya. Rupa-rupanya tidak berkaki! Belum sempat aku mengangkat muka melihat, aku disapa di tepi telinga kiriku.

“Jauhi Natrah. Tempat ini bukan untuk bajingan seperti kau!” Ucapan menyeramkan itu seperti menolak aku keluar daripada mimpi ngeri. Aku lantas bangun mengambil wuduk, dan bersolat tahajud. Tiga nama terlintas di fikiran aku. Tidak dapat dibuang. Entah kenapa, aku pun tidak tahu.

Natrah. Sarah. Adam. Siapakah nama-nama ini? Apa kaitannya aku dalam hal ini. Gilakah aku berfikirkan nama-nama, sesuatu yang tidak pasti wujud atau tidak? Aku bingkas bangun ke meja tulis, membelek diari biru. Tiga nama ini pernah aku tulis sebelum ini, minda tanpa sedar. Aku mempunyai masalah sleepwalking, dan nama-nama tersebut terpahat di dalam diari biru ini. Entah dari mana asal usulnya.

Siapakah aku? Akulah Ren. Manusia biasa. Tiada yang pelik dan istimewa. Melainkan mata kananku bertahi lalat hitam sahaja. Mimpi ini sangat misteri. Tidak pernah aku lalui. Siapakah mereka?

17 thoughts on “#Gongpal – Dendam Suri”

  1. Terbaik bro.. cepat2 submit next story..
    kalau boleh biar panjang sikit..kalau boleh biar abis trus la..haha
    siksa btul menanti sebuah jawapan ni..

    9/10

    Reply
    • Intro panjang-panjang tak best bro. Next part akan diusahakan panjang lagi ya. Sebab aku typing cerita in one shot, dalam 15-30minit. So, susah sikit nak dapat panjang2. melainkan cerita betul macam sebelum ni. Ni just olahan fiksyen daripada kisah benar lah, lebih kurang macam tu.

      Reply

Leave a Comment