Hulu Sungai : Mati Anak

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca FS sekalian. Aku merupakan salah seorang pembaca setia FS sejak 4 bulan yang lalu. Selama ini tak berkesempatan untuk menghantar karya aku, jadi aku rasakan inilah masa terbaik untuk menghantar karya pengalaman seram yang pernah aku alami.

Aku dapati sejak sebulan terakhir ni karya bersambung lebih mendapat tempat di hati pembaca FS. Jadi aku pun berminat untuk mengirimkan kisah – kisah seram yang pernah aku lalui dan dengar daripada pengalaman orang lain. Semua kisah ni berlatar belakangkan kampung halaman aku di Hulu Pahang, tempat aku membesar pada zaman 80an yang lalu.

Pernah dengar tentang mati anak ? Di kampung aku pontianak dipanggil sebagai mati anak. Kisah ini berlaku pada pertengahan 50an di sebuah kawasan yang agak ceruk di kampungku. Ketika itu kampungku masih lagi menggunakan lampu minyak tanah atau pelita pada waktu malam dan menggunakan air telaga serta anak sungai sebagai sumber bekalan air. Kisah ini adalah tentang sepasang suami isteri yang tinggal agak terpisah dari rumah – rumah lain. Jangan anggap cerita ini sejibik macam ‘Pee Mak’ atau ‘Nang Nak’ kerana versi ni lebih seram bak hang.

Sang suami sangat aktif dengan gerakan menuntut kemerdekaan dan seringkali turun ke Kuala Lumpur untuk mengikuti rombongan kemerdekaan. Maka tinggallah si isteri sendirian di rumah bertemankan perutnya yang makin hari makin membesar. Suatu hari ketika sang suami yang bernama Sudin akan mengikuti rombongan ke Johor Bahru yang mengambil masa seminggu untuk menyelesaikan tuntutan mereka sekali lagi terpaksa meninggalkan isterinya yang bernama Gayah di rumah. Tetapi sebelum berangkat pergi, Sudin telahpun berpesan kepada Salmah (adik Gayah) untuk datang menjenguk kakaknya setiap hari kerana risau jika ditinggalkan berseorangan terutama pada waktu malam. Maka segala permintaan Sudin diturutkan oleh Salmah.

Sejak pada hari itu, hari – hari Salmah datang menjenguk kakaknya, malah kekadang mereka akan makan tengahari bersama dengan lauk – pauk yang dikirim oleh ibu Gayah kepada anaknya. Tambahan Gayah semakin sarat hanya menghitung hari untuk melahirkan anak yang dikandung selama 9 bulan itu, sebab itu Salmah sanggup membawa bekalan makanan dari rumah jadi Gayah tak perlu memasak lagi, hanya tinggal menanak nasi saja. Malam – malam Gayah pun ditemani oleh Salmah, jadi rumah kecil tiang seribu itupun tiada lagi sunyi seperti sebelum ini kerana Salmah seorang yang pemborak, habis segala cerita zaman dahulu kala akan dibongkar oleh Salmah satu persatu, maka terhiburlah hidup Gayah buat seketika.

Pada suatu tengahari, ketika mereka berdua rancak berborak, Gayah telah membuat permintaan untuk menyisir rambut Salmah yang panjang itu dan juga ingin membuang kutu dari rambut adiknya. Permintaan itu agak biasa pada Salmah kerana mereka telah terbiasa membuat perkara tersebut pada zaman budak – budak dulu, jadi Salmah turutkan saja. Sambil menyikat rambut adiknya sambil itulah mereka rancak berborak, ada saja cerita yang mereka kupas. Banyak juga kutu yang dapat dikeluarkan daripada rambut Salmah, bilang si Gayah. Sesekali Salmah menoleh ke belakang tetapi tak nampak pula kelibat kutu – kutu yang berjaya ditewaskan oleh kakaknya. Salmah mula berasa hairan lalu bertanyakan kepada kakaknya ke mana menghilang kutu – kutu tersebut kerana tiadapun di atas para itu. Kakaknya menjawab ‘slumberland’ je bahawa dia dah makan semua kutu – kutu tersebut.

Terloncat adiknya lalu menghadap kakaknya berdepan – depan. Salmah memarahi kakaknya kenapa memakan benda kotor itu. Gayah menjawab lagi bahawa kutu – kutu tersebut mengandungi darah jadi dia terasa berselera memakan kutu sambil menghisap darahnya. Terkejut beruk Salmah mendengarkan jawapan kakaknya itu. Seketika itu, Salmah termenung sambil memikirkan perangai pelik si Gayah, takkanlah Gayah mengidam pula. Sementara itu, kakaknya masih mengunyah kutu dengan berselera, kata Gayah kutu di atas kepala Salmah sihat – sihat belaka sambil menyindir Salmah berapa lama dia tak menjaga rambutnya. Salmah menempelak kembali Gayah sambil membalas tabiat pengotor kakaknya memakan kutu daripada atas kepalanya.

Suatu hari, Salmah ada membawa ikan sebarau mentah dari rumah bersama – sama dengan asam keping, katanya hendak dibuat gulai asam. Gayah sepertinya berselera melihat ikan mentah tersebut lantas meragut bungkusan daun pisang yang terdapat ikan mentah daripada tangan Salmah dan membawa ke dapur. Salmah berasa lega kerana sekurang – kurangnya dia tak perlu menyiang ikan tersebut kerana tugas itu telah diambil oleh Gayah. Setelah menunggu sambil mengemas ruang tengah rumah Gayah, Salmah pun ingin menjenguk ke dapur kerana dia tidak mendengar sekalipun bunyi pisau atau parang dari arah dapur.

Sesampainya dia di muka pintu dapur, dia mendapati bahawa Gayah sedang meratah isi ikan sebarau tersabut dengan rakusnya, digagaunya ikan tersebut dengan kukunya yang panjang itu. Salmah lalu menjerit sambil menerkam ke arah kakaknya untuk merampas isi ikan yang telah separuh dimasukkan ke dalam mulut Gayah, tetapi tangannya pantas dicengkam oleh Gayah. Dengan rambutnya yang serabai, dia menoleh ke arah adiknya dengan muka yang bengis dan mata yang berurat merah, merenung tajam ke arah Salmah beserta mulutnya yang dipenuhi darah. Dengan tindakan spontan akibat terlalu terkejut, Salmah menolak kakaknya sehingga tersungkur dan membawa lari sisa ikan tersebut mengikut pintu belakang. Gayah bangun kembali dan menuruti adiknya.

Sambil berlari sambil itulah mulut Salmah terkumat kamit membaca patah – patah ayat Al-Quran yang diingatinya sambil terkenang apa yang telah terjadi kepada kakaknya. Dia dapat menangkap sejak kejadian kakaknya memakan kutu tempoh hari, dia merasakan bahawa ada benda yang bersarang di dalam badan kakaknya, tetapi semuanya telah terlambat kerana kurang 5 meter dari belakang Salmah terdapat kelibat Gayah yang mengekori rapat adiknya. Dengan hutan yang agak tebal dan akar yang berselirat, dapatlah kurang – kurangnya si Salmah meloloskan diri daripada kelibat Gayah.

Akhirnya Salmah tiba di pengkalan peninggalan moyang mereka yang telah lama tidak terusik di tebing sungai. Salmah harus cepat menyorokkan dirinya kerana Gayah sangat pantas sambil mengilai – ngilai, ternyata itu bukan lagi Gayah kerana tidak mungkin orang yang berbadan dua boleh bergerak sepantas itu di dalam hutan tebal. Akhirnya Salmah bisa menyorokkan dirinya di bawah pelantar pengkalan moyangnya dengan separuh badannya terendam dek air sungai. Dari celahan papan pelantar, Salmah dapat melihat kakaknya telah mula melompat ke arah pokok – pokok besar. Tak boleh jadi, Salmah harus memberitahu kepada kedua orang tuanya dan penghulu kampung, tetapi oleh kerana dia masih berjuang untuk melepaskan diri serta jarak rumah kakaknya yang agak jauh dari rumah orang lain membantutkan hasratnya. Kalaulah dia berlari mengikut pintu depan tadi, sudah tentu dia dah sampai ke rumah orang tuanya.

Secara tiba – tiba, Gayah melompat ke atas pelantar itu dari sebuah pokok besar. Tersentak Salmah lalu menggenggam erat isi ikan di dalam daun pisang itu. Itu satu – satunya bukti yang dia ada kini. Gayah dengan suara yang garau pula dan kukunya yang tajam mencakar – cakar papan pelantar tersebut sambil menyuruh Salmah keluar dan menyerahkan ikan tersebut. Ada sekali tangannya menceluk ke dalam celah papan yang reput dan hampir mengena muka Salmah. Salmah terpaksa membenamkan lagi tubuhnya ke dalam sungai. Salmah baru teringat yang Gayah baru saja memotong kuku 4 hari yang lalu. Ahh sudah, ternyata pada tanggapan Salmah, Gayah telah kerasukan mati anak. Ini tak lain dan tak bukan mesti kerja mati anak dari pohon beringin di tepi telaga rumah kakaknya.

Serentak dengan itu, azan zohorpun berkumandang dari surau kampung. Gayah terus menjerit dan berlari meninggalkan pelantar menuju ke arah rumahnya. Salmah lantas keluar meninggalkan pengkalan itu dan berlari menuju ke rumah orang tua mereka untuk memberitahu perkara yang telah terjadi sebentar tadi.

Keesokannya Sudin pulang dari kerjanya dan singgah ke rumah mertuanya untuk menghantar ole – ole yang dibawa dari Johor. Salmah mengambil kesempatan dengan menceritakan segala yang telah terjadi ke atas Gayah kepada Sudin. Seakan tidak mempercayai adik ipar dan mertuanya, Sudin terus meninggalkan rumah mertuanya tetapi dari jauh ibu mertuanya memberitahu bahawa ayah mertua dan imam telah pergi terlebih dulu dan malam tadi mereka telah berperang dengan hantu yang merasuk Gayah. Sekarang ni mereka sendiri tidak tahu keadaan Gayah. Ibu Gayah juga mengungkit perihal silam sambil meleleh air matanya kerana atas kedegilan Sudin yang ingin membina rumah di sebelah telaga itu.

Menurut orang – orang tua di kampung itu, telaga dan pohon beringin itu telah menjadi kediaman mati anak buat sekian lamanya, akan tetapi Sudin yang ketika itu baru berkahwin dengan Gayah tidak mempercayai momokan orang – orang tua mereka lalu membina rumah di tepi telaga tersebut dengan alasan inginkan ketenangan daripada penduduk kampung yang suka bercerita. Sudin tidak ingin mendengar perkara lama tersebut kerana nasi telahpun menjadi bubur, dia terus berlari menuju ke rumahnya.

Sesampainya Sudin di rumahnya, segalanya telah terlewat kerana Gayah telahpun tidak bernyawa dan diletakkan oleh ayahnya sendiri di tengah rumah. Sambil menangis teresak – esak, ayahnya pergi mendapatkan Sudin dan lalu sedas penumbuk mengena pipi Sudin, menyebabkan Sudin tersungkur di bendul pintu masuk rumahnya. Seakan masih tidak percaya dengan apa yang terjadi, Sudin bingkas bangun dan menuju ke arah mayat Gayah yang kusut dan kotor. Sambil memeluk mayat isterinya, Sudin menangis kekesalan atas sikapnya yang mementingkan diri dan mengutamakan kerja berbanding isteri tersayang.

Sesungguhnya kisah itu telah menjadi bualan penduduk kampung sehingga sekian lamanya. Pada tahun 80an pun kisah itu masih lagi diceritakan oleh orang – orang tua sehingga ke generasi kami. Sejak peristiwa itu, ramai para suami di kampung kami tidak berani lagi untuk meninggalkan isteri mereka sendirian di rumah.

Pada masa akan datang aku akan ceritakan kisah – kisah angker yang berlaku lagi di kampung aku, kerana kampung aku yang terletak di hulu sungai memang penuh dengan misteri.

6 thoughts on “Hulu Sungai : Mati Anak”

Leave a Comment