#HaikalFansuri – PENCEROBOH (Bahagian 1)

Terima kasih admin FS kerana siarkan cerita ini. Untuk makluman pembaca FS, ini merupakan bahagian pertama daripada keseluruhan cerita yang aku pecahkan kepada beberapa bahagian supaya lebih mudah dibaca dan tak jadi terlalu panjang.

Dua minggu lalu, aku hantar Bahagian 1 bertajuk MISTERI RUMAH PERSATUAN dan setelah lebih seminggu cerita itu tidak tersiar, aku hantar pula versi spin-off atau rip-off kepada Bahagian 1 bertajuk PENCEROBOH. Tapi mungkin cerita itu kurang menarik menyebabkan MISTERI RUMAH PERSATUAN tidak tersiar sebaliknya PENCEROBOH pula yang tersiar.

Majoriti pembaca kisah PENCEROBOH mengadu kurang faham dan teruk jugalah aku kena maki. Untuk hilangkan ‘sedikit’ ketidakfahaman tu, aku hantar sekali lagi Bahagian 1 yang anda sedang baca sekarang, dan tajuknya aku tukar daripada MISTERI RUMAH PERSATUAN kepada PENCEROBOH (Bahagian 1).

Kepada pembaca yang memahami PENCEROBOH, aku nak ucapkan terima kasih dan tahniah. Daya imaginasi anda yang mahukan sesuatu yang berbeza selayaknya mendapat pujian.

Sesiapa belum baca PENCEROBOH dan teringin nak baca bolehlah tekan sini ( http://fiksyenshasha.com/penceroboh/ )

PENCEROBOH (Bahagian 1)

The events depicted in this story took place in Irbid Jordan in 2015.
At the request of the survivors, the names have been changed.
Out of respect for the dead, the rest has been told exactly as it occurred.

Dua tahun lalu, aku berpindah ke rumah sewa baru di bangunan PUSKOM. Rumah tersebut asalnya dihuni oleh senior merangkap sahabatku bernama Ustaz Nizar. Aku diminta menggantikan tempatnya setelah dia menamatkan pengajian dan pulang ke Malaysia pada semester lalu.

Kemasukan aku diharap dapat membantu teman serumah Nizar bernama Faiz, yang akan bersendirian menanggung bayaran sewa, elektrik, air dan internet jika penyewa baru tidak segera ditemukan. Tanpa berfikir panjang aku bersetuju, setelah mendapati harga sewanya jauh lebih murah berbanding rumah lamaku.

PUSKOM ialah nama singkatan bagi Pusat Komuniti yang merupakan rumah persatuan bagi pelajar Malaysia di sini. Bangunan ini mempunyai tiga tingkat. Rumah di tingkat tiga telah disewa oleh orang Arab. PUSKOM yang disewa oleh persatuan pelajar berada di tingkat dua dan akhir sekali rumahku, di tingkat paling bawah.

Berbeza dengan rumah-rumah di tingkat atas, rumahku agak kecil dan sempit, sesuai dengan harga sewanya yang murah. Di tengah-tengahnya terdapat satu ruang yang terlalu kecil untuk dipanggil ruang tamu. Bilik tidur pula hanya ada dua, dipisahkan oleh dapur di tengah-tengah dan sebuah tandas di ruang belakang.

Peristiwa ini berlaku pada malam pertamaku di rumah baru.

Aku sedang berbaring di dalam bilik sambil meletakkan sebelah tangan dikepala. Walaupun keletihan memindahkan barang petang tadi, aku belum dapat melelapkan mata kerana mindaku ligat memikirkan sesuatu. Dalam banyak-banyak maklumat yang Nizar kongsikan tentang rumah ini, tidak ada yang lebih menganggu fikiranku selain kisah-kisah kurang enak yang aku dengar tentang Faiz.

Faiz seorang yang amat misteri.

Menurut cerita Nizar, Faiz langsung tidak bergaul dengan orang. Dia hidup dalam dunianya sendiri. Kebanyakkan waktu dia sering mengunci diri di dalam bilik. Dia hanya keluar jika ingin makan, ke tandas, menghadiri solat Jumaat atau kuliah di jamiah (universiti). Pulang dari jamiah dia akan kembali berkurung di dalam bilik. Ini menyebabkan bukan hanya junior-junior batch bawah seperti aku tidak pernah bertemu dengannya, malah ramai kawan batchnya sendiri tidak mengenali siapa Faiz.

Ketika aku memindahkan barang-barang petang tadi, Faiz langsung tidak keluar membantu walaupun pintu biliknya aku ketuk berkali-kali. Helahku jika Faiz membuka pintu, aku ingin berpura-pura bertanya tentang password WIFI walaupun jauh di sudut hati, aku hanya berharap dapat bertemu mata dengan teman serumahku itu buat kali pertama.

Malangnya pintu itu kekal berkunci dan akhirnya aku berputus asa. Aku sendiri kurang pasti jika Faiz benar-benar ada di dalam biliknya.

Lamunanku terhenti apabila azan Maghrib berkumandang. Aku keluar dari bilik untuk ke tandas dan ketika inilah aku ternampak pintu bilik Faiz terbuka. Tidak semena-mena Faiz muncul dari dapur bersama sebungkus ayam broasted Dale3 Karsyak Wajibah Harr (Spicy). Secara spontan aku terus menyapa Faiz dan memperkenalkan diri.

Walaupun bermula kekok, lama-kelamaan kami dapat berbual seperti biasa. Faiz tidak kembali ke biliknya dan kami mentekedarah ayam broasted itu secara berjemaah di ruang tamu. Hati kecilku terusik apabila menyedari Faiz tidaklah seteruk yang disangka orang. Aku hanya perlu bijak memilih topik menarik untuk berbual dengannya. Orang seperti Faiz ini aku kategorikan sebagai introvert outside, extrovert inside.

Faiz rancak bercerita dan aku lebih tekun mendengar. Dia berasal dari Kelantan dan kipas susah m**i pasukan bola sepak Borussia Dortmund. Sedang kami rancak berbual, aku teringatkan bil internet rumah yang perlu dibayar. Aku mencuba nasib mengajak Faiz menemaniku ke Orange Centre dan alhamdulillah, dia bersetuju. Selepas sembahyang, kami keluar meninggalkan rumah menuju ke Orange Centre.

Tiba di Orange Centre, Faiz mengambil nombor giliran dan aku pergi mendapatkan tempat duduk. Sambil menunggu nombor dipanggil, aku melontarkan pandangan ke luar. Nun di seberang jalan, kelihatan beberapa kelibat pelajar Melayu yang baru selesai solat Maghrib berjemaah berkumpul di luar pagar Masjid Jamiah.

Telefonku tiba-tiba berbunyi. Nama yang tertera di skrin membuatku tersenyum kerana sudah agak lama kami tidak bertukar khabar. Aku menekan butang hijau pada skrin dan menerima panggilan video itu.

“Assalamualaikum akhui. Esylunak? Shuu akhbarak? Murtabak heluu?”

Suara lembut Nizar menyapa telingaku. Aku menyambut jenaka hambarnya dengan ketawa sambil menatap wajahnya yang ceria.

“Alhamdulillah sihat. Kau tu apa khabar? Makin sihat nampak.”

“Aku baik je, alhamdulillah. Ehh, macam kenal tempat belakang tu. Kau kat Orange ke?”

“Yelah chor, nak bayar internet. Ramai gila orang beratur, nasib baik kami datang awal.”

“Kami? Kau dengan siapa?”

“Dengan siapa lagi, Faizlah. Dia ada kat kaunter, nombor kitorang dah kena panggil.”

“Biar betul Kal. Takkan baru sehari pindah kau dah berjaya ajak si Faiz keluar rumah? Agak-agaklah nak tipu pun.”

“Tak caya sudah.” Aku memusingkan kamera telefonku ke arah Faiz yang berada di kaunter bayaran.

“Kau tengoklah siapa dekat kaunter tu. Ada ke cakap aku bohong.”

Selang beberapa saat, aku kembali mengadap skrin. Aku terkejut melihat wajah Nizar tiba-tiba pucat lesi.

“Kal, siapa kau tunjuk tadi tu? Tu bukan Faizlah.”

Wajahku berkerut. “Bukan Faiz? Maksud kau? Aku tak faham.”

“Maksud aku tu bukan Faizlah, nak maksud apa lagi? Aku cakap sungguh ni, yang kau tunjuk tadi tu bukan Faiz. Ya Allah, aku rasa tak sedap hatilah,”

Tanganku mula menggeletar.

“Err tenang, Kal. Jangan panik. Kau selawat banyak-banyak. Aku rasa orang tu menyamar jadi Faiz. Sekarang kau ikut cakap aku. Kau telefon Abu Muhammad, ajak dia jumpa depan rumah kata ada hal kecemasan. Lepas kau sampai rumah, kemas apa yang patut dan keluar dari rumah tu malam ni juga. Tumpanglah rumah siapa-siapa dulu. Kau pergi sekarang, cepat!”

Seperti terkena sihir, aku mengikut kata-kata Nizar. Mujur lelaki yang menyamar sebagai Faiz itu tidak sedar aku menyelinap keluar. Setelah menelefon Abu Muhammad, aku mula berlari menuju ke rumah. Tiba-tiba aku mendapat satu idea. Aku memperlahankan larian dan jariku pantas menaip satu mesej ringkas,

[Aku gi sejid jap, tumpang tandas. Hg jgn p mana2. Japgi aku dtg balik]

Aku memilih nombor Faiz dan menekan HANTAR. Moga-moga rencanaku untuk melengahkannya berhasil.

Tiba di bangunan PUSKOM, hatiku geram kerana Abu Muhammad belum tiba. Aku segera masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu. Tempat pertama yang aku tuju, bilik Faiz. Aku yakin jawapan kepada misteri ini ada di dalam. Malangnya pintu itu berkunci. Akibat terlalu geram, aku menendang pintu itu beberapa kali. Tidak semena-mena, hidungku menangkap bau yang amat busuk keluar dari bilik tersebut.

Degupan jantungku kian pantas. Pelbagai lintasan buruk muncul dalam fikiran. “Ini kerja gila’. Getus hatiku. Tanpa lengah aku ke bilik dan mula mengemas barang-barang penting. Setelah selesai aku bergegas untuk keluar. Tiba-tiba, kedengaran di luar seseorang sedang membelek gugusan kunci. Aku lekas berpatah balik dan masuk ke dalam bilik. Setelah mengunci dari dalam, aku mematikan lampu dan mengintai melalui lubang kunci.

Tekaanku tepat. Lelaki yang menyamar sebagai Faiz itu muncul dimuka pintu. Langkahnya tergesa-gesa seperti dikejar sesuatu. Dengan pantas dia menuju ke bilik Faiz. Aku tidak tahu apa yang dibuatnya tetapi lebih kurang 10 minit kemudian, dia kembali ke ruang tamu sambil menggalas sebuah beg dibahu. Ketika dia melintas di depan bilikku, tiba-tiba dia berhenti dan merapatkan tubuhnya ke pintu,

“Kal, kau buat apa kat dalam? Aku mesej tak balas. Malam ni aku ada kerja sikit, aku tidur rumah kawan,”

Aku tersentak, cuba menahan nafas. Adakah dia benar-benar tahu aku berada di dalam? Adakah dia tahu penyamarannya sudah terbongkar?

Aku terdengar bunyi pintu rumah dibuka dan kemudian ditutup. Kelibat lelaki itu sudah tidak kelihatan, namun aku belum berani membuka pintu. Boleh jadi dia bersembunyi, siap untuk menerkamku sebaik sahaja aku keluar. Aku memilih untuk terus menunggu.

Setengah jam kemudian, pintu rumahku tiba-tiba diketuk kuat.

“Assalamualaikum, ana Abu Muhammad!”

Itu suara Abu Muhammad, haris (penjaga) bangunanku. Celaka! Baru sekarang dia tiba? Aku bergegas keluar dan mengintai melalui eye hole. Melihat Abu Muhammad berada di luar, aku membuka pintu dan menceritakan apa yang berlaku dari A sampai Z.

Setelah meyakinkan Abu Muhammad terdapat bau busuk dari bilik Faiz, Abu Muhammad keluar sebentar dan kembali bersama mertun dan pemutar skru. Pintu bilik Faiz akhirnya berjaya dibuka dan bau busuk semakin kuat mencengkam hidung. Perlahan-lahan Abu Muhammad menolak daun pintu dan menghidupkan lampu.

Mata kami terbeliak. Abu Muhammad mengucap panjang. Apa yang kami lihat di depan mata amat mengerikan.

Lantai bilik itu dipenuhi takungan d***h. Di tengahnya terbaring sekujur tubuh tanpa kepala, dengan tangan serta kaki yang diikat ke belakang. Kesan lebam dan k***r memenuhi tubuh itu seakan-akan dia telah dibelasah dan kulitnya disiat-siat. Aku lekas berpaling dan jatuh terduduk. Tekak ku berasa loya dan tanpa tertahan lagi aku termuntah di situ juga. Ini semua terlalu banyak. Ini semua terlalu mendadak.

Malam pertama di rumah baru, aku menemui mayat housemateku tanpa kepala!

Telefonku tiba-tiba bergetar. Perlahan aku keluarkan dari poket dan menatap skrin. Satu mesej daripada Faiz. Dengan jari yang menggeletar, aku menekan BACA,

“Jangan balik rumah. Dia tahu di mana awak tinggal.”

BERSAMBUNG …

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]
Haikal Fansuri

22 thoughts on “#HaikalFansuri – PENCEROBOH (Bahagian 1)”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.