-Chalet Sutera Biru-
Bergoyang-goyang papan tanda chalet ditiup angin petang. Kawasan pulak berbukit, lagi kuat angin menyapa.
Lepas habis je budak rumah aku ni menjerit dengan kemunculan suara hantu manja tu, aku pun terus bersiap untuk solat Asar. Hantu tu lari dah. Saja ‘dia’ nak menyakat kawan-kawan aku.
“Ajib, Pa’an, Acai! Dah la tu. Amende la yang korang takut sangat. ‘Dia’ dah pergi la. Jom amek wudhu’. Kita solat Asar berjemaah.” laju budak tiga orang ni masuk bilik air. Berebut-rebut nak ambik wudhu’ dulu. Budak tadika pun pandai beratur ikut giliran. Nasib baik tak terlondeh tuala si Pa’an. Dah kena kacau macam ni, baru timbul rasa insaf nak pergi solat terus. Kalau tak, dah hujung-hujung waktu, barulah masing-masing sibuk nak solat.
Masa kami berempat tengah solat berjemaah, pintu rumah diketuk berkali-kali. Macam nak roboh pintu. Sepanjang kami solat tu, tak berhenti bunyi pintu, “Tokk, tokk, tokk!!”.
Lepas salam akhir diberi ke sebelah kiri, Pa’an bangun menuju ke pintu depan. Tak sempat nak baca doa lepas solat pun disebabkan dia dah bengang sangat. Siapa punya kerja ketuk pintu tak berhenti. Tak ada adab.
“Nak ape?” sambil bukak pintu Pa’an marah dengan gerangan yang mengetuk tu. Sunyi~~ Tak ada siapa pun dekat luar rumah.
“Kalau aku tahu saper yang main-main ni, aku jentik-jentik telinga dia,” membebel pulak budak Pa’an ni. Dia pergi ke bilik sebelah nombor 204, bilik geng perempuan.
“Yer Pa’an. Nak ape? Janji nak berkumpul pukul 5.30 petang kan. Ni baru pukul 5 petang.” Ika yang macam orang baru bangun tidur, rasa nak marah pulak bila tidur dia diganggu.
“Ada tak korang ketuk bilik kiteorang tadi?” Pa’an straight to the point je tanya Ika. Muka Ika yang sememeh baru bangun tidur ditambah pulak dengan tudung sarung yang Ika pakai tu senget ke tepi, Pa’an tak ambil pusing pun.
“Ade la ketuk kot dalam mimpi. Semua tengah tidur ni ha. Baru je rasa nak lena, ko datang pulak,” jawab Ika sambil mata separuh tutup.
“Hrmmm…tak per lah. Korang bangunlah. Pergi solat. Jangan nak ngelat,” pandai pulak si Pa’an ni nasihat orang.
Dia pun balik semula ke bilik kami. Aku, Ajib dan Acai tengah tengok cerita kartun. Semua mata pandang Pa’an. Kiteorang pun nak tahu jugak siapa yang ketuk. Sebelum kiteorang tanya, Pa’an awal-awal lagi dah jongketkan bahu tanda dia pun tak tahu siapa. Maksudnya bukan geng perempuan la yang datang rumah tadi.
Persoalan tu dibiarkan sepi. Masing-masing bangun dan bersiap sebab pukul 5.30 petang dah janji berkumpul kat depan chalet geng lelaki. Nak pergi beli barang-barang untuk BBQ malam ni. Tepat 5.30 petang, yang lelaki ni semua dah siap. Elok duduk atas bangku depan chalet. Geng perempuan macam biasalah. Tak siap-siap lagi. Lebih kurang pukul 5.40 petang macam tu baru muncul.
“Awalnya tuan puteri sampai,” perli Ajib bila dia tengok melenggang-lenggang Tirah, Ika dan Fathin berjalan.
“Sorry guys. Lambat 10 minit je. Still ok kan,” Tirah bersuara. Malas nak panjangkan cerita, kiteorang senyum je dan berjalan pergi ke tempat parking. Inikan trip percutian, tak seronok la kalau sampai bermasam-masam muka. Walau pun diorang bertiga ni kawan Pa’an tapi sejak mula bertolak dari KL tadi, banyak topik dah kiteorang borak. Jadi dah bertambah rapat.
Berdasarkan perangai diorang ni, aku paling suka tengok Fathin. Bicaranya tak banyak, lembut je bila bercakap. Ika dengan Tirah ni peramah, pandai bergurau. Takkan kering gusi bila dengar Ika dengan Tirah melawak tambah pulak dengan loyar buruk si Pa’an dengan Ajib, bertambah haru jadinya. Antara diorang tiga orang ni, Tirah seorang je yang tak pakai tudung, yang dua lagi tu manis bertudung. Tapi kena ingat, yang tak bertudung tu tak semestinya tak baik. Baik orangnya cuma sekarang dia sedang diuji oleh tuhan. Ujian dalam melawan nafsu tidak bertudung. Kita yang melihat ni panjatkanlah doa agar dia berubah. Itu lebih baik.
15 minit kemudian, kami sampai di satu bandar. Sunyi je bandar ni tapi nasib baik la barang-barang yang kami nak, ada kat situ. Macam-macam yang kami beli. Udang, sotong, ayam, meatball, air cordial dan ada la lagi makanan-makanan sampingan yang lain. Lepas selesai membuat pembayaran di kaunter, kami pun berjalan ke arah van. Simpan barang dalam boot van dan bergerak balik ke tempat penginapan.
Dalam perjalanan balik tu, aku rasa macam van yang kami naik tu berat sangat. Gaya macam tengah bawak 20 orang dalam satu van. Aku ingatkan aku seorang je yang rasa gitu. Pa’an yang tengah bawak van pun terasa jugak. Dia dah pandang-pandang aku melalui cermin pandang belakang. Aku syak ‘benda’ tu menumpang kat atas bumbung van sebab aku tak nampak seekor pun dalam van ni.
Dalam nada berbisik, aku cakap dengan ‘benda-benda’ tu, “Pergilah engkau jauh dari kami sebelum aku hembuskan engkau dengan hembusan yang engkau tidak akan mampu untuk melawan.”
Secara tiba-tiba jer van bergegar-gegar dan melencong ke arah sebelah kanan jalan. Nasib baik tak ada kereta yang lalu dari arah bertentangan. Semua yang ada dalam van dah cuak dah.
“Gegar apa ni weh? Pa’an, elok-eok sikit bawak tu,” Acai yang duduk di sebelah pemandu mula gelabah.
Mungkin sekarang ni dah senja sebab tu ada yang mengganggu. Demi keselamatan semua orang, aku arahkan Pa’an berhenti kejap dekat tepi lereng bukit. Apa lagi, Acai dah nak nangis dah. Risau kejadian dia jumpa pocong masa dekat kampung dulu tu terjadi lagi.
“Kenapa sampai nak kena berhenti tepi ni. Senja-senja gini, seram la weh dok tepi bukit yang tak ada orang lalu pun,” Tirah pandang aku mintak kepastian tujuan aku suruh Pa’an berhentikan van.
Aku cuma senyum dan turun dari van. Yang lain tu aku arahkan duduk je kat dalam. Nanti turun, ada pulak yang histeria tengok hantu.
Terkejut jugak aku tengok atas bumbung van. Walaupun aku dah agak memang ada yang ‘menumpang’ tapi tak sangkalah pulak banyak macam ni. Memang penuh bumbung van tu dengan segala macam hantu.
Aku mulakan dengan bacaan ayat Kursi. Garam dan lada hitam yang memang selalu aku bawak bersama, aku genggam dan kepal sebelum aku lemparkan ke atas van. Separuh daripada ‘mereka’ terbakar dan separuh lagi hilang. Van bergegar sekali lagi.
“Kenapa ni weh bergegar-gegar? Takkan gempa bumi kot,” kuat Ika peluk Tirah, nak hilangkan rasa takut.
“Tak ada apa lah kawan-kawan. Tayar van pun okay. Cuaca pun elok.” aku jerit dari luar van. Memang tak der kena mengena langsung maklumat yang aku bagi tu. Tiba-tiba je kan aku bagitahu pasal keadaan tayar van. Janji hilang rasa takut diorang.
“Ya Allah. Kau selamatkanlah perjalanan kami. Kau lindungilah kami dari sebarang malapetaka. Sesungguhnya hanya kepada Engkaulah aku bermohon. Amin.” aku berdoa memohon pertolongan dari Yang Maha Esa.
Gegaran tersebut berhenti dan keadaan menjadi senyap kembali.
Sebelum aku masuk semula ke dalam van, aku nampak nenek tua yang sama muncul dalam mimpi aku sebelum ni. Dia hanya berdiri kat situ dan pandang je aku. Tak ada amaran macam dalam mimpi tapi dari riak muka nenek tua tu, aku dapat rasakan ada sesuatu yang tak kena. Waktu Maghrib pun dah hampir, aku malas nak layankan sangat. Tambah pula aku tak tahu asal-usul nenek tu. Kami bergerak balik tanpa ada seorang pun bersuara.
“Tadi ko buat ape Izul dekat luar van? Nampak serius je,” Fathin tanya aku masa kami dah sampai ke tempat penginapan.
“Halau penumpang tak diundang,” berkerut jugak la muka Fathin mencerna ayat aku tadi. Aku hanya senyum dan berjalan laju je ke depan. Risau kalau Fathin tanya aku siapa penumpang yang tak diundang tu. Payah pulak aku nak terangkan keadaan tadi. Baiklah aku simpan sorang je.
Barang-barang yang kiteorang beli tadi, aku letakkan terus dekat tempat BBQ yang memang disediakan oleh pihak Chalet Sutera Biru ni. Lengkap dengan semua barangan membakar. Siap ada paip air dengan sinki untuk basuh bahan-bahan mentah. Senang nak buat kerja nanti.
Kami semua balik ke bilik dulu, mandi dan solat. Lepas Isyak dalam pukul 9 malam, baru kami semua berkumpul kat tempat BBQ.
Geng perempuan basuh bahan-bahan mentah untuk dipanggang manakala geng lelaki pulak menyalakan arang menjadi bara api. Masa kerja-kerja menyiapkan bahan-bahan ni, memang riuh la masing-masing berborak, gelak-gelak, bahan membahan sesama sendiri. Aku diam je dengar diorang ni melawak sambil gelak-gelak kat tepi.
Tiba-tiba aku dengar bunyi perempuan menjerit kat dalam belukar, belakang chalet kiteorang. Tempat BBQ ni memang tak jauh pun dari bilik kami. Dari tempat BBQ tu memang boleh nampak bilik masing-masing.
“Pergiii!! Pergiii kauu!! Pulangkan balik barang aku!” kuat sangat jeritan tu sampai aku bangun, nak berlari pergi ke arah belukar. Tapi aku tengok kawan-kawan aku yang lain elok je buat kerja. Maksudnya enam orang kawan-kawan aku ni tak dengar bunyi jeritan tu.
Aku jalan perlahan-lahan ke arah belukar. Tak nak bagi diorang sedar yang aku ke sana. Nanti mesti diorang akan menggelabah.
“Bismillahirrahmanirrahim…” aku mulakan bacaan betul-betul di depan belukar tu.
“Pulanglah engkau ke tempat asal jika niat kau hanya hendak menakut-nakutkan anak cucu Adam! Aku tidak akan dan tidak pernah takut dengan engkau,” aku bersuara tegas dan menunggu langkah seterusnya.
Pokok-pokok bergoyang-goyang seperti ditiup angin yang sangat kuat tapi aku tidak merasa sebarang angin pun kat situ. Tak lama lepas tu, bunyi tangisan dan hilaian bergabung menjadi satu. Bergema ke seluruh kawasan bukit. Kemudian, keadaan menjadi sunyi kembali.
“Izul! Izul! Weh, ko kat mane Izul,” Ajib terjerit-jerit panggil aku sambil pegang penyepit ayam.
“Aku kat sini je la. Kenapa?” aku berjalan ke arah Ajib. Sayang betul dia dengan penyepit ayam tu sampai nak cari aku pun dia bawak sekali.
“Weh, cepat sikit sini! Ika pengsan.” aku tengok masing-masing dah kelam-kabut kat situ.
“Ika, bangun lah weh. Kenapa ni,” Fathin tepuk-tepuk pipi Ika dengan harapan nak bagi dia sedar. Tirah tolong urut-urutkan lengan Ika untuk melancarkan perjalanan darah.
“Letak la weh penyepit tu. Meh sini tolong angkat Ika letak kat atas kerusi,” Pa’an marah Ajib sambil duduk mencangkung nak angkat Ika.
“Tak per Pa’an. Tak payah angkat. Biarkan je,” aku pandang Pa’an sambil gelengkan kepala. Walaupun niat Pa’an baik nak betulkan kedudukan Ika, tapi niat tak menghalalkan cara.
Aku ambil segelas air, aku bacakan sikit dan hembus ke dalam air. Gelas tu aku bagi Fathin. Mintak tolong dia sapu air yang aku dah baca tu ke seluruh muka Ika. Lepas tiga kali Fathin sapu, Ika dah boleh bukak mata dan duduk atas bangku kat situ. Keadaan dia lemah.
Aku bagi isyarat kat diorang suruh sambung balik kerja masing-masing. Bila aku tengok Ika pun dah semakin pulih, terus aku tanya dia apa yang dia nampak tadi.
“Aku tak tahu la macam mana nak terangkan. Aku tak rasa kau akan percaya apa yang aku nampak,” muka Ika cuma tunduk ke bawah je. Masih dalam ketakutan.
“Cerita lah. Insya-Allah aku boleh tolong,” aku jawab dengan yakin.
Menurut Ika, masa dia tengah basuh ayam dekat sinki, dia rasa macam ada orang panggil nama dia. Tapi bila dia pusing, semua orang tengah sibuk buat kerja masing-masing sambil berbual-bual kosong. Dia nampak aku sorang je dekat depan kawasan belukar. Dari tempat aku berdiri tadi, dia nampak ada benda terbang warna putih laju ke arah dia. Belum sempat dia jerit, kepala dia terasa berat. Lutut jadi lemah sangat. Lepas tu dia terus tak sedar apa yang berlaku.
Aku rasa ‘benda’ ni nak cari tuan. Dalam ramai-ramai, Ika mungkin yang paling lemah. Jadi, dia adalah pilihan terbaik untuk ‘persinggahan’ makhluk halus. Aku ajarkan Ika beberapa surah yang dia boleh amalkan sebagai pendinding.
“Aku rasa baik kau rehat je la atas bangku ni. Biar kteorang je yang masak,” saran Tirah sambil pegang kemas tangan Ika.
“Ish, ape pulak nak rehat. Aku ok je. Jangan risau. Tak seronok la kalau kawan-kawan buat kerja aku nak duduk sini goyang kaki,” degil jugak budak Ika ni. Kami pun biarkan je la dia nak buat kerja.
Tak lama lepas tu, makanan semua pun siap. Memang seronok sambil memanggang, sambil berborak dan makan-makan. Hilang kejap masalah-masalah kat tempat kerja. Tadi masa pergi beli lauk tengok macam tak banyak sangat. Dah masak ni, banyak sangat la pulak makanan yang kiteorang beli. Jenuh nak habiskan semua. Membazir pulak rasanya tadi masa membeli ikutkan sangat nafsu.
Hampir 3 jam kiteorang duduk kat situ. Selesai makan, masing-masing pun dah ngantuk. Jam dah berganjak ke pukul 12.10 tengah malam. Makanan ada banyak yang tak habis. Aku bungkuskan udang, ayam dengan sotong untuk pak guard chalet ni. Rezeki dia. Selebihnya kami bungkus untuk sarapan esok.
Aku bagi bungkusan tu dekat Pa’an dan Acai. Mintak tolong diorang hantarkan dekat pak guard di pintu masuk chalet. Aku dengan Ajib pastikan kawasan tu betul-betul bersih dan kemudian terus balik ke bilik berjalan sekali dengan geng perempuan.
Sampai bilik, aku terus mandi. Ajib terus baring atas katil, tunggu giliran untuk mandi. Lepas mandi, aku pun join baring sekali. Tengok jam dah pukul 12.30 tengah malam. Pa’an dengan Acai tak balik-balik lagi. Aku jadi hairan dah. Pondok pak guard bukan la jauh sangat. Sepatutnya sekarang diorang dah sampai bilik dah tapi batang hidung pun tak nampak.
Ajib dah lena dibuai mimpi. Dia tak pergi mandi pun. Malas nak kejutkan dia, aku bangun pakai sweater. Aku baru berkira-kira nak keluar bilik, pergi cari Pa’an dan Acai. Tiba-tiba dengar suara jeritan dari bilik sebelah. Laju aku lari keluar, ketuk pintu bilik geng perempuan. Fathin bukak pintu dengan muka yang panik. Tirah berdiri kat sebelah Fathin, ketakutan tak tahu nak buat apa.
“Kau tengok Ika tu. Dia jerit tak berhenti. Aku ingatkan dia main-main tapi bila aku tengok mata dia terbeliak pandang siling atas, dia mesti kena rasuk ni,” terketar-ketar suara Fathin bercerita.
Aku mintak izin untuk masuk dalam bilik diorang. Pertama kali ni aku masuk bilik budak perempuan. Segan pulak rasa. Aku suruh Fathin dengan Tirah jangan keluar bilik. Berdiri je belakang aku bagi mengelakkan fitnah duduk berdua.
“Keluar! Aku tak nak tengok muka kau!” marah betul jin ni dengan aku.
“Aku atau engkau yang patut keluar. Sebelum aku gunakan cara kasar, baik kau keluar tanpa dipaksa. Kami tak ganggu kau, jadi kau jangan nak ganggu kami,” amaran keras aku bagi.
“Mana kau tahu kawan-kawan kau tak ganggu aku? Haa~~Haaa~~,” hilaian tawa Ika yang kena rasuk ni memang menyeramkan bagi sesiapa yang mendengar.
“Siapa yang mengganggu? Bagitahu aku. Aku akan betulkan apa yang kawan aku dah lakukan pada kau,” muka aku berkerut seribu. Jenuh jugak nak fikir siapa antara kami bertujuh yang buat hal.
Aku tahu Ika cuma diganggu sebab dia yang paling lemah kat sini.
Fathin dan Tirah dah terduduk, lemah lutut tengok depan-depan gangguan makhluk halus ni. Aku masih diam memikirkan siapa yang berani buat hal kat sini.
Siapa yang cari pasal sebenarnya? Aku kena tahu punca sebenar semua ni berlaku. Allah, permudahkanlah segala urusan kami malam ini.
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
huhu again sambung… semangat ai bace!!
kenapa tak habiskan..
cptlah submit smbungan… huhu
Alahai Izul..baru nk excited bersambung lak huhu! Td tgk dh ada part 2 smangat baca!
hampeh.
Assalamualaikum.. sy nak minta tolong skit bleh x? gini klu korang nak tulis perkataan insyaallah bleh tak d ganti dgn cara camni inshaa Allah.. krn insyallah ni bermaksud menjadikan Allah.. In shaa Allah plak dgn izin Allah.. JD sy harap sapa² yg baca ni tlg LA hilangkan perkataan insyallah yaa…
alaaa dah syok. cepat sambung izul
dari cerita Banglo Peninggalan Arwah sampai yang ni saya follow, memang cun la cerita awak bawak Izul! cepat2 la update 3rd post. hehe
baru sempat baca…. best cerita awak ni…Izul kacak tak???
Sape…???
Sape…????
Sape yang ganggu…???
Sape yg buat pasal…???
Sape yg bikin kacau..???
Sapeeee…???!!!
Cepatlah sambung weeiii…
Akk dh ghase mcm tergantung x bertali ni…
?
.
nice