Hantu Kah Manusia

Asalam dan salam 1 Malaysia. Berjumpa lagi bersama Ato. mohon maaf andai terlalu banyak cerita yang aku kongsikan. Hanya masa cuti sahaja aku dapat mengarang kisah-kisah aku dan kisah kawan-kawan. Semua kisah adalah kisah benar dan bukan fiksyen semata. Kalau ada tokok tambah pun ianya hanya bersifat sebagai penyedap ayat sahaja. Semua nama-nama watak yang terlibat bukanlah nama sebenar.

Dulu masa aku budak-budak, aku tidak percaya akan kewujudan hantu. Walaupun tidak percaya, tetapi jika ada cerita-cerita hantu dari keluarga atau kawan-kawan, aku pandai takut juga. Hatta ke tandas pun mesti berteman.

Aku memang sorang yang penakut. Penakut nak gaduh, penakut dengan hantu dan paling aku takut adalah anjing dan haiwan-haiwan kecil seperi cicak dan lipas. cicak dan lipas bukanlah takut sebab apa tapi takut merasai kegeliannya berjalan di anggota badan. Kalau cicak berjalan di badan, aku boleh pengsan kegelian.

Pada suatu malam, aku dan 3 orang kawan pergi menyuluh ketam. Tempat menyuluh tidak la jauh dari kawasan perumahan kerana perumahan di tempat aku adalah perumahan yg tertumpu di sepanjang pantai. Kawasan perumahan kami adalah kawasan setinggan dan dihuni oleh beberapa lapisan bangsa dan agama.

Berbalik kepada cerita menyuluh ketam. sekitar jam 6.30 petang kami dah bersedia dan bersiap dengan peralatan-peralatan yang perlu. Lampu Pom mula dinyalakan. (dulu lampu ni top sebab menjadi sumber cahaya yang utama di kampung-kampung yang tiada bekalan selektrik. Sebelum jam 7 kami dah mula beroperasi.

Malam tu pendapatan kami memang lumayan. Kami tidak sedar dah sampai ke penghujung kampung. Penghujung kampung ni memang tiada rumah dan yang ada cuma sebuah sekolah menengah cina saja. Sekolah ni memang dibina berhampiran pantai.

Kawan aku Alif mula dah bagi signal untuk patah balik. Tapi Amin berkeras untuk meneruskan perjalanan kami. Aku dan Alim ni jenis ikut ja perancangan kawan. Di penghujung kampung ni ada tembok besar. bermula dari hujung kampung ni sehinggalah ke Pekan Kudat, Sabah. Jaraknya saya tidak pasti. tapi kalau nak jalan dari mula sampai ke hujungnya, memang memakan masa berjam-jam sekitar 4 hingga ke 5 jam.

Kami berlegar-legar menyuluh di kawasan tepi tembok. malam tu ketam berbagai saiz kami dapat. Tempat penyimpanan ketam pun dah hampir penuh. Kami baru nak bercadang untuk balik, tiba-tiba dari atas tembok tersebut terdengar satu teriakan. “Hoooooiiii” kuat dan panjang bergema.

Aku dah mula rasa takut dan jantung dah berdegup laju. Kami saling pandang antara satu sama lain. “Laju sikit jalan” kata Amin kepada kami. Kami apa lagi, langkah laju dan panjang-panjang. Alim yang nampak kesian sebab dia adalah tukang bawa hasil tangkapan. Berat tu. Manakala Alif pula tukang bawa lampu pom.

“Hooooiiiiiii!!!..” sekali lagi kami dengar teriakan tapi kali ni lagi panjang dan ganas. Tanpa kami sedar, Alif dah memecut lari. Apalagi kami pun cabut lari dalam kegelapan. Ketika berlari ni, kami masih sayup-sayup mendengar bunyi teriakan tersebut.

“Pappppp” Alif jatuh dan lampu pom terpadam. Dia bangkit semula dan sambung lari. Tapi lampu pom tetap dia bawa lari bersama. Ketika sampai di kawasan rumah kami, kami mencari kawasan yang terang untuk berehat dan tenangkan diri.

Ketika inilah baru aku sedar, jari tengah kaki kanan aku luka besar dan nampak tulang. Mungkin kena serpihan kaca semasa berlari tadi. Alif segera naik ke rumahnya dan turun semula membawa kopi dan kain pembalut. Kopi sangat sesuai untuk menghentikan pendarahan luka. Aku tumpahkan kopi ke tempat luka untuk memberhentikan pendarahan. kemudian aku balut dengan kain yang alif bawa. Sakitnya hanya tuhan yang tahu.

Ketika sedang sibuk pasal luka kakiku, tiba-tiba Amin buka mulut. ” Mana hasil tangkapan kita” soal amin. “Siapa suruh kamu lari, aku kasi tinggal tu baldi. kamu lari bukan tolong saya” alim memberi penjelasan dengan nafas yang masih tercungap-cungap.

Aku ingatkan Amin nak marah dah. Rupanya dia Tergelak kelucuan. Kami mula bercerita tentang teriakan tadi dan tertanya-tanya sama ada orang atau hantu tembok. ” Tidak apalah” kata Alif. Kejap lagi saya minta temankan bapa saya pergi ambil hasil suluhan kita tadi.

Semenjak dari peristiwa tersebut, kami tidak lagi berani menyuluh jauh hingga ke tepi tembok. Lagipun kawasan tembok tu memang popular dengan cerita-cerita mistik. Ada saja orang nampak lembaga putih berjalan mundur mandir terutamanya waktu senja baru nak berlabuh.

Kesan luka di jari kaki kananku sehingga kini masih ada. Rupanya urat jari kakiku putus. sehingga sekarang tak boleh nak bengkokkan ke bawah.

Pendek ja cerita kali ni. maaf andai tidak memenuhi citarasa pembaca. Wallahu’alam.

Leave a Comment