#Gongpal : Tiga Penjuru – Prolog

Busroq kembali ke gua tempat ‘kediaman’ asalnya. Jauh terperosok di dalam hutan simpan. Tiba di pintu gua, hanya bertenggek di satu sudut. Kedatangannya bagai tidak diundang. Keheningan malam itu diselang-selikan dengan bunyi syahdu serigala yang ‘rindukan’ bulan. Busroq tidak terus masuk. Ada ‘sesuatu’ di dalam yang lebih berkuasa, sedang memarahinya.

“Tuan Lipur Lara, aku sudah pulang…” ujar Busroq. Nyaring, tetapi bernada bimbang.

“Hmmm….” hanya dengusan sebagai balasan. Ternyata, makhluk berjubah ini ada juga ‘sesuatu’ yang ditakutinya.

“Maafkan aku kerana bertindak melulu,” Busroq tunduk melutut, bagai mengangkat sembah kepada raja.

Lipur Lara hanya berdiam diri. Asap kemenyan penuh menyelubungi ruang dalam gua. Gelap. Asing. Aneh. Di sinilah markas di mana hidupnya Busroq. Di sini markas diwujudkannya nenek kebayan. Di sini jugalah bermula segalanya tentang sihir dari Suri. Lipur Lara hanya tersenyum. Dia tahu, Busroq masih ada guna dalam perancangannya.

“Masuk, Busroq. Ketemu dengan ‘tuan’ yang kau khianati semula. Sujud ampun kepadanya,” suara garau Lipur Lara memanggil Busroq masuk. Siapakah ‘tuan’ yang dimaksudkan?
Dengan tanpa menjejakkan tanah, Busroq melayang masuk sehingga ke tengah gua. Dari kesamaran cahaya bulan dari luar, kelihatan susuk terapung, lebih tinggi daripadanya. Mata merah terbuntang, rambut mengerbang bak ular medusa, parut besar di leher kiri, memandang tepat ke bawah, ke arah Busroq. Dialah Suri, manusia puaka yang sepatutnya sudah mati!

“Suri? Aku sudah bunuh dia, Tuan Lipur Lara.”

“Kau takut, Busroq? Tuan yang kau khianati masih hidup?” Lipur Lara cuba menduga ‘makhluk’ seruannya itu.

“Dia bukan lagi tuan aku. Dia sendiri lepaskan aku, setelah berjuang bersama untuk dendamnya. Aku akan bunuh dia berulang kali, tanpa kesal, untuk buktikan yang aku tidak takutkannya!”

Busroq enggan tunduk meminta ampun. Sebaliknya, dia mengapungkan diri lebih tinggi, agar sama tinggi dengan apungan Suri di hadapannya. Mereka bertentang mata. Suri bukanlah Suri yang sebenar. Tiada roh suci kurniaan Tuhan pada hos tubuh itu. Qarin? Atau makhluk seruan yang mengambil alih badan?

“Baik. Enak sahaja. Aku terima sahaja jika kamu enggan meminta maaf….” Lipur Lara menghela nafas, lalu menyambung, “….tapi aku tidak toleransi, jika kamu saling berpecah belah. Ada perancangan baru untuk kamu berdua. Bekerjasama. Perang belum tamat.”
Suri menyeringai ke arah Busroq. Seolah-olah tidak bersetuju makhluk di hadapannya, bakal menjadi teman sekutu dalam perancangan durjana mereka. Namun, kata-kata Lipur Lara adalah perintah. Jika bunian Kampung Tinggal patuh kepada Raja Iskandar, Lipur Lara pula bagaikan raja kepada ‘syaitan’ di sini. Engkar, maka mautlah kamu.

“Suri, teruskan pertapaan kamu. Busroq, aku mahu tinjauan terhadap seseorang.” Lipur Lara memberi arahan kepada kedua-dua khadamnya itu.

“Apa yang perlu aku tinjau, Tuan Lipur Lara?”

“Wasir, lelaki bakal dilepaskan dari kampung bunian itu tidak lama lagi. Dia, aset. Kita bakal perlukannya untuk perang mendatang.” Busroq menganggukkan kepala, seraya beransur dari gua tersebut. Jauh di sudut hati, dia lega adanya Suri yang masih belum ‘mati’. Tidak perlu dia bertindak secara berseorangan. Belum pernah dia melakukan onar secara solo. Kerana Busroq, seperti jubah yang menutup mukanya, adalah makhluk yang berselindung. Berlidah cabang melaga-lagakan manusia. Dia sedar, Adam musuhnya itu masih hidup. Maka, perlunya dia bersedia dengan dendam kesumat terhadapnya suatu hari nanti. Suri ada sebagai ‘perisainya’. Dalam diam, Busroq tersenyum puas.

***
Haji Jalal terbatuk-batuk. Usai Maghrib, tidak kebah sakit di dadanya. Usia yang lanjut sudah mula memperingati dirinya, agar semakin perlahan dalam mengejar ‘roh’ di alam lain. Sudah hampir 30 tahun tugas Haji Jalal membantu pesakit-pesakit yang datang kepadanya. Ada yang disihir, ada yang diganggu saka. Ada yang mahu ditutup hijabnya. Cuma kes yang baru diterima ini, sedikit berat. Penghantaran roh ke ‘dunia’ lain. Juga misi mencari ‘roh’ yang hilang.

Tiga minggu pencarian Raykal Danish dilakukan. Akhirnya, Haji Jalal akur. Kudrat tidak lagi berpihak kepadanya. Dia mengurut-ngurut janggut putih di dagu. Sedang berkira-kira untuk menyatakan sesuatu yang tidak enak didengar oleh Munsyi dan Natrah.

“Nak, Haji mahu minta maaf ya. Raykal tidak dapat dikesan. Mungkin ada ‘tembok’ yang kuat melindungi semangat Raykal Danish. Haji rasa, Haji tidak mampu teruskan pencarian.”

Munsyi menganggukkan kepalanya tanda faham. Natrah, di sebelah, sudah mengalirkan air mata. Peluang untuk mendapatkan anak sulung mereka gagal. Ibu mana yang tidak sayangkan anaknya. Munsyi menarik nafas panjang. Dia mungkin perlu mencari alternatif lain. Kini, Adam bukanlah pembantu lagi untuk mereka mencari di alam lain. Sebaliknya, Adamlah dalang semua ini.

Natrah berbisik kepada suaminya,”Perlukah saya bertanyakan Adam di mana anak kita, sayang?” Semakin laju air matanya mengalir. Sudah mati akal gamaknya. Sampaikan Adam musuh sendiri yang hendak diminta tolong. Munsyi menggelengkan kepala.

“Sayang, Adam bukanlah Adam yang pernah bawa sayang ke alam sana. Dia bukan Adam yang menolong kamu pulang ke alam nyata. Sedarkah sayang, Raykal diculik oleh siapa? Si bajingan itu!” Munsyi berbuat seperti sedang batuk, menyedari yang dia telah meninggikan suaranya kepada isterinya, di hadapan Haji Jalal dan isteri.

Munsyi terfikirkan sesuatu. Jika Adam dalangnya, sudah pasti anaknya ada di perkampungan Adam. Tanpa berlengah, Munsyi mengusulkan sesuatu kepada Haji Jalal.

“Haji, boleh saya minta pertolongan buat kali terakhir? Bawa saya ke perkampungan Adam itu. Saya yakin, anak saya ada di situ.” Haji Jalal tersenyum, lalu menggelengkan kepala.

“Kemudian, apa yang kamu dapat? Perang lagi dengan bangsa bunian itu? Kampung itu bukan calang-calangnya. Kamu perlu lebih bersedia, jika mahu masuk ke sana.”

“Hantar aku ke sana, Haji. Biar aku bersemuka dengan kaum itu. Mereka tidak akan mengapa-apakan aku, kerana aku darah terpilih untuk menjadi raja mereka.” Ren yang sedari tadi hanya menjadi pendengar setia, menyampuk. Dia seolah-olah yakin, bahawa dia tidak akan diapa-apakan di bumi bunian itu. Dia juga pasrah, jika dia perlu menebus Raykal dengan dirinya sendiri, dia akan berbuat demikian. Demi cinta Natrah yang tidak kesampaian di hatinya, dia sanggup. Ren belum maklum bahawa Iskandar sudah bermaharajalela di sana. Di kesunyian itu, Haji Jalal meningkah.

“Macam ni lah. Haji sudah uzur, Haji tak mampu teruskan lagi. Boleh jadi hayat Haji akan lagi pendek jika diteruskan. Inilah kesannya bermain dengan alam lain, anak muda. Menghantar, dan membawa pulang roh asing dari alam lain, mengambil banyak tenaga dalaman, tenaga roh kita. Jadi, Haji terpaksa menolak cadangan kalian. Tapi…”

“Tapi?”

“Haji mahu jadikan kalian pelapis. Lebih mudah untuk kalian menyeru roh sendiri ke alam lain, daripada menjadi medium untuk menghantar roh ke dunia lain, seperti yang Haji buat untuk kalian. Kurang penggunaan tenaga, dan kalian bebas bergerak di alam sana. Apa kata kalian? Setuju untuk belajar ilmu daripada Haji?” Cadangan Haji difikirkan dalam-dalam. Munsyi dan Ren saling berpandangan. Mampukah mereka?

“Saya akui saya mahu belajar daripada Haji. Tapi, saya ada komitmen, sebagai doktor di hospital.”

“Cukuplah datang ke sini hujung minggu untuk belajar. Haji tak kisah.”

“Kau Ren. Bagaimana?”

“Aku memang tak kerja. Plan nak balik Korea lepas semuanya selesai.” Munsyi cuba memujuk, dengan cara yang tersendiri.

“Jadi, segalanya sudah selesai sekarang untuk kau, Ren? Aku datang kepada kau untuk meminta bantuan selamatkan anak aku. Bagi kau, sudah selesai semua ini? Please, Ren. Kita dah terjerumus dalam kes ni bersama-sama dari dulu lagi. Kau nak tarik diri sekarang?” Ren memandang tepat ke arah Munsyi. Aku buat semua ni, apa yang aku dapat? Ren hanya berkata-kata di dalam hati. Geram dengan sikap manusia yang tidak pernah tahu bersyukur, hanya meminta.

“Baiklah. Katakanlah, Raykal anak kau berjaya kembali. Apa yang aku dapat sebagai pembalasan?” Pertanyaan Ren dibalas dengan senyum dan tawa kecil daripada Haji Jalal. Dia sudah masak dengan perangai Ren, malah faham benar. Sebelum menghantar roh Ren ke alam lain, dia sudah nampak bahawa Ren berat hati untuk bekerjasama. Alasannya, dia berjuang untuk sesuatu yang bukan menguntungkan diri. Sejak kehilangan Natrah dahulu, perjuangan menyelamat manusia seangkatan, dilakukan seolah-olah dipaksa. Berjuang kerana dia mampu melakukannya, bukan kerana dia mahu melakukan.

Lalu, Haji Jalal pun berkata,”Hai, Shahrin anak muda. Haji kagum dengan kamu. Sungguh. Haji kagum. Selama ini, pertolongan kamu kepada kawan kamu, tidak terbatas dan tidak terbalas. Tapi, Haji percaya kamu ada prinsip hidup, kan? Adakah tugasan sekerat jalan ini, diterima dalam hidup kamu?”

Ren berpaling kepada Haji Jalal, seraya berkata,”Haji tak faham semua ini. Saya sudah meletakkan nyawa saya dalam bahaya berapa kali untuk Natrah. Sekarang, untuk Raykal pula. Bukan saya tak sanggup, saya mahu tahu apa yang ada untuk saya. Jika kami ditakdirkan terus berperang dengan bunian Kampung Tinggal tu, apa yang saya dapat? Jadi raja di alam sana? Itu yang saya mahu elakkan. Tapi, kawan di depan saya ni, minta pula saya ke sana untuk apa? Serah diri? Apa nilai keluarganya lebih penting daripada nilai hidup saya di dunia ni?”

Munsyi terkedu mendengar penjelasan dan persoalan daripada Ren. Ada benar kata-kata Ren itu, membuatkan dia tidak mampu untuk menjawab apa-apa. Lelaki di hadapannya sudah banyak berkorban. Jika dia perlu berkorban lagi untuk keluarga Munsyi, di manakah maruah Munsyi sebagai lelaki, tunjang ketua keluarga kepada Natrah, kepada Raykal Danish, dan kepada anak yang bakal lahir ini?

Haji Jalal batuk lagi. Kemudian, ditepuk-tepuk bahu kedua-dua anak muda di hadapannya.
“Sudah, sudah. Kita perlu bersatu hati. Urusan masih belum selesai. Macam ni lah, Munsyi, Shahrin. Pulanglah kamu semua. Fikirkan dahulu tawaran Haji tadi. Kalau kamu setuju, telefon Haji nanti kata setuju. Kalau tidak setuju, tidak mengapa. Memang Haji perlukan pelapis. Sekurang-kurangnya ada manusia yang masih boleh membantu manusia lain di kemudian hari. Untuk kamu Shahrin, Haji tidak membangkang hujah kamu. Sungguh. Kalau Haji di tempat kamu, Haji pun tak mahu. Tapi ingat, Shahrin. Kamu perlu bersedia. Apa-apa yang menguatkan kedudukan lawan kamu, hendaklah kamu hadapi walau benci setinggi manapun. Ingat, adanya Raykal di pihak mereka, akan melemahkan kekuatan kamu. Jadi, bermusyawwarahlah. Tindakan bersama yang Haji cuba sarankan di sini.”

Ren tunduk, menghela nafas panjang. Munsyi memandang kosong ke arah Ren. Di kejauhan, Natrah masih mengharapkan jasa bekas kekasihnya itu. Raykal adalah segala-galanya buat Natrah. Walau terpaksa mengorbankan nyawa sendiri.

***
Pulau Pinang. Lapang Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Dengan berkata mata hitam, gadis tinggi lampai itu, menyorong troli ke luar. Menghala ke ruang ketibaan. Dia tidak menunggu sesiapa menyambutnya, juga tidak ditunggu oleh sesiapa di luar. Dia hanya bercadang untuk bersuka ria untuk tempoh masa yang lebih lama di Malaysia. Pulau Pinang adalah destinasi kedua, selepas Kota Kinabalu. Penerbangan dari KLIA itu adalah hanya penerbangan yang singkat. Jadi, dia masih segar untuk terus berjalan-jalan di kota anak mami itu.

Minji. Masih di Malaysia. Dia juga tidak turut pulang ke Korea, setelah Ren bercadang untuk terus tinggal di Malaysia. Minji tidak kisah. Dia seorang yang berdikari. Dia sentiasa maklum bahawa Ren pasti akan pulang kepadanya semula. Jadi, dia memasang mata-mata untuk mengekori Ren ke mana-mana sahaja, manakala dia menikmati pelancongan tambahannya di Malaysia.

Pagi tadi, dia dilaporkan oleh mata-matanya, bahawa Ren sudah pulang ke rumahnya dari Johor. Bermakna, Ren sudah selesai berjumpa dengan Haji Jalal. Minji tahu, dia perlu bertindak secara berhati-hati, jika tidak mahu Ren tahu yang dia belum pulang ke Korea. Minji benar-benar gilakan Ren, lelaki bertahi lalat di mata itu. Entah kenapa. Mungkin kerana di dalam darah Minji, ada darah tempatan, jadi kecenderungannya kepada lelaki Malaysia itu ada di dalam darahnya.

Siapakah Minji? Kenapakah dia mempunyai mata tidak berhijab suatu masa dahulu? Mengapakah Minji masih kekal bersama Ren, walaupun dia tahu Ren lelaki yang sering didampingi makhluk halus yang inginkannya? Minji terus memandu kereta sewanya. Alamat di belakang gambar yang dipegangnya, dibelek-belek.

“Balik Pulau? Hmm, I hope I find something there. Really hope this journey will not turn out to be nothing,” gumam Minji sendirian. Rupa-rupanya, Minji ada agendanya yang tersendiri di Malaysia. Dia bukan sahaja mahu bercuti dan berseronok dengan Ren, malah dia ada sesuatu yang perlu dijejaki. Di bumi Pulau Pinang. Kampung asing untuknya. Namun, ada sesuatu dalam dirinya yang mengajak untuk jejaki tanah asal ibunya. Mastura, Puan Mastura. Wanita cantik di dalam gambar beralamat, yang dipegang oleh Minji.

Hijab matanya? Haji Jalal hanya menipu, untuk kebaikan. Minji sempat menulis nota kecil, dan diserahkan kepada isteri Haji Jalal. Meminta agar hanya ‘wayangkan’ sahaja urusan menutup hijab. Minji sengaja mengikut Ren untuk dating ke rumah Haji Jalal. Sekurang-kurangnya, dia tahu apa yang Ren akan lakukan nanti. Matanya pula, dia bakal perlukan penglihatan ‘halus’ untuk menghadapi masalahnya kemudian hari.

Minji tahu punca pemergian Puan Mastura sebaik sahaja tamat pantang, meninggalkan dia dan ayahnya. Puan Mastura berkahwin dengan suaminya, Kang Woomin, atas dasar cinta. Namun, sudah terdapat perjanjian keluarganya dan saka nenek Puan Mastura, agar diterima saka itu kepada anak sulung perempuan, waris kepada nenek. Puan Mastura lari untuk mengelak semua itu, tetapi dia tahu dia tidak boleh lari selamanya. Lalu, kelahiran Minji di Korea dirahsiakan, supaya dia tidak mewariskan saka kepada anaknya. Minji tidak tahu apa itu saka. Penceritaan ayahnya juga kurang jelas. Bagaikan ayahnya redha dengan pemergian ibunya itu. Minji datang, menagih penjelasan.

Dia sampai ke kampung halaman ibunya di Balik Pulau. Rumah separa batu, separa kayu. Minji mengeluh panjang. Di atas bumbung rumah, kelihatan jelas entity asing di matanya. Minji hanya melihat sekilas, lalu memandang semula pintu rumah. Tiada kereta di parkir. Adakah manusia mendiami rumah itu? Entiti itu masih memandang tajam Minji. Seolah-olah menanti kedatangan Minji sedari tadi. Berdiri tegak, tinggi 8 kaki. Hitam seluruh badan, berbulu lebat. Bagaikan ‘bigfoot’.

Minji hanya menunggu. Jantung berdegup, menantikan langkah makhluk itu seterusnya. Dia seorang yang berani. Sanggup hadapi apa sahaja. Namun, makhluk tersebut adalah di luar jangkauan kuasanya. Dia belum pernah berhadapan dengan makhluk sebesar dan seseram itu. Di kejauhan, pintu rumah dibuka. Seorang lelaki, 20-an, agak sebaya dengan Minji, keluar untuk menaiki motosikal di halaman rumah. Melihatkan kehadiran Minji, dia membatalkan langkah, lalu berjalan ke arah Minji.

“Hello, miss. May I help you? You seems to be looking for someone?”

“Yes. I am looking for someone. The name is Mastura.”

Lelaki itu bertanya lagi,”What business do you have with my mother?” Minji tergamam. Lelaki di hadapannya, anak Puan Mastura? Maksudnya, Puan Mastura kahwin lagi di Malaysia?

“I’m sorry, pardon? You are her son?”

“Yes. Who are you?”

“I am her daughter. Kang Minji. I need to see her.” Lelaki itu terkejut. Sesuatu yang tidak diingini, kini bakal berlaku. Rahsia yang cuba dibendung, bakal terungkai jika Minji berjumpa dengan Puan Mastura. Lelaki itu mula mencari helah.

“I am sorry to inform you. She is not around right now. You may have to wait for another week to meet her.”

“Why? Who are you?”

“My name is Fahmi. I never knew that I have a sister, from another father. I think this is a mistake.”

“Picture never lies.” Minji menunjukkan gambar Puan Mastura, bersama ayahnya. Perut Puan Mastura membunting, menunjukkan bukti yang dia mengandungkan Minji semasa gambar diambil. Fahmi mengeluh. Dia tahu akan kehidupan ibunya sebelum kelahiran dirinya, tetapi dia tidak sangka anak yang Puan Mastura cuba lindungi, datang mengundang bahaya kepada diri sendiri.

“You shouldn’t be here, Minji.”

“Why?”

“Because, our mother left you to protect you.”

“From what? The creature above your house?” Minji menunjukkan arah ke atas bumbung. Merujuk kepada makhluk berbulu di atas itu. Fahmi terus memandang ke sana. Tiada apa-apa.

“I don’t care what it is. But, our culture just happened to accept this creature to live together with us. Our mother don’t want to sacrifice you from that thing.”

“Whatever it is, I want to meet her. I will wait for her here no matter what.”

“I suggest not. She’s sick, badly. You need to go fast, so ‘that’ thing will not looking for you.”

“I don’t care. If she is sick, I need to see her now or never. Don’t you think so? She’s my mother. I have the right to meet her.”

Fahmi mengeluh. Degil si kakaknya itu. Mengalah, Fahmi beransur ke pintu rumah, mengajak Minji untuk turut serta. Apa yang bakal berlaku kepada Minji, Fahmi serahkan kepada Tuhan untuk tunjukkan jalan.

***
Fahmi gusar. Kakaknya, Minji, enggan pulang. Dia sedia maklum bahawa ibu mereka, Puan Mastura ada sejarahnya yang tersendiri. Namun, dia tidak menjangkakan pertemuan kali pertama dengan kakak berlainan ayahnya itu, dengan secara mengejut di sini.

Mereka berdua masuk ke dalam rumah. Fahmi menunjukkan Puan Mastura di pembaringan. Kurus cengkung, tidak bermaya. Hanya sekilas membuka mata, melihat kehadiran seseorang yang tidak pernah dilihatnya dalam susuk tubuh dewasa. Namun, Puan Mastura tahu, anak sulungnya itu sudah tiba. Anak yang dibuang jauh di Korea. Ketibaan yang tidak dijemput, dan diraikan.

“Ka! Ka! (Pergi! Pergi!)” Dihalaunya Minji. Bukan kerana benci, tetapi takutkan keselamatan anaknya itu. Minji melihat ke bawah pembaringan tilam. Di kaki Puan Mastura, binatang berbulu, lebih kecil daripada makhluk di atas bumbung, sedang menghisap ibu jari kaki kiri Puan Mastura. Penuh nikmat. Darah kotor kelihatan penuh di mulut makhluk itu. Makhluk itu berpaling melihat Minji, lalu tersenyum besar. Mangsa seterusnya sudah tiba.

“Just go, sis. I might not be able to speak in Korean, but I know you are not welcomed here. Even our mother don’t want you to be here.” Minji mengalah. Diberinya gambar Puan Mastura bersama ayahnya itu, kepada Fahmi.

“Just let her take this. For the sake of memory. I love you, mom,” ujar Minji, lalu beredar pergi. Dia segera ke kereta sewanya, lalu memandu pergi. Dari cermin sisi, kelihatan sesuatu mengikut. Makhluk berbulu besar itu gigih mengejarnya dari belakang. Minji tiada pilihan lain. Hanya Ren terfikir sebagai bantuannya sekarang. Hajat untuk tidak memberitahu Ren bahawa dia masih di Malaysia, terpaksa dibatalkan. Minji harus menyelamatkan diri, lebih penting daripada apa sekalipun.

***
Salafus Luqman berjalan turun tangga. Menuju ke penjara bawah tanah, di hujung sekali. Obor di tangan kanannya menyinari kawasan kelam itu. Salafus Luqman berasa syukur bahawa dia masih hidup. Rahsia pembelotannya tidak diketahui sesiapa. Sekarang, dia sedang menuju ke arah penjara yang menempatkan Adam. Sesuatu yang perlu disampaikan kepada rakan sekutunya itu.

Sebelum tiba di penjara hujung Adam, Salafus Luqman sampai ke penjara kedua terhujung. Dilihat Wasir sedang beramah mesra dengan Raykal Danish. Ketawa terkekek-kekek Raykal dek kerana terhibur dengan apa yang Wasir lakukan. Salafus Luqman tidak suka dengan apa yang dilihatnya. Wasir sememangnya manusia yang tiba bersama bekas raja, Muzaffar, namun dia tidak diterima baik oleh penduduk Kampung Tinggal. Wasir, dalam rupa yang baiknya, mempunyai ilmu terlarang dalam Islam. Dia pengamal ilmu kebal.

Wasir hanya melihat kedatangan Salafus Luqman dengan ekor matanya. Dia tahu, suatu hari nanti, dia akan dibebaskan. Hanya menanti masa sahaja. Jauh di lubuk hati, Wasir masih berdendam dengan sesiapa sahaja yang menyebabkan dia meringkuk di penjara dunia asing ini. Baginya, takhta itu sepatutnya menjadi miliknya. Bukan Muzaffar. Dia tahu, pewaris baru sudah datang. Dia mengharapkan pengampunan, supaya dia dapat bebas melaksanakan tugas baru. Menjatuhkan raja baru, untuk diangkat menjadi raja yang tidak didendang.

Salafus Luqman berkata,”Kamu, Wasir. Akan dipanggil kamu ke balairong istana esok hari. Bersiap siagalah. Raja Iskandar akan menghakimi kamu. Bersiap sedia, kamu mungkin mati esok.”

Wasir hanya tersenyum mengejek. Dia seorang yang kebal, masakan dia akan mati hanya kerana perintah raja baru. Dia belum tahu bahawa Iskandar itu, anak kandungnya. Nama pun tidak pernah dia berikan kepada anak di dalam kandungan dahulu. Apa yang dia tahu, esok bakal menentukan samada dia akan terus hidup dan kekal di sini, atau bebas. Dia mahu bebas, walau apa cara sekalipun.

Salafus Luqman beredar, melawat penghuni penjara seterusnya. Tidak diendahkan kehadiran Raykal Danish. Budak kecil itu sudah empat tahun di sini, masih tiada kata putus daripada Raja Iskandar akan nasibnya. Akibat terlalu lama bersama si kebal, Salafus Luqman khuatir ada ‘benda’ yang telah diajar kepada budak kecil itu.

Sesampainya di hadapan pintu penjara khas milik Adam, Salafus Luqman mengarahkan dua pengawal pintu untuk berlalu pergi. Perbualan mereka ada sulit, dia mahu memastikan tiada sesiapapun yang tahu intipati perbualan mereka. Jauh di tengah penjara, Adam tergantung sambil kedua-dua tangannya diikat secara menyimpang. Parut besar berendam di dalam kolam air panas menggelegak. Adam hanya memandang Salafus Luqman. Tiada rasa sakit atau perasaan digambarkan.

“Raja Iskandar sememangnya tidak maklum dengan cabang keluarga di Kampung Tinggal. Direndamnya kau di dalam air panas? Keluarga kau berelemen api. Masakan kau rasa peritnya sekarang. Rendam air panas ini hanya menguatkan lagi kau di sini.” Salafus Luqman mengeji tindakan Raja Iskandar yang dikatakan cetek ilmu. Benar, Adam datang dari keluarga api. Cabang Mustafa, berelemen ais, sepertimana keris yang dipakai oleh Salafus Salleh, berkuasa ais. Manakala Adam dengan kayu cemetinya, membakar mangsa di hujung senjata dengan api. Adam semakin kuat, sekuat dendam di hatinya. Dia hanya tersenyum dengan kata-kata Salafus Luqman. Ditiup perlahan dari jauh, angina ke arah Salafus Luqman. Api obor malap, lalu mati.

“Jangan buat apa-apa yang bodoh, Adam. Kau bakal bebas esok. Aku berani jamin. Aku tidak akan menghalang kau untuk bunuh raja semasa pengadilan esok hari.”

“Apa jaminan aku bebas?” Adam berkata dengan nada besar. Banyak perubahan telah berlaku kepadanya.

“Aku tahu kau masih ada kuasa. Sebaik sahaja Salafus Salleh menjalankan hukuman, besi gari akan terurai. Aku akan bantu ‘lembutkan’ besi di tanganmu.”

“Pahlawan-pahlawan lain? Mereka tidak akan menyerang aku?”

“Apa gunanya Wasir, jika dia boleh pegunkan semua di sana nanti? Kau jadikan dia sekutu kita. Aku akan menyusul kemudian, setelah kau dapatkan bala tentera di kemudian hari.”

Adam tersenyum. Dia tahu, bala tentera yang dimaksudkan adalah perjanjian bahaya. Perjanjian dengan syaitan, si Busroq yang telah membuatkan dia jadi begini.

“Tapi…” Salafus Luqman menambah,”Aku tidak tahu apa perancangan kau. Jika Raja Iskandar mangkat, apa yang kau akan buat?”

Adam memandang tepat kepada Salafus Luqman,”Kita jalankan perlembagaan kita, seperti dahulu. Tiada campur tangan asing untuk menjadi raja. Biar sahaja aku menjadi raja di kalangan kamu. Seperti dahulu, sebelum perjanjian perdamaian Cabang Kampung Tinggal dimeterai.”

Salafus Luqman terkejut. Perancangan yang di luar jangkaannya. Dia tidak menyangka, dengki yang disebut Busroq itu, adalah dengki berkenaan siapa yang perlu menjadi raja. Rupa-rupanya, Adam sememangnya gilakan kuasa. Dia mahukan takhta itu dari awal lagi.

“Aku tidak menerima pembelot, Luqman. Aku mahukan pembantu yang setia, yang akan kekal sebagai orang kanan aku suatu hari nanti.”

“Aku bersumpah, akulah yang layak mendampingi kau, Adam. Aku mahu keluar daripada dibelenggu bayangan Salafus Salleh, pewaris keluarga mutlak.”

“Kau rela, jika aku bunuh semua ahli keluarga kamu? Sebagai balasan terhadap apa yang dimeterai oleh Keluarga Mustafa suatu masa dahulu? Keluarga kaulah yang menyarankan Raja Mikraj, atau nama sebelumnya Salafus Mikraj. Hanya kerana keluarga kamu bertakhta pada ketika itu, habis semua dibunuh ahli keluarga kami.”

“Bukan salah aku. Keluarga kau lemah. Mengharapkan bapa kau untuk menggulingkan raja kita dahulu. Bukan aku tak tahu, kamu cuba membunuh Raja Mikraj tetapi gagal. Sebagai menebus kesalahan sendiri, dengan rela hati kau memenggal kepala bapa kau, kononnya sebagai bukti taat setia. Kau lalang. Jangan samakan pendirian aku dengan kau. Bersyukurlah, masih ada aku setia untuk berjuang di belakang kau.”

Adam memejamkan mata. Dia masih ingat, selepas kematian semua ahli keluarganya di tangan Raja Mikraj, satu perjanjian damai telah dibuat. Kuasa autonomi keluarga tidak lagi diamalkan. Sebaliknya, mereka akan memilih raja di kalangan pendatang, iaitu manusia biasa. Puteri di kalangan keluarga mana yang berjaya memikat hati pendatang, dialah pemenang yang akan mengangkat keluarganya sebagai susur galur diraja baharu. Sepertimana berjayanya Permaisuri Seroja untuk menjadikan Muzaffar sebagai raja. Walaupun perjanjian ini termeterai sudah sekian lama, pelaksanaan hanya berlaku pada zaman Raja Muzaffar. Tiada pendatang yang diambil menjadi raja sebelum itu, memandangkan Raja Mikraj panjang usianya. Permaisuri Seroja adalah anak saudara kepada Raja Mikraj.

“Kau pergilah. Laksanakan perancangan itu. Akan aku usulkan kepada Wasir semua ini.” Salafus Luqman mengangguk setuju, lalu berjalan pergi. Dia memandang dengan ekor mata kepada Wasir. Mereka perlukan sekutu. Benci manapun dia kepada Wasir, mereka memerlukan bantuan si kebal itu.

***
“Kau dengar tutur bicara kami, Wasir?” Wasir kelihatan mendekati pintu penjara. Mendengar tutur bicara Adam di sebalik pintu penjara sebelah.

“Ya. Aku sangkakan kejahatan sihir aku adalah paling jahat di sini. Aku kagum dengan kamu, Adam.”

“Jangan samakan aku dengan kau. Kita mempunyai matlamat yang sama. Kau mahu bekerjasama denganku, Wasir?”

Wasir hanya ketawa besar. Dia bakal bebas esok hari. Dengan bantuan Adam, segalanya bakal tercapai. Ketawa besar penghuni lama penjara itu. Raykal hanya mendengar tanpa memahami apa-apa.

“Anak kecil, Raykal. Esok, kita bakal bebas. Kamu akan atuk bawa pulang ke pangkuan ibu bapamu.”

“Tapi atuk, atuk tidak akan bersama lagi dengan Kal?” Wasir menggelengkan kepala, seraya berkata.

“Tidak. Tempat kamu bukan di sini. Kamu tidak akan aman jika terus dengan atuk. Atuk perlu buat sesuatu untuk keselamatan diri.” Raykal Danish mengangguk. Walau tidak mengetahui perancangan sebenar si kebal dan Adam, dia hanya menerima sahaja apa yang diarahkan. Dia hanya tahu, esok dia akan pulang.

Wasir ketawa besar. Adam tersenyum puas. Di kejauhan, nun di gua terlindung, ada satu lagi senyuman puas diukir. Lipur Lara bakal mengundang tetamu. Perang bakal diletuskan. Perang tiga penjuru. Masing-masing perlu menguatkan bala tentera. Kini, tinggal masa sahaja menentukannya. Manusia, bunian, atau syaitankah yang akan memenangi pertarungan ini?

***

계속 (Bersambung)

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Lawati laman facebook penulis: https://www.facebook.com/gongpal.hakbon.7

28 thoughts on “#Gongpal : Tiga Penjuru – Prolog”

    • Singkong ni nampak loklak loklak, tapi taste pembacaan dia tingkat tinggi…
      Baguihlar hang naaa…

      Gongpal…
      Akk x bape pandei nk komen psl citer ko yg hebat camni sbb tahap akk citer santai2 ringan2 jer…
      Papepon gud job atas usaha penulisan yang bersungguh…

      Reply
  1. terbaik #gongpal macam biasa..
    ingt #gongpal smbung cerita dinding seram..
    tp hrtu kte wasir dengan rayqal kne buang alam lain??
    da pulak watak baru.. huhuhu knp la adam tu ada lg..
    plus pulak minji dgn sakanya.. huhuhu..
    cpt smbung…

    Reply

Leave a Comment