Hitung Kepala

Assalammualaikum dan selamat sejahtera. Terima kasih didahulukan untuk pentadbir dan warga FS.
Izz nama penaku dan ini salah satu kisah pelajar asrama di sebuah universiti yang terletak bumi kenyalang.
******
Malam itu entah kenapa terasa meriah dari biasa. Keadaan bilik asrama dan koridor terang benderang. Aku dan Sarimah berada di bilik rakan sekelas. Satu koridor dengan bilik aku, selang sebilik. Ya, bilik yang ada penghuni tidak berdaftar itu. Yang aku ceritakan dalam kisah berjudul Pilot Episode. Waktu itu, yang berkumpul di bilik itu ialah Wati, Syai, Emma, Dayang termasuk aku dan Sarimah. Aku dah tidak ingat kenapa aku berada di situ. Saja melepak tidak mungkinlah. Aku bukan berani hendak saja-saja berada di situ. Tapi, itulah. Aku duduk santai di salah satu kerusi. Yang lain berkumpul di lantai, bercerita macam-macam hal.

Jam menunjukkan hampir tengah malam. Masih tiada tanda antara aku mahupun Sarimah hendak beredar. Makin rancak bercerita. Gayanya memang bukan minggu peperiksaan. Tiba-tiba Syai bersuara.

“Eh, ada kakak senior tu cerita kat aku. Entah betul ke tidak. Ada budak kena kacau semasa guna telefon awam waktu larut malam.”

Ya, itu zaman pelajar universiti berbaris hendak guna telefon awam. Zaman mengumpul duit syiling banyak-banyak untuk digunakan bergayut di telefon awam dengan gaya jari jemari membelit wayar gagang telefon. Ada 4 telefon awam disediakan di kolej asrama. Kadang-kadang yang berfungsi cuma dua atau tiga sahaja.

Semua menunjukkan minat dengan cerita Syai. Termasuklah aku yang suam-suam berani. Tidak serik kena hembus-hembus pukul tiga pagi dulu.

“Budak tu bertelefon pukul 2 lebih pagi. Dia orang terakhir yang guna waktu tu.” Syai menyambung cerita.
Aku masih duduk di kerusi yang sama. Sumpah aku tidak tahu di kerusi itulah penghuni bilik yang “seorang” itu selalu duduk. Bengkak juga hati aku bila diberitahu oleh Wati kemudiannya.

“Biasalah, sudahlah memang tiada yang menunggu di belakang, bergayut pula dengan kekasih hati.”
Suasana jadi sepi sikit.
“Apa lagi, lepas satu, satu duit syiling dimasukkan. Punyalah lama bertelefon sampai tak sedar seorang pun lalu lalang lagi. Yalah, jauh malam dah. Lepas itu kan, budak itu terdengar bunyi tapak kaki dari arah belakang. Berhenti betul-betul di belakangnya.”

“Hantukah?”, Tanya Sarimah mendadak. Lima pasang mata yang cuak memandangnya. Ini namanya “potong stim”. Syai tidak menjawab tapi menyambung semula.

“Orang kat belakang budak tu berdehem tau. Budak tu tak peduli. Masih hanyut bercinta katakan. Agaknya dalam hati dia kata, tunggulah giliran. Dia sambung bercanda, ketawa gedik manja.”

“Mana engkau tahu dia ketawa mengedik?”, Ya, kawan. Sarimah lagi yang bersuara. Juga tiada jawapan dari si pencerita.

“Orang itu berdehem lagi. Pada waktu yang sama, duit syiling budak tu terjatuh bergolek di belakang kaki. Budak tu membongkoklah nak ambik syiling itu. Huih.. ini aku seram sikit nak cerita. Budak itu nampak orang di belakang dia itu tidak berkaki. Dia tak tengoklah bahagian atas badan. Cukuplah nampak kain seperti “dress” warna putih kusam berbuai-buai tanpa kaki.”

Entah kenapa suasana semakin sunyi di koridor asrama.

“Dia tak mahu dah bergayut lama-lama di situ. Dia bagitaulah kat buah hati dia – You, duit syiling dah habis. Esok-esok i telefon lagi ya.”

Syai beralih posisi. Kebas agaknya. “Sekali benda di belakang dia bersuara, geng… Benda itu kata – duit syiling dah habis ke sudah tahu? Budak itu lari ke blok paling hampir. Ketuk pintu bilik siapa entah. Menumpang tidur di situ malam tu.”

Ish.. aku dah sejuk-sejuk kaki pula dengar bahagian benda tu bersuara. Yang membuatkan aku bertambah seram, Syai bagitahu telefon awam yang terlibat itu adalah yang terletak di bawah blok asrama kami.

Senyap sekejap. “Nak makan keropok, tak?”, Wati bertanya. Tiba-tiba saja ni. Nak bagi kurangkan seram kut. Sambil sama-sama mengunyah keropok, Emma pula berkata. “Aku ada juga dengar cerita. Pasal blok 3 nun.”
Asrama blok 3 bersebelahan dengan blok aku ni. Blok 3 ini memang menonjol sikit. Selain daripada posisinya yang berada di tengah-tengah di antara 5 blok lain, keangkerannya agak terserlah. Belakang blok tersebut masih hutan . Siang pun gelap, apalagi di waktu malam.

“Ceritalah”, ujarku. Tak sedar diri punya perangai. Nanti takut tak bertempat.

“Bilik tv blok 3. Tv tu selalu buka tutup sendiri. Lampu pun sama. Lagi-lagi di waktu jauh malam. Bila dijenguk tak ada orang pula.”

“Siapalah yang berani jenguk situ?” Tanya Sarimah.
“Manalah aku tahu. Aku dengar orang cerita.” Balas Emma.

3..4..5..6.. detik….. Senyap.

“Sambunglah cerita.” Gesa Wati.
“Itu sajalah ceritanya.” Kata Emma.

Ceh, keropok tak habis makan lagi pun. Jam semakin lewat. Aku tak fikir pun nak balik bilik sendiri. Apalagi Sarimah. Bilik dia di blok 4. Alang-alang di sini, terus menumpang tidur sajalah.

“Okay, ini cerita kakak senior. Dia dengar dari kakak senior dia.” Kata Wati. Pening aku dengan ayat Wati ni. “Cerita berlaku waktu universiti ini baru dibuka.”

Waktu itu aku masih bertahan duduk di kerusi yang sama.

“Kakak senior itu menjual burger malam-malam. Dari bilik ke bilik. Di blok 4.” Macam berpakat pula, aku, Syai, Emma, Dayang dan Wati memandang Sarimah. Dayang senyap saja dari tadi. Pendengar yang baik tu. Cuak pula muka Sarimah membalas pandangan kami.

Wati pun menyambung cerita.

“Laku sungguh burger kakak tu. Tinggal sebiji saja lagi. Kakak tu berkira-kira hendak makan sendiri burger yang terakhir itu. Dia nak balik ke biliknya di blok 1. Baru saja hendak menuruni tangga depan lobi blok 4, dia perasan. Suasana menjadi sepi. Kakak tu dah rasa tak senang hati. Bukan takut tapi curiga. Ada ni, kata kakak tu dalam hati.”

Aku pula yang tiba-tiba merinding bulu roma. Belum bahagian kemuncak cerita lagi pun.

“Suasana waktu itu berkabus. Macam tiba-tiba saja. Bukannya pukul 2 atau 3 pagi pun. Baru pukul 12 lalu malam. Tapi tidak macam biasa. Tiada seorang pun yang kelihatan. Tidak logik, kan?”, Tanya Wati. Pandai kau bercerita, getusku dalam hati. Kami mengangguk-angguk kepala.
Yalah, pukul 12 malam kalau bukan hujung minggu keadaan di blok-blok asrama tidaklah sunyi sangat. Akan ada yang berjalan-jalan di depan blok. Sama ada ke pondok telefon, balik dari bilik kawan, dalam bilik tv ke..

“Tidak berapa jauh dari tangga blok, nampak bayangan orang. Mula-mula tak nampak sangat. Kakak tu masih di tangga. Berkeras nak balik ke blok 1. Tapi melangkahnya tidak. Macam terpukau pula. Makin lama makin jelas. Bukan orang! Pasti. Bayangan yang semakin mendekat itu bukan berjalan, tapi meloncat!”

Pap! Aku menjerit. Bukan aku saja rupanya. Kami semua menjerit termasuk si pencerita. Gelap. Blackout rupanya. Aku menjenguk ke tingkap. Semua blok asrama gelap. Kami senyap sekejap sebelum mata menjadi biasa dengan suasana remang dengan lampu kecemasan blok yang terletak di koridor. Aku bangkit, duduk mencelah di tengah-tengah Dayang dan Syai. Yang lain masih dalam kedudukan masing-masing.

Tiba-tiba Sarimah bersuara.
“Eh, hitung kepala. Mana tahu tak cukup”. Bagi yang mengenali Sarimah, akan tahu dia bertujuan bergurau semata-mata.

“Satu.. dua.. tiga..” Sarimah menghitung. “Empat.. Lima.. Enam.. Tujuh…” Senyap. Aku memandang arah jari telunjuk Sarimah. Merinding lagi bulu roma.

“Eh, kira lagi.” Kata Sarimah. Dasar bendul! Aku dah pandang yang lain. Muka masing-masing cuba mengawal perasaan. Tapi, seorang pun tidak mahu menegur Sarimah.

“Satu.. dua.. tiga.. empat.. lima.. enam.. tujuh!”

Aku bangkit dengan cepat. Sebelum meluru ke pintu bilik, aku sempat luku kepala Sarimah. Geram dan seram berbaur. Syai, Wati, Dayang dan Emma tidak teragak-agak. Apabila mereka tengok aku meluru balik ke bilik sendiri, mereka pun lari sekali. Orang terakhir yang masuk ke bilik aku ialah Sarimah. Rakan sebilik aku dah lena pun. Malam itu mereka tidur di bilik aku.

Keesokan pagi, Sarimah balik ke blok 4. Syai, Wati, Dayang dan Emma juga balik bilik sendiri. Hairan juga rakan-rakan bilik lain. Kenapa pintu bilik mereka ternganga saja sejak awal subuh.

Aku yang musykil bertanya pula dengan mereka berempat. “Itu ke yang menghuni bilik korang?

“Ya, dialah tu.” Jawab Dayang.
“Kenapa korang lari pula? Kata dah biasa. Tak kacau korang pun selama ini?” Tanya aku lagi.
“Dah engkau mencicit lari… Kami pun ikutlah.”
Ceh…

Terima kasih.

14 thoughts on “Hitung Kepala”

  1. alahai…tak paham la… cita kira kepala je ke?….kira kejadian cita hantu sesama geng je kot eh….boleh jelaskan tak? ke aku sorang je ngong? =P

    Reply
    • Diorang 6 orang je lepak dalam bilik tu, tapi bile black out tu, diorang kira ada 7 kepala… Yang ketujuh tu la hantu bilik tu.

      Reply
  2. Buatlah cerita macam biasa je,rasanya lebih mudah nak faham sebabnya cerita yg ni ada kaitan dgn yg first story tukan….ini boleh menyebabkan cerita yg best jadi tak best..

    Reply
  3. First story pasal public phone ya kmk penah dengar kat kampus dolok. Kampus yang sama. Tapi cya nang ngutik. Masa lom ada blok baru. G maseh lom luas kedak kinek tok. Masa ya maseh dikelilingi hutan. Nang macam2 cerita didengar di cya. Kmk dari 1st sem sampey sem 5 diam blok 6. Sem 6 ngan 7 dah x dapat bilit, jadi ulang alit jak. Blok 6 pun ada cerita juak tapi Alhamdulillah kmk x kenak. Dak kawan2 kmk ada kenak kaco.

    Reply
  4. Nasib le ko meluru keluar wei.. Buat duduk senyap kt situ. Tetibe die bersuara? “Kenapa terlebih ke” or “Ha… dah tau ea” tak ke mati keras kt situ. Eeeee idok le teman!

    Reply

Leave a Comment