AKU MEMBELEK JAM DI PENJURU DINDING. Jam menunjukkan tepat jam 3 petang. Jarang sekali ada pesakit pada petang jumaat. Kalau ada pesakit yang ingin membuat temu janji pada petang jumaat sekalipun sememangnya kami sebagai terapis akan cuba untuk menukar ke waktu lain.
Petang jumaatlah masa yang ada untuk mengemaskini data pesakit yang tidak lengkap sepanjang minggu tersebut. Tapi untuk kes-kes tertentu seperti pesakit baru memang tidak dapat dielakkan. Aku menanti dengan penuh sabar sambil mengetuk-ngetuk jari di meja. Mesej yang diterima dari kawanku yang bertugas di kaunter pendaftaran jabatan rehabilitasi mengatakan aku bakal ada seorang pesakit pada petang itu aku terima dengan sepenuh hati walaupun separuh jiwa sudah berada di atas katil di rumah.
Jabatan rehabilitasi yang berada jauh dari jabatan lain dan wad terasa sunyi sekali. Seperti semua orang sudah pulang. Di unit pemulihan cara kerja ini, sejak habis waktu rehat tadi hanya kelibat pelajar pelatih sahaja yang kelihatan.
Krekkk.. krekk..
Aku sedikit terkejut. Tersembul muka seorang lelaki lewat 40-an di sebalik pintu bersama wheelchair uzurnya. Kelihatan roda-rodanya sudah berkarat dan menghasilkan bunyi krek krek yang aku dengari sebentar tadi. Aku bingkas bangun sambil tersenyum.
Both amputation below knee level, 47 years old male, having surgery about 3 weeks ago. Based on condition apa pun aku tak pasti.
Mungkin doktor terlupa tulis gamaknya dan aku hanya mengandainya disebabkan diabetes. Berlegar-legar info yang aku dapat melalui surat reference dari doctor. Aku menyapanya dan bertanya dengan siapa dia datang kerana jarang sekali pesakit yang dipotong kaki datang sendirian kecuali setelah sekian lama menjadi pesakit di unit ini.
Aku cuba menjenguk ke luar ruang Ortopedik itu kalau-kalau ada penjaga yang datang bersama. Namun dia menjelaskan yang isterinya terpaksa pergi ke tempat lain kerana ada urusan manakala anak-anaknya masih bersekolah. Aku terdiam seketika. Aku hanya memandangnya tanpa sebarang kata.
Walaupun masih phantom limb (kaki hantu; rasa seolah-olah dia masih mempunyai kaki), namun dia kelihatan cekal. Mungkin dia sudah belajar menerima takdir. Setelah bertanya serba sedikit mengenai dirinya dan keluarga yakni perkara asas dalam memulakan sebarang rawatan, aku membuka balutan, memeriksa jahitan dan bentuk kesan potongan sebelum memberi kaki palsu.
Mataku tertancap kepada jahitan di kakinya. Benangnya timbul seperti dijahit sendiri di kain. Lain benar berbanding kaki pesakit lain yang aku temui.
“ Pak Cik, ni doktor ke yang jahit? “ aku benar-benar pelik.
Dia menggeleng. Katanya isterinya yang jahit kerana lukanya terbuka setelah pembedahan. Aku terkedu.
“ Kedua belah ni isteri pak cik yang jahit? Kenapa tak datang ke hospital?” aku hampir meninggikan suara kerana geram. Jarum jahit kain bukan boleh sesuka hati menerobosi kulit. Silap-silap jangkitan kuman yang serius boleh berlaku.
Tiba-tiba pak cik itu membeliakkan matanya kepada aku. Aku berundur beberapa langkah ke belakang. Dia menghampiriku dengan kerusi rodanya. Krek.. krek.. kemudian dia berhenti sendiri sebelum menampar kuat kedua belah mukanya. Aku yang masih terkejut sempat menahan tangannya daripada terus menampar sebelum ada terapis lain yang melihat kejadian datang membantu.
Itulah permulaan perkenalan dengan pesakit misteri aku. Berwajah ceria dan sentiasa tersenyum walaupun gigi sudah rongak.
Isteri yang jahit? Dalam data pesakit, dia tinggal sendirian setelah kematian seluruh ahli keluarga hampir 5 tahun yang lalu. Aku berasa meremang bulu roma secara tiba-tiba. Apakah.. adakah aku perlu melakukan home visit?
SEPI SAJA SUASANA DI DALAM KERETA. Aku mengajak Nurin, rakan terapis aku untuk menemani aku membuat home visit. Oleh sebab keadaan pesakit yang agak misteri aku agak takut untuk membawa bersama pelajar pelatih.
Biarlah mencegah dari sebarang kejadian yang tidak diingini. Hampir sejam kami mencari rumahnya namun tidak ditemui lantas aku membuat keputusan untuk turun dari kereta dan bertanya pada penghuni di situ. Hampir sahaja tangan aku tidak tersepit di pintu rumah setelah dihempas seorang wanita. Wajahya berubah terus apabila mendengar nama pakcik tersebut.
“ Kau jangan sebut nama tu ! mimpi ngeri aku lagi malam ni. Dia tu pembunuh !” aku tergamam. Lantas aku pulang semula ke kereta. Berkerut muka Nurin memandang aku. Aku mengunci rapat mulut. Takut kalau-kalau Nurin mahu berpatah balik sekiranya dia membuka cerita. Kami meneruskan perjalanan mencari. GPS sejak dari tadi membawa kami ke kawasan perkuburan namun kami memilih jalan lain.
“ Apa kata ikut je GPS tu. Mana tahu ada rumah jugak lepas perkuburan tu. “ cadangan aku diterima Nurin dengan berat hati. Masing-masing diam sewaktu melalui tanah perkuburan itu. Dalam hati aku tak habis-habis mengalunkan ayat suci Al Quran dan aku yakin Nurin melakukan perkara yang sama.
Tepat jangkaan aku. Di hujung tanah perkuburan, terdapat sebuah rumah yang di tepinya bersusun batu nisan. Pembuat batu nesan.
Aku memberi salam. Tidak berjawab. Lama. Nurin mulai hilang sabar lalu mengetuk kasar pintu rumah kayu yang sudah usang itu. Belum sempat ketukan kedua diberi, pintu dibuka. Senyuman lebar diberikan sambil memandang wajah aku. Dia mempersilakan kami masuk sebelum menutup pintu. Aku cuba menghalang. Takut sebenarnya. Namun dia memberi alasan angin kuat akan membawa debu tanah masuk kedalam rumahnya. Nurin selamba melabuhkan duduknya di kerusi rotan di situ. Pak cik meminta diri mahu ke dapur membuat minuman walaupun kami menolak. Aku memerhatinya dari belakang.
Laju dia mengesot dengan kedua belah kakinya yang kudung. Aku berasa tidak sedap hati. Nampak seperti dia boleh menguruskan dirinya sendirian namun kenapa di refer ke unit rehabilitasi? Aku bersoal sendirian.
“Menurut kawan saya, Pak Cik cakap isteri pak cik hantar pakcik dan anak-anak ke sekolah hari tu kan, tapi dalam data kami, isteri dan anak-anak pak cik dah lima tahun meninggal dunia.” terlepas cawannya di tangan. Bunyi deraian kaca benar-benar mengejutkan aku. Aku menyiku kasar Nurin. Aku memohon maaf. Nurin masih tidak berpuas hati namun aku memotong cakapnya dengan mengalihkan topik.
“Kamu nak dengar cerita sebenar?” soalnya sambil mengesot mendekati kami. Aku berasa jantung aku berdengup kencang sekali. Dan tiba-tiba telefon aku berbunyi. Aku meminta diri menjawab panggilan di luar rumah meninggalkan Nurin dan pak cik dengan perasaan teragak-agak. Setelah lebih kurang lima minit, aku melangkah masuk kembali ke dalam rumah. Aku terpempan di muka pintu. Rasa segala sendi aku bergetar dengan maha hebat.
Terasa wajahku jika ditoreh sekalipun tidak akan berdarah. Situasi di mana pak cik tersebut sedang mengerat tubuh Nurin yang berlumuran darah dengan menggunakan kapak. Darah memercik ke serata tempat. Kaki aku seolah dipaku di situ. Telefon aku lantas terlepas jua dari genggeman aku lantas menghasilkan bunyi deraian kecil. Dia berhenti menetak tubuh Nurin sambil berpaling ke arahku. Senyuman menakutkan terukir di bibirnya. Aku cuba mengangkat kaki meninggalkan muka pintu.
Dia mengesot perlahan menghampiri aku sambil membawa kapaknya. Aku berlari ke arah kereta namun menyedari yang kunci kereta berada pada Nurin. Aku berpaling ke belakang. Dia semakin menghampiri. Aku berlari sekuat tenaga ke arah bertentangan namun aku tidak menemui jalan keluar. Bunyi geseran badannya dengan tanah semakin menghampiri. Aku lantas bersembunyi di sebalik batu nesan yang bersusun di bahagian tepi rumah.
Dup dap dup dap. Peluh bercucuran membasahi tubuh aku. Kedengaran nama aku dipanggil dengan suara yang benar-benar membuatkan aku terasa seperti di panggil malaikat maut.
“Hana… Hanaa.. Hanaa.. Kat mana Hana ? baik abang yang jumpa Hana sebelum kapak abang yang jumpa Hana dulu.” Pujuknya mendayu. Aku sudah menangis. Mungkin ajal semakin menghampiri. Namun tiba-tiba keadaan manjadi sunyi sepi. Tiada bunyi geseran, panggilan suara mahupun sebarang bunyi. Aku menoleh ke arah kiri. Terasa tekakku kesat sekali. Nur Hana Binti ismail, 1 April 2017.
Nama penuh aku beserta tarikh yakni hari tersebut terukir di batu nesan. Aku meraung kecil sebelum ditarik tudungku dengan kuat dari arah belakang sebelum dia menjahit kasar bibirku. Terasa pedih menyucuk-nyucuk apabila jarum menembusi bibir. Air mata terasa tidak berguna lagi. Aku hanya sempat berdoa agar dia menamatkan sengsara aku secepatnya. Dia mulai mengangkat kapak dan pakkk ! ……..
Aku mengangkat kepala. Terasa berdenyut. Peluh membasahi dahi. Aku membelek jam di penjuru dinding. Jam menunjukkan tepat jam 3 petang. Tiba-tiba masuk mesej yang dari kawanku yang bertugas di kaunter pendaftaran jabatan rehabilitasi mengatakan aku bakal ada seorang pesakit pada petang itu. Aku teringat kembali apa yang aku telah alami.
Krekkk.. krekk..
Aku benar-benar terkejut. Tersembul muka seorang lelaki lewat 40-an di sebalik pintu bersama wheelchair uzurnya. Kelihatan roda-rodanya sudah berkarat dan menghasilkan bunyi krek krek yang aku dengari sebentar tadi. Dia tersenyum kejam sambil menolak kerusi rodanya menghampiri aku……
- hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Isshh.. cerita gantung.. xbest dahh.. spoil jerr…
Maknanya kau dah mimpi dulu pakcik tu? So camne dengan pakcik tu? Buat Home Visit jugak ke?
Pastu…. Ngeri nyer
great storyline!!! want more pleaseeeee.
Ngeri – tapi tak pasti khayalan or kenyataan..tergantung …so kalau dah mimpi camtu..baliklah..tak yah lah home visit.
x rase pun cerita ni tergantung. best je
Cerita rekaan aku xbaca.sorry..
Done baca.. jalan citer best tp dh boleh agak.. cuma sy tak tau apa yg sy tak puas hati…