#Izul – Banglo Peninggalan Arwah (Part 4, Akhir)

“Assalamualaikum warahmatullah..,” salam diberikan ke sebelah kanan.
“Assalamualaikum warahmatullah..,” salam diberikan ke sebelah kiri.

Aku menadah tangan dan memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa. Sesungguhnya doa orang-orang yang teraniaya diangkat doanya hingga ke langit.

“Takutilah kamu doa orang yang dizalimi kerana tiadalah sesuatu penghalang antara doanya itu dengan Allah SWT.” (Riwayat Bukhari)

Selesai menunaikan solat fardhu Zuhur di rumah Atok, aku menjenguk Atok dan Mak Cik Sal yang sedang sibuk menghidangkan juadah tengah hari.
Acai yang baru sahaja selesai mandi, pergi ke meja makan sambil tersengih-sengih.

“Bila kau sampai Izul? Macam-macam mimpi ngeri aku kena semalam. Aku rasa macam pocong tu tidur dengan aku. Tengok la kaki aku ni tak boleh berdiri betul lagi,” Acai menunjukkan lutut yang masih menggil-gigil. Aku rasa simpati dan lucu bercampur dalam waktu yang sama.

“Yang kamu tu penakut sangat kenapa? Pocong tu bukannya peluk kamu pun. Baru jumpa pocong tengah jalan, dah demam,” Atok membidas Acai sambil meletakkan nasi putih di atas meja.

“Tak biasa jumpa memang macam tu Atok. Anak manja la katakan. Kau pergi la solat Zuhur dulu Acai. Mintak perlindungan dari Allah. Bukannya post dalam facebook,” aku mengenakan Acai sambil ketawa aku meletus melihatkan keadaan Acai yang seperti orang sudah hilang semangat.

Acai bangun menuju ke biliknya sambil mencebikkan bibir bila disakat begitu.
Ketika makan, aku menanyakan Atok perihal anak Mariam. Kenapa aku tidak pernah tahu mengenai anak Mariam walaupun anaknya itu sebaya dengan aku.

“Kamu dulukan sekolah di KL. Tingkatan tiga kamu mula sekolah di sini semula, Mariam menghantar anak dia ke asrama penuh. Mungkin dia tak nak anak dia berkawan dengan kamu. Tapi masa tingkatan lima, anak Mariam tu sekolah balik kat kampung ni. Mariam tak ada pilihan sebab anak dia tu degil sangat nak jugak bersekolah di kampung ni,”
panjang lebar Atok mula bercerita.

Aku menganggukkan kepala sambil berfikir siapakah gerangan anak Mariam ni.

“Kamu kenal la anak dia. Anak dia tu perempuan, satu kelas la dengan kamu tu dulu,” aku memandang Atok dengan penuh kehairanan.

Semasa sekolah dulu, aku tidak nampak sesiapa yang mencurigakan melainkan Nora sahaja. Sikap Nora yang memang suka sangat cari pasal dengan aku daripada dulu memang la membuatkan aku tak selesa tapi tidak lah sampai aku rasakan yang dia tu cucu dan anak kepada pengamal ilmu hitam.

“Siapa nama anak Mariam tu, Atok?” aku bertanya sambil membayangkan kembali pelajar-pelajar perempuan yang satu kelas dengan aku dulu. Aku dulu pun bukan lah rapat sangat dengan pelajar perempuan. Masa aku banyak dihabiskan di rumah dan dengan kawan-kawan lelaki sahaja. Jadi memang tidak mustahil lah aku tidak tahu latar belakang setiap pelajar perempuan dalam kelas aku dulu. Dalam erti kata lain, aku tidak berminat pun mahu tahu.

“Maizatul namanya. Kamu kenal kan?” nama yang disebut oleh Atok itu cukup membuatkan aku terkejut.

Maizatul? Maiza?? Sikap Maiza yang lemah lembut dengan tutur kata yang sopan memang langsung tidak menggambarkan yang dia itu dari keluarga pengamal ilmu hitam.
Betul ke ni Maiza yang Atok maksudkan atau Atok yang tersalah orang.

“Maksud Atok, Maiza ke?” soalan itu aku ajukan kepada Atok untuk mendapatkan kepastian.

“Ye la Izul. Maizatul tu Maiza la. Budak kelas kita dulu mana ada lagi orang lain dengan nama Maizatul. Kenapa dengan Maiza tu?” sampuk Acai yang tak tahu menahu hujung pangkal cerita.

Atok menerangkan pula kepada Acai siapa Maiza yang sebenar. Anak kepada pengamal ilmu hitam yang terkenal di Kampung Sungai Papan.

“Aku dah agak dah ada yang tak kena dengan Maiza tu. Kau tak perasan ke Izul sejak dari sekolah dulu, Maiza tu terlebih ramah dengan kau. Kalau bercakap dengan kau, bukan main lebar lagi senyum. Suara pun terlebih sopan je aku dengar.Ish..meremang bulu roma aku tengok. Bila pandang aku, boleh pulak pandang dengan hujung mata. Nak senyum kat aku jangan berangan la. Aku tahu la aku ni gemuk, pendek tak hensem macam kau. Tinggi, putih, ade lesung pipit lagi,” bagaikan merajuk nada suara Acai tapi kini, aku lebih pelik mendengar cerita Acai. Memang aku tak perasan langsung semua ini. Seolah-olah mata aku telah ‘dibutakan’ dengan sikap kepura-puraan Maiza.

“Si Maiza tu ingat kau akan jatuh cinta dengan dia la tu kalau dia buat macam tu. Padahal, kau sikit pun tak heran. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Hahahahahahaha…” tambah Acai lagi sambil galak mentertawakan Maiza.

“Ha…gelaklah kuat-kuat. Malam ni dua beranak tu hantar lagi pocong pada kamu, baru kamu tahu langit tu tinggi ke rendah,” sakat Atok melihatkan Acai yang bagaikan sudah lupa tentang kejadian semalam. Laju Acai menutup mulutnya dengan kedua belah tangan dan terus diam tidak bersuara. Takutlah tu.

Tersenyum aku melihat keletah Acai dan Atok. Hilang sebentar rasa runsing di dalam hati.
Lama mendiamkan diri, aku mengajak Acai temankan aku berjumpa Nora. Nora? Kenapa Nora bukannya Maiza?
Aku harus berjumpa Nora bagi mendapatkan kepastian mengenai Maiza. Nora yang merupakan kawan baik kepada Maiza pasti mengetahui sedikit sebanyak perihal Maiza.
Aku syak sikap dingin Nora terhadap aku selama ini ada kaitannya dengan Maiza.

Acai tanpa banyak soal setuju untuk menemani aku ke rumah Nora. Motor kapcai milik Acai menjadi pengangkutan utama kami di kampung. Lebih mudah bergerak ke hulu ke hilir menaiki motor berbanding kereta. Panas yang membahang membuatkan baju melayu berwarna ungu muda yang ku pakai dibasahi peluh. Malas pula aku mahu pulang ke rumah menukar pakaian.

“Assalamualaikum,” tiga kali salam diberi barulah penghuni rumah membuka pintu. Nora kelihatan terkejut apabila melihat aku berada di hadapan rumahnya.

“Hrmmm..ada apa ni?” tanpa memandang ke arah aku, Nora bertanya dingin.

“Jumpa kejap dekat luar rumah kau. Acai ada sekali ni dengan aku. Jadi, tak ada lah timbul fitnah yang kita duduk berdua-duaan pula,” aku menunjukkan Nora ke arah pangkin di bawah pokok yang lebat daunnya di halaman rumahnya.

Baru sahaja Nora hendak melangkah keluar dari rumah, aku menghalang nya dari terus melangkah.

“Kejap! ‘Kau’ tak perlu ikut sekali. Tempat kau bukan di sini dan pulang lah sekarang kepada tuan ‘kau’. Sebelum aku hapuskan ‘kau’, baik ‘kau’ beredar!” Nora yang terkejut melihatkan perubahan nada dan wajah aku, menoleh ke belakang untuk melihat dengan siapa aku berbicara. Tiada siapa di belakang. Maka, dengan siapakah aku memberikan amaran keras tersebut. Acai yang berada di sebelah aku juga turut terkejut. Bagaikan sudah dapat membaca apa yang berlaku, awal-awal lagi Acai sudah menjauhkan sedikit jaraknya dengan ku.

Hantu Raya! Seekor Hantu Raya tegak bediri di belakang Nora bagaikan mengawal segala gerak gerinya. Melihatkan Hantu Raya tersebut yang masih tidak mahu berganjak dan cuba hendak menyerang, aku mengarahkan Nora ke luar rumah dengan segera. Tanpa melengahkan masa waima sesaat, aku memulakan dengan bacaan ayat Kursi dan mengarahkan Acai untuk mendapatkan aku arang, lada kering dan garam. Acai dan Nora bergegas ke dapur rumah melalui pintu belakang dan mendapatkan barang-barang yang diminta.
Ayat Kursi tidak putus dibacakan dan dalam waktu yang sama aku membakar arang, lada kering dan garam yang telah diserahkan kepadaku seperti diminta. Gas yang terhasil mencederakan Hantu Raya tersebut dan kelibat Hantu Raya tersebut akhirnya hilang.

“Jangan risau. Hantu Raya yang cedera tadi akan pulang kepada tuannya untuk meminta pertolongan. Jika tuannya tidak dapat mengubati, belaan ini akan mencederakan tuannya pula,” aku menjelaskan kepada Acai dan Nora yang kelihatan tercengang dengan apa yang berlaku sambil aku berjalan menuju ke pangkin.

Mata Nora sudah bergenang dengan air mata, takut dan lega bergabung menjadi satu. Aku memberikan sedikit ruang untuk Nora bertenang sebelum aku menerangkan tujuanku datang bertemu dengannya.

“Terima kasih Izul. Patutlah selama ni aku rasa tak selamat dan selalu rasa diawasi 24 jam. Siapa yang sanggup hantar Hantu Raya mengganggu aku selama ni,” terdengar sendu Nora yang masih trauma dengan kejadian sebentar tadi.

“Ko nak lap tak air mata kau. Lengan baju Acai ada tu kalau kau tak keberatan nak guna,” aku memandang Acai sambil ketawa. Nora cuma tersenyum mendengar jenaka ku itu.

Apabila melihatkan emosi Nora yang sudah stabil, aku meminta Nora menceritakan apa yang dia tahu mengenai Maiza dan gangguan yang dihadapinya selama ini.

Menurut cerita Nora, di hari yang sama Maiza mula mendaftar di sekolah semasa di tingkatan lima, Nora telah diganggu oleh bisikan-bisikan yang menyuruh dia menjauhkan diri daripada aku. Aku dikatakan bahaya dan akan mencederakan dia jika dia cuba untuk berbual denganku. Kehadiran Maiza sebagai kawan baiknya sangat membantu ketika itu kerana baginya, Maiza selalu ada ketika dia di dalam kesusahan. Pernah sekali aku dipilih satu kumpulan dengan Nora bagi subjek Kimia dan kami berbincang mengenai tugasan yang telah diberi oleh cikgu. Namun, pada malamnya, teruk Nora diganggu dan diberi amaran supaya menjauhi aku. Keesokan harinya di sekolah, Nora telah berjumpa dengan cikgu dan minta ditukarkan ke kumpulan lain. Maka, Maiza telah menggantikan Nora dan berada satu kumpulan denganku. Banyak lagi kejadian-kejadian aneh yang berlaku ke atas dirinya dan menyebabkan dia mula membenci dan menjauhkan diri dari aku. Bagi Nora, dia diganggu sebegitu rupa berpunca daripada aku. Maiza yang konon-kononnya hadir sebagai penyelamat cuma mempergunakan Nora untuk menjalankan niat jahatnya terhadap aku.

Simpati pula aku dengan dia kerana disebabkan dendam, Maiza sanggup mempergunakan Nora bagi menampakkan dirinya lebih baik dan sopan berbanding Nora. Seperti yang aku
nyatakan sebelum ini, mujur aku bukan jenis yang mudah rapat dengan perempuan. Duniaku hanyalah di rumah dan bersama kawan-kawan lelaki ku sahaja. Aku meminta maaf kerana telah tersalah anggap selama ini. Sebab itu tuhan menyuruh hamba-hambaNya supaya sentiasa mempunyai sifat husnudzon (berbaik sangka).

Setelah segala maklumat berjaya ku kumpul, aku dan Acai meminta diri untuk pulang. Dalam perjalanan pulang ke rumah Acai, aku menelefon Ustaz Bakar bagi meminta pendapatnya mengenai cara-cara menangani Mariam dan Maiza. Aku kurang pasti sama ada Maiza telah bersetuju untuk menjadi pewaris kepada ilmu hitam ibunya. Apa yang pasti, Maiza adalah budak suruhan ibunya yang sanggup mengkhianati rakannya sendiri kerana dendam keluarga. Aku juga menceritakan kepada Ustaz Bakar mengenai tanah

rumahku yang menjadi perebutan Tok Uda dan Abi dahulu sehingga Mariam kemudiannya menghantar hantu-hantunya bagi ‘menjaga’ rumahku itu supaya tidak berpenghuni lagi.

Menurut Ustaz Bakar, pasti ada sesuatu yang bernilai di tanah rumahku itu sehingga Mariam masih lagi berkehendakkan tanah tersebut sehingga kini. Ustaz Bakar mengarahkan aku mencari ‘sesuatu’ di tanah itu yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Hanya mata yang telah dibuka hijabnya seperti aku dapat melihat kewujudan ‘sesuatu’ itu. Aku mengarahkan Acai untuk berpatah balik dan menghantar aku pulang ke rumah.

Sampai di rumah, semua tingkap telah terbuka seluas-luasnya seperti ada yang sudah menunggu aku dari awal lagi. Aku mengarahkan Acai untuk terus pulang dan tinggalkan sahaja aku di situ. Acai enggan dan berdegil untuk tinggal di situ dan membantu mana-mana yang mampu. Walaupun aku nampak jelas riak takut di wajah Acai, namun demi aku, dia sanggup sama-sama susah berjuang.

Aku masuk ke dalam rumah, mengambil sebekas garam dan biji lada hitam sebagai persiapan awal. Lalu aku ke belakang rumah diekori oleh Acai. Aku scan bahagian belakang rumah dari segenap ruang dan kawasan. Lama aku memerhati sambil membacakan ayat-ayat suci Al-Quran. Sebatang pokok yang tingginya lebih kurang aku dan bersederhana besar dengan daun yang yang rimbun menarik perhatian. Tidak pernah pula aku perasan akan kewujudan pokok tersebut sebelum ini. Mungkin inilah ‘sesuatu’ yang dimaksudkan oleh Ustaz Bakar semasa aku menghubunginya sebentar tadi. Acai sudah ku duga tidak dapat melihat pokok berkenaan dengan mata kasar manusia.

Ya, kini aku yakin inilah sarang dan markas pemujaan Mariam dan Maiza yang selama ini dijaga dan dipuja oleh mereka. Patutlah penyakit misteri Umi dan Abi dahulu sukar untuk diubati. Sarang yang terbesar ini masih gah berdiri di atas tanah kami dan sukar untuk dilihat jika tidak kena caranya. Aku duduk bersila di atas tanah betul-betul di hadapan pokok itu dan mula membaca ayat Kursi berulang kali. Biji lada hitam dan garam sudah ku genggam dan menunggu masa untuk aku lemparkan ke arah sarang tersebut.

Tiba-tiba aku terdengar jeritan yang sangat kuat bergema di seluruh kampung. Tahulah aku Mariam sudah mengamuk kerana Hantu Rayanya sudah cedera dan sarang hantu-hantunya kini di dalam bahaya. Mariam dan Maiza akan muncul di sini tidak lama lagi jadi aku harus cepat menamatkan semua ini. Aku memanggil Acai dan mengajar beliau cara-cara menangani Mariam dan Maiza jika mereka muncul nanti. Aku telah pagarkan bahagian belakang rumahku dan aku harap Acai dapat membantu aku melengah-lengahkan Mariam dan Maiza sementara aku cuba menghapuskan sarang pemujaan mereka.

Aku meneruskan kembali dengan apa yang terhenti sebentar tadi. Fokus harus diberikan sepenuhnya. Muncul lagi Hantu Raya dan Polong di balik pokok tapi tidak sedikit pun aku endahkan. Mereka tidak akan dapat mendekati dan mencederakan aku selagi aku tidak berhenti membaca ayat-ayat suci Al-Quran sebagai pelindung diri.
Mariam dan Maiza muncul dengan muka yang merah padam menahan marah. Pertama kali aku melihat sikap sebenar Maiza yang selama ini disembunyikan bagi mempengaruhi aku.

Aku arahkan Acai untuk terus membaca Ayat Kursi dan membaling garam serta biji lada hitam ke arah tanah berdekatan Mariam dan Maiza berdiri.
Bacaan ayat-ayat Ruqyah ku teruskan.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan; Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya.”
Surah Al-Falaq.

Katakan (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”
Surah An-Nas.

Aku tanpa berlengah terus melemparkan garam dan biji lada hitam yang telah ku genggam ke arah pokok tersebut. Pokok itu lalu terbakar dan semakin marak api nya menjulang ke langit. Bunyi yang sangat mengerikan bagi sesiapa yang mendengar.

“Jangan Izul!! Kau akan ku sumpah nanti! Kau akan ku sumpah! Berani kau hapuskan tempat aku! Arrrggggghhh..” Mariam menjerit bagaikan orang yang sudah kehilangan jiwa.

Maiza sudah lama pengsan jatuh terkulai di atas tanah. Wajahnya bertukar menjadi hitam.

Orang-orang kampung datang untuk menghulurkan bantuan. Mungkin jiran sebelah rumahku memanggil orang-orang kampung dan memberitahu perihal yang berlaku di sini.
Empat hingga lima orang lelaki memegang Mariam yang sudah tidak keruan dan meracau-racau tidak tentu hala. Aku mengambil secawan air, selepas ditawarkan air tersebut, aku lemparkan ke muka Mariam. Mariam kemudiannya pengsan tidak sedarkan diri.

Aku juga sudah lemah dan terpaksa dipapah oleh orang-orang kampung untuk naik ke atas rumah. Acai? Acai masih mampu berjalan sendiri namun rasa terkejut tetap ada dalam dirinya yang tidak pernah mengalami peristiwa-peristiwa mistik begini selain bertemu pocong semalam.

Ambulans dipanggil bagi menguruskan Mariam dan Maiza yang telah pengsan di halaman belakang rumahku. Apabila pihak hospital sampai, semua yang melihat terkejut dengan keadaan Mariam yang sebelumnya muda, cantik dan ramping berubah menjadi seorang perempuan yang sangat tua dan hodoh. Keadaan Maiza tidaklah seteruk ibunya cuma wajahnya sahaja yang bertukar menjadi hitam dan hilang seri. Kedua-dua beranak itu dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut walaupun semua yang ada sedia maklum rawatan moden tidak akan dapat menyembuhkan mereka berdua.

Setelah suasana kembali tenang, aku mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang membantu. Acai yang masih dalam keadaan terkejut telah dihantar pulang oleh jiranku. Rumahku kembali sunyi apabila semua orang telah beransur-ansur pulang.

Aku menarik nafas lega kerana semua ini telah berakhir. Rumahku yang dahulunya kelihatan gelap, terasa sesak dan rimas kini dapat ku rasakan bertukar cerah, lapang dan berseri-seri sekali. Aku memandang segenap ruang di rumahku dengan pandangan yang kosong. Pasti rumah ini akan lebih berseri jika Umi dan Abi masih hidup.
Ku tenung dua buah kerusi yang terletak di sebelah tingkap di ruang tamu. Di situlah Umi dan Abi selalu duduk berbual dan merenung ke halaman rumah ketika hayatnya. Katil di dalam bilik itulah tempat Umi dan Abi terbaring lesu dahulu kerana khianat orang. Tiada satu pun susur atur di dalam rumah ini aku ubah. Aku mahu semua ini berada di tempat yang sama seperti Umi dan Abi hias dahulu kerana ini sahajalah kenangan yang aku ada bersama mereka. Seperti dalam khayalan, aku melihat Umi dan Abi tersenyum memandang ke arah ku sambil melambai-lambaikan tangan. Kami berada di dua alam yang berbeza. Suatu hari nanti, aku pasti jua akan pergi ke alam yang kekal di sana kerana setiap yang hidup itu pasti akan mati. Air mata yang mengalir ku seka dengan jari. Aku bangun dan menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Solat fardhu dan solat sunat aku tunaikan dengan penuh khusyuk. Memanjatkan rasa syukur dan berharap semua ini menjadi pengajaran kepada umat islam yang lain.

Dua minggu selepas kejadian, aku dimaklumkan oleh Atok mengenai keadaan Mariam dan Maiza. Mereka berdua telah dihantar ke hospital sakit jiwa kerana kerap meracau dan berbicara mengenai perkara-perkara yang tidak masuk akal. Pada waktu malam, mereka juga kerap meraung dan menjerit minta diselamatkan daripada hantu yang cuba menggangu mereka. Begitulah nasib Mariam dan Maiza akhirnya yang bangga bertuhankan syaitan. Sekuat mana pun kuasa syaitan yang dipuja tidak akan dapat melawan kuasa Allah Yang Esa.

“Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan solat), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”
Surah Al-Hajj, Ayat 77.

===Tamat===

Catatan Penulis :
Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pembaca FS dan peminat #Izul.
Sokongan dari semua pembaca FS yang sabar dan setia menunggu setiap episod cerita #Izul – Banglo Peninggalan Arwah amat dihargai.
Seperti dinyatakan di dalam Part 1, cerita ini hanyalah rekaan semata dan diharap dapat memberikan pengajaran serta hiburan kepada semua pembaca.
#Izul adalah nama pena penulis dan semoga sokongan padu ini terus diberikan kepada #Izul untuk terus berkarya.
Panjang umur, #Izul mungkin akan menghantar cerita baru untuk tatapan semua pembaca tetapi bukanlah dalam jangka masa yang terdekat.
Nantikan semua! Assalamualaikum.

Kongsi kisah anda: http://fiksyenshasha.com/submit

51 thoughts on “#Izul – Banglo Peninggalan Arwah (Part 4, Akhir)”

  1. Alhamdulillah, the best ending~ teruskan lagi berkarya Izul, awak sangat berbakat. Jangan berhenti setakat di sini sahaja. Cipta karya seterusnya secepatnya ya! All the best! 😀

    Reply
  2. Walaupun rekaan tp jalan cerita awak menarik.sy akan tunggu hasil karya awak seterusnya.harap fiksyen shasha akan publish setiap karya awak.

    Reply
  3. Alhamdulillah. Terima kasih semua atas komen-komen positif yang diberikan.
    #Izul dah ada idea untuk cerita baru tapi belum mula menulis lagi.
    InsyaAllah panjang umur dan jika ada kelapangan, cerita baru akan menyusul.
    Sampaikan salam saya pada warga Facebook di page FS yer kawan-kawan di sini.
    Komen korang betul-betul buat #Izul terharu. Arigatou gozaimasu!
    -Izul-

    Reply
  4. IZUL NI MACAM KUCING KELABU LAH…
    ADAKAH ORANG YANG SAMA???

    SEBAB NAK MENULIS CERITA SEBEGINI PERLUKAN PENGALAMAN SENDIRI DAN KEBOLEHAN SENDIRI JUGAK,
    JUST SAYING.

    Reply

Leave a Comment